Sunday, July 28, 2013

Puasa kunci kesihatan



Telah beberapa hari kita semua menyambut Ramadhan Al Mubarak dan bermulalah ibadah puasa untuk tahun ini. Semua umat Islam diwajibkan berpuasa dan sudah pastinya ibadah solat sunat Tarawikh akan kita semua laksanakan beramai-ramai. Kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadhan berdasarkan firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 183 :


“Hai orang-orang beriman, telah diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”.

Sebagai seorang Islam, kita semua pasti akan berpuasa kerana ianya adalah salah satu rukun Islam yang lima tetapi disebalik kewajipan berpuasa itu terdapat banyak hikmah-hikmah dari sudut kesihatan yang perlu juga kita fahami.

Kajian sains telah menunjukkan dengan berpuasa mempunyai banyak faedah kesihatan. Puasa memberikan kesan positif kepada kesihatan psikoloji dan fizikal. Puasa bertindak sebagai ubat kepada masalah berat badan berlebihan, penghadaman tidak sempurna, stres dan masalah kolesterol berlebihan. Pemerhatian oleh pakar jantung di UAE mendapati semasa bulan Ramadhan, paras kolesterol dalam darah menjadi lebih baik dengan peningkatan paras HDL dan penurunan paras LDL. Ini memberikan kesan positif kepada kesihatan jantung. Pengurangan pengambilan kalori semasa berpuasa juga membantu menurunkan berat badan. Bagi pesakit kencing manis, semasa berpuasa didapati kawalan gula adalah lebih baik dan mudah diturunkan.


Kesan fisioloji berpuasa adalah ia menurunkan paras gula, menurunkan kolesterol, menurunkan tekanan darah tinggi, menurunkan berat badan. Oleh itu ia adalah suatu bentuk rawatan yang ideal untuk pesakit-pesakit kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan obesiti. Pada tahun 1994, Persidangan Antarabangsa kali pertama untuk Kesihatan dan Ramadhan di Casablanca, Maghribi yang telah membentangkan 50 kertas kajian oleh pakar-pakar dari seluruh dunia tentang kelebihan berpuasa kepada kesihatan.Pelbagai kajian telah membuktikan bahawa berpuasa amat baik untuk kesihatan dan kesejahteraan umum tubuh manusia dan juga didapati tiada satu pun kajian menunjukkan kesan buruk berpuasa kepada kesihatan. Walaubagaimanapun , pesakit yang mengidap penyakit kronik yang teruk seperti sakit jantung, buah pinggang, strok dan sebagainya dinasihatkan tidak berpuasa.

Berpuasa akan meningkatkan fungsi hati dan proses detoksifikasi tubuh kita. Sel-sel tubuh dan organ dalaman kita dapat dibersihkan dari pelbagai toksin yang diserap sepanjang tahun. Berpuasa juga meningkatkan sensitiviti insulin kepada sel-sel tubuh dan ia membantu menyeimbangkan sistem metabolisme tubuh dengan mengawal paras gula dengan lebih baik terutama kepada pesakit kencing manis. Dengan mengawal pemakanan dalam bulan Ramadhan, sel-sel lemak yang terkumpul akan dibakar dan tubuh akan menjadi lebih kurus dan bertenaga. Oleh itu amat perlu kita tidak makan secara berlebih-lebihan pada waktu malam sepanjang Ramadhan ini.

Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah dan bukannya bulan pesta makanan. Bulan Ramadhan juga adalah bulan latihan dan kawalan diri dari sudut makan, minum, hubungan seksual dan kehendak-kehendak lain. Ia akan membantu membentuk disiplin diri yang baik jika dilakukan dengan sempurna. Makanan semasa berbuka perlu dikawal jumlahnya dan jenisnya. Jangan terlalu berat semasa berbuka puasa. Berbukalah sebagaimana yang di suruh oleh Rasulullah iaitu dengan makan buah kurma/tamar atau buah-buahan yang manis dahulu. Selepas solat maghrib dan barulah makan makanan yang agak berat dan utamakan makan sayur-sayuran serta minumlah air secukupnya. Minumlah air mineral atau air kosong dan janganlah amalkan minum air manis dan juga air berkarbonat semasa berbuka puasa. Air manis berkalori tinggi dan mempunyai gula yang banyak yang akan menyebabkan masalah kesihatan dikemudian hari.

Ambillah peluang di bulan Ramadhan ini untuk menjaga makanan yang kita makan dan bukannya kita makan sebanyak-banyaknya semasa berbuka hingga tersandar kekenyangan dan malas untuk bersolat. Budaya kita di Malaysia dengan pasar Ramadhan dimana-mana menyumbang kepada masalah makan berlebih-lebihan semasa berbuka. Ini adalah kerana kita akan membeli makanan di pasar Ramadhan semasa perut sedang lapar dan kita cenderung untuk membeli makanan secara berlebih-lebihan. Apabila berbuka kita selalunya tidak habis dan akan membazir makanan. Budaya ini perlu kita kawal dengan masak sendiri dirumah. Berhemah dan berkira-kira semasa membeli makanan dipasar Ramadhan dan janganlah membazir. Sepatutnya berat badan kita akan menurun semasa bulan Ramadhan tetapi malangnya ramai yang mengalami masalah berat badan bertambah.


Rahsia kesihatan dalam puasa Ramadhan adalah bersahur. Bersahur juga membezakan puasa orang Islam dengan puasa agama lain. Dengan bersahur sempurna ia akan membekalkan tenaga yang secukupnya untuk kita berpuasa hingga matahari terbenam. Jangan tinggalkan bersahur kerana jika kita tidak bersahur kita akan terlalu letih dan cenderung untuk makan berlebih-lebihan semasa berbuka.Makanlah makanan yang sihat semasa bersahur dan lebihkan buah-buahan, sayur-sayuran serta lauk-lauk berprotin tinggi semasa bersahur. Sahur juga adalah suatu tuntutan yang amat-amat digalakkan hingga ada ulama berpendapat ianya hampir wajib. Yang paling utama , bersahur akan memberikan keberkatan dalam ibadah puasa yang kita laksanakan sebagaimana Hadis Nabi SAW, dari Anas bin Malik RA,

“Sahurlah kalian kerana dalam sahur terdapat barakah”.

Di bulan Ramadhan juga adalah bulan yang sangat baik bagi perokok berhenti dari tabiat merokok yang merosakkan kesihatan. Jika seseorang boleh bertahan tidak merokok semasa berpuasa teruskanlah tidak merokok sepanjang malam. Tumpukan perhatian kita kepada ibadah serta dapatkanlah kelebihan bulan Ramadhan semaksimum yang mungkin dan lupakanlah rokok. Sia-sialah jika kita berpuasa sepanjang hari tetapi berbuka dengan rokok yang tidak putus-putus kita hisap hingga mengganggu orang lain untuk beribadah di masjid dan surau.

Dengan memfokuskan kepada ibadah dan juga memperbanyakkan membaca Al Quran maka kadar stres dan tekanan akan menurun. Stres yang tinggi dan tidak terkawal adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kemurungan dan sebagainya. Dengan datangnya Ramadhan ini, seharusnya kadar stres kita akan menurun dan memberikan impak positif kepada kesihatan kita secara umumnya.


Ambillah peluang dengan kedatangan Ramadhan ini kita menumpukan kepada ibadah dan secara tidak lansung kita mendapat kesihatan yang baik dengan berpuasa. InsyaAllah.

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, FAGE, MScAAARM

Khasiat Buah Kurma kepada kesihatan sepanjang hayat


Buah kurma amat popular sebagai satu makanan untuk berbuka puasa dalam bulan Ramadhan ini. Berbuka puasa dengan makan buah kurma adalah satu sunnah Nabi Muhammad SAW dan amat digalakkan juga memakannya semasa sahur.


Kurma (Phonex dactylifera) atau Tamar merupakan sejenis tumbuhan yang berbuah dan boleh dimakan sama ada ketika sudah masak atau masih mentah. Kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dan sebahagian daripadanya sudah terbukti secara saintifik. Malah dalam kitab suci al-Qur’an sahaja terdapat 20 ayat yang menyebut tentang kurma. Baginda Rasulullah SAW juga sendiri telah beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, dan amat sinonim dengan kisah sirah baginda.


Pohon kurma adalah salah satu pohon yang ada didalam syurga sebagaimana firman Allah dalam Surah Ar Rahman, ayat 68:

“Di dalam keduanya ada (macam-macam) buah-buahan dari kurma serta delima”.

Pohon kurma sesuai ditanam dikawasan gurun dan panas di negara-negara Timur Tengah dan Utara Afrika . Negara Iraq adalah negara pengeluar kurma terbesar didunia diikuti oleh Arab Saudi dan negara-negara Utara Afrika. Setiap tahun dua juta tan kurma dihasilkan dn terdapat dua ribu jenis kurma didunia ini. Pohon kurma adalah pohon serbaguna yang banyak digunakan oleh masyarakat di Timur Tengah untuk pelbagai urusan hidup mereka. Didalam Al Quran pohon kurma diumpamakan sebagai perumpamaan orang beriman dengan kukuh akarnya seperti kalimat yang baik, sebagaimana Firman Allah dalam Surah Ibrahim, ayat 24-25;

“ Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan pucuknya (menjulang) ke langit, pohon itu memberi buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat”.


