Saturday, November 16, 2013

Benarkah telur menyebabkan kolesterol tinggi?



Saya selalu di tanya samada makan telur boleh menyebabkan kolesterol tinggi dalam sessi ceramah kesihatan yang saya berikan diseluruh negara. Jawapan saya agak berlainan dari saranan yang selalu kita dengar dari doktor-doktor lain. Telur selalu mendapat reputasi yang buruk dan selalu dikaitkan sebagai punca kepada masalah kolesterol tinggi. Kajian terbaru menunjukkan, telur bukanlah punca kepada masalah kolesterol yang tinggi dalam darah.
 
Telur sememangnya mempunyai kandungan kolesterol yang tinggi, tetapi ia tidak menyebabkan kolesterol dalam darah meningkat dengan banyak. Terdapat banyak kajian yang merumuskan bahawa, makan telur adalah baik untuk kesihatan kerana ia mengandungi pelbagai khasiat zat makanan yang tinggi.
Satu laporan yang diterbitkan dalam British Journal of Medicine dalam bulan Januari 2013 baru-baru ini , kajian oleh sekumpulan saintis  dari Huazhong University of Science and Technology yang menganalisa semula 17 kajian tentang kaitan diantara telur dan kolesterol. Kesimpulan yang diberikan oleh mereka adalah makan telur setiap hari adalah baik  dan tidak berkaitan dengan peningkatan risiko sakit jantung atau stroke kepada seseorang yang sihat. Kajian terbaru ini menunjukkan, saranan untuk mengurangkan pengambilan telur untuk menurunkan paras kolesterol adalah sesuatu yang kurang tepat.
 
Kajian epidemioloji yang mengkaji jumlah populasi yang besar tentang pemakanan dan kesihatan telah mendapati tiada kaitan secara lansung diantara pemakanan telur dan risiko sakit jantung.
Kajian klinikal terkawal (controlled clinical studies) yang mengkaji secara khusus memberikan peserta kajian makanan berkolesterol tinggi (iaitu telur) dan kesan kenaikan paras kolesterol dalam darah pula mendapati kenaikan paras kolesterol darah yang amat rendah dan ianya bergantung kepada faktor genetik.
Satu kajian oleh Harvard , USA yang JAMA (Journal of American Medical Association) pada tahun 1999 yang mengkaji kaitan tentang pengambilan telur dan risiko penyakit kardiovaskular. Kajian ini djalankan selama 8 tahun. Kesimpulan daripada kajian ini menunjukkan bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa makan telur setiap hari menyebabkan risiko penyakit jantung dan strok kepada wanita dan lelaki. Kesimpulan ini dibuat selepas membuat semakan dengan faktor-faktor lain seperti umur, tabiat merokok dan lain-lain faktor risiko untuk penyakit jantung dan strok. Ini adalah satu bukti kajian yang cukup kuat untuk menolak kenyataan yang mengaitkan telur sebagai faktor yang menyebabkan masalah kolesterol dan sakit jantung serta strok.
Prof. Alice Lichtenstein dari Tufts University, USA berpendapat kesimpulan dari kajian ini adalah disebabkan telur mempunyai kandungan lemak tepu yang rendah (1.6 gram dalam kuning telur) walaupun kandungan kolesterolnya agak tinggi (186mg dalam kuning telur).
Satu fenomena yang agak menarik adalah di Jepun yang merupakan negara yang paling tinggi makan telur dalam dunia iaitu secara puratanya 328 telur setahun setiap seorang di Jepun. Di negara ini paras kolesterol masyarakatnya adalah yang paling rendah dalam dunia. Ini mungkin berpunca dari tabiat pemakanan oarng Jepun yang suka makan ikan yang mempunyai kandungan omega 3 yang tinggi. Oleh itu jika kita suka makan telur, maka kita perlu mengambil omega 3 yang lebih dengan makan ikan selalu atau mengambil suplemen omega 3. Secara umumnya pengambilan telur sebiji setiap hari adalah sihat dan tidak berbahaya kepada kesihatan.
Prof. Walter Willet dari Harvard’s School of Public Health juga berpendapat,  berdasarkan kajian saintifik terkini makan telur sebiji sehari akan meningkatkan paras kolesterol yang amat kecil dan inilah punca kenapa kajian mendapati tiada kaitan secara lansung diantara pemakanan telur dengan risiko sakit jantung dan peningkatan kolesterol dalam darah. 
Satu lagi kajian tentang telur dan masalah kolesterol oleh University of Connecticut, USA yang dilaporkan dalam jurnal perubatan dalam tahun 2006 juga merumuskan bahawa nasihat pemakanan untuk mengurangkan pengambilan telur tidak perlu diberikan kepada semua orang secara umum. Ini adalah kerana bagi seseorang yang sihat, makan telur setiap hari tidak akan meningkatkan paras kolesterol dan tidak meningkatkan risiko penyakit jantung malahan makan telur setiap hari adalah sihat untuk tubuh kerana kandungan zat-zat yang tinggi didalamnya.
Walaubagaimanapun jika anda mempunyai masalah kencing manis, kolesterol yang tinggi dan tabiat pemakanan anda yang tidak sihat (seperti makan makanan segera, gula tinggi, makanan dengan lemak trans yang tinggi, makanan proses dan sebagainya) maka anda dinasihatkan untuk tidak makan telur berlebihan. Ini akan meningkatkan paras kolesterol anda dengan lebih banyak. Anda perlu makan secara sihat dengan makanan berserat tinggi, makan sayur-sayuran, buah-buahan, kurangkan gula dan makan ikan . Dengan tabiat pemakanan seperti ini, maka anda boleh makan telur setiap hari sebagai salah satu menu makanan sihat anda. Pemakanan sihat dan berseimbang masih perlu diamalkan untuk memastikan kolesterol anda terkawal dan risiko mendapat penyakit jantung, strok, darah tinggi dan kencing manis dikurangkan.
Kandungan telur yang sihat dan amat baik untuk kesihatan adalah protin dalam telur adalah protin lengkap dan mudah dihadamkan. Asid aminonya adalah dalam nisbah yang terbaik dan ia juga rendah kalori. Kuning telur mengandungi choline yang baik untuk kesihatan saraf otak dan pertumbuhan otak bayi yang sihat. Kandungan lutein dan zeaxanthin iaitu sejenis anti oksidan yang tinggi dalam kuning telur yang lebih mudah diserap oleh usus kerana kandungan lemak dalam telur yang lebih tinggi. Ia penting untuk kesihatan mata dengan mencegah masalah katarak dan degenerasi makular yang boleh mengakibatkan masalah buta. Kandungan vitamin D yang tinggi dalam telur juga amat baik untuk tulang yang kuat dan sihat kerana ia membantu penyerapan kalsium dari usus. Ia juga penting untuk kesihatan usus dan membantu mengawal berat badan. Lain-lain vitamin yang tinggi dalam telur adalah vitamin B2 ( Riboflavin), asid folik dan vitamin B12.
Kesimpulannya, makan telur secara sederhana adalah tabiat pemakanan yang sihat. Ia boleh membantu membekalkan vitamin dan zat-zat protin yang diperlukan oleh badan manusia. Makan telur setiap hari juga tidak akan meningkatkan paras kolesterol dan malahan ia tidak meningkatkan risiko sakit jantung dan strok. Makan telur juga boleh membantu mengawal berat badan dengan lebih baik.

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MScAARMMA(UCSI), FAGE (MAHE)

BENARKAH SANTAN MENINGKATKAN KOLESTEROL?

Santan kelapa adalah satu bahan masakan yang digunakan oleh masyarakat di Malaysia sejak dari dahulu lagi. Masakan seperti rendang dan lemang yang popular semasa sambutan hariraya menggunakan santan dalam penyediaannya. Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, masak lemak cili api diamalkan hampir setiap hari juga menggunakan santan. Bukan hanya masyarakat melayu, masyarakat India juga banyak menggunakan santan dalam masakan mereka. Kebanyakan penduduk di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik adalah pengguna santan dalam masakan harian mereka. Santan selalu dikatakan sebagai lemak yang tidak sihat dan boleh menyebabkan masalah kolesterol tinggi. Adakah pendapat ini benar dan bersandarkan kajian saintifik yang betul?
Kita selalu dinasihatkan untuk mengurangkan penggunaan santan dalam masakan seharian kita kerana ia mengandungi lemak tepu yang tinggi dan dikatakan boleh menyebabkan masalah peningkatan paras kolesterol dalam darah. Ada juga pakar pemakanan yang mencadangkan penggunaan susu sebagai ganti kepada santan dalam makanan. Dahulu, saya juga selalu menasihati pesakit saya yang mempunyai masalah kolesterol untuk meninggalkan makan santan kerana dahulu saya berpendapat lemak tepu dalam santan boleh menjadi punca meningkatnya paras kolesterol dalam darah. Setelah membaca pelbagai kajian terkini dalam jurnal-jurnal perubatan saya mendapati kajian-kajian berkenaan penggunaan santan atau minyak kelapa merumuskan fakta yang agak berlainan.


Ironinya terdapat kajian sains mendapati masyarakat yang mengambil santan selalu dalam makanan mereka mempunyai kadar penyakit jantung yang rendah dan paras kolesterol yang rendah juga. Diantara kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan Asia Pasific pada tahun 2011, yang dijalankan di Filipina mendapati pengambilan minyak kelapa dalam makanan seharian dikalangan wanita pra menopaus meningkatkan kolesterol baik HDL-c dan menurunkan kolesterol ‘jahat’ jenis LDL dan Trigliserida. Oleh itu ia mempunyai faedah kesihatan yang baik menurunkan risiko sakit jantung.
Yang lebih menarik lagi adalah, data dari negara Filipina yang dilaporkan oleh Philipine National Nutrition Survey (PNNS) pada 2003  juga mendapati relatif insiden yang rendah untuk masalah kolesterol berlebihan (hypercholesterolemia), darah tinggi (hypertension), angin ahmar (stroke) dan sakit jantung (angina) dikalangan penduduk  di Daerah Bicol yang mengambil santan dan minyak kelapa yang tinggi berbanding daerah lain di Filipina dalam makanan seharian mereka. 
Prof Philippe Legrand dari Peranchis yang merupakan seorang pakar biokimia dari Makmal Biokimia dan Pemakanan Manusia di Universiti Agronomidi, Rennes, Peranchis mempunyai pendapat yang sama berkenaan santan dan kesannya kepada paras kolesterol. Beliau menyatakan bahawa bahan didalam santan atau minyak kelapa iaitu asid laurik dan asid miristik iaitu asid lemak dalam kumpulan asid lemak rantaian sederhana (MCFA) lebih cepat dimetabolismakan dalam hati manusia dan menurunkan paras kolesterol oleh itu ia mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Disamping itu juga santan atau minyak kelapa ini mempunyai kesan positif yang lain seperti anti fungal, anti virus, anti mikrobial dan anti protozoa.  Menurut beliau , santan boleh menjadi sebahagian dari diet yang sihat jika diambil secara sederhana dan tidak menyebabkan peningkatan kolesterol dalam darah.
 
Terdapat juga satu kajian yang dijalankan di Kerala , India yang dilaporkan dalam Indian  Journal of Biochemistry pada tahun 2009 yang memberikan kesimpulan yang positif kepada kesihatan dengan pengambilan santan dalam makanan. Kajian ini membandingkan pengambilan minyak kelapa dengan pengambilan minyak bunga matahari dalam pemakanan seharian dan perbezaannya dengan paras kolesterol diantara keduanya. Hasil kajian ini merumuskan bahawa tiada perbezaan diantara pengambilan diantara kedua-dua jenis minyak masak ini dengan paras kolestrol dalam darah. Oleh itu , pendapat yang menyatakan pengambilan santan menyebabkan peningkatan paras kolestrol dalam darah adalah suatu pendapat yang kurang tepat. 
Terdapat banyak juga kajian lain yang merumuskan fakta yang bertentangan, tetapi kajian-kajian yang terbaru menunjukkan santan bukanlah faktor utama yang menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi. Kajian juga mendapati penduduk dunia yang makan santan setiap hari mempunyai kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding dengan masyarakat moden yang mengambil makanan segera dan makanan proses.
Kajian-kajian terkini mendapati pengambilan karbohidrat dan gula yang tinggi adalah lebih  berkait rapat dengan masalah penyakit kardiovaskular dan peningkatan paras kolesterol berbanding pengambilan lemak atau minyak dalam  makanan. Kajian juga mendapati pesakit kencing manis selalunya mempunyai paras kolesterol yang lebih tinggi kerana paras gula yang tinggi dalam darah walaupun tidak makan santan setiap hari.
Walaubagaimanapun, bersederhana dalam pengambilannya santan adalah lebih baik dan mengawal pengambilan gula yang berlebihan adalah strategi yang baik mengawal paras kolesterol dalam darah dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, Insyaallah.

