Thursday, May 9, 2013

8 Tips Mengawal Stress






Dalam musim pilihanraya sekarang semakin ramai yang stress. Calon-calon sudah semestinya stress kerana menunggukan hari pengundian, samada akan menjadi YB atau tidak dan pengundi juga stress tentang pilihan yang mana akan diundi pada 5 mei nanti.


Stress adalah satu keadaan dimana tubuh seseorang mengalami tekanan secara fizikal, emosional atau psikologikal. Dari sudut perubatan, stress adalah keadaan atau situasi yang yang memberi tekanan kepada sistem tubuh manusia.

Stress boleh berlaku akibat daripada tekanan fizikal seperti sakit atau kecederaan, tekanan psikologikal seperti takut, malu, risau, marah, kecewa dan kegembiraan yang berlebihan. Dalam zaman moden ini wang dan pekerjaan kita adalah punca stress yang utama. Suasana hidup yang sentiasa terburu-buru dan dengan cuaca panas serta kesesakan jalanraya adalah diantara punca stress bagi masyarakat di bandar-bandar besar.


 
Stress yang terkawal tidak akan mengancam kesihatan malahan ia amat penting sebagai satu motivasi untuk kita terus maju dalam kerjaya dan melaksanakan tugasan kita setiap hari. Stress yang melampau dan berlebihan setiap hari yang akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti darah tinggi, sakit jantung, degupan jantung tidak normal, kolesterol, kencing manis, kegemukan, strok, jangkitan kuman, kemurungan dan lain-lain lagi.

Terdapat beberapa tanda-tanda yang boleh kita kenalpasti samada kita dilanda masalah stress yang tidak terkawal. Diantaranya adalah seperti degupan jantung tidak menentu, rasa sesak nafas, rasa tidak selesa pada kawasan dada, pening dan rasa seperti ‘mabuk’, rasa kebas pada jari-jari, sakit belakang, sakit tengkuk, sakit pada kawasan belikat, lenguh-lenguh urat, sakit kepala berpanjangan, buang air tidak lawas, pedih ulu hati dan susah tidur malam.


Tanda-tanda psikoloji seperti mudah marah, cepat melenting, susah menumpukan perhatian pada kerja yang biasa kita lakukan, rasa lesu dan tidak bermaya, kerisauan yang berpanjangan, rasa lapar yang berpanjangan, banyak makan makanan yang ‘menenangkan hati’ (comfort food) seperti makanan manis, cokelat, kek dan sebagainya. Lain-lain tanda psikoloji adalah seperti kurang berminat dengan aktiviti yang biasanya diminati, memandu dengan laju dan melulu dan bagi perokok akan bertambah banyak menghisap rokok begitu juga bagi peminum arak akan lebih banyak minum arak.




Ada beberapa tips yang boleh saya berikan utnuk mengawal stress.

1. Makan dengan betul dan perlahan-lahan dengan tenang pada setiap kali waktu makan dan makanlah banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Kurangkan makanan berlemak tinggi dan makanan bergula tinggi. Minum susu dan kurangkan minuman seperti kopi dan teh.


2. Ambil suplemen tambahan seperti vitamin B kompleks, vitamin C, mineral, omega 3 dan anti oksidan yang secukupnya setiap hari.




3. Bersenam dan bergerak aktif setiap hari kerana tubuh yang aktif secara fizikal akan menghasilkan ‘endorfin’ yang boleh mengurangkan stress dan menaikkan mood.


4. Mendengar muzik yang kita suka. Ia berbeza mengikut individu dan latar belakang. Muzik yang mengingatkan kita kepada Allah dan Rasulnya akan menambahkan pahala disamping mengurangkan stress. Mendengan muzik juga menyebabkan endorfin dalam tubuh meningkat dan memberikan rasa tenang.




5. Menguruskan masa dengan baik dan tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu pekerjaan akan mengurangkan tahap stress. Membuat senarai semak perkara yang hendak dilakukan setiap hari boleh membantu bagi indiidu yang terlalu sibuk dan jadual yang ketat dan padat.


6. Membela haiwan kesayangan boleh membantu menurunkan stress apabila kita bermain dengan haiwan-haiwan ini seperti kucing , ikan , hamster dan sebagainya.




7. Berkongsi masalah dengan pasangan, rakan , keluarga dan sesiapa yang kita rasa selesa untuk berkongsi masalah boleh mengurangkan stress. Memendam rasa dengan masalah bersendirian akan menyebabkan masalah tidak dapat diselesaikan dan akan menyebabkan stress yang susah dikawal. Akhirnya ia boleh merosakkan kesihatan seseorang.

    

8. Menenangkan fikiran dengan beribadat secara khusyuk, berzikir, berdoa, bermeditasi dan sebagainya. Mengadu masalah dengan Allah SWT dan memohon pertolongan dengannya dengan beribadah dan berdoa adalah satu cara terbaik untuk kita mengawal stress dalam permasalahan seharian kita. Bersyukurlah kita kerana kita difardhukan solat lima kali sehari semalam. Dengan solat yang sempurna, insyaallah ebih mudah kita mengawal stress setiap hari. Mengingati Allah sudah pasti akan memberikan ketenangan yang sebenarnya, sebagaimana firman Allah dalam Al Quran:



 
“ Cukuplah dengan mengingati Allah, maka hati akan menjadi tenang”.



Insyaallah dengan mengawal stress dengan baik dengan beberapa tips yang saya telah berikan akan membantu kita mendapat kesihatan yang lebih baik. Kajian sains menunjukkan stress adalah diantara faktor risiko kepada pelbagai masalah kesihatan pada zaman sekarang. Dengan mengawal stress kita, Insyaallah, kita akan mendapat kesihatan yang lebih baik.



Wallahu A’lam



Dr Norman Mohd Norawi

Thursday, April 11, 2013

Teh dan kesihatan



Teh mula ambil sebagai minuman harian sejak beribu tahun dahulu di China, Korea dan Jepun. Masyarakat di Barat mula minum teh sejak abad ke 16 pada era penjajahan kolonial .Maharaja China , Shennong telah menggunakan teh sebagai minuman tonik kesihatan 5000 tahun dahulu. Pada zaman sekarang, teh adalah minuman yang paling banyak diminum diseluruh dunia. Di Malaysia , minuman ‘Teh Tarik’ amat popular sebagai minuman harian masyarakat pelbagai kaum.


Teh banyak ditanam di tanah-tanah tinggi diseluruh dunia dan terdapat pelbagai jenis teh seperti teh hitam, teh hijau, teh putih, oolong teh dan sebagainya. Nama saintifik tumbuhan teh ini adalah ‘Camella sinensis’ yang menjadi asas kepada semua jenis teh. Perbezaan rasa dan khasiat teh bergantung kepada tanah tempat ia ditanam, cuaca, ketinggian tanah dan proses penghasilan teh tersebut.




 
Teh tidak mengandungi sebarang zat mineral, vitamin, protin, karbohidrat, garam, kolestreol atau lemak. Kandungan kalorinya juga amat rendah iaitu hanya 2 kalori setiap 237 gram. Ia juga mengandungi kafein. Teh mengandungi anti oksidan yang tinggi iaitu polifenol dan flavanoid (theaflavin, epicatechin, epigallocatechin, epigallocatechin-3-gallate) yang memberikan teh khasiat kesihatan yang baik. Kajian juga menunjukkan teh hijau mengandungi kandungan anti oksidan yang lebih tinggi berbanding teh hitam. Anti oksidan membantu melawan kesan radikal bebas yang merosakkan sel-sel tubuh manusia.

