Saturday, November 16, 2013

BENARKAH SANTAN MENINGKATKAN KOLESTEROL?

Santan kelapa adalah satu bahan masakan yang digunakan oleh masyarakat di Malaysia sejak dari dahulu lagi. Masakan seperti rendang dan lemang yang popular semasa sambutan hariraya menggunakan santan dalam penyediaannya. Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, masak lemak cili api diamalkan hampir setiap hari juga menggunakan santan. Bukan hanya masyarakat melayu, masyarakat India juga banyak menggunakan santan dalam masakan mereka. Kebanyakan penduduk di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik adalah pengguna santan dalam masakan harian mereka. Santan selalu dikatakan sebagai lemak yang tidak sihat dan boleh menyebabkan masalah kolesterol tinggi. Adakah pendapat ini benar dan bersandarkan kajian saintifik yang betul?
Kita selalu dinasihatkan untuk mengurangkan penggunaan santan dalam masakan seharian kita kerana ia mengandungi lemak tepu yang tinggi dan dikatakan boleh menyebabkan masalah peningkatan paras kolesterol dalam darah. Ada juga pakar pemakanan yang mencadangkan penggunaan susu sebagai ganti kepada santan dalam makanan. Dahulu, saya juga selalu menasihati pesakit saya yang mempunyai masalah kolesterol untuk meninggalkan makan santan kerana dahulu saya berpendapat lemak tepu dalam santan boleh menjadi punca meningkatnya paras kolesterol dalam darah. Setelah membaca pelbagai kajian terkini dalam jurnal-jurnal perubatan saya mendapati kajian-kajian berkenaan penggunaan santan atau minyak kelapa merumuskan fakta yang agak berlainan.


Ironinya terdapat kajian sains mendapati masyarakat yang mengambil santan selalu dalam makanan mereka mempunyai kadar penyakit jantung yang rendah dan paras kolesterol yang rendah juga. Diantara kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan Asia Pasific pada tahun 2011, yang dijalankan di Filipina mendapati pengambilan minyak kelapa dalam makanan seharian dikalangan wanita pra menopaus meningkatkan kolesterol baik HDL-c dan menurunkan kolesterol ‘jahat’ jenis LDL dan Trigliserida. Oleh itu ia mempunyai faedah kesihatan yang baik menurunkan risiko sakit jantung.
Yang lebih menarik lagi adalah, data dari negara Filipina yang dilaporkan oleh Philipine National Nutrition Survey (PNNS) pada 2003  juga mendapati relatif insiden yang rendah untuk masalah kolesterol berlebihan (hypercholesterolemia), darah tinggi (hypertension), angin ahmar (stroke) dan sakit jantung (angina) dikalangan penduduk  di Daerah Bicol yang mengambil santan dan minyak kelapa yang tinggi berbanding daerah lain di Filipina dalam makanan seharian mereka. 
Prof Philippe Legrand dari Peranchis yang merupakan seorang pakar biokimia dari Makmal Biokimia dan Pemakanan Manusia di Universiti Agronomidi, Rennes, Peranchis mempunyai pendapat yang sama berkenaan santan dan kesannya kepada paras kolesterol. Beliau menyatakan bahawa bahan didalam santan atau minyak kelapa iaitu asid laurik dan asid miristik iaitu asid lemak dalam kumpulan asid lemak rantaian sederhana (MCFA) lebih cepat dimetabolismakan dalam hati manusia dan menurunkan paras kolesterol oleh itu ia mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Disamping itu juga santan atau minyak kelapa ini mempunyai kesan positif yang lain seperti anti fungal, anti virus, anti mikrobial dan anti protozoa.  Menurut beliau , santan boleh menjadi sebahagian dari diet yang sihat jika diambil secara sederhana dan tidak menyebabkan peningkatan kolesterol dalam darah.
 
Terdapat juga satu kajian yang dijalankan di Kerala , India yang dilaporkan dalam Indian  Journal of Biochemistry pada tahun 2009 yang memberikan kesimpulan yang positif kepada kesihatan dengan pengambilan santan dalam makanan. Kajian ini membandingkan pengambilan minyak kelapa dengan pengambilan minyak bunga matahari dalam pemakanan seharian dan perbezaannya dengan paras kolesterol diantara keduanya. Hasil kajian ini merumuskan bahawa tiada perbezaan diantara pengambilan diantara kedua-dua jenis minyak masak ini dengan paras kolestrol dalam darah. Oleh itu , pendapat yang menyatakan pengambilan santan menyebabkan peningkatan paras kolestrol dalam darah adalah suatu pendapat yang kurang tepat. 
Terdapat banyak juga kajian lain yang merumuskan fakta yang bertentangan, tetapi kajian-kajian yang terbaru menunjukkan santan bukanlah faktor utama yang menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi. Kajian juga mendapati penduduk dunia yang makan santan setiap hari mempunyai kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding dengan masyarakat moden yang mengambil makanan segera dan makanan proses.
Kajian-kajian terkini mendapati pengambilan karbohidrat dan gula yang tinggi adalah lebih  berkait rapat dengan masalah penyakit kardiovaskular dan peningkatan paras kolesterol berbanding pengambilan lemak atau minyak dalam  makanan. Kajian juga mendapati pesakit kencing manis selalunya mempunyai paras kolesterol yang lebih tinggi kerana paras gula yang tinggi dalam darah walaupun tidak makan santan setiap hari.
Walaubagaimanapun, bersederhana dalam pengambilannya santan adalah lebih baik dan mengawal pengambilan gula yang berlebihan adalah strategi yang baik mengawal paras kolesterol dalam darah dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, Insyaallah.

Wassalam

Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, FAGE, MScAARMAM) 

No comments: