Saturday, June 1, 2013

Promosi Kesihatan satu langkah Proaktif



Setelah kesibukan PRU 13 melabuhkan tirainya maka patut kita semua kembali kepada tugas dan tanggungjawab hakiki kita. Bagi yang telah terpilih menjadi kerajaan yang memerintah maka amanah dan tugas yang berat perlu dipikul untuk memastikan Malaysia terus maju dan makmur.


Salah satu dari tanggungjawab kerajaan yang memerintah adalah menyediakan secukupnya kemudahan kesihatan untuk rakyat. Menyediakan kemudahan fizikal dan prasarana kesihatan seperti klinik dan hospital adalah satu langkah yang baik untuk menjaga kebajikan rakyat. Tetapi faktor yang perlu diambil kira adalah langkah-langkah yang lebih efektif dan agresif dalam mempromosi kesihatan. Kesedaran kesihatan adalah satu perkara yang amat penting kerana kesan jangkamasa panjang akan memberikan pulangan ekonomi yang amat tinggi disamping kesejahteraan dan kemakmuran umum pada semua lapisan masyarakat. Menjaga kesihatan dan mempromosi cara hidup yang sihat adalah selari dengan kehendak Islam dan amat dituntut oleh agama. Usaha yang berterusan amat penting dan yang lebih utama adalah pendidikan kesihatan dengan ilmu yang betul dan bersandarkan fakta sains.

Kos perubatan semakin tahun semakin meningkat diseluruh dunia. Manusia yang hidup dalam zaman moden sekarang dilanda pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol, sakit jantung, kanser, strok dan sebagainya yang dipanggil sebagai penyakit-penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCD). Pemakanan yang tidak sihat dan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok,obesiti, kurang bersenam, ketagihan arak dan sebagainya adalah diantara punca utama ledakan penyakit-penyakit NCD ini. Inilah harga yang dibayar hasil permodenan tamadun manusia sekarang.



Mengikut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di seluruh dunia, pada tahun 2001, 60 peratus dari kematian manusia diseluruh dunia adalah akibat penyakit kronik NCD ini dengan penyakit berkaitan jantung menyumbang kepada 50% daripadanya. Jangkaan WHO, kematian akibat NCD akan meningkat kepada 70% dari jumlah kematian diseluruh dunia menjelang tahun 2020. Ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan apabila Malaysia menjadi negara maju pada 2020. Kebimbangan ini bukanlah sahaja berpunca daripada masalah kesihatan tetapi impak kepada ekonomi dan kewangan masyarakat dan negara. Oleh kerana itu masyarakat dibarat mula sedar dan pelbagai usaha kearah mempromosi cara hidup sihat telah dijalankan dengan meluas dan berterusan. Di barat , terdapat ledakan industri kesihatan yang bermula dengan trend yang di bawa oleh golongan yang dipanggil ‘baby boomers’ yang mahu mengekalkan kesihatan walaupun telah berusia dan revolusi ini dipanggil sebagai ‘anti-penuaan’ atau Anti-Aging Medicine. Konsep sebenarnya adalah penjagaan dan mengekalkan kesihatan hingga ke usia tua. Konsep ini masih baru dan agak asing dari kaedah perubatan konvensional, walaupun hakikatnya ia memfokuskan kepada pencegahan penyakit NCD dengan gaya hidup sihat, senaman, pemakanan yang betul, pengambilan suplemen yang sesuai dan sebagainya. Sehingga kini industri penjagaan kesihatan di seluruh dunia berjumlah ‘Ttrilion dollars’ dan menjadi suatu sumber ekonomi yang amat baik dan berpotensi tinggi.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia , 17 juta iaitu 60.7% dari populasi rakyat Malaysia mengidap penyakit-penyakit NCD ini. Jumlah ini amat membimbangkan kerana ia akan menambahkan beban kos perubatan di Malaysia terutama di hospital-hospital kerajaan yang memberikan rawatan percuma. Oleh kerana itu bajet untuk kesihatan semakin bertambah dari tahun ke setahun dan hampir separuh dari bajet yang diperuntukkan kepada KKM dibelanjakan untuk rawatan penyakit NCD ini. Persoalannya , berapa lama lagikah kerajaan mampu menanggung kos perubatan ini.



Sebagai usaha membendung masalah ini, maka pelbagai program dan promosi kesihatan dijalankan oleh KKM . Kempen mengurangkan penggunaan gula, anti merokok, mencegah obesiti dan sebagainya dijalankan tetapi masih belum mencukupi. Usaha mempromosi kesihatan dan memberikan kesedaran kesihatan kepada semua lapisan masyarakat perlu disokong dan diusahakan bersama oleh semua pihak dari semua lapisan masyarakat termasuklah sekolah, IPT, NGO, sektor kerajaan dan swasta. Usaha mengadakan kawasan bebas asap rokok seperti yang telah di jalankan di Melaka melalui inisiatif Melaka Bebas Asap Rokok patut dicontohi oleh semua kerajaan negeri diseluruh Malaysia dan juga kerajaan pusat.Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya juga patut dijadikan sebagai kawasan bebas asap rokok sebagai satu tanda komitmen yang bersungguh-sungguh oleh kerajaan dalam mempromosi kesihatan. Rokok adalah diantara punca kepada pelbagai jenis penyakit kronik NCD dan kempen yang lebih agresif dan menyeluruh oleh semua pihak amat penting untuk memastikan kejayaannya.


 
Media massa seperti surat khabar, siaran radio dan televisyen juga perlu memainkan peranan yang lebih aktif. Media massa merupakan satu wadah yang amat baik untuk memupuk kesedaran kesihatan yang menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia. Rancangan di televisyen yang memfokuskan isu-isu kesihatan boleh diadakan dengan lebih meluas seperi rancangan realiti TV yang amat popular sekarang. Rancangan realiti TV sekarang lebih memfokuskan kepada nyanyian, lawak, menari, Imam, membaca Al Quran, memasak dan sebagainya. Masih belum lagi ada rancangan realiti TV yang memfokuskan isu-isu kesihatan seperti yang terdapat di barat contohnya rancangan ‘The Biggest Loser’ yang mengfokuskan isu obesiti.



Rancangan televisyen bual-bicara yang membincangkan isu-isu kesihatan oleh pakar-pakar kesihatan yang professional seperti rancangan Dr Oz, Dr Phil dan sebagainya belum ada lagi dalam rancangan televisyen Malaysia. Rancangan keagamaan telah semakin banyak disiar-siarkan di televisyen kita hari ini dan ini adalah satu usaha yang amat baik sebagai usaha dakwah. Tetapi dalam aspek kesihatan kita masih belum lagi menonton rancangan ‘Tanyalah Doktor’ atau apa-apa yang sepertinya. Ruangan bual-bicara di radio-radio juga amat kurang disiarkan dan lebih tertumpu kepada rancangan yang mempromosi produk-produk yang tertentu sahaja. Seringkali dicorong radio kedengaran promosi produk kesihatan dilakukan oleh mereka yang bukan professional dalam bidang kesihatan.


 
Masyarakat kita mesti diberikan kesedaran kesihatan yang betul dengan fakta-fakta sains yang terbukti bersandarkan kajian sains yang sahih. Usaha dan komitmen yang kuat dari kerajaan dan semua lapisan masyarakat amat penting untuk kita berjaya mengurangkan impak ekonomi akibat penularan penyakit NCD ini. Walaupun sudah semestinya bukan seratus-peratus masyarakat yang akan mengikut kaedah gaya hidup sihat ini, tetapi impak dan beban kewangan kepada masyarakat dan negara kita akan dapat dikurangkan dalam jangka masa panjang jika lebih ramai masyarakat Malaysia diberi kesedaran kesihatan yang betul. InsyaAllah.



Wassalam

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, FAGE, MScAAARM



No comments: