Saturday, July 13, 2013

Kencing Manis Punca Lemah Syahwat




Penyakit kencing manis adalah penyakit yang banyak dihidapi dalam masyarakat sekarang ini. Menurut survey oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2011, sebanyak 24.38 peratus penduduk Malaysia berumur lebih dari 18 tahun adalah pesakit kencing manis. Kencing manis berpunca daripada pemakanan yang tinggi dengan gula dan karbohidrat berglisemik indeks tinggi serta gaya hidup yang kurang sihat seperti kurang bersenam, merokok dan sebagainya.




 
Kencing manis adalah penyakit yang menjadi punca kepada masalah lemah syahwat bagi kedua-dua lelaki dan wanita. Selalunya masalah ini di sorokkan oleh pesakit dan tidak mahu berbincang dan mendapatkan pertolongan dari doktor.

Kajian sains terbaru menunjukkan, 60-65% pesakit kencing manis lelaki mempunyai masalah mati pucuk iaitu masalah mencapai ketegangan zakar atau masalah tidak mampu mengekalkan ketengangan zakar. Ini adalah masalah paling biasa berlaku dikalangan pesakit kencing manis. Ia nya berpunca dari saluran darah ke zakar menjadi keras akibat pemendapan kolesterol (atherosclerosis) pada dinding saluran darah dan juga kerana berlaku kerosakan saraf (nephropathy) zakar kerana gula dalam darah yang tinggi. Ia juga kerana berlaku masalah stress atau tekanan akibat rasa rendah diri atau rasa takut zakar tidak cukup keras.

Kerosakan saraf akibat kencing manis berlaku kerana paras gula yang tidak dikawal dan juga kerana saluran darah halus yang rosak (microangiopathy) menyebabkan saraf tidak mendapat bekalan oksigen dan nutrien yang secukupnya. Akibat kerosakan saraf ini maka isyarat dari otak gagal sampai ke zakar yang menyebabkan ianya tidak menegang apabila berlaku stimulasi seksual.

Saluran darah yang menyempit kerana faktor atherosclerosis menyebabkan aliran darah yang lemah dan kurang untuk menegangkan zakar dan mengekalkan ketegangan zakar dengan lebih lama. Kajian mendapati, pesakit kencing manis adalah lebih mudah mendapat masalah penyempitan saluran darah akibat atherosclerosis ini. Kebiasaannya , pesakit kencing manis juga mengalami masalah tekanan darah tinggi yang menambahkan lagi penyempitan saluran darah. Terdapat juga beberapa jenis ubat darah tinggi yang mempunyai kesan sampingan yang menyebabkan masalah mati pucuk ini.


 
Pesakit kencing manis yang tidak mengambil rawatan dengan betul dan mempunyai masalah gula yang tidak terkawal juga menyebabkan berlakunya kekurangan bahan ‘nitrik oksida’ yang membantu dalam proses menenangkan zakar. Paras gula yang tinggi juga mengurangkan nafsu syahwat atau libido. Mengawal paras gula dengan lebih baik dengan mengikut nasihat doktor maka masalah ini boleh di kurangkan kerana paras gula yang terkawal akan mengembalikan nafsu syahwat tadi.

Rawatan dengan ubat-ubatan boleh diberi oleh doktor dengan ubat seperti sildenafil, taladafil dan vardenafil telah membantu mengatasi masalah mati pucuk dikalangan pesakit kencing manis. Terdapat juga rawatan lain yang boleh diberikan oleh doktor pakar seperti suntikan alprostadil dan pam vakum. Oleh kerana itu dapatkanlah rawatan dengan doktor yang bertauliah jika anda pesakit kencing manis yang menghadapi masalah ini. Masalah mati pucuk ini sangat kerap berlaku dikalangan pesakit kencing manis 10 ke 15 tahun lebih dahulu berbanding lelaki yang tiada penyakit kencing manis tetapi kebanyakan pesakit menyembunyikannya atau mendapatkan rawatan tradisional seperti mengurut atau mengambil pelbagai ubat herba yang belum terbukti berkesan merawat masalah ini. Mengubah gaya hidup kepada gaya hidup yang lebih sihat dengan bersenam dan meninggalkan tabiat buruk seperti merokok boleh membantu mengurangkan masalah mati pucuk dikalangan pesakit kencing manis.

Terdapat juga pesakit kencing manis menhadapi masalah ‘pancutan berbalik’ (retrograde ejaculation) kerana kerosakan pencerut pada leher pundi kencing. Kerosakan ini berlaku kerana saraf yang mengawal pencerut ini rosak akibat paras gula yang tinggi dalam darah dikalangan pesakit kencing manis. Masalah ini boleh menyebabkan kemandulan dikalangan pesakit kencing manis lelaki.

Kajian juga menunjukkan nafsu syahwat menurun kerana paras hormon lelaki iaitu testosteron dikalangan pesakit lelaki yang mengidap kencing manis adalah rendah. Ini adalah kerana paras insulin yang tinggi akan menyebabkan paras testosterone menurun. Oleh kerana itu, kebanyakan pesakit kencing manis mempunyai masalah perut buncit, otot mengecut dan lemah yang merupakan tanda luaran kekurangan hormon testosteron ini. Menurunkan berat badan , pengawalan gula yang lebih baik dan bersenam dengan lebih kerap akan membantu meningkatkan paras hormon testosteron. Terdapat juga rawatan hormon gantian testosteron untuk membantu masalah ini dan anda perlu berjumpa doktor untuk membantu anda mendapatkan rawatan ini.



Bagi wanita juga akan menghadapi masalah kurang nafsu syahwat apabila mengidap penyakit kencing manis. Pesakit kencing manis wanita akan menghadapi masalah kekeringan faraj, sakit semasa bersetubuh, susah mencapai orgasma dan tidak bernafsu jika paras gula tinggi dan tidak terkawal. Masalah kekeringan faraj adalah kerana pengaliran darah yang tidak lancar ke faraj kerana faktor penyempitan saluran darah akibat masalah pengerasan saluran darah (atherosclerosis).

Bagi wanita yang menghadapi masalah kekeringan boleh menggunakan gel pelincir. Rawatan dengan krim estrogen atau pessari boleh diberikan oleh doktor terutama bagi wanita yang menopause atau dekat dengan menopause yang menghidap kencing manis. Wanita yang menghadapi masalah sakit semasa bersetubuh mungkin adalah kerana jangkitan kulat candida pada faraj yang amat selalu berlaku kepada pesakit kencing manis. Rawatan anti kulat oleh doktor akan membantu dalam masalah ini.

Pesakit kencing manis wanita yang mempunyai paras gula yang tidak terkawal akan hilang nafsu seks kerana paras gula yang turun naik akan mengakibatkan rasa lesu dan tidak bermaya. Pengawalan gula yang lebih stabil akan mengembalikan nafsu syahwat ke paras yang normal.

Cara terbaik mengekalkan nafsu syahwat yang sihat ialah dengan tidak mendapat penyakit kencing manis dan jika anda mengidap kencing manis maka pengawalan gula kepada paras yang stabil dan terkawal akan mengurangkan kesan kepada masalah seksual lelaki dan wanita. Kepentingan hubungan seksual diantara lelaki dan wanita amat penting bagi suami dan isteri untuk menjamin kebahagiaan rumah tangga ke akhir hayat.

Pemakanan yang sihat, bersenam dan mengelak faktor risiko seperti merokok amat penting menjaga kesihatan seksual kita sehingga ke usia tua. Jagalah kesihatan anda ke akhir hayat kerana ia amat dituntut dalam Islam.

Wassalam



Dr Norman Mohd Norawi

(MBBS, FAGE, MScAAARM)



4 comments:

Beauty Fatimah said...

perkongsian yang sangat menarik. tq dr..

Kak Zai said...

Salam Doc..
Terima kasih atas perkongsian yang sangat bermanfaat ni.Saya ada risiko nak kena diabetes,sebab faktor keturunan.Info ni sangat berguna.Tq Doc.

Unknown said...

Biasanya saya dapatkan info mengenai penyakit hanya melalui laman web mayo clinic , yahoo health dan web md .sekarang baru ramai doktor di Malaysia mula menulis , syabas

fatimah said...

Wah.. perkongsian yang sangat bermanfaat. Terima kasih admin. Punca Kencing Manis