Friday, September 13, 2013

Salah Tanggapan terhadap Vaksinasi


Saya banyak di minta oleh sahabat handai dan saudara-mara untuk menulis tentang proses vaksinasi dan kesan sampingan vaksin. Pelbagai maklumat yang mereka dapat di internet yang menyebabkan ramai yang keliru dan merasa takut dengan proses vaksinasi anak-anak mereka. Ramai yang dimomokkan dengan tanggapan yang salah tentang vaksin dengan pelbagai dakyah seperti vaksin adalah punca kepada masalah autisme, keracunan logam berat, kanak-kanak menjadi bodoh, vaksin adalah agenda yahudi dan pelbagai lagi dakyah sonsang yang saya dengar. Yang lebih menyedihkan, ramai yang mengambil keputusan untuk tidak membenarkan anak-anak mereka diberi suntikan vaksinasi kerana percaya dengan dakyah-dakyah ini. Kita sebagai orang Islam, sepatutnya mengikut saranan Nabi Muhammad SAW yang menyuruh kita bertanya kepada orang yang ‘ahli’ apabila kita tidak tahu. Amat malang, ramai yang secara tiba-tiba menjadi ‘pakar’ dalam bidang perubatan hanya dengan membaca di internet dan forum-forum di internet.Oleh itu saya akan menulis tentang hakikat sebenar vaksin secara umum sebagai satu pencerahan kepada yang masih sangsi.



Dari sudut sejarahnya, ulama Islam yang pertama memberikan takrifan dan membentangkan tentang konsep jangkitan oleh kuman (virus) ini adalah Al-Razi yang memberikan perbezaan diantara penyakit cacar air (small pox) dan campak (measles). Beliau meyatakan bahawa terdapat sesuatu agen yang menyebabkan jangkitan penyakit dan beliau juga menyatakan bahawa seseorang yang pernah mendapat penyakit cacar air tidak akan terkena sekali lagi. Ulama terkenal dalam bidang perubatan Ibnu Sina juga menyatakan jika pesakit cacar air ini perlu di asingkan, maka jangkitan tidak akan berlaku dengan orang lain. Kedua-dua ulama ini adalah diantara orang yang terawal menyatakan konsep jangkitan kuman dan asas kepada vaksinasi ini.


Konsep ini seterusnya diperkembangkan oleh saintis barat yang bernama Edward Jenner pada tahun 1796 yang pertama kali membuat vaksin untuk cacar air dengan mengambil cairan yang keluar daripada cacar lembu (cow pox) dan di inokulasi pada kulit manusia. Hasilnya didapati mereka yang menjalani proses itu tidak mendapat jangkitan cacar air ini. Dari sinilah konsep vaksinasi ini berkembang dan ramai lagi saintis yang terkenal yang mencipta pelbagai jenis vaksin yang lain seperti Louis Pastuer dan Maurice Hilleman.



Kejayaan terbesar proses vaksinasi adalah akhirnya penyakit cacar air ini dapat dihapuskan sepenuhnya dari dunia sekarang sejak tahun 1979. Tamadun Maya di Amerika Tengah telah lenyap dan hancur akibat wabak penyakit cacar air yang dibawa oleh penjajah Sepanyol yang membunuh separuh dari penduduk di sana. Penyakit cacar air ini amat merbahaya dan amat mudah berjangkit dan telah menyebabkan kematian 300 hingga 500 juta orang sebelum vaksin dicipta.


Bagaimana sebenarnya vaksin ini bertindak mencegah penyakit dari menular? Vaksinasi menguatkan respon sistem imuniti seseorang. Vaksin yang diberi mengandungi kuman yang telah dilemahkan atau kuman yang telah mati atau bahagian-bahagian kuman tersebut yang apabila disuntik kedalam tubuh manusia akan menyebabkan tubuh manusia menghasilkan antibodi melawan penyakit tersebut. Jika seseorang benar-benar diserang oleh kuman yang hidup dan aktif, maka antibosi yang telah dihasilkan ini akan melawan kuman tersebut dan menyebabkan seseorang dilindungi daripada mendapat penyakit tersebut. Proses ini dipanggil kemanglian atau immunisasi.


