Musim cuti
sekolah akan bermula, maka bermulalah juga musim berkhatan bagi kanak-kanak
lelaki Islam di Malaysia. Telah menjadi satu budaya masyarakat di Malaysia
untuk mengkhatankan anak lelaki semasa musim cuti sekolah. Kesedaran tentang
berkhatan juga telah berkembang dikalangan bukan Islam yang melakukan khatan
secara sukarela kerana faedah-faedah kesihatan yang banyak.
Berkhatan dengan teknik 'klamp' Sunathrone
Hand-On Sunathrone bersama Dr Tasron- pencipta Sunathrone
Berkhatan adalah
memotong kulit dihujung kemaluan lelaki yang biasanya dipanggil kulup (foreskin). Kulup ini akan meliputi
kepala zakar (glan penis) dan ianya
biasanya akan melekat antara satu sama lain dan susah di pisahkan. Ia akan
lebih mudah dipisahkan apabila kanak-kanak itu meningkat ke umur remaja.
Dari sudut
sejarah ada sesetengah ulama berpendapat
berkhatan bermula dengan Nabi Adam A.S dan juga sesetengah ulama berpendapat
manusia pertama yang berkhatan adalah Nabi Ibrahim A.S. Yang pastinya amalan
berkhatan telah diamalkan oleh manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu. Terdapat
ukiran di Pyramid di Mesir yang menunjukkan budaya berkhatan ini diamalkan oleh
masyarakat Mesir kuno pada zaman Firaun lagi.
Berkhatan adalah
sesuatu yang amat menakutkan kepada kanak-kanak lelaki sejak dari dahulu
lagi. Didalam Islam berkhatan adalah
suatu amalan yang disyariatkan dan amat dituntut. Dalam mazhab Syafie, hukum
berkhatan adalah wajib sama ada ke atas lelaki atau perempuan. Menurut mazhab Hanafi, berkhatan hukumnya adalah
sunat sahaja bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Dalam mazhab Hanbali pula,
Imam Ahmad pula berpandangan; ia hanya wajib ke atas lelaki sahaja. Adapun ke
atas perempuan, hukumnya hanyalah sunat. Selain perintah agama, ia untuk
kesihatan individu itu juga.
Syariat Berkhatan
Waktu berkhatan
tidak disyaratkan ketika kecil. Dalam budaya masyarakat Arab dan Yahudi ,
berkhatan dilakukan semasa bayi lagi. Bagi Masyarakat Melayu pula , biasanya
berkhatan dilakukan semasa kanak-kanak dalam umur 5 hingga 12 tahun.
Dalam satu riwayat
daripada Saidatina Aisyah menceritakan:
Sesungguhnya Nabi SAW telah
mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua.”
(Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim)
Kebanyakan ulama
berpendapat, khatan wajar dilakukan semasa budak lelaki meningkat umur baligh.
Malah ada ulama yang berpendapat lebih afdal bagi pihak ibu bapa atau penjaga
melaksanakan khatan ke atas anak lelaki mereka sejak mula hari kelahirannya.
Seorang ulama yang
terkenal, Ibnu Juzaiy mempunyai pendapat
yang berbeza yang ditulis dalam kitabnya al-Qawanin al-Fiqhiyyah. Beliau menggalakkan
waktu khatan dilewatkan hingga anak tersebut boleh diajarkan solat; iaitu
sekitar umur tujuh hingga 10 tahun. Beliau menghukumkan makruh dilakukan khatan ke atas bayi pada hari
pertama kelahirannya dan juga pada hari ketujuh kelahirannya kerana ini menyerupai
amalan kaum Yahudi. Ibnu Juzaiy juga
berpendapat; adalah amat dituntut diadakan jamuan makan sempena majlis
berkhatan bagi lelaki tetapi tidak bagi majlis khitan kaum wanita.
Berkhatan dan Kesihatan
Hikmah berkhatan
dari sudut agama adalah ia merupakan salah satu tuntutan syariat Islam dan menjadi satu amalan para Nabi
terdahulu. Manakala sudut kesihatan pula dengan berkhatan seseorang mengutamakan
kebersihan dan kesucian, mengawal dan menstabilkan nafsu syahwat terutama bagi
kaum wanita serta memberi keselesaan semasa bersetubuh.
Apabila tidak
berkhatan , terdapat kotoran yang berkumpul diantara kulup dan kepala zakar
yang dipanggil ‘smegma’ yang boleh menyebabkan jangkitan kuman dan juga punca
kepada kanser zakar.
Sains telah membuktikan
bahawa amalan berkhatan ini mempunyai banyak faedah kesihatan berdasarkan
kajian-kajian yang telah dijalankan. Diantara hasil kajian yang amat nyata
mendapati kadar kanser zakar adalah jauh
lebih rendah dalam komuniti yang mengamalkan berkhatan seperti Muslim dan
Yahudi.
Terdapat kajian
terbaru menunjukkan kadar penyakit kelamin adalah rendah dikalangan lelaki yang
berkhatan.Kajian ini mendapati jangkitan
penyakit syphilis adalah lebih rendah dikalangan lelaki yang berkhatan.
Kajian Cochrane
meta analysis yang dijalankan di Afrika pada tahun 2007 juga menunjukkan berkhatan boleh menurunkan
risiko jangkitan HIV dikalangan lelaki yang aktif seksual diantara 38% hingga
66% dalam tempoh 24 bulan. Kesimpulan dari kajian ini mencadangkan lelaki digalakkan
untuk berkhatan untuk mengurangkan penularan wabak HIV di negeri Sub Sahara
Afrika. WHO mencadangkan salah satu dari program mencegah HIV ialah dengan
menggalakkan amalan berkhatan.
Berkhatan juga
menurunkan insiden jangkitan HSV-2 sehingga 28% dan berkait dengan penurunan
prevalen HPV dan risiko jangkitan kuman saluran kencing. Oleh itu ia secara
tidak lansung menurunkan risiko isteri mendapat kanser pangkal rahim.
Dari aspek
perubatan , khatan dibuat sebagai rawatan keatas pesakit yang mengalami masalah
jangkitan kuman kulup zakar (balanitis),
kulup yang mempunyai lubang pin (pinhole
phimosis) atau tertutup yang
menyebabkan kulup mem’belon’ semasa kencing dan juga kanak-kanak lelaki yang
selalu mendapat jangkitan saluran kencing.
Komplikasi dari
prosedur berkhatan yang biasa adalah pendarahan dan jangkitan kuman. Risiko
terpotong kepala zakar juga boleh berlaku jika pengkhatan tidak berhati-hati
dan menggunakan kaedah memotong terus atau ‘guilletine’
dengan pisau bedah atau kaedah yang diamalkan oleh ‘tok mudim’ seperti zaman
dahulu.
Sekarang terdapat inovasi yang telah direka
untuk mengurangkan risiko-risiko pembedahan berkhatan ini dengan penggunaan
‘klamp’ plastik. Kaedah ini tidak memerlukan jahitan dan prosesnya amat cepat
dilakukan. Pelbagai jenis ‘klamp’ ini yang terdapat dalam pasaran seperti
Sunathrone, SmartKlamp, AlisKlamp, Tara klamp, Ismail Klamp dan Plastibel.
Kaedah berkhatan
dengan menggunakan klamp ini terlah terbukti lebih mudah, kurang pendarahan,
kurang risiko jangkitan, lebih selesa kepada kanak-kanak kerana boleh terus
memakai seluar dan boleh mandi dan bergerak dengan lebih selesa tanpa rasa
sakit.Kanak –kanak juga mudah untuk membuang air kecil dan mudah untuk
beristinjak tanpa mencemarkan luka berkhatan.
alat Sunathrone
Penggunaan kaedah
klamp ini memerlukan latihan untuk doktor yang menjalankannya. Anda perlu
mendapatkan khidmat doktor yang terlatih yang berpengalaman melakukan kaedah
ini. Pengalaman penulis menggunakan kaedah ‘klamp’ ini semenjak lapan tahun
yang lalu telah membuktikan kelebihannya terutama kepada doktor yang membuat
prosedur ini kerana mengurangkan ‘sakit pinggang’ kepada doktor yang membuat pembedahan
berkhatan berbanding dengan kaedah menjahit luka tersebut.
Terpulanglah
kepada ibubapa untuk memilih kaedah terbaik untuk mengkhatankan anak. Pastikan
kaedah yang kita pilih memberikan keselesaan kepada anak yang dikhatan dan juga
mengurangkan risiko komplikasi.
Wassalam
Dr Norman Mohd
Norawi
MBBS, MscAAARM
SUNATHOLOGIS
Pengamal
Perubatan Am & Pengkhususan dalam Aesthetic, Anti Aging & Regenerative
Medicine
1 comment:
Assalamualaikum doktor.. Ada masalah tak nanti masa nak buka clamp tu? Melekat tak?
Post a Comment