Sunday, March 9, 2014

Gula Punca Terbaru Kanser



Bahaya Gula Berlebihan...
Gula telah menjadi satu ‘budaya’ dalam masyarakat Malaysia hari ini. Masyarakat Malaysia sekarang  terlalu bergantung kepada gula. Banyak makanan seperti lauk pauk, kuih-muih, kek, pastri dan sebagainya menggunakan gula dalam ramuannya. Minuman popular seperti teh tarik dan pelbagai jenis minuman bergas sangat tinggi kandungan gulanya.
Sekarang gula telah menjadi suatu barangan yang ‘wajib’ dalam setiap rumah di seluruh dunia. Pengambilan gula telah meningkat dengan begitu ketara sekarang. Pada tahun 2011 penghasilan gula dunia adalah 168 juta tan setahun. Secara purata setiap manusia menggunakan 24kg gula setahun, iaitu 2kg gula sebulan. Di Malaysia, penggunaan gula adalah sehingga hampir 30 sudu sehari menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Saranan dari WHO untuk pengambilan gula yang sihat adalah kurang dari 10 sudu gula sehari.
Gula dan Kesihatan
Gula pasir putih, juga dikenali sebagai sukrosa adalah bentuk gula paling biasa. Maltodekstrin adalah sejenis gula sintetik yang mempunyai indeks glisemik (GI) yang sangat tinggi, yang banyak digunakan dalam makanan dan minuman proses yang ada dalam pasaran sekarang. Pengambilannya juga adalah juga merbahaya kepada kesihatan kita.
Gula dikaitkan dengan lebih 60  jenis penyakit kronik seperti kencing manis, kegemukan, darah tinggi, masalah kolesterol, sakit jantung, strok, masalah buah pinggang, osteoporosis dan pelbagai lagi. Menurut Dr Robert Lustig, gula adalah ‘racun putih’. Fakta mengenainya telah dibentangkan oleh Dr Robert Lustig dalam ceramahnya yang boleh didapati di Youtube yang telah menjadi ‘viral’ sekarang. 
Sebelum Dr Robert Lustig, seorang lagi pakar pemakanan yang terkenal Dr William Coda Martin telah melabelkan gula sebagai ‘racun putih’ pada tahun 1957. Menurutnya gula adalah punca kepada pelbagai penyakit kronik kerana gula adalah karbohidrat tulen tanpa vitamin dan zat mineral. Oleh itu, gula akan ‘melahap’ vitamin dan garam mineral yang sangat berharga daripada tubuh manusia semasa proses metabolisma tubuh.
Seorang lagi ahli biokimia bernama Dr John Yudkin telah membuat laporan mengenai kajian beliau tentang bahaya gula pada tahun 1970. Menurut Dr J.Yudkin, gula adalah punca kepada masalah sakit jantung kerana pengambilan gula berlebihan meningkatkan paras kolesterol jenis trigliserida dan meningkatkan paras hormon insulin dalam darah yang akan akhirnya menyebabkan masalah kencing manis atau diabetis. Kedua-dua penyakit ini telah terbukti sekarang sangat berkaitan dengan pengambilan gula berlebihan. 
Gula mempunyai indeks glisemik(GI)  yang tinggi, oleh kerana penggunaan gula yang amat tinggi dalam masyarakat kita maka ia menjadi punca kepada pelbagai penyakit. Makanan yang mempunyai GI yang tinggi adalah punca kepada masalah sindrom metabolik atau sindrom X. Fakta ini telah saya tuliskan dalam buku saya “ 8 Rahsia Menguruskan Badan tanpa Berdiet” dan juga untuk mendapat maklumat lanjut boleh layari blog : doknorm.co.nr.
Diantara perkara yang tidak kita sedari adalah gula tersembunyi yang banyak didalam makanan. Hampir semua makanan proses menggunakan gula. Kuih muih, kek, biskut , coklat, pastri dan sebagainya amat kaya dengan gula. Minuman bergas dan juga kordial juga mengandungi gula yang tinggi. Tahukah anda bahawa minuman 3-dalam-1 sarat dengan gula terutamanya gula dari jenis gula sintetik iaitu maltodekstrin. Satu cawan minuman kopi putih dan malt coklat mungkin mengandungi tiga hingga empat sudu teh gula. Bayangkan, jika anda meminum hanya dua hingga tiga cawan minuman ini sehari. Anda pasti sudah melebihi had harian yang disyorkan oleh WHO. Ini belum lagi diambil kira beberapa jenis gula yang terkandung dalam makanan-makanan biasa anda.
Dalam satu kajian sains yang dilaporkan pada tahun 2008 dalam jurnal perubatan ‘Neuroscience’, menunjukkan gula mempunyai sifat seperti bahan ‘ketagihan’ yang menyebabkan penggunanya amat susah meninggalkan pengambilan gula setiap hari. Kajian ini juga menunjukkan secara perlahan-lahan kemanisan gula akan semakin kurang dirasakan oleh lidah yang bermaksud pengguna gula akan memerlukan lebih banyak gula secara beransur-ansur untuk mendapat kemanisan yang sama. Apabila seseorang merasa manis dilidah samada melalui makanan atau minuman, ia akan mencetuskan rasa ‘gembira’ dibahagian otak yang mengawal emosi manusia. Kesannya kita akan cenderung untuk makan lebih banyak gula dan apabila kita tidak mendapat gula atau rasa kemanisan itu, maka kita akan tercari-cari sesuatu kekurangan. Cetusan ‘gembira’ setiap kali kita mengambil sesuatu yang manis ini menyebabkan kita semakin lama semakin banyak mengambil gula dalam makanan dan minuman seharian kita. 
Menurut survey oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang dilaporkan NHMS I, pada tahun 1986 kadar pesakit diabetis adalah 6.9 peratus telah meningkat dalam laporan NHMS III kepada 14.9 peratus pada tahun 2006. Amat membimbangkan pada NHMS IV, masalah diabetis ini telah meningkat sehingga 32 peratus pada tahun 2011. Peningkatan masalah diabetis ini adalah selari dengan peningkatan penggunaan gula di Malaysia dari 85gm sehari pada tahun 1985 kepada 105gm sehari pada 2002. Jelas lah disini , peningkatan penggunaan gula di Malaysia adalah berkadar lansung dengan peningkatan jumlah pesakit diabetis atau kencing manis.
Gula dan Kanser
Gula bukanlah semata-mata akan menyebabkan masalah kencing manis atau diabetis sahaja. Kajian terbaru menunjukkan bahwa gula boleh menjadi punca kepada penyakit kanser. Ramai ahli sains telah bersetuju bahawa gula dan pemakanan cara barat adalah diantara punca kepada masalah penyakit kanser yang menular dalam masyarakat moden diseluruh dunia sekarang ini. Kaitan diantara masalah obesiti, diabetis dan kanser pertama kalinya dilaporkan dalam tahun 2004 oleh  World Health Organization’s (WHO) International Agency for Research on Cancer dan ianya tidak mencetuskan apa-apa kontroversi oleh masyarakat dunia  



Menurut satu lagi laporan pada tahun 2007 oleh World Cancer Research Fund and the American Institute for Cancer Research — “Food, Nutrition, Physical Activity and the Prevention of Cancer”terdapat kaitan yang kuat diantara masalah obesiti, diabetis dan sindrom metabolic yang disebabkan pengambilan gula yang berlebihan dengan kanser sekarang. Menurut kajian ini , pengambilan gula berlebihan akan menyebabkan penghasilan hormon insulin yang tinggi yang akan meransangkan pertumbuhan sel tumor. Gula akan masuk kedalam sel melalui sejenis enzim yang dipanggil P13K yang mana kandungannya sangat tinggi dalam sel-sel kanser. Gula boleh dikatakan diantara punca kepada masalah kanser sekarang. Oleh amat penting bagi pesakit kanser meninggalkan terus gula dalam makanan dan minuman seharian mereka dan bagi masyarakat umum amat penting untuk kita mengawal penggunaan gula ini.
Seiring dengannya adalah peningkatan masalah obesiti dan penyakit kronik lain seperti sakit jantung, masalah kolesterol, darah tinggi dan sebagainya. Gula yang berlebihan yang diambil akan disimpan sebagai lemak didalam tubuh manusia. Kadang-kadang kita terkeliru kerana menyangka lemak atau minyaklah menjadi punca kepada masalah kegemukan.Persoalan samada menaikkan harga gula akan menyebabkan pengurangan penggunaan gula masih boleh diperdebatkan, yang pastinya pendidikan tentang bahaya gula lebih penting untuk mendidik masyarakat tentang risiko kesihatan akibat pengambilan gula yang berlebihan.
Jesteru itu, mengurangkan penggunaan gula adalah cara terbaik untuk mengurangkan risiko kita mendapat penyakit kronik. Beransur-ansur kurangkanlah penggunaan gula dalam pemakanan harian kita hingga ke paras yang disyorkan iaitu kurang dari 10 sudu gula sehari. Jika anda suka kepada rasa manis, ambillah buah-buahan yang manis yang lebih sihat disamping itu ianya juga kaya dengan vitamin dan garam mineral yang amat penting untuk fungsi tubuh manusia atau anda boleh beralih kepada penggunaan pemanis yang lebih sihat.
Cara terbaik adalah mendidik ‘lidah’ anda untuk mengurangkan rasa suka kepada benda-benda manis dan memilih minuman dan makanan yang tanpa gula. Kurangkan pengambilan makanan ‘proses’ untuk mengurangkan pengambilan gula tersembunyi.
Kurangkanlah gula demi untuk kesihatan yang baik.

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS(Manipal), MScAARMMA (UCSI), FAGE (MAHE)
Klinik Euzelle


Fahami Pemanis Gantian Asli (Natural)


Dalam artikel saya yang lepas saya telah menerima pelbagai soalan dan kemusykilan tentang tulisan saya. Tulisan saya kali ini adalah sebagai sambungan kepada artikel tersebut dengan membuat sedikit pembetulan.
Pemanis diklasifikasikan dalam dua kumpulan iaitu yang berkalori(Caloric) dan tanpa kalori (Non-Caloric). Dalam kedua-dua kumpulan ini ia seterusnya dipecahkan kepada jenis asli dan tiruan. Pemanis gantian tiruan contohnya  seperti aspartame, sukralos, sorbitol, acesulfame, xylitol, mannitol dan sebagainya.
Pemanis gantian asli dari jenis berkalori termasuklah madu, molasses, sirap maple dan gula palma. Manakala contoh pemanis gantian asli tanpa kalori adalah stevia dan nano sweeta (P3).
Apabila kita membuat pilihan pemanis gantian asli maka kita perlu pertimbangkan faktor kandungan kalorinya, indeks glisemiknya (iaitu kesan pada paras glukosa dalam darah), kandungan vitamin dan mineral serta zat-zat surih, rasa manis dan samada ia stabil dalam masakan . Jika ia berkalori tinggi maka kita perlu mengawal jumlah yang diambil.
Madu adalah pemanis gantian asli yang telah lama digunakan oleh manusia sejak zaman purba. Ia adalah satu alternatif yang sangat baik kepada gula pasir yang biasa kita makan. Madu mengandungi khasiat dan zat-zat pemakanan yang amat baik untuk kesihatan. Kajian menunjukkan madu mempunyai sifat anti oksidan, anti bakteria, anti viral dan anti kulat. Kandungan vitamin dan mineralnya yang sangat tinggi juga amat baik untuk mencegah penyakit. Madu juga baik untuk penyembuhan luka dan luka melecur. Ia juga enak dimakan dengan makanan dan digunakan sebagai salah satu bahan yang biasa dalam resipi makanan kita. Walaubagaimanapun, madu mempunyai indeks glisemik yang tinggi dan nilai kalori yang sangat tinggi. Oleh itu ia tidak sesuai diambil dalam kuantiti yang tinggi dan tidak sesuai untuk pesakit kencing manis.