Menurut kajian oleh Dr J.Weissburger dari Institut of Cancer Prevention, New York, teh mengandungi anti oksidan lapan hingga sepuluh kali lebih tinggi dari buah-buah-buahan dan sayur-sayuran.Kajian oleh Dr Weisburger juga menunjukkan polifenol dalam teh mampu mencegah kerosakkan DNA akibat dari merokok dan bahan kimia lain. Walaubagaimanapun, kajian menunjukkan apabila teh dicampur dengan susu atau krimer, maka kesan anti oksidan akan berkurangan. Oleh itu, lebih baik minum Teh ‘O’ daripada minum Teh Tarik. Untuk mendapat faedah kesihatan yang lebih baik, maka minum teh tanpa gula adalah digalakkan seperti minum ‘teh cina’.


 
Walaupun terdapat kajian mendapati tiada faedah kesihatan yang baik dengan minum teh setiap tetapi terdapat lebih banyak kajian yang mendapati kaitan yang sebaliknya. Lebih banyak kajian sains menunjukkan, jika seseorang minum teh setiap hari, ia akan menurunkan risiko mendapat kanser, serangan jantung, darah tinggi, strok, menurunkan paras kolesterol LDL dan Alzheimer.


 
Kandungan anti oksidan dalam teh dipercayai menurunkan risiko mendapat penyakit jantung dan angin ahmar dengan menurunkan paras kolesterol, stress oksidatif dan meningkat pengaliran darah dalam pembuluh darah. Teh juga boleh mencegah masalah pengerasan saluran darah (atheroslcerosis) dan menurunkan paras trigliseride. Menurut analisis statistik , dengan minum teh setiap hari boleh menurunkan risiko mendapat serangan jantung sehingga 11%. Kajian ini dibuat selama lima tahun kepada 805 lelaki yang mendapati mereka yang minum teh setiap hari mempunyai risiko kematian akibat strok dan serangan jantung yang lebih rendah.

Minum teh juga boleh mencegah kanser kerana anti oksidan dalam teh akan melawan kesan radikal bebas yang boleh menyebabkan kanser. Kajian mendapati minum teh setiap hari boleh menurunkan risiko mendapat kanser paru-paru, ovari, mulut,kulit, pankreas, rektal dan usus.

Satu kajian keatas perokok yang diberi minum teh hijau yang dinyah kafein sebanyak empat cawan setiap hari, mendapati terdapat 31% penurunan kerosakan DNA akibat merokok berbanding perokok yang diberi minum air kosong sahaja.


 
Pada tahun 1998, satu kajian dibuat keatas pesakit kanser payu dara tahap I dan II di Jepun. Mereka di berikan minuman 5 cawan teh hijau setiap hari selepas didiagnos mendapat kanser ini. Pesakit-pesakit ini menjalani rawatan yang sepatutnya dihospital. Hasil kajian ini mendapati kanser payu dara mereka tidak berulang dan tempoh bebas kanser adalah lebih panjang.

Minum teh setiap hari juga didapati boleh menjaga kesihatan mulut dengan mengurangkan pembentukan plak gigi dan mengurangkan pembiakan bakteria mulut yang menjadi punca mulut berbau. ‘Teh putih’ juga boleh mengurangkan masalah ‘karat gigi’ berbanding teh hitam atau teh hijau.

Kajian kepada 81,093 wanita yang minum teh setiap hari mengurangkan risiko sehingga 8% mendapat batu karang buah pinggang. Kajian yang serupa keatas 46,289 lelaki sebelumnya juga mendapati penurunan risiko sehingga 14% mendapat masalah yang sama.

Teh juga amat baik untuk menurunkan berat badan. Kajian awal mendapati , teh meningkatkan metabolisme tubuh, memecahkan lemak yang terkumpul, meningkatkan toleran semasa senaman dan mengurangkan selera makan. Teh membantu aspek ini dengan meningkat penggunaan insulin, glukosa dan menghasilkan lebih banyak haba.


 
Teh juga boleh mengurangkan masalah reput tulang (osteoporosis). Ini berdasarkan satu kajian yang mendapati wanita yang minum teh setiap hari mempunyai densiti mineral tulang (BMD) yang lebih tinggi berbanding wanita yang tidak minum teh.


Wallahualam

Dr Norman Mohd Norawi

Pengamal Perubatan Am

Pengkhususan Estetik, Anti Aging dan Perubatan Regeneratif