Imam Al Qurtubi menyebut bahawa Al Ghaznawi meriwayatkan sebuah hadis Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda:

“Perumpamaan orang beriman itu seperti pohon kurma, jika kamu berteman dengannya maka ia akan memberi manfaat untukmu, jika engkau duduk dengannya ia akan memberi manfaat untukmu dan jika engkau bermusyawarah dengannya ia akan memberikan manfaat untukmu. Seperti pohon kurma, semua yang ada pada dirinya bermanfaat.”

Buah kurma pula sangat tinggi khasiatnya dari segi kesihatan. Ia mempunyai kandungan glukosa yang tinggi dan amat baik untuk memulihkan tenaga yang hilang selepas seharian berpuasa apabila dimakan semasa berbuka. Kandungan seratnya yang tinggi amat baik untuk penghadaman yang baik dan mencegah masalah sembelit.

Buah kurma juga mengandungi anti oksidan yang sangat tinggi yang dinamakan sebagai ‘phenol’ yang baik untuk mencegah kanser dan pelbagai penyakit kronik jika diamalkan selalu. Persatuan Kanser Amerika, mencadangkan pemakanan yang tinggi dengan serat atau fibre sehingga 25 hingga 35 gram setiap hari untuk mencegah kanser usus dan ini boleh dicapai dengan makan kurma yang mengandungi kandungan serat yang amat tinggi. Kurma mengandungi kandungan fiber atau serat boleh larut yang tinggi dan ia juga amat baik mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung koronari.

Buah kurma juga mengandingi semua unsur zat makanan. Di dalam 100gram buah kurma mengandungi 20gram air, 2gram protin, 5gram lemak, 75gram glukosa. Ia juga mengandungi pelbagai vitamin dan garam mineral seperti vitamin A, vitamin C, vitamin B kompleks, potassium, zat besi, sulfur, magnesium, kalsium, kuprum, fosforus dan sebagainya.

Kandungan mineral yang tinggi yang dalam buah kurma amat baik untuk membantu menguatkan tulang dan sendi . Ia juga boleh mencegah masalah osteoporosis atau reput tulang yang biasa berlaku dikalangan warga emas.


Buah kurma juga mempunyai khasiat kesihatan untuk ibu-ibu yang mengandung dan bakal melahirkan anak dengan membekalkan tenaga segera disamping pelbagai khasiat zat-zat makanan didalamnya. Kandungan zat besi yang tinggi dalam buah kurma membantu mencegah masalah kekurangan sel darah merah (anaemia) dan ia amat baik untuk ibu selepas melahirkan anak.

Buah kurma boleh mengurangkan risiko mendapat angin ahmar kerana garam potassium didalamnya yang tinggi. Dalam satu kajian di University of Minesota, buah kurma boleh membantu mengawal tekanan darah tinggi dengan lebih baik kerana kandungan potassiumnya. Buah kurma juga mengandungi vitamin B3 atau Niasin yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.

Buah kurma tidak akan menyebabkan masalah kegemukan walaupun kandungan glukosa yang tinggi didalamnya kerana kandungan seratnya yang tinggi juga. Tetapi, ia boleh membantu seseorang yang kurus kering untuk menambahkan berat badan jika dimakan selalu kerana ia akan membantu menambahkan saiz otot dan kekuatan otot.

Didalam Al Quran buah kurma atau An Nakhlah disebut sehingga dua puluh kali yang membuktikan kepentingannya sebagai makanan, kesihatan, kebaikan dan harta.Didalam surah Al-An’am, ayat 99 firman Allah yang bermaksud:

“Dan dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan yang menghijau, Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu buah yang banyak, dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang berjurai-jurai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikan buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan (perhatikanlah pula) apabila ia masak. Sesungguhnya pada yang demikian itu tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.”



 
Biji kurma juga digunakan untuk membuat minyak biji kurma dan hampas biji kurma digunakan sebagai makanan haiwan ternakan.

Kita seharusnya terus makan buah kurma sepanjang tahun dan bukan hanya sewaktu bulan Ramadhan kerana khasiatnya yang amat baik untuk kesihatan. Amalkan makan buah kurma setiap pagi sebelum sarapan dalam bulan-bulan lain kerana ia akan memberikan tenaga segera kepada kita diwaktu pagi dan juga membekalkan pelbagai vitamin dan mineral untuk keperluan harian kita.

Dr Norman Mohd Norawi

(MBBS,FAGE, MScAAARM)

Thursday, July 18, 2013

Consultant Anti Aging, Aesthetic & Regenerative Medicine

Bermula 10 Jun 2013 saya telah dilantik sebagai Visiting Consultant Anti Aging, Aesthetic & Regenerative Medicine di :

OPTIMUM HEALTH CLINIC
2nd Floor, KPMG Tower, Persiaran Bandar Utama,
First Avenue,
Bandar Utama, 
Petaling Jaya,
Selangor 



Optimum Health Clinic ditubuhkan oleh Tan Sri Dato Ir. Othman Merican sejak Februari 2012

Saya akan menjalankan rawatan Aesthetic dan Anti aging di klinik ini.

Waktu konsultasi : Setiap Selasa & Rabu
                             10.00am - 5.00pm


1. Medical Aesthetic

  • BTA – Botox/ Dysport / Neuronox** for non muslim only
  • Fillers
  • Microdermabrasions
  • Fibroblast Stem cell (Neufirm)
  • Laser Therapy - Medlite & Fractional CO2
  • PRP




2. Weight Loss Managements


  • Dietary Counseling
  • Exercise Counseling
  • Lipo Trim Programme
  • Hormonal Treatment and Supplements
3. Vitamins and Supplements Consultations

4. Bio Identical Hormonal Therapy

5. Smoking Cessations Treatment

Saya juga sedang dalam proses untuk mengadakan produk kosmetik atas jenama saya sendiri :
  • Dr Norman Estetique
  • Dr Norman Wellness
Produk berkonsepkan organik, berasaskan tumbuh-tumbuhan dan HALAL
Produk juga adalah 'Premium Medical Grade' berdasarkan formulasi saya sendiri.
Sedang berkerjasama dengan HDC untuk mempromosi produk ini

Doakan semoga semua usaha saya berjaya dan diberkati ALLAH



Wassalam

Dr Norman Mohd Norawi

Saturday, July 13, 2013

Sel Stem...Potensi masa depan perubatan ..?



Kita selalu mendengar tentang sel stem tetapi ramai yang keliru tentang fakta yang sebenarnya. Pelbagai produk membuat dakwaan bahawa produk mereka mempunyai sel stem sedangkan hakikatnya ia tidak mengandungi walaupun satu sel didalamnya.


Sel stem adalah sel induk atau sel asas yang mempunyai kelebihan menjadi sel-sel lain dalam tubuh manusia. Oleh itu ia berpotensi untuk membantu pemulihan sel-sel yang telah mati, rosak atau berpenyakit. Terdapat dua jenis sel stem iaitu sel stem embrionik (embryonic stem cells) dan sel stem dewasa (adult stem cells). Sel stem dewasa juga dipanggil sebagai sel stem mesenchymal (MSC). Sel stem embrionik adalah lebih berpotensi untuk menjadi semua jenis sel dalam tubuh manusia kerana ia bersifat pluripoten.Sel stem embrionik mencetuskan kontroversi dan isu etika kemanusiaan kerana ianya diambil dari sel janin awal (zygote) yang akan mati selepas diambil sel-sel ini. Oleh kerana itu sel stem embrionik tidak lagi diamalkan dan digunakan secara meluas dalam kajian.


Sel stem dewasa diambil dari pelbagai bahagian tubuh manusia seperti kulit, mata, darah, lemak, plasenta dan sebagainya. Kajian terkini lebih kepada sel stem dewasa yang mempunyai potensi untuk dikembangkan. Sel stem dewasa boleh berubah menjadi sel-sel lain tetapi ia agak terhad kerana ia bersifat ‘multipoten’ dan kurang ‘versatil’ berbanding sel stem embrionik.


 
Pada tahun 2006, Dr Syinka Yamanaka adalah saintis di Jepun telah menemui protin khas yang boleh menukar sifat multipoten kepada sifat plupoten sel stem dewasa dan membuatkan kajian sel stem ini tambah menarik dan amat berpotensi untuk berkembang dengan lebih maju lagi. Beliau telah diberikan Anugerah Nobel pada tahun 2012 kerana penemuan yang amat berharga ini.


 
Kajian sel stem ini telah terbantut seketika perkembangannya kerana telah di halang oleh kerajaan Amerika Syarikat ( USA) pada tahun 2001. Tetapi pada tahun 2009, Presiden Obama telah membenarkan semula kajian tentang sel stem kerana potensinya yang amat besar dalam bidang perubatan. Selepas itu kajian tentang telah berkembang dengan amat pesat di seluruh dunia hingga sekarang.Terdapat banyak kajian tentang sel stem ini didalam bidang perubatan regeneratif, penghasilan organ untuk transplan, perubatan estetik dan proses penuaan sihat.


 
Diantara kajian yang sedang dijalankan adalah dalam rawatan atau terapi penyakit-penyakit seperti kecederaan saraf tunjang, diabetis, penyakit Parkinson, Alzheimer, penyakit jantung, strok, rheumatoid arthritis, osteoathritis, buah pinggang, estetik perubatan dan pelbagai lagi. Sel stem juga digunakan dalam kajian penghasilan tisu dan organ dalam bidang perubatan transplan. Terdapat beribu-ribu kajian sedang dijalankan diseluruh dunia tentang sel setem dan hampir separuhnya masih lagi dalam fasa pertama. Mungkin satu hari nanti pelbagai jenis penyakit akibat kerosakan organ kekal seperti buah pinggang, jantung, pundi kencing, salur pernafasan trakea dan sebagainya boleh dirawat dengan menggantikannya dengan organ yang dihasilkan daripada sel stem.

Perlu kita fahami bahawa sel stem ini adalah amat mudah rosak dan mati jika terdedah kepada suhu yang tinggi dan juga ia perlu diletakkan dalam cecair yang lengkap dengan segala nutrisi yang diperlukan. Oleh itu adalah mustahil jika mana-mana produk boleh mengatakan produk mereka mempunyai sel stem kerana sel stem tidak boleh diletakkan didalam krim atau serum.


 

Sebelum ini terdapat beberapa prosedur rawatan di hospital menggunakan asas konsep sel stem seperti pemindahan sum-sum tulang dalam rawatan kanser darah ( leukimia), lain-lain penyakit darah dan sebagainya tanpa disedari oleh doktor. Baru sekarang, saintis mula memahami bahawa sum-sum tulang mempunyai kandungan sel stem yang amat tinggi yang membantu dalam rawatan tersebut. Hakikatnya pemindahan sum-sum tulang adalah satu bentuk rawatan dengan sel stem yang telah bertahun-tahun dilakukan dihospital-hospital seluruh dunia.

Perlu diingatkan bahawa semua kajian tentang sel stem masih lagi baru dan dalam proses untuk diterima sepenuhnya dalam bidang perubatan. Sel stem mempunyai potensi untuk merevolusi bidang perubatan daripada merawat hanya simptom dan gejala penyakit kepada memulihkan dan restorasi kesihatan yang lebih menyeluruh, kepulihan kecederaan , penyakit degeneratif dan penuaan. Malangnya akibat halangan perkembangannya pada tahun 2001 menyebabkan kajian tentang sel stem sebagai satu bentuk rawatan atau terapi menjadi terlambat dan tertangguh hingga kini.

Sementara semua kajian sel stem ini telah benar-benar mantap dan kajian mengenainya telah lengkap maka kita perlu berhati-hati dengan pelbagai pihak yang mengaku mereka menggunakan rawatan dengan ‘stem sel’ yang sebenarnya tidak tepat atau sekadar memperdaya pengguna produk mereka. Ini mungkin kerana sehingga kini tiada undang-undang khusus yang menghalang mana-mana pengeluar produk dari menggunakan istilah ‘stem sel’ dalam produk mereka.

Semoga suatu hari istilah rawatan sel stem yang sebenar akan menjadi suatu yang sinonim dengan dunia perubatan moden, Insyaallah.



Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, FAGE, MScAAARM



Jerebu..Bala atau Cubaan?



Jerebu melanda semula negara kita dengan teruk pada tahun ini sehinggakan Muar dan Ledang diistiharkan sebagai kawasan darurat kerana nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 750. Sehingga hari ini asap jerebu ini telah merebak ke Lembah Kelang dan Port Dickson, Negeri Sembilan. Pantai Timur Semenanjung dan Utara Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak juga menghadapi masalah jerebu ini.


Ini adalah suatu keadaan yang amat membimbangkan kerana ia menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia walaupun puncanya dari negara seberang. Kita semua tahu bahawa jerebu ini adalah hasil dari perbuatan segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang membakar kawasan hutan dan ladang yang menyebabkan kebakaran yang tidak dapat dikawal. Apabila jerebu melanda semua lapisan masyarakat akan mendapat kesannya.

Didalam Al Quran, bala asap atau jerebu ini dipanggil sebagai Ad-Dukhan. Bencana ini adalah kerana perbuatan manusia sendiri, sebagaimana yang dinyatakan dalam Al Quran dalam Surah Ar Rum ayat 41:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).


Kita sebagai umat Islam patut mengambil iktibar dan pengajaran dari kejadian ini samada ianya sebagai satu bala atau cubaan dari Allah. Sama-sama lah kita berdoa supaya Allah menurunkan hujan untuk mengurangkan masalah jerebu ini kerana sesungguhnya hujan itu adalah rahmat dari Allah. Seruan kerajaan agar semua masjid dan surau mengadakan solat istisqa’ patut kita jayakan bersama-sama demi kesejahteraan negara kita yang dicintai ini.



Dari perspektif perubatan pelbagai jenis penyakit akan timbul akibat bencana jerebu ini terutama penyakit berkaitan saluran pernafasan, kulit dan alahan. Ini adalah kerana asap jerebu mengandungi pelbagai jenis bahan toksin yang menyebabkan irritasi kepada saluran pernafasan dan mata. Bukan itu sahaja, bagi pesakit yang sememang telah mengalami masalah paru-paru seperti pesakit asthma dan bronkitis akan menjadi lebih teruk. Kerana itulah laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia telah menunjukkan peningkatan sehingga 120 peratus insiden pesakit mendapat masalah penyakit saluran pernafasan yang datang ke klinik-klinik diseluruh Malaysia.


 
Indek Pencemaran Udara (IPU) boleh menjadi satu panduan umum bagi kita untuk menentukan tahap berjaga-jaga apabila jerebu melanda. Jika nilai IPU adalah kurang dari 50 maka paras itu adalah biasa dan tidak merbahaya. Nilai IPU diantara 50 hingga 100 adalah tahap sederhana, dan jika nilai IPU diantara 100 ke 200 dikira sebagai tidak sihat dan semua kita dinasihatkan supaya lebih banyak tinggal didalam rumah atau bangunan sahaja. Jika nilai bacaan IPU diantara 200 ke 300 maka ia adalah sangat tidak sihat. Jika bacaan melebihi 300 itu dikira sebagai merbahaya kepada kesihatan dan boleh mengancam nyawa kepada pesakit-pesakit yang mempunyai paru-paru yang lemah terutama kanak-kanak dan orang tua. Oleh kerana itu pengistiharan darurat patut dilakukan dikawasan yang amat tinggi bacaan IPUnya kerana dalam keadaan itu semua lapisan masyarakat patut berlindung dalam rumah masing-masing dan tidak keluar rumah.


 
Bergantung kepada berapa sensitif seseorang kepada asap jerebu ini maka beberapa kesan jangkamasa pendek boleh dirasai apabila kita terdedah dengan asap jerebu seperti irritasi mata iaitu mata berair dan merah, selsema , hidung tersumbat, bersin, tekak terasa kering dan perit, batuk-batuk, sakit kepala, pening-pening, rasa lemah dan stres, sakit bahagian dada dan rasa susah bernafas. Kulit juga akan mengalami masalah gatal-gatal dan alahan serta ruam bagi mereka yang sensitif kepada bahan kimia beracun dalam asap jerebu ini. Jika anda mengalami masalah ini maka anda perlu berlindung dirumah dan jangan keluar. Minumlah air dengan lebih banyak dan mandi serta tukar pakaian jika anda balik kerumah selepas keluar. Anda juga boleh mengambil lebih banyak Vitamin C, Vitamin E , Omega 3 dan Multivitamin untuk menguatkan sistem pertahanan tubuh anda.

Bagi pesakit asthma, bronkitis, paru-paru berair, emfisima anda juga tidak digalakkan keluar rumah dan hadkan aktiviti diluar. Jika anda mendapat serangan asthma maka anda perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Bagi bayi dan anak-anak kecil, janganlah dibawa keluar rumah jika tiada keperluan yang mendesak. Tutup semua pintu dan tingkap dan jika boleh gunakan penyaman udara. Jika anda memandu kenderaan, pastikan anda menggunakan penghawa dingin dan jangan membuka tingkap semasa memandu. Jika anda perlu keluar dari rumah, maka gunakan topeng muka dan jika boleh gunakan topeng muka dari jenis N95 kerana ia lebih baik untuk menapis asap jerebu berbanding topeng muka biasa.



Kajian juga mendapati, perokok lebih mudah mendapat kesan buruk jerebu kepada kesihatan kerana paru-paru mereka lebih lemah. Bagi perokok, keadaan bencana jerebu ini boleh dijadikan satu iktibar dan pengajaran. Jika anda merasa lemas dengan asap jerebu ini, cuba bayangkan orang-orang disekeliling anda yang selama ini juga lemas dengan asap rokok anda setiap hari. Agak ironi bagi perokok yang menggunakan topeng muka kerana takutkan jerebu, tetapi dalam masa yang sama menghisap rokok dengan selamba tanpa rasa takut dengan asap rokok yang mereka hisap setiap hari. Saranan saya, perokok agar mula berfikir dan buatlah keputusan untuk berhenti merokok sekarang. Menjelang Ramadhan ini, maka teruskanlah usaha untuk berhenti merokok ini demi kesihatan dan iman.

Terdapat juga kajian mendapati jerebu ini mempunyai kesan jangkamasa panjang kepada kesihatan masyarakat jika jerebu ini selalu berulang setiap tahun seperti peningkatan serangan jantung, jangkitan paru-paru, kencing manis, kronik stres, sinusitis kronik (resdung), kelahiran pra matang, keguguran, kelahiran bayi kurang berat, kecacatan bayi baru lahir, kronik asthma dan sebagainya. Kesan jangka masa panjang jerebu ini adalah seperti kesan merokok kepada kesihatan. Oleh itu, kita benar-benar berharap semoga kejadian bencana jerebu yang serius seperti ini tidak akan berulang setiap tahun dan akan merosakkan kesihatan masyarakat kita semua. Usaha-usaha proaktif perlu di gembleng dan dibuat secara serius merentas sempadan negara dalam menangani masalah ini demi kesejahteraan dan kesihatan masyarakat kita semuanya. Insyaallah.



Wassalam



Dr Norman Mohd Norawi

(MBBS, FAGE, MScAAARM)



Kencing Manis Punca Lemah Syahwat




Penyakit kencing manis adalah penyakit yang banyak dihidapi dalam masyarakat sekarang ini. Menurut survey oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2011, sebanyak 24.38 peratus penduduk Malaysia berumur lebih dari 18 tahun adalah pesakit kencing manis. Kencing manis berpunca daripada pemakanan yang tinggi dengan gula dan karbohidrat berglisemik indeks tinggi serta gaya hidup yang kurang sihat seperti kurang bersenam, merokok dan sebagainya.




 
Kencing manis adalah penyakit yang menjadi punca kepada masalah lemah syahwat bagi kedua-dua lelaki dan wanita. Selalunya masalah ini di sorokkan oleh pesakit dan tidak mahu berbincang dan mendapatkan pertolongan dari doktor.

Kajian sains terbaru menunjukkan, 60-65% pesakit kencing manis lelaki mempunyai masalah mati pucuk iaitu masalah mencapai ketegangan zakar atau masalah tidak mampu mengekalkan ketengangan zakar. Ini adalah masalah paling biasa berlaku dikalangan pesakit kencing manis. Ia nya berpunca dari saluran darah ke zakar menjadi keras akibat pemendapan kolesterol (atherosclerosis) pada dinding saluran darah dan juga kerana berlaku kerosakan saraf (nephropathy) zakar kerana gula dalam darah yang tinggi. Ia juga kerana berlaku masalah stress atau tekanan akibat rasa rendah diri atau rasa takut zakar tidak cukup keras.

Kerosakan saraf akibat kencing manis berlaku kerana paras gula yang tidak dikawal dan juga kerana saluran darah halus yang rosak (microangiopathy) menyebabkan saraf tidak mendapat bekalan oksigen dan nutrien yang secukupnya. Akibat kerosakan saraf ini maka isyarat dari otak gagal sampai ke zakar yang menyebabkan ianya tidak menegang apabila berlaku stimulasi seksual.

Saluran darah yang menyempit kerana faktor atherosclerosis menyebabkan aliran darah yang lemah dan kurang untuk menegangkan zakar dan mengekalkan ketegangan zakar dengan lebih lama. Kajian mendapati, pesakit kencing manis adalah lebih mudah mendapat masalah penyempitan saluran darah akibat atherosclerosis ini. Kebiasaannya , pesakit kencing manis juga mengalami masalah tekanan darah tinggi yang menambahkan lagi penyempitan saluran darah. Terdapat juga beberapa jenis ubat darah tinggi yang mempunyai kesan sampingan yang menyebabkan masalah mati pucuk ini.


 
Pesakit kencing manis yang tidak mengambil rawatan dengan betul dan mempunyai masalah gula yang tidak terkawal juga menyebabkan berlakunya kekurangan bahan ‘nitrik oksida’ yang membantu dalam proses menenangkan zakar. Paras gula yang tinggi juga mengurangkan nafsu syahwat atau libido. Mengawal paras gula dengan lebih baik dengan mengikut nasihat doktor maka masalah ini boleh di kurangkan kerana paras gula yang terkawal akan mengembalikan nafsu syahwat tadi.

Rawatan dengan ubat-ubatan boleh diberi oleh doktor dengan ubat seperti sildenafil, taladafil dan vardenafil telah membantu mengatasi masalah mati pucuk dikalangan pesakit kencing manis. Terdapat juga rawatan lain yang boleh diberikan oleh doktor pakar seperti suntikan alprostadil dan pam vakum. Oleh kerana itu dapatkanlah rawatan dengan doktor yang bertauliah jika anda pesakit kencing manis yang menghadapi masalah ini. Masalah mati pucuk ini sangat kerap berlaku dikalangan pesakit kencing manis 10 ke 15 tahun lebih dahulu berbanding lelaki yang tiada penyakit kencing manis tetapi kebanyakan pesakit menyembunyikannya atau mendapatkan rawatan tradisional seperti mengurut atau mengambil pelbagai ubat herba yang belum terbukti berkesan merawat masalah ini. Mengubah gaya hidup kepada gaya hidup yang lebih sihat dengan bersenam dan meninggalkan tabiat buruk seperti merokok boleh membantu mengurangkan masalah mati pucuk dikalangan pesakit kencing manis.

Terdapat juga pesakit kencing manis menhadapi masalah ‘pancutan berbalik’ (retrograde ejaculation) kerana kerosakan pencerut pada leher pundi kencing. Kerosakan ini berlaku kerana saraf yang mengawal pencerut ini rosak akibat paras gula yang tinggi dalam darah dikalangan pesakit kencing manis. Masalah ini boleh menyebabkan kemandulan dikalangan pesakit kencing manis lelaki.

Kajian juga menunjukkan nafsu syahwat menurun kerana paras hormon lelaki iaitu testosteron dikalangan pesakit lelaki yang mengidap kencing manis adalah rendah. Ini adalah kerana paras insulin yang tinggi akan menyebabkan paras testosterone menurun. Oleh kerana itu, kebanyakan pesakit kencing manis mempunyai masalah perut buncit, otot mengecut dan lemah yang merupakan tanda luaran kekurangan hormon testosteron ini. Menurunkan berat badan , pengawalan gula yang lebih baik dan bersenam dengan lebih kerap akan membantu meningkatkan paras hormon testosteron. Terdapat juga rawatan hormon gantian testosteron untuk membantu masalah ini dan anda perlu berjumpa doktor untuk membantu anda mendapatkan rawatan ini.



Bagi wanita juga akan menghadapi masalah kurang nafsu syahwat apabila mengidap penyakit kencing manis. Pesakit kencing manis wanita akan menghadapi masalah kekeringan faraj, sakit semasa bersetubuh, susah mencapai orgasma dan tidak bernafsu jika paras gula tinggi dan tidak terkawal. Masalah kekeringan faraj adalah kerana pengaliran darah yang tidak lancar ke faraj kerana faktor penyempitan saluran darah akibat masalah pengerasan saluran darah (atherosclerosis).

Bagi wanita yang menghadapi masalah kekeringan boleh menggunakan gel pelincir. Rawatan dengan krim estrogen atau pessari boleh diberikan oleh doktor terutama bagi wanita yang menopause atau dekat dengan menopause yang menghidap kencing manis. Wanita yang menghadapi masalah sakit semasa bersetubuh mungkin adalah kerana jangkitan kulat candida pada faraj yang amat selalu berlaku kepada pesakit kencing manis. Rawatan anti kulat oleh doktor akan membantu dalam masalah ini.

Pesakit kencing manis wanita yang mempunyai paras gula yang tidak terkawal akan hilang nafsu seks kerana paras gula yang turun naik akan mengakibatkan rasa lesu dan tidak bermaya. Pengawalan gula yang lebih stabil akan mengembalikan nafsu syahwat ke paras yang normal.

Cara terbaik mengekalkan nafsu syahwat yang sihat ialah dengan tidak mendapat penyakit kencing manis dan jika anda mengidap kencing manis maka pengawalan gula kepada paras yang stabil dan terkawal akan mengurangkan kesan kepada masalah seksual lelaki dan wanita. Kepentingan hubungan seksual diantara lelaki dan wanita amat penting bagi suami dan isteri untuk menjamin kebahagiaan rumah tangga ke akhir hayat.

Pemakanan yang sihat, bersenam dan mengelak faktor risiko seperti merokok amat penting menjaga kesihatan seksual kita sehingga ke usia tua. Jagalah kesihatan anda ke akhir hayat kerana ia amat dituntut dalam Islam.

Wassalam



Dr Norman Mohd Norawi

(MBBS, FAGE, MScAAARM)