Thursday, May 9, 2013

Tidur dan Kesihatan


 






Dalam musim pilihanraya sekarang, ramai yang tidur lewat kerana menghadiri program-program dan kempen politik. Bagi ahli politik pula, ramai yang tidak mendapat tidur yang cukup kerana kerja keras berkempen hinga ke lewat malam.



 
Dalam kesibukan harian kita , tidur menjadi satu isu yang selalu dipandang remeh . Tidur mempunyai impak kesihatan yang amat besar .Tidur yang berkualiti adalah amat penting untuk kesihatan yang baik. Seseorang yang kurang tidur akan mengganggu kualiti dan fokus pada tugas dan kerja pada waktu siang hari. Semasa seseorang itu tidur, restorasi fizikal dan mental akan berlaku dan ini menyebabkan kita merasa segar dan lebih peka pada waktu pagi jika mendapat tidur yang cukup. Seseorang yang mengalami masalah kekurangan tidur yang kronik akan lebih mudah mendapat stres yang melampau dan meningkatkan risiko mendapat tekanan darah tinggi, sakit jantung, obesiti , kencing manis, kemurungan dan masalah ketidakseimbangan hormon.




Keperluan tidur seseorang berbeza mengikut individu dan secara umumnya seseorang memerlukan diantara 7 hingga 9 jam waktu tidur setiap hari. Jika kita tidak mendapat tidur yang cukup pada malam hari, kita akan merasa penat, mengantuk, lesu dan rasa mudah marah. Kanak-kanak dan remaja memerlukan tidur yang lebih panjang kerana faktor hormon tumbesaran dan melatonin yang lebih tinggi.

Masalah tidak boleh tidur atau insomnia adalah lebih serius yang mungkin berpunca dari stres, kerisauan, kemurungan, ketagihan dadah atau penyakit kronik. Mengatasi masalah insomnia pada puncanya adalah cara terbaik menyelesaikan masalah ini. Jangan bergantung kepada pil tidur kerana ia boleh menyebabkan masalah ketagihan kepada pil tidur dan menyebabkan masalah kesihatan yang lebih buruk.



 
Seseorang yang mempunyai masalah obesiti akan menghadapi masalah tidur yang kronik kerana masalah berdengkur. Ini adalah kerana lemak pada bahagian leher dan tekak akan menekan saluran pernafasan yang menyebabkan bunyi dengkur. Keadaan ini akan menyebabkan ia terjaga beberapa kali dalam satu malam dan ini dipanggil sebagai sindrom apnea tidur (sleep apnoea syndrome). Selalunya pesakit yang menghadapi masalah ini akan merasa lesu dan mengantuk yang melampau pada siang hari. Penyelesaian untuk masalah ini ialah dengan menurunkan berat badan.


Terdapat beberapa tips untuk kita mendapat tidur yang lebih nyenyak dan berkualiti untuk mendapat kesihatan yang lebih baik.

1. Makan terlalu banyak sebelum tidur atau berlapar sebelum tidur akan mengganggu tidur. Jika anda lapar, makanlah makanan yang ringan sekadar mengalas perut sebelum tidur. Anda juga boleh makan buah-buahan seperti buah pisang untuk mengalas perut sebelum tidur.


 
2. Minum susu sebelum tidur boleh membantu tidur yang lebih baik kerana susu mengandungi triptofan iaitu bahan yang boleh meransangkan hormon melatonin yang penting untuk tidur yang nyenyak. Minum susu suam dengan sesudu madu juga baik untuk meransangkan tidur.


 
3. Minum teh atau kopi yang mengandungi kafein akan mengganggu tidur yang lena. Bukan semua orang yang terganggu dengan minuman berkafein. Jika anda sensitif dengan kopi atau teh, maka jangan lah minum sebelum waktu tidur.

4. Beberapa jenis herba juga boleh membantu meransangkan tidur yang lena seperti kamomil dan peppermint yang biasanya diambil dalam bentuk teh herba.


5. Bersenam pada waktu petang secara kerap akan meransangkan tidur yang lebih lena pada malam hari. Jangan bersenam pada waktu malam dan sebelum waktu tidur, kerana ia akan mengganggu waktu tidur anda.


 
6. Jangan merokok sebelum tidur sekurang-kurangnya 2 jam sebelum waktu tidur. Merokok akan mengganggu tidur anda. Adalah lebih baik jika anda berhenti merokok kerana ia merbahaya kepada kesihatan.


 
7. Mandi sebelum tidur boleh membantu anda untuk tidur terutamanya jika cuaca panas dan badan anda berpeluh. Badan yang berpeluh dan melekit akan mengganggu tidur yang lena.


 
8. Tutup semua lampu atau televisyen apabila mula hendak tidur. Ini adalah kerana lampu yang terang dan bunyi yang bising dari televisyen akan mengganggu tidur yang lena.


9. Jangan tidur pada waktu siang terlalu lama kerana tidur berlebihan pada waktu siang akan mengganggu tidur yang lena pada waktu malam.



10. Jika anda mempunyai masalah kencing tidak lawas , janganlah minum air yang banyak sebelum tidur kerana ia akan menyebabkan tidur anda terganggu kerana terpaksa bangun malam dengan kerap untuk membuang air kecil. Masalah ini berlaku terutama kepada warga emas dan wanita.



Tips yang diberikan sekadar panduan umum dan jika anda benar-benar mempunyai masalah untuk tidur dengan lena , maka dapatkanlah bantuan dari doktor. Janganlah memandang ringan kepada masalah tidur kerana ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius untuk jangka masa panjang.

Jika anda benar-benar terjaga diawal pagi dan susah untuk tidur semula, maka ambillah peluang untuk bersolat tahajud kerana ianya sememangnya amat dituntut dalam Islam.

Wassalam



Dr Norman Mohd Norawi