Gula Palma atau lebih dikenali sebagai ‘gula melaka’ atau ‘gula anau’ di Malaysia sebenarnya adalah pemanis gantian asli yang amat baik. Ramai diantara kita tidak menyedari bahawa gula ini jauh lebih sihat dari gula pasir biasa. Ia telah lama dijadikan bahan untuk membuat kuih-muih, cendol, pengat dan lain-lain makanan tradisi kita. Gula Palma ini boleh dihasilkan dari nira pokok kelapa, pokok enau, pokok kurma dan sebagainya. Kajian yang dibuat di Filipina menunjukkan pemanis dari jenis gula palma ini mempunyai indeks glisemik yang rendah iaitu 35. Ia juga mengandungi vitamin dan mineral didalamnya. Walaubagaimanapun kerana kandungan kalorinya yang tinggi maka jumlah yang diambil perlu dijaga agar tidak berlebihan dan rasanya agak tidak sesuai jika digunakan dalam minuman seperti kopi atau teh. Gula palma ini lebih sesuai digunakan dalam masakan seperti sambal atau kari kerana ia mempunyai rasa yang lebih enak. Disamping itu, kuih muih tempatan kita juga perlu menggunakan lebih banyak gula ini kerana ia lebih sihat dari gula pasir yang biasa.
Sirap Maple adalah sejenis pemanis asli yang banyak digunakan di barat. Ianya juga terdapat di Malaysia dan biasanya dimakan bersama dengan lempeng (pan cake). Sirap maple mempunyai rasa yang enak dan ia amat tinggi dengan vitamin B kompleks. Ia mempunyai nilai indeks glisemik yang lebih rendah daripada gula pasir tetapi pengambilannya perlu dijaga dan jangan berlebihan.

Molasses adalah pemanis yang dihasilkan daripada gula tebu yang berwarna hitam perang. Ia juga amat manis dan mengandungi kandungan mineral yan tinggi seperti magnesium, potassium dan zat besi. Ia lebih banyak digunakan dalam makanan barat dan rasanya tidak sesuai untuk makanan Malaysia. Pengambilannya tidak boleh berlebihan kerana indeks glisemik dan kandungan kalori yang tinggi.
 
Stevia adalah contoh pemanis gantian asli yang tanpa kalori yang popular dipasaran sekarang.  Ia mempunyai indeks glisemik indeks kosong dan tanpa kalori. Terdapat banyak kajian dan data saintifik menunjukkan stevia tidak mempunyai kesan sampingan merbahaya oleh itu pada tahun 2008 ianya telah diluluskan oleh FDA di Amerika Syarikat dengan status GRAS (Generally Recognised As Safe). Sejak itu ia mula dikenali dengan lebih meluas diseluruh dunia. Kajian juga mendapati stevia mempunyai sifat sebagai anti oksidan yang amat baik untuk kesihatan. Rasanya amat manis tetapi terdapat sesetengah orang yang tidak menyukai rasanya selepas ditelan (after taste) dan juga sesetengah orang tidak suka rasanya apabila dicampur dengan kopi atau teh.
 
P3 atau nano sweeta dikategorikan sebagai pemanis gantian asli menurut pakar biokimia iaitu  Prof. Muhammad Mubin dari City University. Menurut beliau dari sudut kimia P3 tidak mengandungi sebarang bahan sintetik atau apa-apa bahan kimia asing didalamnya. Beliau juga sedang membuat kajian klinikal mengenai P3 untuk mengetahui keberkesanannya membantu mengawal paras gula dikalangan pesakit kencing manis. P3 diformulasikan oleh anak Malaysia dan telah didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan sangat baru dalam pasaran.
Ia dihasilkan dari tebu asli dan hanya rasa manis diasingkan secara teknoloji nano. Dalam artikel ini saya ingin memperbetulkan fakta ini setelah mendapat maklumat lanjut daripada Prof. Muhammad Mubin. Oleh kerana ia adalah pemanis gantian asli tanpa kalori dan mempunyai indeks glisemik kosong ia baik digunakan oleh pesakit kencing manis dan juga untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan. Ia juga boleh diamalkan setiap hari sebagai satu alternatif pemanis yang sihat berbanding gula pasir. Walaubagaimanapun, kita perlu berpada-pada dalam pengambilannya kerana  pengambilan yang melampau dan terlalu banyak akan menyebabkan najis cair dan cirit-birit. Tetapi keadaan ini tidaklah membimbangkan kerana biasanya ianya diambil dalam kuantiti yang sangat sedikit hanya beberapa titik sahaja. Sifat ini adalah sama seperti vitamin C yang boleh menyebabkan cirit-birit jika diambil dalam dos yang amat tinggi.
Sebagai pengguna, terpulanglah kepada kita untuk memilih produk yang mana kita suka tetapi perlulah kita bersandarkan informasi yang cukup dan saintifik.
Walaubagaimanapun , mengamalkan minuman yang tawar dan tidak manis adalah lebih baik untuk kesihatan. Pengambilan pemanis gantian ini hanya sesuai jika kita masih suka kepada rasa manis tetapi ingin mengelakkan kesan buruk gula biasa.

Wassalam

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE