Sunday, July 28, 2013

Khasiat Buah Kurma kepada kesihatan sepanjang hayat


Buah kurma amat popular sebagai satu makanan untuk berbuka puasa dalam bulan Ramadhan ini. Berbuka puasa dengan makan buah kurma adalah satu sunnah Nabi Muhammad SAW dan amat digalakkan juga memakannya semasa sahur.


Kurma (Phonex dactylifera) atau Tamar merupakan sejenis tumbuhan yang berbuah dan boleh dimakan sama ada ketika sudah masak atau masih mentah. Kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dan sebahagian daripadanya sudah terbukti secara saintifik. Malah dalam kitab suci al-Qur’an sahaja terdapat 20 ayat yang menyebut tentang kurma. Baginda Rasulullah SAW juga sendiri telah beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, dan amat sinonim dengan kisah sirah baginda.


Pohon kurma adalah salah satu pohon yang ada didalam syurga sebagaimana firman Allah dalam Surah Ar Rahman, ayat 68:

“Di dalam keduanya ada (macam-macam) buah-buahan dari kurma serta delima”.

Pohon kurma sesuai ditanam dikawasan gurun dan panas di negara-negara Timur Tengah dan Utara Afrika . Negara Iraq adalah negara pengeluar kurma terbesar didunia diikuti oleh Arab Saudi dan negara-negara Utara Afrika. Setiap tahun dua juta tan kurma dihasilkan dn terdapat dua ribu jenis kurma didunia ini. Pohon kurma adalah pohon serbaguna yang banyak digunakan oleh masyarakat di Timur Tengah untuk pelbagai urusan hidup mereka. Didalam Al Quran pohon kurma diumpamakan sebagai perumpamaan orang beriman dengan kukuh akarnya seperti kalimat yang baik, sebagaimana Firman Allah dalam Surah Ibrahim, ayat 24-25;

“ Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan pucuknya (menjulang) ke langit, pohon itu memberi buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat”.


Imam Al Qurtubi menyebut bahawa Al Ghaznawi meriwayatkan sebuah hadis Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda:

“Perumpamaan orang beriman itu seperti pohon kurma, jika kamu berteman dengannya maka ia akan memberi manfaat untukmu, jika engkau duduk dengannya ia akan memberi manfaat untukmu dan jika engkau bermusyawarah dengannya ia akan memberikan manfaat untukmu. Seperti pohon kurma, semua yang ada pada dirinya bermanfaat.”

Buah kurma pula sangat tinggi khasiatnya dari segi kesihatan. Ia mempunyai kandungan glukosa yang tinggi dan amat baik untuk memulihkan tenaga yang hilang selepas seharian berpuasa apabila dimakan semasa berbuka. Kandungan seratnya yang tinggi amat baik untuk penghadaman yang baik dan mencegah masalah sembelit.

Buah kurma juga mengandungi anti oksidan yang sangat tinggi yang dinamakan sebagai ‘phenol’ yang baik untuk mencegah kanser dan pelbagai penyakit kronik jika diamalkan selalu. Persatuan Kanser Amerika, mencadangkan pemakanan yang tinggi dengan serat atau fibre sehingga 25 hingga 35 gram setiap hari untuk mencegah kanser usus dan ini boleh dicapai dengan makan kurma yang mengandungi kandungan serat yang amat tinggi. Kurma mengandungi kandungan fiber atau serat boleh larut yang tinggi dan ia juga amat baik mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung koronari.

Buah kurma juga mengandingi semua unsur zat makanan. Di dalam 100gram buah kurma mengandungi 20gram air, 2gram protin, 5gram lemak, 75gram glukosa. Ia juga mengandungi pelbagai vitamin dan garam mineral seperti vitamin A, vitamin C, vitamin B kompleks, potassium, zat besi, sulfur, magnesium, kalsium, kuprum, fosforus dan sebagainya.

Kandungan mineral yang tinggi yang dalam buah kurma amat baik untuk membantu menguatkan tulang dan sendi . Ia juga boleh mencegah masalah osteoporosis atau reput tulang yang biasa berlaku dikalangan warga emas.


Buah kurma juga mempunyai khasiat kesihatan untuk ibu-ibu yang mengandung dan bakal melahirkan anak dengan membekalkan tenaga segera disamping pelbagai khasiat zat-zat makanan didalamnya. Kandungan zat besi yang tinggi dalam buah kurma membantu mencegah masalah kekurangan sel darah merah (anaemia) dan ia amat baik untuk ibu selepas melahirkan anak.

Buah kurma boleh mengurangkan risiko mendapat angin ahmar kerana garam potassium didalamnya yang tinggi. Dalam satu kajian di University of Minesota, buah kurma boleh membantu mengawal tekanan darah tinggi dengan lebih baik kerana kandungan potassiumnya. Buah kurma juga mengandungi vitamin B3 atau Niasin yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.

Buah kurma tidak akan menyebabkan masalah kegemukan walaupun kandungan glukosa yang tinggi didalamnya kerana kandungan seratnya yang tinggi juga. Tetapi, ia boleh membantu seseorang yang kurus kering untuk menambahkan berat badan jika dimakan selalu kerana ia akan membantu menambahkan saiz otot dan kekuatan otot.

Didalam Al Quran buah kurma atau An Nakhlah disebut sehingga dua puluh kali yang membuktikan kepentingannya sebagai makanan, kesihatan, kebaikan dan harta.Didalam surah Al-An’am, ayat 99 firman Allah yang bermaksud:

“Dan dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan yang menghijau, Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu buah yang banyak, dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang berjurai-jurai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikan buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan (perhatikanlah pula) apabila ia masak. Sesungguhnya pada yang demikian itu tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.”



 
Biji kurma juga digunakan untuk membuat minyak biji kurma dan hampas biji kurma digunakan sebagai makanan haiwan ternakan.

Kita seharusnya terus makan buah kurma sepanjang tahun dan bukan hanya sewaktu bulan Ramadhan kerana khasiatnya yang amat baik untuk kesihatan. Amalkan makan buah kurma setiap pagi sebelum sarapan dalam bulan-bulan lain kerana ia akan memberikan tenaga segera kepada kita diwaktu pagi dan juga membekalkan pelbagai vitamin dan mineral untuk keperluan harian kita.

Dr Norman Mohd Norawi

(MBBS,FAGE, MScAAARM)

No comments: