SANTAN & KOLESTEROL...
Oleh;
Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, FAGE, MScAARMAM)
Dalam musim Hariraya Aidilfitri ini pelbagai jenis juadah disediakan untuk menjamu para tetamu yang menziarahi rumah kita. Makanan yang disediakan oleh kita biasanya menggunakan santan kelapa dalam ramuannya seperti rendang, lemang, kari, lodeh dan sebagainya. Santan kelapa adalah satu bahan masakan yang digunakan oleh masyarakat di Malaysia sejak dari dahulu lagi. Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, masak lemak cili api diamalkan hampir setiap hari juga menggunakan santan.
Masyarakat India dan kebanyakan penduduk di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik adalah pengguna santan yang tinggi dalam masakan harian mereka. Selalunya santan dikatakan sebagai lemak tepu yang ‘tidak sihat’ dan boleh menyebabkan masalah kolesterol tinggi. Berdasarkan kajian sains terkini merumuskan santan atau minyak kelapa bukanlah punca kepada masalah kolesterol tinggi.
Terdapat banyak laporan dari kajian sains terkini dalam jurnal-jurnal perubatan menunjukkan santan bukanlah faktor utama yang menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi. Kajian juga mendapati penduduk dunia yang makan santan setiap hari mempunyai kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding dengan masyarakat moden yang mengambil makanan segera dan makanan proses yang mengandungi ‘asid lemak trans’ yang jauh lebih berbahaya kepada kesihatan.
Terdapat juga satu kajian yang dijalankan di Kerala , India yang dilaporkan dalam Indian Journal of Biochemistry pada tahun 2009 yang menunjukan kesan yang positif kepada kesihatan dengan pengambilan santan dalam makanan. Kajian ini membandingkan pengambilan minyak kelapa dengan pengambilan minyak bunga matahari dalam pemakanan seharian dan perbezaannya dengan paras kolesterol diantara keduanya. Hasil kajian ini merumuskan bahawa tiada perbezaan diantara pengambilan diantara kedua-dua jenis minyak masak ini dengan paras kolestrol dalam darah.
Oleh itu , pendapat yang menyatakan pengambilan santan menyebabkan peningkatan paras kolestrol dalam darah adalah suatu pendapat yang kurang tepat.
Dalam satu kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan Asia Pasific pada tahun 2011, yang dijalankan di Filipina mendapati pengambilan minyak kelapa dalam makanan seharian dikalangan wanita pra menopaus meningkatkan kolesterol baik HDL-c dan menurunkan kolesterol ‘jahat’ jenis LDL dan Trigliserida. Berdasarkan kajian ini pengambilan santan menurunkan paras kolesterol LDL dan bukannya meningkatkan paras kolesterol. Oleh itu ia mempunyai berfaedah menurunkan risiko penyakit jantung.
Yang lebih menarik lagi adalah, data dari negara Filipina yang dilaporkan oleh Philipine National Nutrition Survey (PNNS) pada 2003 juga mendapati relatif insiden yang rendah untuk masalah kolesterol berlebihan (hypercholesterolemia), darah tinggi (hypertension), angin ahmar (stroke) dan sakit jantung (angina) dikalangan penduduk di Daerah Bicol yang mengambil santan dan minyak kelapa yang tinggi berbanding daerah lain di Filipina dalam makanan seharian mereka.
Kajian-kajian terkini mendapati pengambilan asid lemak trans, karbohidrat dan gula yang tinggi adalah lebih berkait rapat dengan masalah penyakit kardiovaskular dan peningkatan paras kolesterol berbanding pengambilan lemak tepu atau minyak dalam makanan. Kajian juga mendapati pesakit kencing manis selalunya mempunyai paras kolesterol yang lebih tinggi kerana paras gula yang tinggi dalam darah walaupun tidak makan santan setiap hari.
Walaubagaimanapun, kita perlu berpada-pada dan bersederhana dalam pengambilannya santan kerana ianya mempunyai jumlah kalori yang tinggi. Strategi yang lebih baik untuk mengawal paras kolesterol adalah dengan mengurangkan gula dan asid lemak trans dalam pemakanan seharian kita berbanding dengan ‘berpantang’ santan, Insyaallah.
No comments:
Post a Comment