Monday, June 3, 2013

Pemakanan mencegah Kanser



Kanser adalah penyakit yang amat ditakuti oleh masyarakat zaman sekarang. Hampir semua orang kenal dengan seseorang yang mengidap penyakit ini. Terdapat pelbagai kaedah yang boleh kita lakukan untuk mengesan awal kanser dengan ujian darah, X- Ray, CT Scan , MRI, Ultrasound, Pap Smear dan sebagainya. Tetapi semua prosedur ini hanyalah untuk pengesanan awal dan bukanlah pencegahan yang sebenarnya. Tidak dinafikan pengesanan awal kanser adalah satu langkah yang baik untuk kejayaan pemulihan dalam rawatan kanser .


Pencegahan kanser dengan pemakanan adalah satu kaedah yang amat baik untuk mengurangkan risiko mendapat kanser dari bermula. Kajian terbaru membuktikan bahawa pemakanan memainkan peranan yang amat penting untuk mencegah kanser dan juga dalam rawatan penyakit kanser. Kajian mendapati terdapat pengaruh yang kuat pemakanan yang menjadi punca kanser dan penularan kanser. Terdapat juga makanan yang mampu mencegah dan melambatkan penularan kanser dari bermula. Para saintis memberi anggaran bahawa 35% kanser adalah kerana faktor pemakanan.



Beberapa jenis makanan didapati mampu mencegah kanser dan membantu dalam rawatan kanser dan juga beberapa jenis makanan perlu dielakkan untuk mencegah kanser.

Buah-buahan dan sayur-sayuran

Terdapat banyak kajian mendapati pemakanan yang tinggi dengan buah-buahan dan sayur-sayuran mengurangkan risiko pelbagai jenis kanser. Buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi kandungan bioflavonoids, karotenoids, mineral, asid folik dan vitamin C yang bersifat sebagai anti oksidan yang terbukti mencegah kanser. Sebatian-sebatian ini mampu memperlahankan, menghentikan atau membalikkan proses yang menyebabkan kanser .



Proses ini meneutralkan atau detoksifikasi bahan penyebabkan kanser yang dipanggil karsinogen yang boleh menyebabkan perubahan kepada bahan genetik dalam sel-sel berubah menjadi sel-sel kanser. Sebatian-sebatian ini juga menghasilkan pelbagai jenis enzim pelindung kanser dan menghalang kesan buruk hormon yang boleh meransangkan pertumbuhan sel-sel kanser. Asid folik amat penting untuk penghasilan dan pembaikan DNA normal, dan kajian mendapati paras asid folik yang rendah menyebabkan sel-sel lebih mudah berubah menjadi sel-sel kanser.


Sayur-sayuran seperti brokoli,kobis, bunga kobis dan buah-buahan seperti buah epal, buah berri, limau-oren, jambu, buah ‘naga’ (pitaya) dan lobak merah mengandungi flavonoids yang merupakan anti oksidan yang amat baik dan mampu mencegah kerosakan DNA dalam sel dan boleh mencegah sel-sel berubah menjadi sel-sel kanser.

Kajian mendapati tomato dan produk berasaskan tomato mengandungi likopin yang boleh mencegah kanser prostat. Bawang dan bawang putih juga mengandungi bahan kompaun sulfur yang meningkat sistem immuniti yang melawan kanser dan berpotensi mengurangkan penularan kanser. Teh hijau juga mengandungi anti oksidan ‘katechin’ yang sangat tinggi yang telah dikaji mampu mencegah kanser dengan melawan pembentukan karsinogen, meningkatkan pertahanan tubuh menentang kanser dan menekan penularan sel-sel kanser.





Makan berserat tinggi

Makan makanan yang tinggi serat mampu mencegah kanser teruatamanya kanser usus . Serat yang tinggi akan mempercepatkan pergerakan usus oleh itu ia akan meminimakan tempoh sentuhan bahan karsinogen dengan dinding usus dan mengurangkan risiko kanser usus.

Makan berserat tinggi juga akan membantu mengawal berat badan dan mencegah masalah obesiti kerana ianya mempunyai indeks glisemik yang rendah, oleh itu secara tidak lansung mengurangkan risiko kanser kerana obesiti sangat berkaitan dengan masalah kanser.

MAKANAN BERSERAT TINGGI


Makanan berserat tinggi seperti oat, bran gandum dan beras perang juga mengandungi bahan mineral selenium yang tinggi yang merupakan mineral surih anti oksidan yang mampu mencegah kanser. Menurut satu kajian , selenium mengurangkan risiko mendapat kanser paru-paru , prostat dan kolorektal. Dalam kajian ini seramai peserta diberikan selenium 200 mikrogram setiap hari selama empat setengah tahun, didapati insiden kanser menurunkan dengan nyata. Kajian ini diteruskan dengan kombinasi pengambilan selenium dan vitamin E didapati mampu mencegah kanser prostat. Makanan lain yang kaya dengan mineral selenium adalah seperti kerang, kupang, ikan, udang, sotong, daging dan kacang brazil.



Makanan yang perlu dielakkan

Terdapat beberapa jenis makanan perlu dielakkan atau diminimumkan pengambilannya untuk mencegah kanser seperti makanan proses, makanan berlemak tinggi, makanan berjeruk, ikan kering masin, makanan bergoreng, makanan yang disalai dan makanan yang di awet . Kajian mendapati masyarakat yang makan makanan yang berjeruk, bersalai, bergoreng dan diawet mempunyai kadar kanser perut dan esofagus yang tinggi. Makanan bersalai mempunyai poliaromatik hidrokarbon yang tinggi yang diketahui sebagai bahan karsinogen yang boleh menyebabkan kanser. Garam pada ikan masin boleh mencederakan perut dan meningkatkan risiko mendapat kanser perut. Nitrit dalam daging proses seperti ‘hot-dog’ dan daging berger boleh bertukar menjadi nitrosamin yang diketahui sebagai sejenis karsinogen yang boleh menyebabkan kanser. Kajian mendapati, makanan yang tinggi dengan vitamin C dan vitamin E boleh menghalang pembentukan nitrosamin ini. Kajian juga mendapati makanan ringan seperti kerepek, keropok yang mengandungi bahan pengawet dan perwarna yan tinggi boleh meningkatkan risiko mendapat kanser jika dimakan secara kerap.



Minuman keras beralkohol juga meningkatkan risiko kanser esofagus, perut, mulut, tekak dan hati. Alkohol dalam arak juga menyebabkan tubuh manusia akan mengalami masalah kekurangan asid folik, selenium dan vitamin B kompleks. Disinilah kita nampak hikmahnya dalam Islam diharamkan arak sesungguhnya arak itu terlalu banyak keburukannya.



Makanan yang halal dan ‘toyyiban’(baik) didalam Islam adalah makanan yang diberkati. Ini adalah satu tuntutan Islam untuk menjaga kesihatan dengan pemakanan yang menyihatkan. Marilah kita bersama-sama menjaga jasad kita yang diamanahkan oleh Allah dengan mengambil pemakanan yang sihat dan mampu mencegah kanser.



Wassalam



Dr Norman Mohd Norawi

Saturday, June 1, 2013

Promosi Kesihatan satu langkah Proaktif



Setelah kesibukan PRU 13 melabuhkan tirainya maka patut kita semua kembali kepada tugas dan tanggungjawab hakiki kita. Bagi yang telah terpilih menjadi kerajaan yang memerintah maka amanah dan tugas yang berat perlu dipikul untuk memastikan Malaysia terus maju dan makmur.


Salah satu dari tanggungjawab kerajaan yang memerintah adalah menyediakan secukupnya kemudahan kesihatan untuk rakyat. Menyediakan kemudahan fizikal dan prasarana kesihatan seperti klinik dan hospital adalah satu langkah yang baik untuk menjaga kebajikan rakyat. Tetapi faktor yang perlu diambil kira adalah langkah-langkah yang lebih efektif dan agresif dalam mempromosi kesihatan. Kesedaran kesihatan adalah satu perkara yang amat penting kerana kesan jangkamasa panjang akan memberikan pulangan ekonomi yang amat tinggi disamping kesejahteraan dan kemakmuran umum pada semua lapisan masyarakat. Menjaga kesihatan dan mempromosi cara hidup yang sihat adalah selari dengan kehendak Islam dan amat dituntut oleh agama. Usaha yang berterusan amat penting dan yang lebih utama adalah pendidikan kesihatan dengan ilmu yang betul dan bersandarkan fakta sains.

Kos perubatan semakin tahun semakin meningkat diseluruh dunia. Manusia yang hidup dalam zaman moden sekarang dilanda pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol, sakit jantung, kanser, strok dan sebagainya yang dipanggil sebagai penyakit-penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCD). Pemakanan yang tidak sihat dan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok,obesiti, kurang bersenam, ketagihan arak dan sebagainya adalah diantara punca utama ledakan penyakit-penyakit NCD ini. Inilah harga yang dibayar hasil permodenan tamadun manusia sekarang.



Mengikut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di seluruh dunia, pada tahun 2001, 60 peratus dari kematian manusia diseluruh dunia adalah akibat penyakit kronik NCD ini dengan penyakit berkaitan jantung menyumbang kepada 50% daripadanya. Jangkaan WHO, kematian akibat NCD akan meningkat kepada 70% dari jumlah kematian diseluruh dunia menjelang tahun 2020. Ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan apabila Malaysia menjadi negara maju pada 2020. Kebimbangan ini bukanlah sahaja berpunca daripada masalah kesihatan tetapi impak kepada ekonomi dan kewangan masyarakat dan negara. Oleh kerana itu masyarakat dibarat mula sedar dan pelbagai usaha kearah mempromosi cara hidup sihat telah dijalankan dengan meluas dan berterusan. Di barat , terdapat ledakan industri kesihatan yang bermula dengan trend yang di bawa oleh golongan yang dipanggil ‘baby boomers’ yang mahu mengekalkan kesihatan walaupun telah berusia dan revolusi ini dipanggil sebagai ‘anti-penuaan’ atau Anti-Aging Medicine. Konsep sebenarnya adalah penjagaan dan mengekalkan kesihatan hingga ke usia tua. Konsep ini masih baru dan agak asing dari kaedah perubatan konvensional, walaupun hakikatnya ia memfokuskan kepada pencegahan penyakit NCD dengan gaya hidup sihat, senaman, pemakanan yang betul, pengambilan suplemen yang sesuai dan sebagainya. Sehingga kini industri penjagaan kesihatan di seluruh dunia berjumlah ‘Ttrilion dollars’ dan menjadi suatu sumber ekonomi yang amat baik dan berpotensi tinggi.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia , 17 juta iaitu 60.7% dari populasi rakyat Malaysia mengidap penyakit-penyakit NCD ini. Jumlah ini amat membimbangkan kerana ia akan menambahkan beban kos perubatan di Malaysia terutama di hospital-hospital kerajaan yang memberikan rawatan percuma. Oleh kerana itu bajet untuk kesihatan semakin bertambah dari tahun ke setahun dan hampir separuh dari bajet yang diperuntukkan kepada KKM dibelanjakan untuk rawatan penyakit NCD ini. Persoalannya , berapa lama lagikah kerajaan mampu menanggung kos perubatan ini.



Sebagai usaha membendung masalah ini, maka pelbagai program dan promosi kesihatan dijalankan oleh KKM . Kempen mengurangkan penggunaan gula, anti merokok, mencegah obesiti dan sebagainya dijalankan tetapi masih belum mencukupi. Usaha mempromosi kesihatan dan memberikan kesedaran kesihatan kepada semua lapisan masyarakat perlu disokong dan diusahakan bersama oleh semua pihak dari semua lapisan masyarakat termasuklah sekolah, IPT, NGO, sektor kerajaan dan swasta. Usaha mengadakan kawasan bebas asap rokok seperti yang telah di jalankan di Melaka melalui inisiatif Melaka Bebas Asap Rokok patut dicontohi oleh semua kerajaan negeri diseluruh Malaysia dan juga kerajaan pusat.Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya juga patut dijadikan sebagai kawasan bebas asap rokok sebagai satu tanda komitmen yang bersungguh-sungguh oleh kerajaan dalam mempromosi kesihatan. Rokok adalah diantara punca kepada pelbagai jenis penyakit kronik NCD dan kempen yang lebih agresif dan menyeluruh oleh semua pihak amat penting untuk memastikan kejayaannya.


 
Media massa seperti surat khabar, siaran radio dan televisyen juga perlu memainkan peranan yang lebih aktif. Media massa merupakan satu wadah yang amat baik untuk memupuk kesedaran kesihatan yang menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia. Rancangan di televisyen yang memfokuskan isu-isu kesihatan boleh diadakan dengan lebih meluas seperi rancangan realiti TV yang amat popular sekarang. Rancangan realiti TV sekarang lebih memfokuskan kepada nyanyian, lawak, menari, Imam, membaca Al Quran, memasak dan sebagainya. Masih belum lagi ada rancangan realiti TV yang memfokuskan isu-isu kesihatan seperti yang terdapat di barat contohnya rancangan ‘The Biggest Loser’ yang mengfokuskan isu obesiti.



Rancangan televisyen bual-bicara yang membincangkan isu-isu kesihatan oleh pakar-pakar kesihatan yang professional seperti rancangan Dr Oz, Dr Phil dan sebagainya belum ada lagi dalam rancangan televisyen Malaysia. Rancangan keagamaan telah semakin banyak disiar-siarkan di televisyen kita hari ini dan ini adalah satu usaha yang amat baik sebagai usaha dakwah. Tetapi dalam aspek kesihatan kita masih belum lagi menonton rancangan ‘Tanyalah Doktor’ atau apa-apa yang sepertinya. Ruangan bual-bicara di radio-radio juga amat kurang disiarkan dan lebih tertumpu kepada rancangan yang mempromosi produk-produk yang tertentu sahaja. Seringkali dicorong radio kedengaran promosi produk kesihatan dilakukan oleh mereka yang bukan professional dalam bidang kesihatan.


 
Masyarakat kita mesti diberikan kesedaran kesihatan yang betul dengan fakta-fakta sains yang terbukti bersandarkan kajian sains yang sahih. Usaha dan komitmen yang kuat dari kerajaan dan semua lapisan masyarakat amat penting untuk kita berjaya mengurangkan impak ekonomi akibat penularan penyakit NCD ini. Walaupun sudah semestinya bukan seratus-peratus masyarakat yang akan mengikut kaedah gaya hidup sihat ini, tetapi impak dan beban kewangan kepada masyarakat dan negara kita akan dapat dikurangkan dalam jangka masa panjang jika lebih ramai masyarakat Malaysia diberi kesedaran kesihatan yang betul. InsyaAllah.



Wassalam

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, FAGE, MScAAARM