Thursday, July 3, 2014

KELEBIHAN BERPUASA KEPADA KESIHATAN



Manfaat Kesihatan Puasa Ramadhan
Ramadhan tiba untuk kali ini dan semua umat Islam wajib menunaikan ibadah puasa sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam.  Muslim di seluruh dunia berpuasa kerana ia adalah suruhan Allah dalam Al Quran. Berpuasa amat baik untuk kesihatan sebagaimana yang telah dibuktikan dengan pelbagai kajian saintifik. Berpuasa dalam Islam berbeza dengan berpuasa yang difahami oleh masyarakat Barat yang melakukan ‘crash diet’ yang mempunyai kesan yang buruk kepada kesihatan.



Islam dan kesihatan adalah sesuatu yang sinonim kerana Islam amat menitikberat soal kesihatan. Setiap ibadah yang disyariatkan dalam Islam mempunyai banyak faedah kesihatan yang tersembunyi yang hanya mula difahami oleh dunia sains kini. Ramadhan adalah bulan latihan dan latihan kendiri untuk kita umat Islam. Ramadhan bukanlah bulan ‘Pesta Makan’ yang secara tidak kita sedari kita lakukan setiap tahun. Makan secara berlebihan dan makan makanan yang tidak sihat adalah bertentangan dengan semangat Ramadhan. Kita sepatutnya memfokuskan lebih banyak ibadah dan mencari semaksimum pelbagai ganjaran pahala yang berganda-ganda yang dikurniakan oleh Allah sepanjang bulan Ramadhan. Dalam bulan Ramadhan kita hanya mengubah waktu kita makan tetapi bukanlah kita mengubah jumlah dan jenis makanan yang kita makan. Kita sepatutnya mengambil sepenuhnya peluang dibulan Ramadhan ini untuk mendapat faedah kesihatan dengan mengamalkan cara hidup sihat. 


Menurut kajian kesan fisioloji yang positif semasa berpuasa dalam Ramadhan adalah ia menurunkan paras glukosa darah, menurunkan paras kolesterol darah dan menurunkan tekanan darah tinggi. Hakikatnya, berpuasa  adalah dicadangkan sebagai satu rawatan untuk pesakit yang mengalami diabetis yang stabil, ringan ke sederhana, pesakit darah tinggi dan seseorang yang mempunyai masalah berat badan. Berpuasa dicadangkan sebagai satu bentuk rawatan dalam satu persidangan perubatan First International Congress on “Health and Ramadan” pada tahun 1994 yang diadakan di Casablanca, Morocco. Dalam persidangan ini sebanyak 50 kajian telah dibentangkan tentang kebaikan berpuasa kepada kesihatan. Walaubagaimanapun terdapat juga pesakit-pesakit tertentu yang tidak digalakkan berpuasa seperti pesakit kanser yang teruk, diabetis yang tidak terkawal, gastrik ulser dan sebagainya. Anda perlu mendapatkan nasihat doktor untuk mengetahui jenis penyakit yang tidak digalakkan berpuasa.  




Berpuasa juga mempunyai kesan yang positif dari aspek psikoloji kerana seseorang yang berpuasa sentiasa perlu bersabar dan bertenang. Sepatutnya kesan dari berpuasa masyarakat akan lebih tenang, pergaduhan berkurangan dan kadar jenayah menurun. Terdapat kajian saintifik menunjukkan kadar jenayah menurun dinegara-negara Islam semasa Ramadhan. Jika seseorang merasa marah semasa berpuasa , didalam Islam ianya dinasihatkan bersabar dengan menyatakan kepada diri mereka “ Sesungguhnya aku berpuasa”. Ini adalah aspek psikoloji positif yang perlu kita terapkan dalam kehidupan seharian. Bersikap positif seperti ini akan menurunkan kadar stres seseorang. Dengan mengurangkan stres ini maka paras hormon akan lebih stabil dan keseimbangan sistem badan akan menjadi lebih baik. Dengan lebih banyak membaca Al Quran sebagaimana yang dituntut dalam bulan Ramadhan akan membantu menjadikan seseorang lebih tenang mindanya dan mengawal kadar stres dengan lebih baik. Banyakkan bersedekah sepanjang bulan Ramadhan juga adalah satu terapi jiwa yang baik untuk kesihatan psikoloji dan mengawal stres.


Kita juga digalakkan melakukan lebih banyak solat malam semasa Ramadhan. Tabiat ini akan membantu menjadikan kita mudah mengawal stres dan merehatkan minda. Disamping itu, makanan yang kita makan pada waktu malam akan membekalkan tenaga tambahan dan membakar kalori semasa bersolat. Tidur dengan perut yang terlalu kenyang adalah tidak baik untuk kesihatan, maka bangun malam untuk bersolat termasuk juga bersolat terawikh amat baik untuk kesihatan.
Berpuasa sebulan dalam Ramadan juga akan membantu memberikan rehat kepada sistem pencernaan dalam saluran gastro-usus kita. Ia juga akan memberi kerehatan kepada organ hati dan kelenjar pankreas. Secara tidak lansung ia membantu organ hati kita melakukan proses detoksifikasi dengan membuang toksin yang berada dalam sistem tubuh manusia yang selama ini makan pelbagai jenis makanan. Tetapi jika kita makan secara berlebihan dan makan pula pelbagai jenis makanan yang tidak sihat semasa berbuka puasa maka sistem pencernaan dan hati tidak akan dapat berehat sepenuhnya.
Berbuka puasa dengan buah kurma amat digalakkan kerana ianya sangat berkhasiat. Kurma mengandungi pelbagai zat seperti vitamin C, vitamin B, zat besi, anti oksidan dan sebagainya. Disamping itu, ia juga memulihkan paras glukosa dalam darah dengan sangat cepat kerana mempunyai indeks glisemik yang tinggi. Jika kita mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW yang makan kurma semasa berbuka, kemudian bersolat Maghrib dulu dan kemudiannya kita makan semula maka kita akan makan dengan jumlah yang kurang kerana paras glukosa kita telah naik dan kita akan kurang merasa lapar sebagaimana sebelum berbuka tadi. Jika tiada buah kurma maka kita digalakkan berbuka puasa dengan buah-buahan yang manis yang lainnya.
Berpuasa amat baik untuk menurunkan berat  secara sederhana dan beransur-ansur. Ia boleh dicapai jika kita makan secara sihat dan mengawal jumlah makanan semasa berbuka. Semasa berpuasa glikojen yang disimpan dalam hati dan otot akan digunakan sebagai tenaga. Selepas itu sel-sel lemak pula akan digunakan oleh tubuh kita. Bau mulut pada waktu petang sebelum berbuka adalah kerana bau ‘ketone’ yang dikeluarkan oleh paru-paru  semasa tubuh mem’bakar’  lemak sebagai tenaga. Ini akan membantu seseorang menurunkan berat badan dan mengawal paras gula dengan lebih baik bagi pesakit diabetis disepanjang bulan Ramadhan.
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan berpuasa akan menurunkan paras kolesterol dalam darah. Ini amat baik untuk pesakit yang mempunyai masalah kolesterol tinggi dan pesakit jantung. Ini adalah kerana semasa berpuasa, akibat paras glukosa darah yang menurun maka ia akan menyebabkan paras hormon insulin juga akan menurun. Ia akan menyebabkan enzim yang menghasilan kolesterol berlebihan didalam hati menjadi kurang aktif dan akan menurunkan paras kolesterol secara tidak lansung. Penurunan paras kolesterol ini mengurangkan risiko penyakit jantung, strok, darah tinggi dan diabetis.



Berpuasa juga memberikan kerehatan kepada organ buah pinggang. Ini adalah kerana semasa berpuasa kita tidak boleh minum air. Buah pinggang tidak perlu memproses air yang banyak semasa tidak berpuasa. Ia akan menyebabkan masalah dehidrasi yang sekejap sepanjang berpuasa tetapi ianya tidaklah memudaratkan. Dehidrasi sementara ini akan menyebabkan penurunan tekanan darah sedikit, oleh itu ia baik untuk pesakit darah tinggi yang sukar menurunkan tekanan darah. Oleh kerana itu Rasulullah menggalakkan kita mempercepatkan berbuka dengan air dan kurma dan melambatkan bersahur untuk mengurangkan tempoh dehidrasi ini.
Dengan berpuasa juga akan menggalakkan seseorang meninggalkan tabiat buruk yang menjejaskan kesihatan seperti merokok. Jadikan bulan Ramadhan sebagai permulaan kepada berhenti merokok. Semasa berpuasa , tubuh seseorang dapat mengurangkan kesan toksin tinggi akibat merokok. Perokok yang ikhlas berpuasa sepatutnya akan merasa lebih tenang dan fokus semasa berpuasa dari merokok. Jika seseorang boleh berhenti merokok selama 12 jam berpuasa, maka adalah sesuatu yang boleh dicapai untuk perokok berhenti merokok sepenuhnya selepas Ramadhan. Tangguhkanlah merokok selepas berbuka dan kurangkan jumlah rokok yang dihisap secara beransur-ansur perokok boleh berhenti merokok sepenuhnya, Insyaallah.



Matlamat utama dalam berpuasa adalah mencari taqwa kepada Allah. Ramadhan adalah bulan terbaik sebagai satu latihan dan motivasi untuk kita mencapai matlamat ini. Makan secara berlebihan dan memilih makanan yang tidak sihat seperti makanan bergoreng, makanan bergula tinggi, makanan proses akan membantutkan proses manfaat kesihatan berpuasa. Merokok juga tidak akan mendekatkan seseorang kepada taqwa kepada Allah kerana ianya telah difatwakan HARAM oleh para ulama’. Oleh itu dalam kita mencari taqwa sepanjang bulan Ramadhan ini tinggalkanlah tabiat-tabiat buruk yang menjejaskan kesihatan dan ambillah peluang sepenuhnya menambahkan taqwa kita kepada Allah dengan beramal ibadah sebaik yang mungkin disamping menjaga pemakanan dan meninggalkan tabiat merokok dalam Ramadhan ini, Insyaallah.

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc (UCSI), FAGE












Thursday, June 19, 2014

SILAP MASAK HILANG KHASIAT



MEMASAK SECARA SIHAT
Pemakanan sihat amat penting untuk kesihatan yang baik. Konsep pemakanan sihat bukan hanya memilih jenis makanan yang sihat tetapi melibatkan bagaimana sesuatu makanan itu di masak.
Cara memasak boleh mengubah sesuatu makanan yang sihat menjadi tidak sihat. Contohnya ikan adalah makanan yang sihat untuk kesihatan jantung tetapi jika seseorang hanya makan ikan goreng, kajian mendapati ia boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. Kajian yang di namakan Women’s Health Initiative yang dilaporkan dalam jurnal perubatan menunjukkan makan ikan secara menggoreng boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. Jelas disini, kaedah memasak secara menggoreng adalah kurang sihat kepada kesihatan.
Menurut kajian,  kaedah memasak yang tidak sihat adalah dengan cara memasak dengan suhu yang terlalu tinggi sehingga melebihi 300°C yang juga mengeringkan seperti menggoreng dengan minyak yang banyak dan terlalu panas (deep fry), memanggang sehingga hitam hangus (well done) dan menyalai makanan sehingga kehitaman. Proses memasak dengan suhu yang terlalu tinggi ini akan menyebabkan lemak, karbohidrat dan protin dalam makanan yang dimasak menghasilkan bahan glikotoksin yang merbahaya kepada kesihatan untuk jangkamasa panjang.



Bahan glikotoksin atau  ‘Advance Glycation End Products’ (AGE) menyebabkan risiko tinggi untuk kanser payudara, prostat, usus dan perut. Ini adalah terutamanya jika kita memasak dengan suhu yang tinggi makanan seperti  daging atau ayam dengan secara memanggang diatas api seperti BBQ, goreng dan mikrowave. Makanan dari sumber haiwan mempunyai lemak tepu yang tinggi yang apabila dibakar dengan suhu yang tinggi akan menyebabkan penghasilan bahan glikotoksin yang tinggi. Kajian juga menunjukkan makanan proses yang diawet dan bergula tinggi seperti makanan dalam tin, tepung gandum, susu kotak, susu tepung dan pelbagai makanan yang dikeringkan juga mempunyai kandungan glikotoksin yang tinggi.



Kajian yang dijalankan di Mount Sinai School of Medicine pada tahun 2012 juga menunjukkan makan makanan yang dimasak dengan suhu yang tinggi secara berlebihan akan menghasilkan bahan toksik yang dipanggil ‘methyl-glyoxal’ (sejenis glikotoksin) yang boleh menyebabkan masalah sindrom metabolik dengan tanda-tanda seperti kegemukan, perut buncit, rintangan insulin, gangguan imuniti dan diabetes. Ini adalah kerana bahan toksin ini menyebabkan oksidasi dan keradangan dalam tubuh manusia. Menurut kajian, untuk melawan kesan keradangan atau inflamasi ini kita boleh mengambil minyak ikan yang kaya dengan omega 3, anti-oksidan seperti kurkumin yag ada dalam kunyit dan pelbagai vitamin lain seperti vitamin B kompleks, vitamin C dan vitamin E.
Makanan yang dimasak sehingga perang kehitaman dengan suhu yang tinggi juga akan menghasilkan toksin yang dipanggil ‘heterocyclic amines’ yang boleh menyebabkan mutasi gen yang akhirnya menyebabkan risiko pelbagai jenis kanser seperti kanser payudara, kolerektal, usus, perut, esofagus, paru-paru, hati, prostat dan sebagainya.  
Dalam satu kajian yang dijalankan di USA dan dilaporkan pada tahun 2012 dalam jurnal perubatan mendapati lelaki yang makan tiga hidangan ‘stik daging’ yang digoreng atas kuali panas setiap minggu mempunyai risiko kanser prostat sebanyak 30%. Jika lelaki makan sehingga lima hidangan ‘stik daging’ seminggu berisiko mendapat kanser prostat meningkat sehingga 40%.
Dalam lagi satu kajian yang dijalankan di University of Minesota menunjukkan wanita yang makan berger yang dimasak dengan suhu tinggi (overcooked) mempunyai risiko 50% lebih tinggi mendapat kanser payudara berbanding dengan mereka yang makan berger (medium rare) yang dimasak dengan suhu lebih rendah.
Kebanyakan makanan segera seperti kentang goreng, berger, keropok kentang, nugget goreng, ayam goreng dan sebagainya juga disediakan dengan memasak dengan suhu yang tinggi. Oleh itu, jika kita selalu makan makanan segera maka kita berisiko mendapat kesan buruk akibat bahan glikotoksin ini.  
Memasak dengan suhu yang rendah semasa menggoreng boleh mengurangkan masalah ini. Adalah hampir mustahil untuk mengelak dari makan makanan yang dimasak dengan suhu yang tinggi, tetapi kita boleh mengurangkan impaknya kepada kesihatan dengan makan lebih banyak makanan yang dimasak secara kukus, rebus, masak bergulai, goreng-kacau (stir-fry) atau dimasak dengan dapur perlahan (slow-cooker).


Kajian mendapati, memasak secara berair seperti menggulai, mengukus, sup atau merebus akan mengurangkan penghasilan bahan glikotoksin ini. Disamping itu, makanan yang diperap dengan cuka, minyak zaitun, perahan limau, kunyit, bawang putih dan bawang merah juga boleh mengurangkan penghasilan glikotoksin. Bagi penggemar BBQ atau masakan secara memanggang, adalah dinasihatkan menggunakan bara api sahaja tanpa api yang marak dan janganlah dipanggang daging, ayam, ikan, sotong, udang atau sebagainya sehingga hangus kehitaman kerana ia menyebabkan penghasilan bahan glikotoksin ini.
Makan sayur-sayuran mentah secara makan ulam juga adalah kaedah yang sihat untuk melawan kesan glikotoksin ini. Makan lebih banyak buah-buahan dalam setiap hidangan makanan seharian kita juga adalah cara yang baik. Kajian menunjukkan  terdapat sebatian anti mutasi gen atau anti-kanser iaitu ‘indole-3-carbinol’ dan ‘chlorophilin’ dalam beberapa jenis sayur-sayuran seperti brokoli, kobis dan bunga kobis. Anti oksidan yang juga adalah sebatian anti-kanser juga terdapat dalam pelbagai jenis buah-buahan.
Kurangkanlah makan makanan bergoreng kerana kajian jelas menunjukkan kaitan yang kuat diantara pemakanan makanan bergoreng dengan insiden kanser kerana bahan glikotoksin ini. Makanlah lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk kesihatan yang lebih baik dan mencegah penyakit kronik seperti sakit jantung, strok, diabetes, darah tinggi dan kanser.

Wallahualam

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE

AIR ZAM-ZAM AIR TERBAIK DI DUNIA!

AIR MINUMAN DAN KESANNYA KEPADA KESIHATAN….
Air adalah sumber kehidupan manusia dan seluruh hidupan dimuka bumi Allah ini. Tanpa air maka tiadalah sebarang kehidupan yang boleh hidup dan berkembang biak. Besarnya peranan air dalam kehidupan didunia tetapi kita selalu lupa bahawa untuk mendapat kesihatan yang baik maka air yang kita minum setiap hari adalah amat penting untuk menentukan kita mendapat kesihatan yang terbaik.
Semua tamadun manusia adalah bermula berdekatan dengan sumber air. Tanpa air tiadalah kehidupan didunia ini. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al An’am ayat 99 :
“Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau,............

Semakin manusia tua, maka  kandungan air dalam tubuh manusia semakin berkurangan. Semasa bayi, kandungan air adalah sehingga 75% air dan semakin dewasa kandungan air menurun kepada 57% dari berat tubuh manusia. Bagi seorang yang mengalami masalah kegemukan , kandungan air berkurang sehingga 45%.
Kita kurang membuat pertimbangan kesihatan apabila kita minum air. Kita lebih mudah memilih air yang berperisa dan manis bergula apabila kita minum minuman seperti Teh Tarik, Kopi susu, sirap, kordial, jus dan air bergas. Sesetengah orang tidak suka minum air kosong atau air putih atau air mineral dalam kehidupan seharian mereka. Terdapat juga sesetengah daripada kita yang sangat kurang minum air dalam sehari kerana malas hendak ke tandas untuk ‘buang air’.


Air berkarbonat, minuman jus buah dan minuman botol biasanya mengandungi kandungan gula yang sangat tinggi menjadi minuman harian kebanyakan kita hari ini. Air ini adalah tidak sihat untuk kesihatan kerana ia  boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, sakit jantung, kegemukan dan sebagainya.
Minuman ‘bertenaga’ yang banyak terdapat dipasaran juga adalah tidak sihat jika diambil selalu kerana kandungan glukosa yang tinggi disamping kandungan ‘kafein’ yang tinggi juga. Lebih malang lagi jika minuman ini diambil tanpa bersenam atau melakukan apa-apa aktiviti sukan. Ia akan menyebabkan masalah kesihatan yang buruk di kemudian hari.
Minum terlalu banyak minuman jus buah-buahan juga adalah tidak sihat kerana kandungan gula ‘fruktosa’ yang tinggi tanpa kebaikan serat yang terdapat dalam buah-buahan. Buah-buahan adalah lebih baik dimakan secara terus. Tabiat sebegini akan menyebabkan masalah hati berlemak, kolesterol tinggi, kegemukan dan diabetis dalam jangka masa yang panjang.
Air minuman harian seperti teh dan kopi adalah baik untuk kesihatan kerana kandungan anti oksidannya  selagi  diambil secara sederhana dan tidak berlebihan. Masalah utama adalah kandungan gula yang berlebihan dalam minuman ini apabila di jadikan ‘teh tarik’ atau ‘kopi susu’. Kandungan gula dan susu ini menyebabkan kandungan anti oksidan didalam teh dan kopi akan hilang.
Air yang baik untuk kesihatan juga dipanggil sebagai air berfungsi (functional water). Maksud air berfungsi adalah air yang boleh memberikan kesan kesihatan yang positif. Fungsi utama air dalam tubuh manusia adalah sebagai pelarut, pelincir, pengangkutan zat nutrisi makanan, perkumuhan, mengawal suhu badan dan medium tindakan metabolisme sel-sel. Secara umumnya air berfungsi adalah air yang akan membantu dalam proses biologi tubuh manusia. Air adalah penting untuk kesihatan yang terbaik.
Jumlah air yang diambil juga amat penting, kerana kekurangan air boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit. Jika tubuh manusia kekurangan air atau dehidrasi,  maka ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan yang kronik seperti batu karang buah pingang, kanser saluran kencing, kanser usus dan kanser payu dara.



Dalam satu hadis nabi Muhammad SAW , sabdanya:
“Sebaik-baik air dimuka bumi ini adalah air Zam-Zam, terdapat didalamnya zat makanan dan penyembuh bagi segala penyakit”
Berdasarkan hadis diatas , jelaslah air terbaik untuk kesihatan adalah air Zam-zam. Dari segi sains air zam-zam mengandungi kandungan mineral dengan nisbah yang tepat, yang sangat baik untuk kesihatan.
Dengan mengambil kira faktor kandungan mineral ini, maka air yang baik untuk kesihatan adalah air mineral asli. Untuk sumber mineral terbaik kepada tubuh manusia , maka air adalah sumber terbaik. Garam mineral seperti kalsium, magnesium, kalium, chromium, selenium, natrium , zink dan sebagainya amat penting untuk fungsi metabolisma tubuh manusia yang normal. Menurut kajian, air zam-zam adalah  lebih beralkali dan mempunyai nisbah kandungan mineral magnesium yang tinggi yang amat baik untuk kesihatan.
Sumber semulajadi air beralkali adalah air ‘zam-zam’, air mata air, air cairan glasier, air gunung dan sebagainya. Air mineral yang dibotolkan dari sumber mata air yang asli biasanya sedikit beralkali. Air beralkali adalah air yang mempunyai nilai pH yang lebih dari 7.1 hingga 10.  Air beralkali didapati lebih berkhasiat kepada kesihatan untuk jangka masa panjang berdasarkan  banyak kajian yang dijalankan terutamanya di negara Jepun, Korea, China dan Russia.
Minum air paip secara terus adalah kurang baik untuk kesihatan kerana kandungan klorin yang tinggi, ampaian, karat besi dan pelbagai jenis logam berat didalam nya. Kita perlu minum air yang ditapis untuk membuang klorin berlebihan dan menapis karat besi dan sebagainya didalam air. Terdapat pelbagai jenis  penapis air yang  dijual dipasaran terpulanglah kepada kita untuk menggunakannya. Penapis air ini biasanya dipasang kepada air paip di singki didapur untuk kegunaan harian seperti air minuman dan masakan. Terdapat kajian yang menunjukkan lebihan klorin yang bercampur dengan bahan organik didalam air paip yang dipanaskan akan menyebabkan penghasilan bahan karsinogen trihalomethane.
Minum air hujan, air sungai, air perigi dan air kolam secara terus tanpa di masak juga adalah bahaya kepada kesihatan kerana ditakuti terdapat kuman yang merbahaya kepada kesihatan didalamnya. Minumlah air yang sihat demi kesihatan yang baik untuk jangka masa yang panjang.
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MScAARMMA, FAGE