Tuesday, July 15, 2014

KELEBIHAN BUAH KURMA KEPADA KESIHATAN



Oleh:
DR NORMAN MOHD NORAWI
MBBS,MSc(UCSI), FAGE
Doktor Perubatan Am &
Konsultan Estetik, Anti Penuaan & Perubatan Regeneratif


Sempena Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang kita memang di galakkan serta menjadi satu sunnah Nabi Muhammad SAW  untuk berbuka puasa dengan buah kurma . Sebagaimana dalil yang disebut dalam hadis nabi :
Dari Salman bin ‘Amir RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud,
“Apabila berbuka salah satu kamu, maka hendaklah berbuka dengan kurma. Andaikan kamu tidak memperolehnya, maka berbukalah dengan air, maka sesungguhnya air itu suci.”
(H.R Ibn Majjah)

Buah kurma bukanlah satu buah tempatan dan bukan menjadi satu budaya kepada orang Malaysia untuk memakannya selalu. Terdapat pelbagai jenis buah kurma diantaranya Ajwa, Munifi, Hilali, Ruthana dan sebagainya. Ia adalah budaya makanan kepada masyarakat di Timur Tengah sejak ribuan tahun dahulu. Buah Kurma juga disebut dalam Al Quran dan dinyatakan sebagai salah satu daripada buah-buahan yang terdapat didalam syurga nanti.


Didalam Surah Al-An’am ayat 141:

"Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya dan buah zaitun dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya).

Jika ianya disebut didalam AlQuran sudah pasti ia mempunyai banyak kelebihan. Seiring dengan kemajuan Malaysia hari ini, buah kurma ini amat mudah didapati dinegara kita sekarang. Ia dijual secara meluas dimana-mana kedai dan pasaraya. Sememangnya kita telah tahu bahawa kurma mempunyai pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan. Data dari kajian-kajian saintifik menyokong perkara ini.
Kajian-kajian saintifik terkini menunjukkan buah kurma sememangnya mempunyai banyak kelebihan dari aspek kesihatan. Buah kurma amat kaya dengan serat, vitamin, mineral, anti oksidan, anti keradangan dan anti bakteria. Kandungan khasiat pemakanan yang tinggi dalam buah kurma ini amat baik untuk mencegah pelbagai jenis penyakit dan mengekalkan kesihatan yang optimum.
Kurma kaya dengan bahan sebatian fenolik anti oksidan seperti pro-cyaanidin, coumaric, ferulic, sinapic dan  flavonoids. Semua sebatian anti oksidan ini mampu melawan kesan radikal bebas dan boleh mencegah kanser. Bahan flavonoids ini juga boleh meningkatkan imuniti, melawan kesan keradangan dan mencegah mutasi sel sebagaimana yang telah ditunjukkan dalam satu kajian yang bertajuk “The impact of plant flavonoids on mammalian biology: impli­cations for immunity, inflammation and can­cer” yang dilaporkan dalam jurnal perubatan di London pada tahun 1994.




Dalam satu kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan keatas kurma Ajwa atau lebih dikenali sebagai ‘kurma nabi’ yang dijalankan di Mesir pada tahun 2011 didapati ia mempunyai kesan positif mencegah kerosakan dan melindungi organ hati dan buah pinggang dari kesan toksik Ochratoxin.
Buah kurma juga mempunyai kesan anti kuman atau anti bakteria termasuklah  biji dan daun kurma. Ini berdasarkan satu kajian yang di laporkan dalam jurnal perubatan pada tahun 2012 menunjukkan ekstrak kurma dan biji kurma membantutkan pertumbuhan kulat pembawa penyakit  dan bakteria jenis gram positif dan gram negatif.  Ia boleh membantu merawat penyakit akibat jangkitan kuman dan kulat yang sukar dilawan oleh antibiotik biasa.
Kurma juga boleh membantu mencegah dan mengawal penyakit Diabetis. Ia juga boleh membantu mencegah konplikasi diabetis seperti masalah buta mata atau Diabetic Retinopathy. Saintis berpendapat ia adalah kerana kandungan sebatian flavonoids yang tinggi terutama pada bahagian kulit kurma membantu dalam aspek ini.
Kurma juga mengurangkan kesan keradangan yang dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit kronik seperti darah tinggi, strok, sakit jantung dan kanser. Kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan pada tahun 2014 menunjukkan kurma Ajwa mengandungi kandungan ethyl acetate, methanolic dan ekstrak jus nya menghalang peroksidasi lemak dan aktiviti enzim COX-1 dan COX-2 yang menyebabkan masalah keradangan ini.



Kandungan serat dan anti oksidan yang tinggi dalam kurma juga amat baik untuk sistem penghadaman manusia. Ia membantu penghadaman yang sempurna dan mengawal pertumbuhan bakteria jahat dalam usus kita. Ia boleh mencegah sembelit, penyakit buasir dan kanser usus.
Satu kajian yang amat unik menunjukkan kurma membantu dalam proses melahirkan anak. Kajian ini dilaporkan dalam jurnal perbidanan (O&G) pada tahun 2011 yang menunjukkan kurma boleh membantu memudahkan pembukaan pintu rahim dan membantu proses kelahiran. Oleh itu ia akan mengurangkan kelahiran secara induksi dan pembedahan. Kurma juga membekalkan tenaga segera kepada wanita yang dalam proses melahirkan anak. Kaedah ini patut  diamalkan untuk membantu wanita semasa hendak bersalin.



Kajian juga menunjukkan , buah kurma membantu dalam masalah ketidaksuburan. Kajian menunjukkan pemakanan kurma meningkat kesuburan lelaki kerana kandungan tinggi elemen mikro daripada estrak polen palma (DPP) seperti estrone dan sterols. Kajian berdasarkan model haiwan menunjukkan DPP yang mengandungi kolesterol, rutin, karotenoids meningkatkan paras hormon gonadotropin yang meningkatkan kesuburan. Ia juga meningkat kesuburan wanita.  Oleh itu bagi sesiapa yang mempunyai masalah kesuburan boleh lah mengamalkan makan kurma disamping pemakanan yang sihat yang lainnya.



Mengamalkan makan kurma sebagai satu amalan harian adalah salah satu cara yang baik untuk penjagaan kesihatan. Janganlah hanya makan kurma dalam bulan Ramadhan sahaja atau semasa berpuasa sahaja. Kurma boleh kita makan pada awal pagi sebelum menjamah makanan sarapan pagi dan boleh dijadikan sebagai makanan ‘snek’ sekali sekala dalam satu hari. Jangan pula kita makan terlalu banyak kurma kerana ia mempunyai indeks glisemik yang tinggi. Jadikan Ramadhan ini sebagai permulaan kepada amalan makan kurma dalam rutin seharian kita sebagai satu sunnah dan juga amalan yang baik untuk kesihatan.

Wallahualam

No comments: