Wednesday, August 20, 2014

Program Konvoi Ziarah Aidilfitri PERKIS Melaka ke Kg Sg Putat, Batu Berendam


Pertubuhan Kebajikan Ibnu Sina (PERKIS) , Melaka telah mengadakan Program Konvoi Ziarah Aidilfitri untuk memberi sumbangan kepada Fakir Miskin, Anak Yatim & OKU di Kampung Sg Putat, Melaka pada 17 Ogos 2014.

Sumbangan di terima daripada :

1. Kelab Staf DOSH (Jab Keselamatan &Kesihatan Pekerjaan, Melaka)
2. By Naihaf Sdn Bhd
3. Penderma individu

Sumbangan yang diberi adalah barangan keperluan seperti;

  • Gula
  • Tepung Gandum
  • Kopi & Teh
  • Kordial
  • Minyak Masak
  • Wang Tunai
Penerima sumbangan juga diberi hadiah dari Gabungan NGO Melaka Bebas Asap Rokok (GaNMBAR), Melaka berupa Beg, Key Chain & Lampu Suluh, Pelindung Matahari dan Pamplet tentang Melaka Bebas Asap Rokok.










InsyaAllah, usaha murni akan diteruskan lagi di masa hadapan

Wassalam

Dr Norman Mohd Norawi
Pengerusi
PERKIS, Melaka

PANDUAN KESIHATAN DI TANAH SUCI


Saya telah ditemuramah oleh wartawan dari Berita Harian bernama Nasuha untuk memberikan sedikit pandangan tentang penjagaan kesihatan di Tanah Suci Mekah & Madinah sempena musim Haji nanti.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri di Tanah Suci....Berikut adalah jawapan saya kepada beliau....





PANDUAN KESIHATAN DI TANAH SUCI

Pesakit yang lebih berisiko mendapat penyakit-penyakit di Tanah Suci adalah:
·         Pesakit terlalu Tua dan bayi
·         Pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetis, kanser, sakit buah pinggang, sakit lemah jantung, HIV/AIDS
·         Perokok dan mempunyai masalah paru-paru seperti emphysema/ bronchitis kronik




Penyakit yang biasa dihidapi oleh Jemaah Haji secara ringkasnya adalah:
Demam, Batuk & Selsema
Akibat bersesak dalam manusia yang ramai dan juga kerana cuaca panas kering
Batuk-batuk ringan adalah lumrah di Tanah Suci kerana cuaca yang panas kering
Jika simptomnya semakin teruk dan demam, maka dapatkan rawatan segera daripada doktor
Cara Mencegahnya:
·         Minum air Zam-zam sentiasa
·         Guna topeng muka jika cuaca berdebu
·         Rehat secukupnya
·         ambil suplemen vitamin dan anti oksidan secukupnya


Jangkitan Paru-paru (Pneumonia)
Jangkitan paru-paru akibat sistem imuniti yang rendah dan pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetis, perokok dan orang yang terlalu tua. Jangkitan biasanya dari udara. Batuk-batuk yang teruk, berkahak hijau/kuning mungkin bercampur darah, demam yang tinggi, rasa lesu yang terlampau







Langkah pencegahan
·         Elakkan kawasan yang terlalu sesak
·         Elakkan keluar pada kawasan yang berdebu dan berhabuk yang teruk
·         Gunakan topeng muka
·         Berhenti Merokok
·         Makan makanan berkhasiat dan ambil suplemen vitamin secukupnya
·         Minum air Zam-zam secara kerap
·         Dapatkan rawatan segera dengan doktor jika mula batuk

Jangkitan Selaput Otak (Meningitis)



Jangkitan akibat kuman kepada selaput otak yang berpunca dari udara melalui hidung. Semua jemaah haji akan diberi suntikan vaksinasi Meningcoccal Quadrivalent Vaccine ACYQ 135 untuk mencegah penyakit ini. Pesakit akan demam dan mengalami sakit kepala yang kuat, jika keadaan yang teruk pesakit akan pengsan atau mengalami sawan
Langkah pencegahan:
·         Jaga kebersihan diri
·         makan makanan berkhasiat dan ambil suplemen vitamin seperti B kompleks dan vitamin C
·         Elakkan kawasan yang terlalu sesak
Jangkitan MERS-COV


Simptom seperti demam, batuk dan selsema. Demam yang tinggi


Langkah mengatasi
·         elakkan menyentuh unta terutama cairan dari mulutnya
·         Elakkan kawasan yang terlalu sesak bagi pesakit yang berisiko tinggi
·         Makan berkhasiat dan jaga kebersihan diri
·         Ambil suplemen multivitamin dan vitamin C
·         Guna topeng muka bagi pesakit yang berisiko


Penyakit akibat Cuaca panas




Keletihan akibat Panas (Heat Exhaustion)
·         keletihan yang melampau
·         rasa sakit kepala dan pening
·         kurang buang air dan kurang berpeluh
·         lesu dan tidak bermaya
·         ingatan mudah lupa dan keliru
·         jika tidak diatasi segera akan melarat kepada 'Heat Stroke'


Strok/Kejutan Panas (heat stroke) - memerlukan rawatan segera, jika tidak boleh membawa maut
·         Demam panas
·         pitam
·         Pengsan
·         kejang otot
·         sawan
Cara mencegahnya
·         Minum air secukupnya terutama air zam-zam
·         Mandi selalu
·         Elakkan keluar pada waktu panas terik
·         gunakan pelindung seperti payung/tudung/serban etc
·         Selalu berada dikawasan yang terlindung dalam bangunan


Jangkitan Taun (Kolera)



Sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh kuman Vibrio Cholerae.
Tempoh masa berlaku di antara beberapa jam sehingga 5 hari selepas mengambil makanan atau minuman yang dicemari kuman tersebut.
Wabak ini pernah berlaku di kalangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci pada 1985, 1988 dan 1989
Menyebabkan cirit-birit yang berterusan dan masalah dehidrasi(kekeringan)
Boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera/ Perlukan rawatan dari doktor dengan segera
Cara mengelakkannya:
·         Minum air masak atau air yang dibotol
·         Jaga kebersihan diri
·         Gunakan tandas yang bersih
·         Jangan makan makanan yang terdedah dengan lalat
·         Basuh buah2an dan sayur2an yang dimakan


Keracunan Makanan

Makan makanan yang tercemar dengan kuman. Muntah-muntah dan cirit-birit. Dapatkan rawatan segera
cara mencegahnya
·         elakkan makan luar ditempat yang tidak bersih
·         jaga kebersihan diri- basuh tangan dengan sabun
·         makan berkhasiat
·         minum air yang dimasak atau air mineral shj


Sakit Kaki, Pecah Tumit dan Bengkak Kaki
akibat terlalu bnyk berjalan dan menjadi masalah utama kepada warga tua dan obes/gemuk
kaki boleh mendapat jangkitan kuman dan membengkak terutamanya kepada pesakit diabetis
Cara mencegahnya:
·         guna alas kaki yang baik
·         selalu memeriksa keadaan kaki, jika ada luka dapatkan rawatan segera
·         air secukupnya
·         cuci kaki selalu
·         makan berkhasiat dan vitamin
 



Tips-tips umum untuk para jemaah adalah:
·         Jaga makan dengan mengambil makanan berkhasiat terutamanya buah-buahan, sayuran secukupnya
·         Jangan terlalu banyak makan makanan bergula tinggi dan makanan proses seperti mee segera
·         BERHENTI MEROKOK!!
·         Minum air secara kerap terutamanya air Zam-Zam
·         Jangan keluar ketika cuaca panas terik jika tiada keperluan
·         Bawaklah dan makan lah setiap hari suplemen - Multivitamin, Vitamin C, Omega 3, Anti Oksidan dan sebagainya
·         Gunakan pakaian yang sesuai dan melindungi diri dari cuaca panas
·         Tidur dan Rehat secukupnya
·         Bagi pesakit kronik seperti diabetis, darah tinggi, sakit jantung, kolesterol dsbgnya...pastikan membawa bekalan ubat-ubatan secukupnya untuk mengelakkan komplikasi
·         Dapatkan rawatan segera dengan doktor di Tabung Haji jika mempunyai masalah kesihatan....jangan merawat diri sendiri
·         Fokus kepada ibadah dan lakukan mengikut kemampuan diri...ibadah yang memerlukan tenaga fizikal yang boleh mengupah orang lain boleh lah diupahkan jika tidak berdaya.
·         bagi warga Tua...pastikan berteman jika keluar kemana-mana





Insyaallah


Sekian, Wassalam


Dr Norman

Monday, August 11, 2014

SANTAN KELAPA TURUNKAN KOLESTEROL



 SANTAN &  KOLESTEROL...
Oleh;
Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, FAGE, MScAARMAM) 



Dalam musim Hariraya Aidilfitri ini pelbagai jenis juadah disediakan untuk menjamu para tetamu yang menziarahi rumah kita. Makanan yang disediakan oleh kita biasanya menggunakan santan kelapa dalam ramuannya seperti rendang, lemang, kari, lodeh dan sebagainya. Santan kelapa adalah satu bahan masakan yang digunakan oleh masyarakat di Malaysia sejak dari dahulu lagi. Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, masak lemak cili api diamalkan hampir setiap hari juga menggunakan santan.



Masyarakat India dan kebanyakan penduduk di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik adalah pengguna santan yang tinggi dalam masakan harian mereka. Selalunya santan dikatakan sebagai lemak tepu yang ‘tidak sihat’ dan boleh menyebabkan masalah kolesterol tinggi. Berdasarkan  kajian sains terkini merumuskan santan atau minyak kelapa bukanlah punca kepada masalah kolesterol tinggi.



Terdapat banyak laporan dari kajian sains terkini dalam jurnal-jurnal perubatan menunjukkan santan bukanlah faktor utama yang menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi. Kajian juga mendapati penduduk dunia yang makan santan setiap hari mempunyai kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding dengan masyarakat moden yang mengambil makanan segera dan makanan proses yang mengandungi ‘asid lemak trans’  yang jauh lebih berbahaya kepada kesihatan.   
Terdapat juga satu kajian yang dijalankan di Kerala , India yang dilaporkan dalam Indian  Journal of Biochemistry pada tahun 2009 yang menunjukan  kesan yang positif kepada kesihatan dengan pengambilan santan dalam makanan. Kajian ini membandingkan pengambilan minyak kelapa dengan pengambilan minyak bunga matahari dalam pemakanan seharian dan perbezaannya dengan paras kolesterol diantara keduanya. Hasil kajian ini merumuskan bahawa tiada perbezaan diantara pengambilan diantara kedua-dua jenis minyak masak ini dengan paras kolestrol dalam darah.
Oleh itu , pendapat yang menyatakan pengambilan santan menyebabkan peningkatan paras kolestrol dalam darah adalah suatu pendapat yang kurang tepat.  



Dalam satu kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan Asia Pasific pada tahun 2011, yang dijalankan di Filipina mendapati pengambilan minyak kelapa dalam makanan seharian dikalangan wanita pra menopaus meningkatkan kolesterol baik HDL-c dan menurunkan kolesterol ‘jahat’ jenis LDL dan Trigliserida. Berdasarkan kajian ini pengambilan santan menurunkan paras kolesterol  LDL dan bukannya meningkatkan paras kolesterol. Oleh itu ia mempunyai berfaedah menurunkan risiko penyakit jantung.
Yang lebih menarik lagi adalah, data dari negara Filipina yang dilaporkan oleh Philipine National Nutrition Survey (PNNS) pada 2003  juga mendapati relatif insiden yang rendah untuk masalah kolesterol berlebihan (hypercholesterolemia), darah tinggi (hypertension), angin ahmar (stroke) dan sakit jantung (angina) dikalangan penduduk  di Daerah Bicol yang mengambil santan dan minyak kelapa yang tinggi berbanding daerah lain di Filipina dalam makanan seharian mereka. 