Vaksin yang telah dihasilkan sejak dari 200 tahun dahulu telah berjaya mencegah wabak penyakit yang merbahaya seperti penyakit cacar air, polio, kancing gigi (tetanus), campak (measles), beguk (mumps), rubella, hepatitis B, batuk kering (tuberculosis), batuk kokol (pertussis), kepialu (typhoid), jangkitan selaput otak (meningitis), influenza, varicella (chicken pox) dan pelbagai lagi penyakit yang amat jarang kita dengar pada zaman sekarang. Kejayaan proses vaksinasi ini telah terbukti merentas zaman dan telah menyelamatkan banyak nyawa terutama bayi dan kanak-kanak. Berjuta-juta kanak-kanak telah mati akibat jangkitan penyakit-penyakit yang saya nyatakan tadi sebelum terciptanya vaksin ini.


Timbul juga persoalan, bukankah lebih baik membiarkan anak-anak kita mendapat immuniti semulajadi dengan mendapat penyakit-penyakit ini. Hakikatnya, apabila kita membiarkan anak-anak mendapat penyakit-penyakit merbahaya ini, maka akan berlaku komplikasi yang jauh lebih bahaya dan mungkin juga bagi anak-anak yang lemah akan mengakibatkan kematian. Sanggupkah kita memperjudikan nyawa anak-anak kita dengan membiarkan mereka mendapat penyakit. Komplikasi penyakit seperti kerosakan otak kekal akibat penyakit seperti HIB (Hemophelus Influenza B), jangkitan paru-paru (pneumonia) akibat chicken pox atau pneumococcus, kecacatan bayi dalam kandungan akibat rubella (German measles) adalah harga yang perlu dibayar jika ibu-bapa berdegil tidak mahu membenarkan anak-anak mereka diberi suntikan vaksin yang telah dijadualkan. Pencegahan dengan vaksinasi adalah jauh lebih baik dan amat rendah risikonya.


Ada sesetengah ibubapa berpendapat, suntikan vaksin tidak sesuai untuk bayi yang masih kecil.Hakikatnya, banyak penyakit yang boleh dicegah dengan suntikan vaksin akan menyerang bayi-bayi yang masih kecil. Suntikan vaksinasi akan membantu bayi melawan penyakit-penyakit ini dengan meningkatkan tahap immuniti mereka.


Kenapa perlu suntikan yang banyak? Penyakit-penyakit yang saya nyatakan tadi boleh menyerang secara berasingan dan disebabkan oleh kuman yang berbeza. Oleh itu tidak memadai jika hanya memberi satu suntikan untuk satu jenis penyakit sahaja. Pada tahun 1920an, hanya satu suntikan sahaja diwajibkan iaitu cacar air (small pox), tetapi didapati ramai bayi yang mati akibat penyakit difteria, oleh kerana itu kerajaan mewajibkan suntikan difteria pula selepas itu. Hasilnya, sekarang ini kita amat jarang mendengar bayi mati akibat penyakit difteria. Zaman sekarang , Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai jadual suntikan yang terkini yang mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bertujuan melindungi bayi dan kanak-kanak daripada penyakit yang merbahaya ini.


Ada dakwaan yang mengatakan bahawa vaksin boleh menyebabkan masalah autisme. Kajian telah dijalankan dan didapati tiada perbezaan kadar autisme diantara kanak-kanak yang mengambil suntikan vaksin dengan kanak-kanak yang tidak mengambil suntikan vaksin ini. Kajian oleh seorang yang bernama Andrew Wakefield pada tahun 1998 yang mendakwa vaksin boleh menyebabkan masalah autisme didapati dipalsukan kerana faktor ‘duit/wang’, akibatnya beliau telah didakwa dan lesen doktornya telah ditarik pada tahun 2011. Terdapat juga sebilangan orang masih percaya dengan dakwaan Andrew Wakefield ini dan mereka inilah yang telah menyebarkan dakyah palsu ini di internet dan menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat sekarang.


Hakikat yang sebenarnya tentang vaksin adalah ianya amat perlu kepada manusia dan ia telah terbukti dari sejarah membantu manusia mencegah pelbagai penyakit yang merbahaya.



Wallahualam



Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, FAGE, MScAAARM





No comments: