Wednesday, November 21, 2012

BERKHATAN MENCEGAH PENYAKIT


Musim cuti sekolah akan bermula, maka bermulalah juga musim berkhatan bagi kanak-kanak lelaki Islam di Malaysia. Telah menjadi satu budaya masyarakat di Malaysia untuk mengkhatankan anak lelaki semasa musim cuti sekolah. Kesedaran tentang berkhatan juga telah berkembang dikalangan bukan Islam yang melakukan khatan secara sukarela kerana faedah-faedah kesihatan yang banyak.
Berkhatan dengan teknik 'klamp' Sunathrone
 
 
Hand-On Sunathrone bersama Dr Tasron- pencipta Sunathrone

Berkhatan adalah memotong kulit dihujung kemaluan lelaki yang biasanya dipanggil kulup (foreskin). Kulup ini akan meliputi kepala zakar (glan penis) dan ianya biasanya akan melekat antara satu sama lain dan susah di pisahkan. Ia akan lebih mudah dipisahkan apabila kanak-kanak itu meningkat ke umur remaja.

Dari sudut sejarah  ada sesetengah ulama berpendapat berkhatan bermula dengan Nabi Adam A.S dan juga sesetengah ulama berpendapat manusia pertama yang berkhatan adalah Nabi Ibrahim A.S. Yang pastinya amalan berkhatan telah diamalkan oleh manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu. Terdapat ukiran di Pyramid di Mesir yang menunjukkan budaya berkhatan ini diamalkan oleh masyarakat Mesir kuno pada zaman Firaun lagi.

Berkhatan adalah sesuatu yang amat menakutkan kepada kanak-kanak lelaki sejak dari dahulu lagi.  Didalam Islam berkhatan adalah suatu amalan yang disyariatkan dan amat dituntut. Dalam mazhab Syafie, hukum berkhatan adalah wajib sama ada ke atas lelaki atau perempuan. Menurut  mazhab Hanafi, berkhatan hukumnya adalah sunat sahaja bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Dalam mazhab Hanbali pula, Imam Ahmad pula berpandangan; ia hanya wajib ke atas lelaki sahaja. Adapun ke atas perempuan, hukumnya hanyalah sunat. Selain perintah agama, ia untuk kesihatan individu itu juga.

Syariat Berkhatan
 

Waktu berkhatan tidak disyaratkan ketika kecil. Dalam budaya masyarakat Arab dan Yahudi , berkhatan dilakukan semasa bayi lagi. Bagi Masyarakat Melayu pula , biasanya berkhatan dilakukan semasa kanak-kanak dalam umur 5 hingga 12 tahun.

 

Dalam satu riwayat daripada Saidatina Aisyah menceritakan:

 

Sesungguhnya Nabi SAW telah mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua.” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim)

 

Kebanyakan ulama berpendapat, khatan wajar dilakukan semasa budak lelaki meningkat umur baligh. Malah ada ulama yang berpendapat lebih afdal bagi pihak ibu bapa atau penjaga melaksanakan khatan ke atas anak lelaki mereka sejak mula hari kelahirannya.

 

Seorang ulama yang terkenal,  Ibnu Juzaiy mempunyai pendapat yang berbeza yang ditulis dalam kitabnya al-Qawanin al-Fiqhiyyah. Beliau menggalakkan waktu khatan dilewatkan hingga anak tersebut boleh diajarkan solat; iaitu sekitar umur tujuh hingga 10 tahun. Beliau menghukumkan makruh  dilakukan khatan ke atas bayi pada hari pertama kelahirannya dan juga pada hari ketujuh kelahirannya kerana ini menyerupai  amalan kaum Yahudi. Ibnu Juzaiy juga berpendapat; adalah amat dituntut diadakan jamuan makan sempena majlis berkhatan bagi lelaki tetapi tidak bagi majlis khitan kaum wanita.