Prof Philippe Legrand dari Peranchis yang merupakan seorang pakar biokimia dari Makmal Biokimia dan Pemakanan Manusia di Universiti Agronomidi, Rennes, Peranchis mempunyai pendapat yang sama berkenaan santan dan kesannya kepada paras kolesterol. Beliau menyatakan bahawa bahan didalam santan atau minyak kelapa iaitu asid laurik dan asid miristik iaitu asid lemak dalam kumpulan asid lemak rantaian sederhana (MCFA) lebih cepat dimetabolismakan dalam hati manusia dan menurunkan paras kolesterol oleh itu ia mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Disamping itu juga santan atau minyak kelapa ini mempunyai kesan positif yang lain seperti anti keradangan, anti fungal, anti virus, anti mikrobial dan anti protozoa.  Menurut beliau , santan boleh menjadi sebahagian dari diet yang sihat jika diambil secara sederhana dan tidak menyebabkan peningkatan kolesterol dalam darah.


Kajian-kajian terkini mendapati pengambilan asid lemak trans, karbohidrat dan gula yang tinggi adalah lebih  berkait rapat dengan masalah penyakit kardiovaskular dan peningkatan paras kolesterol berbanding pengambilan lemak tepu atau minyak dalam  makanan. Kajian juga mendapati pesakit kencing manis selalunya mempunyai paras kolesterol yang lebih tinggi kerana paras gula yang tinggi dalam darah walaupun tidak makan santan setiap hari.


Walaubagaimanapun, kita perlu berpada-pada dan bersederhana dalam pengambilannya santan kerana ianya mempunyai jumlah kalori yang tinggi. Strategi yang  lebih baik untuk mengawal paras kolesterol adalah dengan mengurangkan gula dan asid lemak trans dalam pemakanan seharian kita berbanding dengan ‘berpantang’ santan, Insyaallah.

Monday, August 4, 2014

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2014


MINNAL AIDIL WAL FAIIZIINN....
KEPADA SEMUA PEMBACA BLOG INI...

SEMOGA SEMUA MENDAPAT MANFAAT..
INSYAALLAH

Pilih Makanan Sihat Ketika Beraya



MARJERIN ATAU MENTEGA UNTUK KESIHATAN?


Oleh:
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MScAARMMA (UCSI), FAGE


Hariraya menjelang tiba tidak lama lagi. Kita semua pasti sibuk dengan persiapan menyambut Syawal kali ini. Diantara juadah yang popular semasa musim raya ini sudah tentulah pelbagai kuih raya dan kek yang disediakan untuk tetapu yang datang berkunjung kerumah kita.
Diantara bahan yang digunakan dalam pelbagai kuih raya dan kek adalah mentega atau marjerin. Dari sudut kesihatan diantara keduanya yang manakah lebih baik untuk kesihatan kita? Ramai yang tidak menyedari perbezaan diantara keduanya kerana rupanya serupa sahaja dan ramai yang keliru diantara kedua-dua bahan ini.



Marjerin diproses dan dihasilkan  daripada minyak masak seperti  minyak kelapa sawit, minyak kacang soya ,minyak bunga matahari, minyak safflower dan sebagainya. Ia menjadi keras dan pejal apabila diproses melalui kaedah ‘hidrogenasi’ untuk menjadinya seperti marjerin yang kita kenal. Proses hidrogenasi inilah yang menjadikan lemak dalam marjerin bertukar kepada jenis ‘asid lemak trans’. Marjerin boleh dianggap sebagai  ‘makanan proses’ kerana ia tidak wujud secara asli.Kajian menunjukkan asid lemak trans adalah berisiko tinggi untuk kesihatan. Bukan hanya marjerin tetapi makanan seperti makanan segera, mee segera, donut, biskut, makanan bergoreng dan makanan proses mengandungi kandungan asid lemak trans yang tinggi. Terdapat juga jenis marjerin yang dilabel sebagai ‘bebas asid lemak trans’ (trans fat free) dipasaran sekarang kerana ia mengandungi asid lemak trans kurang daripada 0.5gram setiap hidangan.



Kajian yang dilaporkan dalam New England Medical Journal pada tahun 1990 menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans akan meningkatkan paras kolesterol tidak baik LDL dan menurunkan paras kolesterol baik HDL. Berdasarkan satu lagi laporan dalam jurnal perubatan yang sama pada tahun 1997, pengambilan asid lemak trans ini meningkatkan risiko  untuk mendapat penyakit jantung. Kajian juga menunjukkan asid lemak trans ini menyebabkan masalah ‘keradangan mikro’ dalam saluran darah yang menjadikan punca terbentuknya plak kolesterol dalam dinding saluran darah yang akan menyebabkan saluran darah tersumbat terutamanya saluran darah koronari dijantung.



Terdapat juga kajian yang lain yang menunjukkan pengambilan asid lemak trans ini berkaitan dengan pelbagai penyakit lain seperti kanser, penyakit Alzheimer’s, kegemukan, diabetis, kerosakan hati, masalah kesuburan dikalangan wanita, masalah kelakuan cepat marah dan agresif serta masalah kemurungan. Kajian-kajian ini dilaporkan dalam pelbagai jurnal-jurnal perubatan diseluruh dunia. Oleh kerana itu,  pada tahun 2002, National Academy of Sciences dalam laporan bertajuk “ Dietary Reference Intake for Energy, Carbohydrate, Fibre, Fat, Fatty Acids, Cholesterol, Protein and Amino Acids” telah memberikan saranan kepada kerajaan USA dan Kanada untuk mewajibkan polisi pelabelan makanan dan produk dengan label asid lemak trans atau ‘hydrogenated vegetable oils’. Di Malaysia juga mempunyai undang-undang yang sama dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh amat penting bagi kita untuk membaca label yang ditulis pada makanan yang kita beli untuk mengurangkan atau mengelakkan mengambil asid lemak trans ini.



Mentega pula dihasilkan dari lemak susu dari jenis ‘lemak tepu’. Sekarang terdapat juga mentega yang dihasilkan dari susu lembu yang diberi hanya makan rumput sahaja secara ‘ternakan organik’ dan mentega jenis ini mengandungi kandungan vitamin K, butyrate, CLA dan omega 3 yang tinggi. Ia adalah pilihan lebih baik untuk kesihatan tetapi harganya adalah lebih tinggi.
Ahli sains dan pakar pemakanan sebelum ini berpendapat ‘lemak tepu’ menjadi punca kepada masalah kolesterol tinggi dan sakit jantung. Sekarang, terdapat pelbagai kajian yang menunjukkan fakta yang sebaliknya.

Kajian ini dilaporkan dalam American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 2010 yang membuat analisa 21 kajian ‘ prospektif cohort’ yang melibatkan 347,747 peserta kajian . Rumusan dari meta analisa ini adalah didapati tiada kaitan diantara pengambilan lemak tepu dengan peningkatan risiko penyakit jantung dan kolesterol tinggi. Kajian yang lain yang dilaporkan dalam Journal of Clinical Epidemiology pada tahun 1998 bertajuk “The Questionable Role of Saturated and Polyunsaturated Fatty Acids in Cardiovascular Disease” juga merumuskan bahawa lemak tepu tidak menyebabkan masalah kolesterol tinggi dan meningkatkan risiko sakit jantung. Terdapat banyak lagi kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan telah merubah pendapat ahli perubatan tentang punca sebenar masalah penyakit jantung  dan kaitannya dengan pemakanan lemak tepu.
Oleh kerana itu, ramai pakar pemakanan telah mula menyatakan bahawa mentega adalah lebih baik dari marjerin walaupun mentega mempunyai kandungan lemak tepu. Tiada kajian yang menunjukkan asid lemak trans mempunyai apa-apa faedah kesihatan sehingga kini.
Walaubagaimanapun, kita patut berpada-pada dalam pengambilan makanan berlemak tepu ini dan tidak melampau. Kita patut meninggalkan pengambilan makanan yang mempunyai asid lemak trans ini dan memilih alternatif yang lebih sihat. Dalam konteks kek dan kuih raya maka berdasarkan rumusan kajian terkini, penggunaan mentega adalah lebih sihat kepada kesihatan. 
Wallahualam