Thursday, February 21, 2013

7 petua mengurangkan kedutan kulit



Kedutan dan garis halus pada wajah adalah masalah yang biasa kita kaitkan dengan proses penuaan. Apabila umur meningkat maka kolagen dan elastin dibawah kulit akan mengendur dan mengakibatkan masalah kedutan dan garis halus. Kesannya, kulit menjadi longgar, kendur, hilang lemak, nipis dan kasar. Tarikan graviti dan pergerakan otot muka kerana ekpresi muka selama bertahun-tahun menjadikan kulit muka menurun dan mengendur ke bawah dan menyebabkan kedutan yang lebih kasar.Terdedah kepada cahaya matahari yang lama , merokok secara aktif atau pasif disamping faktor genetik menambahkan lagi masalah kulit kedut ini.


 
Untuk mengurangkan masalah kulit berkedut ini maka beberapa cara boleh diamalkan.

Pertama, selalulah menggunakan krim pelindung matahari yang mempunyai faktor pelindung matahari (SPF) yang lebih dari 30 apabila keluar melakukan aktiviti ditengah panas. Penggunaan alat perlindung matahari fizikal seperti topi, payung, tudung kepala dan sebagainya juga boleh membantu memberikan perlindungan dari cahaya matahari. Sinaran ultraungu (UV) dari cahaya matahari akan merosakkan kulit yang menyebabkan masalah jeragat dan kulit cepat berkedut.


 
Kedua, elakkan keluar dibawah cahaya matahari pada waktu sinaran ultra ungu adalah pada tahap maksimum iaitu diantara pukul 10am ke 3pm waktu Malaysia. Kesan sinaran ultra ungu tetap memberikan kesan kepada kulit pada waktu ini, walaupun menggunakan krim pelindung matahari atau topi, tudung dan sebagainya.

matahari tengahari
Ketiga, ambil makanan yang kaya dengan vitamin C seperti limau, jambu batu, buah kiwi, oren, sayur-sayuran dan sebagainya kerana vitamin C membantu menghasilkan kolagen yang secukupnya untuk kulit. Pengambilan suplemen vitamin C juga boleh membantu jika seseorang kurang makan buah-buahan atau sayur-sayuran.


 
Keempat, ambil makanan yang kaya dengan omega 3 juga boleh membantu mengurangkan masalah kedutan kulit. Omega 3 akan menyeimbangkan asid lemak dalam tubuh dengan omega 6 dan omega 9. Lemak yang tidak seimbang menyebabkan kehilangan lemak dibawah kulit dan menyebabkan masalah kulit berkedut. Pengambilan suplemen omega 3 juga boleh membantu jika kita kurang makan ikan dan sumber asli omega 3 yang lain.


 
Kelima, minum air secukupnya adalah satu faktor yang amat penting. Apabila semakin meningkat usia manusia akan semakin kekurangan air didalam badan. Disamping itu, semakin umur meningkat sesetengah dari kita amat kurang minum air kerana tidak suka untuk buang air kecil selalu. Bagi pekerja pejabat yang duduk didalam pejabat yang berhawa dingin, kehilangan air juga adalah ketara kerana dalam kawasan berhawa dingin kelembapan adalah rendah menyebabkan kulit menjadi lebih mudah kering. Suasana yang sejuk dalam bilik berhawa dingin juga menyebabkan seseorang semakin kurang minum air. Kesannya adalah kulit kehilangan kelembapan dan lebih mudah menjadi berkedut serta bergaris halus yang lebih nyata. Minumlah air kosong atau air mineral yang akan membantu kesegaran kulit dan elakkan pengambilan air bersoda dan bergas. Kurangkan pengambilan kopi dan teh yang menyebabkan masalah dehidrasi dan kulit kering.


Keenam, gunakan krim pelembap yang mengandungi vitamin C, kolagen atau minyak kamomile kerana ia boleh mengelakkan kulit menjadi kering. Kolagen dalam krim pelembap tidak akan diserap masuk kedalam kulit kerana molekulnya yang sangat besar, tetapi ia mengekalkan kelembapan luaran. Bahan-bahan lain juga digunakan dalam krim pelembap seperti minyak geranium maculatum, glikosaminoglikans, minyak lavender, pentanol, vitamin A (retinil palmitat), lesitin, sodium hyaluronat dan vitamin E.



Ketujuh, pengambilan makanan yang kaya dengan anti oksidan juga membantu mengurangkan masalah kedutan dan garis halus kulit. Anti oksidan membantu melindungi kulit dari kerosakan akibat radikal bebas dari sinaran ultra ungu matahari.Semakin meningkat usia dan pendedahan kepada matahari dan pencemaran seperti asap kenderaan dan asap rokok akan meningkatkan tekanan oksidatif kepada kulit yang menyebabkan masalah kedutan kulit dan garis halus serta masalah jeragat. Kerana itu terdapat banyak produk dan krim kecantikan menggunakan bahan anti oksidan seperti vitamin C, vitamin A, vitamin E, piknogenol, anthosianidin dan fitonutrien.


Amalkan pemakanan sihat, suplemen dan anti oksidan yang secukupnya dan perlindungan dari cahaya mataharidisamping minum air yang cukup setiap hari boleh membantu mengurangkan kesan kedutan pada kulit terutama pada wajah seseorang, Insyaallah.

  

Wassalam

Dr Norman Mohd Norawi

(MBBS, FAGE, MScAAARM)

Pengamal Perubatan Am,

Pengkhususan Aestetik, Anti Penuaan dan Perubatan Regeneratif

Monday, February 18, 2013

SENAMAN DAN KESIHATAN


Apabila kita bercakap tentang ‘ubat’ selalunya kita hanya terbayangkan tentang pil, capsul atau suntikan yang diberikan oleh doktor. Amat ganjil jika doktor memberikan kita preskripsi ‘senaman’. Hakikatnya senaman juga adalah satu bentuk ‘ubat’ untuk merawat penyakit. Konsep senaman sebagai satu ubat adalah sesuatu yang telah terbukti dari segi sains.



Banyak kajian menunjukkan senaman mampu mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit seperti penyakit jantung, kanser, stroke, darah tinggi, penyakit sekatan pulmonari (COPD) dan kencing manis. Dengan senaman, tulang , ligamen dan tendon menjadi lebih kuat dan ini akan mencegah masalah reput tulang (osteoporosis) dan reput sendi (osteoarthritis) disamping itu ia mencegah masalah terjatuh akibat lemah otot dan sendi.

"Marathon Singh" masih mampu berlari dalam London Marathon walaupun telah berusia 102 tahun


Dalam Islam, senaman adalah satu sunnah Nabi Muhammad SAW. Ada hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada Mukmin lemah. Oleh itu, berpegang teguhlah pada setiap kebajikan yang akan memberi manfaat.´

(Riwayat Ahmad,Muslim dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a)

Rasulullah SAW adalah seorang yang aktif secara fizikal sehingga ke akhir hayatnya. Baginda Rasulullah, menyeru umatnya berusaha bersungguh-sungguh menjadi umat yang kuat dan sihat. Baginda menggalakkan umat Islam dengan riadah berkuda, memanah, bergusti berlumba lari dan berenang untuk menguatkan tubuh badan. Rasulullah sendiri menjadi panglima perang semasa dalam umur 50an, menunjukkan betapa cergas dan sihatnya Rasulullah dari segi fizikal.

Sukan memanah adalah sunnah- sekadar hiasan

Kesan psikoloji dan fisioloji senaman juga amat baik. Orang yang selalu bersenam akan lebih tenang, fokus dan tidak mudah stress. Fungsi psikologi dipertingkat dengan penampilan diri yang lebih menarik. Dengan bersenam , jantung dan paru-paru berfungsi secara optimum dan kekuatan serta daya tahan otot meningkat oleh kerana itu masalah di bahagian tulang belakang jarang dialami.

Senaman juga bertindak sebagai agen anti penuaan dengan cara mengurangkan tindak balas negatif akibat stress. Berat badan yang sesuai akan lebih mudah dikekalkan dan risiko penyakit jantung koronari berkurangan dengan bersenam secara konsisten. Orang yang selalu bersenam akan kelihatan lebih muda dari usianya.

Faedah kesihatan dengan senaman bukanlah khusus kepada sejenis penyakit sahaja, tetapi ia mampu mencegah pelbagai jenis penyakit. Bersenam juga boleh memberikan kesan positif kepada kesihatan adalah kerana stress rendah dan menurunkan berat badan. Senaman menaikkan ‘ mood ’ dan jati diri, meningkatkan tenaga, mencantik rupa fizikal dan membuatkan seseorang merasa lebih sihat secara umumnya. Bersenam adalah amalan untuk gaya hidup sihat.


Otak yang sihat dan cerdas adalah hasil dari tubuh badan yang sihat. Disamping pemakanan yang sihat , senaman dan aktiviti fizikal adalah satu cara yang utama dalam mengekalkan kesihatan yang optimum. Saya telah menulis secara lebih mendalam didalam buku saya “8 Rahsia menguruskan badan tanpa berdiet “ tentang konsep senaman dan aktiviti fizikal yang bagaimana membantu menurunkan berat badan.

Aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari, berenang, menyangkul, berbasikal, bermain sukan, seni mempertahankan diri dan sebagainya adalah contoh yang baik untuk kita mengamalkan senaman setiap hari. Senaman akan menyebabkan pengaliran arah lebih lancar dan meningkatkan pengoksidaan sel-sel dalam tubuh manusia. Kekurangan oksigen boleh menyebabkan kita rasa tidak sihat, kurang bertenaga, mudah mengantuk, cepat lupa, susah fokus dan tidak bermaya setiap hari.


Senaman juga akan meningkatkan paras hormon dalam badan seperti hormon tumbesaran (Growth Hormon) , testosteron dan thyroid . Peningkatan paras hormon ini lah yang membantu menurunkan berat badan dan membakar lemak-lemak yang terkumpul. Oleh itu senaman menurunkan berat badan secara tidak lansung dan bukanlah semata-mata kerana senaman membakar kalori yang tersimpan. Senaman juga membantu menurunkan hormon-hormon yang menyebabkan masalah kegemukan. Senaman menurunkan paras hormon kortisol yang meningkat disebabkan oleh masalah stress berpanjangan dan senaman juga akan menurunkan paras hormon insulin yang menyebabkan masalah sindrom metabolik.


 
Terdapat lebih dari 40 kajian yang dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan yang menunjukkan senaman secara sederhana boleh menurunkan risiko penyakit jantung sehingga 30% ke 50%. Senaman sederhana adalah seperti berjalan kaki sejauh 3km selama 40minit, mambasuh dan mengilatkan kereta selama sejam, berkebun selama sejam, mengayuh basikal sejauh 8km selama setengah jam, berenang selama 20 minit dan berlari sejauh 2.5km selama 15minit.


 
Ada kajian yang menunjukkan bersenam boleh mencegah penyakit Parkinson. Kajian oleh Harvard School of Public Health pada tahun 2005 menunjukkan lelaki yang berjoging, bermain ‘basketball’ atau bersenam yang lain sekurang-kurangnya 2 kali seminggu boleh menurunkan risiko mendapat penyakit Parkinson sehingga 60% apabila telah tua.

Sebelum memulakan apa-apa senaman , kita perlu memanaskan badan dan meregangkan urat dan otot-otot. Bersenam dengan mengurangkan risiko kecederaan dengan pakai pakaian yang sesuai dan kasut yang sesuai dengan senaman yang dilakukan. Bernafas dengan betul semasa senaman juga adalah amat penting. Minum air secukupnya sebelum bersenam, semasa bersenam dan selepas bersenam. Jika anda tidak pernah bersenam selama bertahun-tahun, buatlah pemeriksaan dengan doktor dahulu sebelum memulakan senaman yang serius kerana ditakuti mendapat serangan jantung secara tiba-tiba. Gunakan kesempatan semasa berkerja untuk bersenam dengan selalu memilih untuk berjalan apabila ada peluang dan gunakan tangga apabila ada tangga dan kurangkan penggunaan lif , sekurang-kurangnya semasa turun dari bangunan gunakanlah tangga sebagai permulaan.


 
Janganlah menjadikan kesibukan sebgai alasan untuk tidak bersenam, kerana faedah senaman kepada kesihatan amat penting dan terlalu berharga. Tiada gunanya duit berjuta jika tiada kita berpenyakit. Bersenamlah untuk sihat dan dengan kesihatan yang berkekalan kita boleh menikmati hidup yang lebih sempurna. Tubuh badan yang sihat penting untuk kita melaksanakan segala suruhan dan tuntutan agama. Berusahalah untuk sihat dengan bersenam secukupnya dan makan makanan yang sihat.

Wallahualam,
Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, FAGE, MScAAARM


Thursday, February 7, 2013

Bahaya Asid Lemak ‘Trans’

Asid lemak ‘trans’ terhasil daripada minyak tumbuhan yang ditambah hydrogen melalui proses ‘hidrogenasi’ untuk menjadikan ianya pepejal seperti marjerin . Tujuan proses ini dilakukan adalah untuk menambah kestabilan makanan dan melambatkan tempoh makanan itu menjadi rosak. Malangnya proses ini menyebabkan terhasilnya asid lemak ‘trans’ ini.


Banyak kajian sains yang menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans meningkatkan paras kolesterol tidak baik atau kolesterol LDL dan merendahkan paras kolesterol baik atau kolesterol HDL. Oleh kerana itu ianya juga meningkatkan risiko mendapat masalah penyakit jantung koronari, darah tinggi, stroke dan kolesterol berlebihan. Terdapat sesetengah pakar pemakanan berpendapat bahawa pengambilan asid lemak trans ini adalah lebih buruk daripada pengambilan lemak tepu terus dari sumber haiwan.




Dalam zaman moden ini, penggunaan asid lemak trans ini amat berleluasa hingga hampir mustahil untuk seseorang mengelak daripada memakannya setiap hari. Hampir semua makanan proses menggunakan asid lemak trans seperti mee segera, biskut, pizza, kuih-muih, kek , pastri, kerepek, donut, kentang goreng, jajan dan sebagainya. Kebanyakan makanan-makanan ini menggunakan marjerin atau mentega.



Makanan segera seperti ‘burger’ yang dijual ditepi jalan atau direstoran makanan segera juga mengandungi asid lemak trans yang tinggi kerana ia digoreng menggunakan marjerin atau mentega. Disamping itu ia juga menggunakan banyak perasa dan bahan pengawet. Anda patut kurangkan pengambilan makanan seperti ini kerana ia boleh menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi.


Untuk meninggalkan lansung makanan yang mengandungi asid lemak trans ini adalah agak susah dan hampir mustahil bagi kita yang hidup di zaman moden sekarang. Cara yang terbaik ialah mengurangkan pengambilannya ketahap yang paling minimum yang mungkin. Oleh kerana itu elakkan dan kurangkan pengambilan makanan proses semaksima yang mungkin. Janganlah jadikan makanan segera, kerepek sebagai ‘snek’ atau makan ringan dalam tabiat seharian. Makanlah lebih banyak makanan asli dan ‘natural’ seperti ulam-ulaman, nasi, buah-buahan, roti berserat penuh, sayur-sayuran dan protin. Kurangkan makanan bergoreng atau makanan segera yang digoreng dalam (deep fried). Lebihkanlah pengambilan makanan yang masak dengan cara dibakar, kukus dan rebus.

Buah-buahan dan sayur-sayuran amat baik untuk kesihatan

Ikan Bakar lebih baik dari makanan segera seperti Burger
Bacalah pembalut plastik makanan segera yang kita beli dan telitilah pada labelnya dan perhatikan perkataan seperti ‘ hydrogenated vegetable oils’ atau ‘partially hydrogenated vegetable oils’ dan sebagainya. Ini adalah asid lemak ‘trans’ yang terkandung dalam makanan tersebut. Terdapat sesetengah pengeluar makanan telah mula menggunakan minyak yang tidak mengandungi asid lemak ‘trans’ . Jika boleh gunakanlah marjeri n yang tidak mengandungi asid lemak trans atau ‘nonhydrogented’ yang dijual di pasaran.



Jagalah pemakanan anak-anak anda dengan tidak menggalakkan pengambilan makanan segera dan kerepek atau jajan yang mengandungi asid lemak trans ini. Makanlah lemak yang sihat dengan banyak makan ikan yang mengandungi kandungan asid lemak omega 3 yang lebih baik untuk kesihatan. Sikap pemakanan yang sihat harus dipupuk sejak dari kecil demi untuk kesihatan yang lebih baik apabila telah dewasa. Galakkan anak-anak makan buah-buahan yang jauh lebih sihat sebagai ‘snek’ harian atau sewaktu bersantai bersama keluarga.




Dengan mengurangkan makan makanan yang tinggi dengan asid lemak trans maka kita boleh mengurangkan masalah kolesterol berlebihan.



Kolesterol berlebihan ini sememangnya telah terbukti dalam kajian sains menjadi punca pelbagai penyakit zaman moden seperti darah tinggi, strok, serangan jantung dan sebagainya. Insyaallah hidup anda akan lebih sihat dengan mengamalkan pemakanan yang sihat.

Dr Norman Mohd Norawi

(MBBS, FAGE, MScAAARM)

Pengamal Perubatan Am,

Pengkhususan Aesthetik, Anti-Aging & Perubatan Regeneratif