 

 

Berkhatan dan Kesihatan

 

Hikmah berkhatan dari sudut agama adalah ia merupakan salah satu tuntutan syariat  Islam dan menjadi satu amalan para Nabi terdahulu. Manakala sudut kesihatan pula dengan berkhatan seseorang mengutamakan kebersihan dan kesucian, mengawal dan menstabilkan nafsu syahwat terutama bagi kaum wanita serta memberi keselesaan semasa bersetubuh.

 

Apabila tidak berkhatan , terdapat kotoran yang berkumpul diantara kulup dan kepala zakar yang dipanggil ‘smegma’ yang boleh menyebabkan jangkitan kuman dan juga punca kepada kanser zakar.

 

Sains telah membuktikan bahawa amalan berkhatan ini mempunyai banyak faedah kesihatan berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan. Diantara hasil kajian yang amat nyata mendapati  kadar kanser zakar adalah   jauh lebih rendah dalam komuniti yang mengamalkan berkhatan seperti Muslim dan Yahudi.

Terdapat kajian terbaru menunjukkan kadar penyakit kelamin adalah rendah dikalangan lelaki yang berkhatan.Kajian ini mendapati jangkitan  penyakit syphilis adalah lebih rendah dikalangan lelaki yang berkhatan.

Kajian Cochrane meta analysis yang  dijalankan di Afrika  pada tahun 2007  juga menunjukkan berkhatan boleh menurunkan risiko jangkitan HIV dikalangan lelaki yang aktif seksual diantara 38% hingga 66% dalam tempoh 24 bulan. Kesimpulan dari kajian ini mencadangkan lelaki digalakkan untuk berkhatan untuk mengurangkan penularan wabak HIV di negeri Sub Sahara Afrika. WHO mencadangkan salah satu dari program mencegah HIV ialah dengan menggalakkan amalan berkhatan.

Berkhatan juga menurunkan insiden jangkitan HSV-2 sehingga 28% dan berkait dengan penurunan prevalen HPV dan risiko jangkitan kuman saluran kencing. Oleh itu ia secara tidak lansung menurunkan risiko isteri mendapat kanser pangkal rahim.

Dari aspek perubatan , khatan dibuat sebagai rawatan keatas pesakit yang mengalami masalah jangkitan kuman kulup zakar (balanitis), kulup yang mempunyai lubang pin (pinhole phimosis) atau tertutup  yang menyebabkan kulup mem’belon’ semasa kencing dan juga kanak-kanak lelaki yang selalu mendapat jangkitan saluran kencing.

Komplikasi dari prosedur berkhatan yang biasa adalah pendarahan dan jangkitan kuman. Risiko terpotong kepala zakar juga boleh berlaku jika pengkhatan tidak berhati-hati dan menggunakan kaedah memotong terus atau ‘guilletine’ dengan pisau bedah atau kaedah yang diamalkan oleh ‘tok mudim’ seperti zaman dahulu.

 Sekarang terdapat inovasi yang telah direka untuk mengurangkan risiko-risiko pembedahan berkhatan ini dengan penggunaan ‘klamp’ plastik. Kaedah ini tidak memerlukan jahitan dan prosesnya amat cepat dilakukan. Pelbagai jenis ‘klamp’ ini yang terdapat dalam pasaran seperti Sunathrone, SmartKlamp, AlisKlamp, Tara klamp, Ismail Klamp dan  Plastibel.

Kaedah berkhatan dengan menggunakan klamp ini terlah terbukti lebih mudah, kurang pendarahan, kurang risiko jangkitan, lebih selesa kepada kanak-kanak kerana boleh terus memakai seluar dan boleh mandi dan bergerak dengan lebih selesa tanpa rasa sakit.Kanak –kanak juga mudah untuk membuang air kecil dan mudah untuk beristinjak tanpa mencemarkan luka berkhatan.
alat Sunathrone

Penggunaan kaedah klamp ini memerlukan latihan untuk doktor yang menjalankannya. Anda perlu mendapatkan khidmat doktor yang terlatih yang berpengalaman melakukan kaedah ini. Pengalaman penulis menggunakan kaedah ‘klamp’ ini semenjak lapan tahun yang lalu telah membuktikan kelebihannya terutama kepada doktor yang membuat prosedur ini kerana mengurangkan ‘sakit pinggang’ kepada doktor yang membuat pembedahan berkhatan berbanding dengan kaedah menjahit luka tersebut.

Terpulanglah kepada ibubapa untuk memilih kaedah terbaik untuk mengkhatankan anak. Pastikan kaedah yang kita pilih memberikan keselesaan kepada anak yang dikhatan dan juga mengurangkan risiko komplikasi.

 

Wassalam

 

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MscAAARM
SUNATHOLOGIS
Pengamal Perubatan Am & Pengkhususan dalam Aesthetic, Anti Aging & Regenerative Medicine

Saturday, November 3, 2012

Ulasan Buku : 8 Rahsia Menguruskan Badan tanpa Berdiet dari perspektif Sains & Sunnah


Alhamdulillah ...buku ini telah mendapat ulasan dalam 
HARIAN METRO pada 2 November 2012.


8 Rahsia Menguruskan Badan Tanpa ‘’Berdiet’


Merupakan buku ke empat karangan Dr. Norman Mohd Norawi (MBBS).Nak Tak Berhenti Merokok.Hindari Kanser dan OMEGA 3 adalah hasil tulisan beliau sebelum ini. Beliau merupakan penasihat kepada peserta-peserta (Contestant Medic) dalam rancangan ‘’The Biggest Loser Asia,Season 1 ‘’ pada tahun 2009.Berpengalaman luas dalam bidang pengurusan berat badan.Buku ini memberikan penjelasan tentang ‘8 Rahsia’ bagaimana seseorang yang mempunyai masalah berat badan bercita-cita untuk menurunkan tanpa perlu berlapar.Cara terbaik untuk menurunkan berat badan anda ialah dengan mempunyai ilmu atau pengetahuan saintifik yang betul tentang masalah berlebihan berat badan atau obesiti.Anda tentu ingin tahu dan akan memahami apabila anda membaca buku ini:

 Fakta tentang masalah berat badan

 Pandangan Islam tentang pemakanan dan masalah obesiti

 Bagaimana mengatasi masalah obesiti yang berulang-ulang.

 Bagaimana ‘tanpa berlapar’ tetapi boleh menurunkan berat badan anda.

 Makanan yang membantu anda untuk menurunkan berat badan dan

mengekalkannya.

 Kaedah pemakanan yang membantu mengawal masalah kencing manis (Diabetis),Penyakit Jantung dan Darah Tinggi?

 Apakah dia Indeks Glisemik,Beban Glisemik dan Sindrom Metabolik?

 Ketidakseimbangan Hormon yang menjadi punca obesiti.

 Senaman yang membantu menurunkan berat badan .

 Bagaimana Air membantu menurunkan berat badan.

 Pengambilan Supplemen yang membantu anda untuk kurus.

 Bagaimana pelbagai pil kurus,ubatan herba dan gantian hidangan membantu menurunkan berat badan.

Diperjelaskan dengan gaya bahasa yang mudah tentang kaedah yang terbaik untuk menurunkan berat badan secara menyeluruh.Penulis memberikan formula dan contoh-contoh makanan yang membantu menurunkan berat badan.Jangan tunggu lagi,dapatkan naskah ini sekarang!!




Buku ini didekasikan kepada PERKIS...setiap pembelian adalah
 sumbangan kepada usaha kebajikan

Sila dapatkan buku ini terus dari penulis......!!!
 Email : drnormanmlk@yahoo.com.my atau Tel : 06 3178300
 POS ADALAH PERCUMA !!!

Tuesday, October 30, 2012

Kempen Bebas Rokok Tanggungjawab Semua



Rokok adalah satu tabiat kurang sihat yang amat biasa kita lihat sekarang. Mengikut statistik terkini , 50 peratus lelaki dan 13% wanita di Malaysia adalah perokok.

Isu tentang rokok memang banyak di perkatakan sekarang terutamanya isu berkaitan kesan merokok kepada kesihatan. Sememangnya ramai yang tahu bahawa merokok boleh menyebabkan pelbagai kanser, sakit jantung, darah tinggi , angin ahmar, penyakit sekatan paru-paru, gangrene, sakit urat darah, keguguran dan pelbagai penyakit lagi.



Pelbagai kempen telah dilancarkan oleh kerajaan untuk membendung budaya yang tidak sihat ini. Usaha-usaha murni yang telah dilaksanakan seperti pengistiharan Melaka Bebas Asap Rokok amat dipuji dan patut dicontohi oleh semua negeri-negeri di Malaysia. Sokongan kuat oleh kerajaan amat penting dalam menjayakan kempen anti rokok ini. Ianya adalah satu cara yang lebih berkesan dan efektif untuk mencegah dan mengurangkan bahaya merokok dengan kuasa pihak kerajaan yang membuat dan melaksanakan polisi-polisi yang menyokong usaha anti merokok.



Kerjasama antara pihak kerajaan dan NGO dalam menjayakan kempen bebas rokok ini adalah sangat baik dan berkesan untuk menjamin mesej yang ingin disampaikan turun ke semua lapisan masyarakat. Peranan NGO amat penting dalam menggerakkan usaha bebas asap rokok dan memberi kesedaran secara terus dalam masyarakat dengan melaksanakan program-program di dalam masyarakat.
Malaysia telah menandatangani perjanjian Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) di World Health Organisation (WHO) pada Jun 2003 sebagai satu usaha bersepadu secara global untuk mengawal penggunaan tembakau oleh individu dan juga menjaga salah laku oleh industri tembakau.

Kanser Paru-paru berpunca dari merokok


Undang-undang melarang pengiklanan rokok di radio, televisyen dan penajaan dalam bidang sukan serta melarang merokok di tempat awam.Dengan itu , di Malaysia telah melarang segala bentuk pengiklanan secara terus produk tembakau dan juga jenama rokok di dalam media massa dan juga papan-papan tanda mega (billboard).

Kempen kesedaran bahaya rokok kepada pelajar sekolah oleh penulis sendiri


Mengikut perjanjian FCTC tersebut perkara-perkara lain yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan adalah , kotak rokok mestilah mempunyai 30% ruang untuk mencatatkan amaran merokok membahayakan kesihatan. Kawasan bebas rokok mestilah dikuatkuasakan di tempat-tempat awam,pengangkutan awam dan restoran-restoran terutamanya kawasan berhawa dingin.

Sekadar gambar hiasan

Perokok yang ditangkap merokok dikawasan bebas rokok ini mestilah didenda dengan denda yang berat kerana melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.Penjualan rokok kepada oirang yang berumur 18 tahun keatas sahaja dan penjual yang menjual rokok kepada yang berumur kurang dari 18 tahun mestilah didenda dengan denda yang berat atau dipenjarakan.



Kerajaan juga telah melancarkan beberapa kempen anti merokok diseluruh negara beberapa tahun yang lepas, tetapi impak dari kempen ini amat kurang dirasai malahan mengikut statistik terbaru , jumlah perokok telah bertambah.



Rokok hakikatnya membawa kesengsaraan


Diantara isu yang timbul adalah kurangnya maklumat tentang kaedah rawatan berhenti merokok dan dimana rawatan ini boleh didapati, tidak dihebahkan kepada perokok.

Penglibatan ahli perubatan seperti doktor-doktor swasta dan kerajaan, jururawat dan pembantu perubatan secara keseluruhan dalam usaha ini adalah sangat penting. Masalah juga akan timbul jika ahli-ahli perubatan sendiri adalah perokok, oleh itu amat wajar jika sekiranya satu polisi penapisan awal bagi calon-calon doktor, jururawat, pembantu perubatan , pembantu perawatan kesihatan diambil dikalangan mereka yang bukan perokok.

Mungkinkah akan ada restoran seperti ini??


Penglibatan semua lapisan masyarakat amat penting untuk menjayakan kempen anti rokok ini. Pendekatan baru dengan pengistiharan kawasan bebas rokok yang tertentu dan penglibatan NGO adalah satu usaha yang lebih baik dan effektif jika dijalankan dengan bersungguh-sungguh kerana NGO adalah mewakili segenap lapisan masyarakat.





Disamping kempen berhenti merokok , dasar kerajaan yang mengenakan cukai yang tinggi keatas rokok dapat membantu dalam usaha ke arah hidup tanpa rokok.Menaikkan harga rokok haruslah seiring dengan usaha untuk membantu perokok berhenti merokok.

Ubat untuk berhenti merokok wajar diberikan subsidi ‘khas’agar kosnya menjadi rendah dan lebih ramai perokok boleh mendapat faedah darinya.Sewajarnya cukai yang dikenakan keatas rokok dipulangkan dalam bentuk subsidi kepada industri kesihatan untuk membantu perokok berhenti merokok dan juga menampung kos rawatan penyakit kesan dari merokok.







Klinik-klinik berhenti merokok yang dijalankan perlu diperluaskan lagi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membantu usaha perokok berhenti merokok dengan nasihat dan rawatan professional.Kerajaan juga patut memberi bantuan kepada doktor-doktor di klinik swasta yang lebih dekat dengan pesakit supaya mudah perokok mendapat rawatan dengan doktor yang mereka suka.



Dalam satu laporan yang disiarkan disebuah akhbar baru-baru ini, Penyiasat Penilaian Dasar Kawalan Tembakau Antarabangsa (ITC) bagi Malaysia telah melaporkan bahawa hasil kajian yang telah dijalankan mendapati kira-kira 8% daripada wanita muda berusia diantara 13 hingga 25 tahun telah menjadi perokok manakala 40% menjadi ‘perokok pasif’.Laporan ini amat membimbangkan kerana kadar perokok dikalangan wanita telah meningkat dengan begitu ketara sejak kebelakangan ini.

Di jangkakan , jika aliran semasa perokok ini tidak berubah , maka bilangan perokok wanita akan menyamai perokok lelaki dalam masa 20 tahun .Ini amat membimbangkan kerana generasi baru akan datang akan lahir dari wanita-wanita ini , cuba bayangkan apa akan terjadi kepada generasi yang lahir dari ibu-ibu yang merokok ini.



Ia adalah sesuatu prospek yang amat menakutkan.Ini menunjukkan bahawa kempen yang telah dijalankan masih belum cukup dan gagal membendung budaya merokok.

amat membimbangkan.....


Kerjasama semua lapisan masyarakat adalah amat penting dengan sokongan kuat dari pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia , Insyaallah kempen bebas rokok ini akan lebih berjaya dan mencapai matlamat mengurangkan jumlah perokok. Kesan jangka panjangnya akan mengurangkan impak ekonomi dengan pengurangan kos perubatan merawat penyakit akibat merokok yang ditanggung oleh kerajaan. Sewajarnya semua negeri-negeri di Malaysia mula mengistiharkan negeri ‘Bebas Asap Rokok’ dan seterusnya Malaysia juga mengistiharkan 1Malaysia Bebas Asap Rokok.



Wallahualam



Dr Norman Mohd Norawi (MBBS)

Naib Presiden Gabungan NGO Melaka Bebas Asap Rokok

(GaNMBAR)