Wassalam

Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, FAGE, MScAARMAM) 

Apa itu PERUBATAN ANTI PENUAAN (ANTI AGING)

Sepanjang minggu ini saya telah dihujani dengan pelbagai persoalan tentang perubatan anti penuaan atau lebih popular dipanggil ‘anti aging’. Ramai yang mempunyai pelbagai tanggapan yang salah tentang anti penuaan dan tak kurang juga yang mencemuh dan menganggap  perubatan ini tidak mengikut fitrah dan bertentangan dengan Islam. Ini semua gara-gara gambar saya terpampang di dada akhbar apabila saya menerima ijazah sarjana perubatan anti penuaan dari UCSI Universiti minggu lepas.
Hakikat sebenarnya perubatan anti penuaan adalah bidang terbaru dalam aliran perubatan yang terkini yang secara khususnya bermatlamatkan pencegahan dan pengurangan risiko mendapat penyakit-penyakit kronik yang berkaitan dengan proses penuaan dan juga penyakit berkaitan dengan corak kehidupan zaman moden sekarang seperti penyakit jantung, kanser, darah tinggi, kencing manis, kegemukan dan pelbagai lagi. Ia adalah satu kesilapan istilah pada saya kerana konotasi ‘anti’ itu adalah sesuatu yang negatif dan seolah-olah bertentangan dengan fitrah manusia yang pasti akan menjadi tua. Saya lebih suka menggunakan istilah ‘penuaan sihat’ (healthy aging)
Sebelum itu ingin saya nyatakan disini apakah yang ‘tidak benar’ tentang perubatan anti penuaan. Perubatan anti-penuaan bukanlah tentang ‘ubat ajaib’ atau ‘ubat rahsia’ yang akan mengekalkan keremajaan. Ia juga bukanlah sejenis krim muka untuk kelihatan muda dan bukan juga sejenis makanan atau minuman ajaib yang akan menyebabkan seseorang menjadi muda. Ia juga bukanlah suntikan ajaib yang menyebabkan seseorang kelihatan remaja dan hilang segala kedutan di kulit. Perubatan anti penuaan juga bukanlah tentang tidak mahu menjadi tua atau tidak mahu mati. Oleh itu , apa sebenarnya perubatan anti penuaan ini?
 
Konsep perubatan anti penuaan ini adalah cara hidup sihat secara integratif yang merangkumi pemakanan sihat, pengawalan nutrisi, senaman fizikal, makanan tambahan atau suplemen, keseimbangan hormon, perubahan gaya hidup, mengelak faktor risiko tinggi , kesihatan mental, pengawalan stress dan sebagainya. Ia dilakukan secara amalan harian sepanjang hayat secara konsisten dan berterusan.
Secara umumya perubatan anti penuaan adalah  hidup dengan gaya hidup sihat. Ini bermakna seseorang itu perlu makan secara sihat, mengambil suplemen yang perlu, bersenam selalu, tidak merokok, mengawal stress, aktiviti seksual yang sihat, tidak makan berlebihan, meninggalkan tabiat suka gula dan manisan, makan buah-buahan, makan sayuran dan banyak lagi yang perlu diamalkan setiap hari sehingga akhir hayat. Oleh kerana itu perubatan anti penuaan juga boleh dinamakan sebagai ‘perubatan pencegahan integratif’, tetapi istilah ini terlalu teknikal dan agak membosankan bunyinya maka ianya lebih popular dipanggil sebagai anti penuaan (anti-aging) walaupun ia sebenarnya adalah ‘misnomer’.
Zaman sekarang amat kerap kita dengar tentang orang muda yang mati awal kerana penyakit seperti penyakit jantung pada usia 30an atau awal 40an. Masalah kesihatan yang serius seperti kegemukan, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung pada umur pertengahan ini adalah sesuatu yang tidak diingini kerana umur pada waktu tersebut adalah masih produktif dan sumbangan anda amat diperlukan lagi. Penyakit-penyakit kronik ini biasanya berlaku kepada orang-orang yang lebih berumur dan biasanya telah pun bersara. Jika seseorang mendapat masalah kesihatan pada umur 30an atau 40an maka kita boleh katakan seolah-olah dia telah ‘tua sebelum waktunya’. Oleh kerana itu, pencegahan penyakit-penyakit ini adalah ilmu ‘anti penuaan’ yang patut kita amalkan agar kita menjadi sihat sehingga ke akhir hayat. Kerana itulah istilah ‘umur kronoloji’ dan ‘umur bioloji’ selalu kita dengar sekarang, tetapi ramai yang masih keliru. Seseorang yang berpenyakit tetapi masih berumur 30an mempunyai umur kronoloji 30an tetapi umur bioloji 70an. Disinilah , jika mengamalkan perubatan anti penuaan akan membantu ‘menurun’kan umur bioloji dari umur 70an kepada umur 30an sebagimana yang sepatutnya. Seseorang tidak boleh mengembalikan umur kronolojinya kerana tiada siapa yang boleh memutar semula masa yang telah hilang tetapi kita boleh mengembalikan umur bioloji kepada yang sepatutnya jika kita menjaga kesihatan dengan baik. Kerana itu, kita juga selalu berjumpa dengan orang-orang yang kelihatan muda dan bertenaga muda berbanding umurnya yang sebenar kerana penjagaan kesihatan yang baik. Itulah matlamat sebenarnya perubatan anti penuaan.
Konsep ini adalah selari dengan tuntutan Islam kerana Rasulullah sendiri adalah seorang manusia yang amat sihat dan kekal sihat hingga ke akhir hayat. Menurut shamael Nabi Muhammad SAW, baginda  juga bukan seorang yang gemuk atau buncit dan beliau juga amat cergas dan kuat fizikalnya. Penjagaan kesihatan adalah satu tuntutan Islam sebagimana firman Allah dalam Al Quran , Surah Al Baqarah, ayat 172, yang bermaksud:
Wahai orang-orang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik yang kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu hanya menyembah kepadanya.”
Dalam Islam , kesihatan adalah satu nikmat Allah yang amat bernilai yang perlu kita syukuri dan menjaganya sebaik yang mungkin. Ilmu anti penuaan ini adalah satu cabang ilmu yang amat penting untuk kita mencapai kefahaman tentang penjagaan kesihatan yang sebenarnya. Waktu terluang sewaktu kita masih muda dan sihat patut kita amalkan gaya hidup sihat supaya kesihatan kita terpelihara sebagaimana Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Dua nikmat yang sering kali manusia tertipu olehnya, ialah kesihatan dan waktu terluang.”
( HR Bukhari, Imam Ahmad dan Tarmizi)
Dalam satu hadith lain , Nabi Muhammad SAW bersabda,
Nikmat yang pertama kali ditanyakan kepada seorang hamba pada hari kiamat kelak adalah ketika dikatakan kepadanya, “Bukankah Aku telah menyihatkan badanmu serta memberimu minum denga air yang sejuk?” (HR Tarmizi dan Hakim)
Jelas disini , nikmat kesihatan ini perlu kita hargai dengan menjaganya sebaik mungkin dengan mendalami ilmu anti penuaan ini dan mengamalkannya.
Terdapat kesan sampingan yang amat menarik daripada mengamalkan perubatan anti penuaan ini iaitu wajah anda akan kelihatan awet muda, rasa hebat dan lebih bertenaga secara fizikal, seksual dan mental. Disamping itu anda juga akan mempunyai berat badan yang lebih ideal, kulit yang lebih tegang, kurang kedutan, berseri dan cerah berbanding kawan seusia anda.
Ramai yang menghubungi saya dan bertanya saya bagaimana mengamalkan perubatan anti penuaan ini. Sebenarnya kebanyakan topik yang saya telah tulis dalam artikel saya di ruangan ini sebelum ini adalah berkisar tentang konsep perubatan anti penuaan ini. Anda perlu berjumpa dengan doktor yang mempunyai pengkhususan dalam bidang ini dan berbincang segala masalah anda. Doktor anda akan membuat pemeriksaan fizikal dan ujian darah yang berkaitan dan akan mencadangkan pemakanan, suplemen, senaman dan rawatan yang bersesuaian mengikut individu.
Anda juga perlu faham , perubatan anti penuaan bukanlah ubat yang akan merubah anda sekelip mata atau dalam masa yang singkat. Komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh  di pihak anda amat perlu untuk mendapatkan hasil terbaik dari kaedah perubatan anti penuaan ini.

DR NORMAN MOHD NORAWI
(MBBS, MScAARMMA, FAGE)