MAKAN
TELUR TIDAK BERKAITAN DENGAN RISIKO PENYAKIT JANTUNG DAN KOLESTEROL TINGGI
Saya pernah menulis
diakhbar ini tentang kaitan telur dengan sakit jantung 2 tahun lepas. Baru-baru
ini apa yang saya tulis dua tahun dahulu telah disahkan oleh USDA dalam
laporannya tahun 2015 ini. Telur selalu mendapat reputasi yang buruk dan selalu
dikaitkan sebagai punca kepada masalah kolesterol tinggi. Kajian terbaru
menunjukkan, telur bukanlah punca kepada masalah kolesterol yang tinggi dalam
darah.
Dalam tahun 2015, dalam
panduan pemakanan di USA melalui 2015
USDA Dietary Guidelines Advisory Committee telah menarik balik gesaan
mengurangkan kolesterol dalam makanan seperti telur. Ini kerana terlalu banyak
kajian sains telah menunjukkan makan makanan berkolesterol tinggi seperti telur
tidak meningkatkan risiko penyakit jantung dan juga tidak meningkatkan paras
kolesterol.
Telur sememangnya
mempunyai kandungan kolesterol yang tinggi, tetapi ia tidak menyebabkan
kolesterol dalam darah meningkat dengan banyak. Terdapat banyak kajian yang
merumuskan bahawa, makan telur adalah baik untuk kesihatan kerana ia
mengandungi pelbagai khasiat zat makanan yang tinggi.
Kajian epidemioloji
yang mengkaji jumlah populasi yang besar tentang pemakanan dan kesihatan telah
mendapati tiada kaitan secara lansung diantara pemakanan telur dan risiko sakit
jantung sebagaimana dalam satu kajian
pada tahun 2007 yang dijalankan
oleh University of Medicine & Dentistry, New Jersey yang melibatkan seramai 9734 orang menunjukkan
bahawa makan telur tidak meningkatkan risiko strok, sakit jantung koronari
apabila seseorang makan lebih dari 6 biji telur seminggu. Pengkaji membuat
kesimpulan bahawa tidak terdapat kaitan diantara pengambilan telur setiap hari
dengan penyakit kardiovaskular yang mana ia juga menunjukkan kaitan yang lemah
diantara paras kolesterol yang tinggi dengan pengambilan telur.
Satu laporan yang
diterbitkan dalam British Medical Journal
(BMJ) dalam bulan Januari 2013 daripada laporan oleh sekumpulan
saintis dari Huazhong University of Science and Technology yang menganalisa
semula 17 kajian tentang kaitan diantara telur dan kolesterol. Kesimpulan yang
diberikan oleh mereka adalah makan telur setiap hari adalah baik dan tidak berkaitan dengan peningkatan risiko
sakit jantung atau stroke kepada seseorang yang sihat. Kajian terbaru ini
menunjukkan, saranan untuk mengurangkan pengambilan telur untuk menurunkan
paras kolesterol adalah sesuatu yang kurang tepat.
Satu kajian oleh
Harvard , USA yang JAMA (Journal of
American Medical Association) pada tahun 1999 yang mengkaji kaitan tentang
pengambilan telur dan risiko penyakit kardiovaskular. Kajian ini djalankan
selama 8 tahun. Kesimpulan daripada kajian ini menunjukkan bahawa tiada bukti
yang menunjukkan bahawa makan telur setiap hari menyebabkan risiko penyakit
jantung dan strok kepada wanita dan lelaki. Kesimpulan ini dibuat selepas
membuat semakan dengan faktor-faktor lain seperti umur, tabiat merokok dan
lain-lain faktor risiko untuk penyakit jantung dan strok. Ini adalah satu bukti
kajian yang cukup kuat untuk menolak kenyataan yang mengaitkan telur sebagai
faktor yang menyebabkan masalah kolesterol dan sakit jantung serta strok.
Satu fenomena yang agak
menarik adalah jika telur menjadi punca masalah kolesterol dan sakit jantung
koronari sudah pasti masyarakat dalam negara-negara yang pengambilan telur
paling tinggi akan mendapat masalah sakit jantung tertinggi, tetapi realitinya
jauh bertentangan. Ini adalah kerana negara paling tinggi pemakanan tinggi
dengan telur adalah Jepun iaitu secara puratanya 328 telur setahun setiap
seorang di Jepun dan di ikuti dengan Sepanyol dan Peranchis. Ketiga-tiga negara
ini mempunyai kadar penyakit jantung paling rendah dalam dunia.
Pada tahun 1999, Prof
Hu dan saintis daripada Harvard School of
Public Health telah melaporkan dalam The
Journal of the American Medical Association (JAMA) berdasarkan analisis
data-data daripada kajian Nurses’ Health
Study dan Health Professionals Follow-Up Study menunjukkan tiada kaitan
secara lansung diantara pengambilan telur setiap minggu dengan risiko penyakit
jantung dan strok dikalangan lelaki dan wanita. Laporan ini akhirnya membuatkan
masyarakat saintis mula menolak kaitan diantara pengambilan telur dan sakit
jantung koronari serta paras kolesterol tinggi dan ianya akhirnya diterima oleh
USDA pada tahun ini.
Data kajian daripada
beberapa kajian yang besar telah menunjukkan bahawa kolesterol dalam pemakanan
tidak berkaitan dengan paras kolesterol darah dan juga insiden penyakit jantung
koronari. Diantara kajian-kajian tersebut adalah Framingham Heart Study, Multiple
Risk Factor Intervention Study (MRFIT), Lipid
Research Clinics Prevalence Trial, Alpha-Tocopherol,
Beta Carotene Cancer Prevention Study, Nurses’ Health Study, The Health Professionals Follow-Up Study
Anda perlu makan secara
sihat dengan makanan berserat tinggi, makan sayur-sayuran, buah-buahan,
kurangkan gula dan makan ikan . Dengan tabiat pemakanan seperti ini, maka anda
boleh makan telur setiap hari sebagai salah satu menu makanan sihat anda.
Pemakanan sihat dan berseimbang masih perlu diamalkan untuk memastikan
kolesterol anda terkawal dan risiko mendapat penyakit jantung, strok, darah
tinggi dan kencing manis dikurangkan.
Telur amat berkhasiat
dan perlu dimasukkan dalam pemakanan sihat seharian kita terutama dikalangan
kanak-kanak, orang tua dan pesakit-pesakit kronik. Ini juga kerana faktor
harganya yang murah dan mudah didapati dan ianya dapat membekalkan protin yang
sihat disamping zat-zat lain yang sangat penting untuk kesihatan.Kandungan
telur yang sihat dan amat baik untuk kesihatan adalah protin dalam telur adalah
protin lengkap dan mudah dihadamkan. Asid aminonya adalah dalam nisbah yang
terbaik dan ia juga rendah kalori. Kuning telur mengandungi choline yang baik
untuk kesihatan saraf otak dan pertumbuhan otak bayi yang sihat. Kandungan
lutein dan zeaxanthin iaitu sejenis anti oksidan yang tinggi dalam kuning telur
yang lebih mudah diserap oleh usus kerana kandungan lemak dalam telur yang
lebih tinggi. Ia penting untuk kesihatan mata dengan mencegah masalah katarak
dan degenerasi makular yang boleh mengakibatkan masalah buta. Kandungan vitamin
D yang tinggi dalam telur juga amat baik untuk tulang yang kuat dan sihat
kerana ia membantu penyerapan kalsium dari usus. Ia juga penting untuk
kesihatan usus dan membantu mengawal berat badan. Lain-lain vitamin yang tinggi
dalam telur adalah vitamin B2 ( Riboflavin), asid folik dan vitamin B12.
Kesimpulannya, makan
telur secara sederhana adalah tabiat pemakanan yang sihat. Ia boleh membantu
membekalkan vitamin dan zat-zat protin yang diperlukan oleh badan manusia.
Makan telur setiap hari juga tidak akan meningkatkan paras kolesterol dan
malahan ia tidak meningkatkan risiko sakit jantung dan strok. Makan telur juga
boleh membantu mengawal berat badan dengan lebih baik.
Dr Norman Mohd
Norawi
MBBS, MSc(UCSI),
FAGE