Wednesday, April 22, 2015

DIABETES DAN MASALAH LEMAH SYAHWAT








MASALAH LEMAH SYAHWAT LELAKI


Semakin seseorang lelaki meningkat usia masalah lemah syahwat menjadi satu isu yang nyata dan amat lumrah. Ianya boleh berlaku kepada kedua-dua lelaki dan wanita tetapi lebih ketara dikalangan kaum lelaki. Puncanya bukanlah semata-mata kerana faktor umur seseorang. Ia nya berkait rapat dengan masalah kesihatan dalaman secara umum serta gaya hidup yang tidak sihat.



Bagi lelaki ianya akan menjejaskan keegoan dan sifat kelelakian dan selalunya lelaki tidak akan mengakui masalah ini secara terbuka. Kebanyakan orang akan mengambil kaedah rawatan secara herba atau tradisional kerana tidak mahu atau malu untuk berbincang dengan doktor mereka.




Terdapat pelbagai punca kepada masalah ini, diantaranya adalah penyakit diabetis, darah tinggi, sakit jantung, paras hormon testosteron rendah, kegemukan, merokok dan stress.   Masalah saluran darah menjadi keras atau atherosklerosis akan menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan akan menganggu kelancaran perjalanan darah ke alat kelamin. Penurunan paras hormon testosteron akan mengganggu dari aspek psikoloji dan mood. Manakala kerosakan saraf akan menganggu ransangan kepada alat kelamin.


Diabetis adalah penyakit yang menjadi punca kepada masalah lemah syahwat yang utama. Kajian sains menunjukkan, 60-65% pesakit diabetis lelaki mempunyai masalah mati pucuk iaitu masalah mencapai ketegangan zakar atau masalah tidak mampu mengekalkan ketegangan zakar. Pengidap diabetis akan mendapat masalah saluran darah ‘keras’atau atherosclerosis dengan lebih awal yang menyebabkan pengaliran darah kepada alat kelamin akan terganggu. Pesakit diabetis juga mendapat kerosakan saraf (nephropathy) zakar akibat glukosa dalam darah tinggi. Masalah ini juga diburukkan lagi akibat masalah stress atau tekanan akibat rasa rendah diri atau rasa takut zakar tidak cukup keras.




Kerosakan saraf akibat kencing manis berlaku kerana paras glukosa yang tidak dikawal dan juga kerana saluran darah halus yang rosak (microangiopathy) menyebabkan saraf tidak mendapat bekalan oksigen dan nutrien yang secukupnya. Akibat kerosakan saraf ini maka isyarat dari otak gagal sampai ke zakar yang menyebabkan ianya tidak menegang apabila berlaku stimulasi seksual.

Saluran darah yang sempit kerana atherosclerosis menyebabkan aliran darah yang lemah dan kurang untuk menegangkan zakar dan mengekalkan ketegangan zakar dengan lebih lama. Kajian mendapati, pesakit diabetis lebih mudah mendapat masalah atherosclerosis berbanding orang biasa. Kebiasaannya , pengidap diabetis juga mempunyai masalah tekanan darah tinggi yang menambahkan lagi penyempitan saluran darah pada zakar.



Terdapat juga beberapa jenis ubat darah tinggi, ubat anti kolesterol dan ubat diabetis yang mempunyai kesan sampingan yang  menyebabkan masalah lemah syahwat ini. Merokok akan memburukkan lagi masalah ini kerana rokok juga adalah punca kepada masalah saluran darah menjadi sempit dan menganggu kelancaran perjalanan darah ke alat kelamin. Masalah kegemukan juga berkait rapat dengan pengidap diabetis dan kegemukan yang melampau juga menyebabkan zakar tidak berfungsi dengan baik.

Kajian juga menunjukkan nafsu syahwat menurun kerana paras hormon testosteron dan hormon tumbesaran (Growth Hormones) dikalangan pesakit lelaki yang mengidap diabetis adalah rendah kerana paras insulin yang tinggi. Oleh kerana itu, kebanyakan pengidap diabetis mempunyai masalah kegemukan, perut buncit, kurang bertenaga, kurang bersemangat, otot mengecut dan lemah yang merupakan tanda luaran kekurangan hormon testosteron ini. Menurunkan berat badan , pemakanan yang baik, pengawalan gula yang lebih baik dan bersenam dengan lebih kerap akan membantu meningkatkan paras hormon ini. Terdapat juga rawatan gantian hormon testosteron untuk membantu masalah ini dan anda perlu berjumpa doktor untuk membantu anda mendapatkan rawatan ini.



Pengidap diabetis yang tidak mengambil rawatan dengan betul dan mempunyai masalah glukosa darah yang tidak terkawal juga mengalami kekurangan bahan ‘nitrik oksida’ yang membantu dalam proses ereksi zakar. Pengambilan madu juga didapati boleh meningkat paras ‘nitrik oksida’ yang membantu mengatasi masalah mati pucuk ini. Berhenti mengambil ‘gula putih’ amat penting untuk mengawal diabetis. Paras glukosa darah yang tinggi juga mengurangkan nafsu syahwat atau libido. Mengawal paras gula dengan lebih baik dengan mengikut nasihat doktor maka masalah ini boleh di kurangkan kerana paras gula yang terkawal akan memulihkan nafsu syahwat dengan lebih baik.

Rawatan dengan ubat-ubatan boleh diberi oleh doktor dengan ubat seperti sildenafil, taladafil dan vardenafil  juga boleh membantu mengatasi masalah mati pucuk dikalangan pesakit diabetis. Oleh kerana itu dapatkanlah rawatan dengan doktor yang bertauliah jika anda pesakit diabetis yang menghadapi masalah ini.
Masalah mati pucuk ini sangat kerap berlaku dikalangan pengidap diabetis 10 ke 15 tahun lebih dahulu berbanding lelaki yang tiada penyakit diabetis tetapi kebanyakan pesakit menyembunyikannya atau mendapatkan rawatan tradisional seperti mengurut atau mengambil pelbagai ubat herba. Terdapat juga kajian yang menunjukkan herba seperti tongkat ali, ginseng, ginko biloba didapati boleh melancarkan perjalanan darah dan membantu masalah ini. Walaubagaimanapun, faktor yang paling penting adalah mengubah gaya hidup kepada gaya hidup yang lebih sihat dengan makan secara sihat, mengawal paras glukosa, mengawal paras kolesterol, bersenam dan berhenti merokok dan minum arak akan membantu mengekalkan ‘tenaga batin’ ke usia tua. Kepentingan hubungan seksual diantara lelaki dan wanita amat penting bagi suami dan isteri untuk menjamin kebahagiaan rumah tangga ke akhir hayat.



Masalah lemah syahwat juga berlaku kepada lelaki berumur walaupun tidak mengidap penyakit kronik seperti diabetis. Ia adalah kerana  penurunan paras hormon testosteron disebabkan faktor usia. Ianya boleh diatasi dengan senaman, pemakanan yang lebih tinggi protin, aktiviti seksual yang lebih kerap dan jika perlu terapi gantian hormon.

Mengawal pemakanan untuk mengawal paras glukosa darah yang baik adalah amat penting. Disamping itu senaman mengangkat beban juga boleh meningkatkan paras hormon testosteron dengan lebih cepat. Berhenti merokok juga amat penting menjaga kesihatan seksual kita sehingga ke usia tua. Jika anda mengalami masalah ini, dapatkanlah bantuan dari doktor untuk memulihkan kembali kelelakian anda dan menjaga kebahagian rumah tangga anda.

Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS,  MScAARMMA, FAGE)







Wednesday, April 8, 2015

Rancangan KOMPAS KESIHATAN di radio IKIM FM ...8 April 2015



Di jemput ke rancangan KOMPAS KESIHATAN di radio IKIM FM harini 8 April 2015.
Semoga pendengar mendapat manfaat dari sesi kesihatan ini, Insyaallah.




Tuesday, April 7, 2015

AIR MINERAL ASLI BAIK UNTUK KESIHATAN




AIR UNTUK KECANTIKAN KULIT
Air amat penting untuk kesihatan seseorang. Tanpa air seseorang boleh mati dalam tempoh tiga hari. Dalam kehidupan kita sekarang air juga amat penting untuk mengekalkan kecantikan kulit. Kajian menunjukkan semasa muda jumlah air dalam badan seseorang adalah lebih tinggi berbanding dengan usia tua. Semakin manusia tua, maka  kandungan air dalam tubuh manusia semakin berkurangan. Semasa bayi, kandungan air adalah sehingga 75% air dan semakin dewasa kandungan air menurun kepada 57% dari berat tubuh manusia. Bagi seorang yang mengalami masalah kegemukan , kandungan air berkurang sehingga 45%.


Tanpa air tiadalah kehidupan didunia ini. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al An’am ayat 99 :
“Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau,............


Masyarakat kita sekarang selalu fokus kepada pelbagai produk kosmetik dan penjagaan kulit untuk menjaga kecantikan kulit dan untuk kelihatan awet muda. Hakikatnya air adalah diantara faktor utama untuk seseorang mengekalkan kecantikan kulit dan wajahnya. Semakin seseorang meningkat usia selalunya kita agak malas untuk minum air secukupnya kerana faktor kesibukan kerja disamping tidak mahu selalu ke tandas kerana berkerja dalam suasana sejuk dengan penyaman udara. Hakikatnya dalam keadaan bilik berhawa dingin, seseorang akan mendapat masalah kulit kering dan perlu mengekalkan hidrasi secukupnya. Kulit yang kering boleh menyebabkan masalah kedutan wajah yang lebih ketara. Perkara ini lebih biasa dikalangan wanita, dan ironinya wanita jugalah yang selalunya ingin mengekalkan kecantikan mereka.



Air terbaik didunia adalah AIR ZAM-ZAM

Air yang baik  patut kita minum selalu adalah air yang akan membantu kita menjaga kesihatan dengan baik. Air yang sihat dan mengekalkan kesihatan kita dipanggil sebagai air berfungsi (functional water). Maksud air berfungsi adalah air yang boleh memberikan kesan kesihatan yang positif. Fungsi utama air dalam tubuh manusia adalah sebagai pelarut, pelincir, pengangkutan zat nutrisi makanan, perkumuhan, mengawal suhu badan dan medium tindakan metabolisme sel-sel. Secara umumnya air berfungsi adalah air yang akan membantu dalam proses biologi tubuh manusia.


Air adalah penting untuk kesihatan yang terbaik. Contoh air berfungsi adalah air yang mempunyai kandungan mineral yang secukupnya dan biasanya mempunyai pH yang lebih beralkali. Dengan mengambil kira faktor kandungan mineral ini, maka air yang baik untuk kesihatan adalah air mineral asli. Air membekalkan sumber mineral terbaik kepada tubuh manusia. Garam mineral seperti kalsium, magnesium, kalium, chromium, selenium, natrium , zink dan sebagainya amat penting untuk fungsi metabolisma tubuh manusia yang normal
Wajah yang cantik adalah refleksi kepada kesihatan dalaman yang baik. Ini sepatutnya menjadi matlamat kita dalam kehidupan. Jika kita mendapat penyakit kronik, secara umumnya wajah seseorang akan kelihatan lebih tua pada usianya dan juga kurang kecantikan serta seri wajahnya. Oleh kerana itu amat penting kita menjaga kesihatan dengan mengambil air yang sihat dan berfungsi menjaga kesihatan dengan baik.



Kita kurang membuat pertimbangan kesihatan apabila kita minum air. Kita lebih mudah memilih air yang berperisa dan manis bergula apabila kita minum minuman seperti teh tarik, kopi susu, sirap, kordial, jus dan air bergas. Sesetengah orang tidak suka minum air kosong atau air putih atau air mineral dalam kehidupan seharian mereka. Air berkarbonat, minuman jus buah dan minuman botol biasanya mengandungi kandungan gula yang sangat tinggi menjadi minuman harian kebanyakan kita hari ini. Air ini adalah tidak sihat untuk kesihatan kerana ia  boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, sakit jantung, kegemukan dan sebagainya. Minum air jenis ini akan menyebabkan seseorang hilang kecantikannya lebih awal.
Minuman ‘bertenaga’ yang banyak terdapat dipasaran juga adalah tidak sihat jika diambil secara kerap kerana kandungan glukosa yang tinggi disamping kandungan ‘kafein’ yang tinggi juga. Lebih malang lagi jika minuman ini diambil tanpa bersenam atau melakukan apa-apa aktiviti sukan. Ia akan menyebabkan masalah kesihatan yang buruk di kemudian hari.
Minum terlalu banyak minuman jus buah-buahan juga adalah tidak sihat kerana kandungan gula ‘fruktosa’ yang tinggi tanpa kebaikan serat yang terdapat dalam buah-buahan. Tabiat sebegini akan menyebabkan masalah hati berlemak, kolesterol tinggi, kegemukan dan diabetis dalam jangka masa yang panjang.



Air minuman harian seperti teh dan kopi adalah baik untuk kesihatan kerana kandungan anti oksidannya  selagi  diambil secara sederhana dan tidak berlebihan. Masalah utama adalah kandungan gula yang berlebihan dalam minuman ini apabila di jadikan ‘teh tarik’ atau ‘kopi susu’. Minuman ini mengandungi gula yang sangat tinggi. Lebih teruk lagi, minuman teh tarik menggunakan susu krimer yang juga mengandungi ‘asid lemak trans’ yang boleh merosakkan kesihatan . Begitu juga dengan pelbagai minuman 3 dalam 1 yang berlambak dipasaran. Apabila kesihatan terganggu, maka seri wajah dan kecantikan kulit juga akan pudar.
Menurut kajian, apabila kita selalu minum minuman manis dan bergula tinggi tubuh kita akan menghasilkan bahan yang dipanggil AGE (advance glycation end products). Bahan ini akan merosakkan kulit seseorang dan menyebabkan ianya cepat berkedut dan juga hilang serinya.



Minumlah air yang menyihatkan secukupnya setiap hari sekurangnya-kurangnya 8 gelas air sehari dan  dengan ini dapat membantu mengekalkan kecantikan   dan seri wajah secara semulajadi dan asli. Insyaallah.


Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MSc (UCSI), FAGE