Saturday, December 20, 2008

Kanser Payu Dara

Saya telah dikejutkan sebulan lepas iaitu 15 Nov 08 (semasa saya balik kampung untuk mengkhatankan beberapa orang anak buah) apabila ibu saya sendiri memberitahu beliau ada merasakan satu ketumbuhan kecil di buah dada kiri nya. Selepas diperiksa saya terus membawa ibu saya berjumpa dengan pakar bedah di Klinik Payu DaraHospital Melaka pada 17 Nov 2008.

Saya juga mengalami kejutan kerana perkara ini , kerana saya tidak pernah menyangka ibu saya akan mendapat penyakit seperti ini.Secara beransur-ansur saya mula menerimanya dan berazam akan terus membantu ibu saya mengahdapi penyakit ini , mungkin ini lah masanya untuk saya mempraktikkan apa yang saya tulis & membuktikan keberkesanannya.

Ibu saya melalui proses yang biasa seperti pesakit lain iaitu Mammogram & Biopsy.Walaupun ibu saya di iringi oleh 3 orang doktor , tetapi kami melalui semua proses di Hospital seperti pesakit lain, tetap perlu menunggu lama seperti semua pesakit lain. Saya pernah bertugas di hospital memahami perkara ini dan terus mengikut segala prosedur yang biasa. Saya amat berterima kasih kepada semua sahabat-sahabat saya( Dr George, Dr Yahya , Dr Roza) yang merupakan doktor-doktor pakar di Hospital Melaka yang banyak membantu ibu saya.Ibu saya terus saya berikan beberapa jenis anti oksidan iaitu Fitonutrient + Vitamins & mineral , Alpha Lipoic Acid , Omega 3 , Vitamin C 100mg.

Selepas seminggu pada 25 Nov 08 , laporan biopsy mengesahkan ketumbuhan itu adalah kanser. Ibu saya pada mulanya agak terkejut apabila diberitahu beliau memerlukan pembedahan segera membuang payu dara kirinya(mastectomy+ axillary clearance).Tetapi akhirnya beliau menerimanya kerana itu adalah pilihan yang terbaik.Ibu saya ternyata seorang yang sangat positif & tabah , beliau kelihatan tenang sahaja. Walaupun hakikatnya dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu.

Ibu saya perlu dimasukkan ke wad pada 30 Nov 08 iaitu 2 hari lebih awal kerana mendapat tekanan darah tinggi. Saya telah memberikan ubat darah tinggi yang lebih tinggi dosnya. Selama ini ibu saya tidak mempunyai tekanan darah yang tinggi , cuma selepas 15 nov saya mendapati tekanan darahnya tinggi, mungkin kerana stress menghadapi kenyataan di diagnos mendapat kanser.

Saudara mara mula berkumpul dan datang dari kampung untuk menziarahi ibu saya. Terima kasih semuanya kerana mendoakan yang terbaik dan memberikan sokongan moral untuk ibu saya. Rumah saya menjadi tumpuan , saya berbesar hati menerima kedatangan mereka kerana lebih ramai tetamu lebih murah rezeki.

Dalam wad , tekanan darah tinggi ibu mula terkawal dengan baik. Nurse di wad juga memberikan layanan yang sangat baik dan ibu saya ditempatkan di katil nombor 1.Adik beradik saya yang perempuan menemankan ibu saya di wad.

Pada 2 Dis 08 , ibu saya di bawa ke dewan bedah. Isteri saya menemankan beliau di dalam dewan bedah dengan kebenaran dari pakar bedah Dr George. Saya ini , walaupun dulu semasa bekerja di Hoapital Melaka biasa melakukan pembedahan , tetapi bila ibu sendiri di bedah tak sanggup rasanya untuk melihat.Syukur la isteri saya yang disayangi sanggup menemankan ibu saya. Segala berjalan lancar dan ibu saya selamat menjalani pembedahan. Saya hanya menunggu di luar dewan bedah. Saya sempat berjumpa dengan beberapa orang kawan lama yang menegur saya di depan dewan bedah itu ( Dr Shahrom & Dr Zainal).

Terdapat juga 'guard' yang menegur saya dengan agak kasar dan tidak membenarkan saya menunggu di situ. Hati saya geram juga ...ye la, hati kita tengah 'stress' , dulu saya keje kat sini , diaorg ni hormat sikit...bila tak kenal, main halau je...rasanya 'guard' kena belajar berhemah sikit la. Mujur la , isteri saya datang dan memujuk saya untuk tunggu di kawasan menunggu. Kawasan menunggu untuk bilik bedah itu saya rasakan terlalu kecil dan tak cukup kerusi , menyebabkan kawasan itu seperti 'pasar' & tempat 'picnic' pula kerana sesetengah org yg menunggu siap bentang tikar & berbaring.

Lebihkurang 1.30 ptg ibu saya telah dihantar ke wad semula...melalui jalan lain, penat sedara mara menunggu kat situ.Saya terus ke wad & lihat ibu saya masih lagi 'sedated' & lelap. tapi bila bercakap dia respond . Dia tak ingat apa pun pasal operation , mmg itu yang di rancangkan oleh pakar bedah dengan memberi ubat tidur & penenang.

Proses pemulihan selepas pembedahan berjalan dengan baik , cuma luka pembedahan itu lambat kering kerana ibu saya agak berisi & banyak lagi 'hemoserous' yang keluar. Ibu saya dalam wad selama 10 hari sehingga la ke Hari Raya Korban .Semua adik beradik saya beraya di rumah saya & pergi melawat ibu di Hoapital selepas sembahyang raya. Kami juga buat majlis potong kek sempena hari jadi ibu & kak long dalam bulan Disember ini.

Akhirnya ibu saya di 'discaj' pada 9 Disember 08. Di rumah saya terus menjaganya dan membuat pemeriksaan lukanya setiap hari bersama2 dengan isteri & adik saya juga seorang doktor.

Begitu lah episodnya setakat ini. Ibu saya perlu menjalani rawatan kimoterapi selepas ini dan belum ditentkan tarikhnya. Saya akan pastikan ibu saya terus mengambil Anti Oksidan supaya proses menjalani rawatan kimoterapi nanti akan lebih lancar lagi kerana banyak kajian telah mendapati pesakit yang mengambil Anti Oksidan semasa kimoterapi akan merasa lebih kuat & bertenaga dan mengalami kurang simptom kesan sampingan kimoterapi.

Wassalam..semoga ibu saya akan sembuh dan berjaya mengharungi cabaran ini dengan tabah & bersemangat.

Wednesday, November 19, 2008

Fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan...


Gambar sekadar hiasan

Baru-baru ni agak kecoh berkenaan bantahan kekumpulan NGO yang tak berkenaan mengenai fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai masalah 'pengkid' atau 'tomboy' ini. Sebagai umat Islam kita memang tidak senang dengan perkembangan ini kerana masalah fatwa ini adalah hal ehwal umat Islam yang tiada kena-mengena dengan masyarakat bukan Islam. Islam mempunyai hukum-hakam yan g tersendiri yang tidak difahami oleh masyarakat bukan Islam. Sewajarnya mereka tidak campur tangan dalam hal-hal yang sedemikian.

Saya merasakan mereka yang membantah ini seperti seseorang yang bermain ragbi membantah undang-undang permainan bola sepak yang tidak boleh menggunakan tangan. Tentulah orang yang bermain bola sepak akan mentertawakan mereka , kerana mereka bermain di gelangang yang berlainan. Sewajarnya mereka ini menjaga hal-ehwal agama mereka sahaja dan tidak menyibuk hal ehwal agama islam , sebagaimana firman Allah dalam surah Al Kafiruun...la kum di nu kuum, waliyadieen ..." bagi kamu ugama kamu , bagi kami ugama kami...".

Persoalan yang saya ingin timbulkan ialah , adakah umat Islam benar-benar menghormati pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan..?? Sedarkah kita bahawa majlis fatwa telah mengeluarkan fatwa tentang merokok...!!??

Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam. Namun fatwa ini kurang mendapat publisiti berbanding fatwa yang mengharamkan Botox atau fatwa tentang klon.

Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.

Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram.

Menurut seorang sarjana Islam yang terkenal Dr Yusuf Al Qardawi dalam buku nya Fatawa Muasirat menulis

Daripada penjelasan yang diberikan , saya berpendapat pandangan yang menghalalkan rokok adalah tidak dapat diterima sama sekali malah pendapat sebegitu boleh dianggap salah. Jesteru itu, kita hanya mempunyai dua pilihan hukum iaitu makruh atau haram. Berdasarkan kajian terkini, penetapan hukum haram adalah lebih tepat disudut alasan dan hujahnya”

Lujnah fatwa di Universiti Al-Azhar, Mesir mengeluarkan fatwanya berkenaan dengan menghisap rokok (al-dukhan):

Menghisap rokok adalah tetap dengan yakinnya mengikut ahli pengetahuan dan para pakar dan persidangan-persidangan perubatan antarabangsa ianya memudaratkan kesihatan, kerana ia menyebabkan barah paru-paru dan kerongkong dan mendatangkan mudarat yang amat sangat atas mereka yang ketagih menghisapnya, sebagaimana ia memudaratkan hartabenda kerana mengeluarkan belanja dalam benda yang tidak mendatangkan faedah kepada manusia; sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menegahkan tiap-tiap perkara yang memudaratkan kesihatan dan harta benda, dan daam hadith Nabi s.a.w. bersabda: “jangan kamu memudaratkan dan terkena mudarat”. Dengan ini kami berpendapat haram merokok, mengimportnya, mengeluarkannya dan menjalankan perniagaan di dalamnya. Wallahu a’lam”.

Fikir-fikirkan lah tuan-tuan....tepuk dada tanya IMAN...jgn tepuk dada kelluar asap je....

Saturday, November 1, 2008

Kenapa kita perlukan Anti Oksidan....??

Pelbagai buah-buahan menjadi sumber utama vitamin dan
anti oksidan dalam makanan ,
persoalannya adakah ianya mencukupi untuk mengekalkan kesihatan kita.






Sudah pasti ramai yang bertanya, tidak cukupkah dengan hanya mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk kekal sihat. Kenapa kita perlu mengambil antioksidan lagi?

Sekali imbas memang kenyataan tadi ada benarnya. Tetapi hakikatnya, makanan yang kita ambil tidak dapat menampung keperluan antioksidan tubuh kita. Isu pemakanan yang tidak seimbang dan tidak mengikut keperluan tubuh sedang melanda masyarakat kita hari ini.

Pemakanan seimbang masa kini seperti satu mitos sahaja. Selalu menjadi hiasan poster-poster di klinik-klinik dan hospital sahaja. Perubahan corak pemakanan masyarakat kita hari ini memang ketara.

Jika kita lihat sekarang perkembangan industri makanan segera amat hebat sekali. Setiap hari kita melihat iklan-iklan di kaca televisyen tentang makanan segera. Kemajuan ekonomi seiring dengan perubahan corak pemakanan manusia di seluruh dunia.

Mengikut satu kajian, orang Jepun mempunyai kadar penyakit jantung antara yang paling rendah di dunia disebabkan pemakanan mereka yang kaya dengan antioksidan seperti sayuran, ikan, sushi dan teh hijau.

Kajian telah menunjukkan bahawa orang-orang Jepun yang menetap di Amerika Syarikat mempunyai bilangan kes sakit jantung yang lebih tinggi daripada orang-orang Jepun yang masih tinggal di negara Jepun.

Corak pemakanan orang-orang Jepun di Amerika Syarikat yang mengambil makanan barat yang kaya dengan kalori dan lemak, tetapi kurang sayuran dan buah-buahan, adalah penyebab utama perbezaan ini walaupun mereka dari keturunan yang sama.

Keadaan yang serupa berlaku di Malaysia sekarang disebabkan perubahan corak pemakanan. Orang-orang Melayu dahulu mempunyai tabiat pemakanan yang amat baik kerana suka memakan ulam-ulaman dan buah-buahan. Kerajaan pernah suatu waktu dahulu mempromosi makan ulam-ulaman tetapi sekarang telah lama senyap.

Masyarakat Melayu sekarang amat kurang memakan ulam-ulaman dan kebanyakan kanak-kanak tidak suka memakan ulam kerana takut pahit.

Natijah atau kesan yang dapat kita lihat hari ini makin bertambahnya pelbagai jenis penyakit ‘orang kaya’ yang melanda umpama tsunami selepas gempa bumi.

Kegemukan (obesiti) telah mula menjadi satu masalah kepada generasi muda sekarang. Penyakit jantung, darah tinggi, strok dan sebagainya sudah menjadi sesuatu yang sangat biasa dihidapi oleh generasi yang lebih tua.

Makanan segera mengandungi kandungan nutrien yang amat rendah tetapi kaya dengan kalori dan lemak yang berlebihan. Mikro nutrien hampir tiada di dalam makanan seharian kita.

Makanan kita di’rompak’ khasiat dan zat yang penting termasuklah zat-zat antioksidan ini. Makanan hilang segala zat-zat yang penting seperti vitamin dan mineral semasa proses pengangkutan, penyimpanan dan penyediaan semasa memasak.

Makanan seperti sayuran, buah-buahan, bijirin dan sebagainya mempunyai kandungan mineral yang kurang kerana penggunaan tanah secara komersial yang menyebabkan tanah gersang mineral.

Tekanan komersial untuk penghasilan makanan secara besar-besaran dengan kuantiti yang sangat banyak menyebabkan penggunaan baja kimia, racun rumpai dan racun serangga yang tidak terkawal.

Makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang diangkut pada jarak jauh dari ladang ke pasaraya turut menyebabkan ianya kehilangan lebih banyak zat-zat yang penting seperti vitamin C.

Kandungan vitamin C dalam makanan seperti ini hampir tiada semasa di hidangkan di rumah kerana proses memasak itu sendiri. Kerana itu pentingnya masalah kekurangan zat-zat dalam makanan ini kita gantikan dengan pengambilan pil-pil suplemen seperti multivitamin, mineral dan antioksidan .

Kaedah bioteknologi yang menghasilkan baka-baka baru klon dan teknologi genetik yang amat canggih menghasilkan bahan-bahan baru yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit lain yang masih belum diketahui.

Faktor-faktor yang menyebabkan kehilangan zat-zat makanan mikro inilah yang diistilahkan oleh pakar pemakan sebagai ‘perompak makanan’ (food robbers).

Manusia hari ini terlalu bergantung kepada bahan petroleum untuk hidup. Buktinya, jika kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol, segala barangan lain juga turut naik. Pembakaran bahan petroleum yang terlalu banyak sekarang turut menjadi penyumbang utama kepada pencemaran udara di dunia.

Setiap hari kita bergelumang dengan pelbagai bahan kimia dari saat kita menggosok gigi, bersabun dan bersyampu semasa mandi, menggunakan deodoran, bercukur, bermekap, menaiki kenderaan dan menghirup udara penyaman udara.

Seterusnya kita makan makanan yang diproses, makanan segera, makanan dalam tin dan kita minum minuman dalam tin, bergas, minum air masak dari paip di rumah yang hampir semuanya tercemar atau sengaja dicemari dengan pelbagai bahan kimia sama ada sedikit atau banyak.

Kita juga secara langsung ‘meracuni’ badan kita dengan tidak bersenam, makan terlalu banyak, merokok dan tekanan yang keterlaluan setiap hari.

Kemajuan ekonomi juga menyebabkan bertambahnya kilang-kilang industri yang mengeluarkan pelbagai jenis pencemaran udara dan sumber air.

Oleh sebab itulah saban hari kita melihat bagaimana ‘tangan’ Karam Singh Walia turun naik dan mulutnya berbuih berpantun di televisyen membongkar segala pencemaran yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Dr Ross Walker di dalam buku The Cell Factor, masalah krisis kesihatan zaman moden sekarang adalah disebabkan oleh dua faktor iaitu keracunan yang kronik dari pencemaran dan ‘kefakiran’ pemakanan berkhasiat (nutritional deficiency) dalam makanan dan sellular tubuh manusia

Ke manakah kita hendak lari dari semua masalah ini. Kita tidak mempunyai planet lain untuk lari dari masalah ini. Di antara cara yang dicadangkan adalah dengan menguatkan diri kita dengan jaringan antioksidan untuk mencegah penyakit disebabkan faktor pemakanan kita yang di’rompak’ khasiatnya.

Ramai juga para ahli pemakanan (dietician) kurang bersetuju dengan pengambilan pil-pil supplemen untuk mendapat bekalan nutirisi tambahan yang mencukupi. Permasalahan yang timbul pula berapa banyakkah makanan yang kita perlukan untuk kita mendapat zat-zat nutrisi tambahan?

Saya amat tertarik mendengar satu iklan di kaca televisyen dengan lagunya..

Ho...ho...ho...kalsium seperti lima puluh gelas susu, zat besi seperti tiga kilo bayam...dan seterusnya”.

Lirik lagu ini amat tepat kerana kita tidak akan mampu untuk makan sebanyak itu semata-mata untuk mendapatkan nutrisi tambahan, oleh itu amat perlu kita mengambil pil-pil nutirisi tambahan yang mempunyai khasiat yang sama dengan cara yang lebih mudah. Saya bukan bermaksud pemakanan seimbang dan berkhasiat itu tidak penting, tetapi isunya disini ialah ia belum berupaya sepenuhnya untuk mencegah penyakit-penyakit degeneratif dan kanser yang menular dengan banyaknya sekarang.


Pemakanan seimbang penting untuk perkembangan mental dan fizikal yang sihat kepada kanak-kanak sekolah.Kekurangan vitamin dan mineral akan mengganggu tumbesaran mereka mencapai potensi yang optimum.


Thursday, October 9, 2008

No Smoking : Berhenti lah..sebelum anda diberhentikan !

Kebanyakan perokok tidak menyedari bahawa masalah merokok ini bukanlah menyebabkan penyakit pada diri mereka sendiri tetapi juga melibatkan orang yang mereka sayangi kerana asap rokok tidak mengenal sesiapa. Ia akan disedut juga oleh orang yang dekat dengan perokok.Apabila perokok mendapat penyakit mereka juga akan menyusahkan keluarga mereka semasa mendapatkan rawatan.

Malangnya jumlah perokok semakin bertambah dari masa ke semasa. Kempen demi kempen di jalankan oleh kerajaan dan banyak badan-badan bukan kerajaan tidak menampakkan hasil yang berkesan.

Dunia sains semakin maju dengan banyak kaedah terbaru untuk berhenti merokok.Di negara maju tekanan dari kerajaan dan masyarakat menyebabkan semakin ramai yang mula berniat hendak berhenti merokok.

Tetapi isu berhenti merokok ini bukanlah semudah mematikan ‘api lilin’ dengan sekali hembus sahaja. Hakikatnya perokok memerlukan bantuan perubatan untuk berhenti merokok kerana ia adalah sesuatu yang bukan mudah untuk dilakukan.

Kekuatan minda atau hati cekal dan keazaman yang mantap untuk berhenti rokok secara terus tanpa apa-apa bantuan ubat atau sokongan dari orang lain boleh membuatkan seseorang berhenti merokok , tetapi terlalu kurang manusia-manusia yang mampu berbuat begini.

Buku yang bakal diterbitkan bukanlah semata-semata bertujuan untuk memberitahu tentang bahaya merokok tanpa menjelaskan tentang kaedah dan rawatan terkini untuk berhenti merokok.Di dalam buku itu juga saya terangkan serba sedikit tentang penyakit-penyakit yang berkaitan dengan merokok. Disini saya cuba untuk memberi jalan keluar dari masalah ini untuk kebaikan bersama kepada semua.

Dalam buku itu saya bertujuan untuk memberitahu masyarakat khususnya di Malaysia ini kaedah-kaedah rawatan yang telah ada dan terbaru untuk berhenti merokok.Seorang perokok akan berhenti juga suatu hari samada dengan rela atau ‘terpaksa’.

Berhenti merokok secara ‘terpaksa’ adalah kerana mendapat penyakit disebabkan merokok dan anda terlantar di hospital ataupun berhenti kerana anda ‘berhenti menjadi orang’ dan masuk ke alam kubur.Maka disini saya sarankan kepada perokok semua agar berhenti awal untuk anda dapat menikmati hidup yang lebih sihat dan bermakna.

Sekarang telah ada rawatan yang efektif untuk berhenti merokok hanya dengan mengambil pil setiap hari dan rasa hendak merokok anda akan hilang. Ianya pernah menjadi suatu mimpi kepada perokok untuk berhenti, tetapi kini ubat ini telah berjaya dicipta.Bacalah buku yang bakal diterbitkan nanti hingga ke akhirnya kerana saya akan menerangkan kepada anda semua di dalam buku ini

.

Cuma yang tinggal hanyalah kehendak hati sendiri “Tepuk dada tanya selera”, pilihan ditangan anda . Cuma terpulanglah pada perokok samada

“Nak Tak?” atau “Tak Nak?”

berhenti merokok.

Wednesday, October 8, 2008

KEMPEN TAK NAK....AKHIRNYA !!??

Sebagaimana lesunya sungai yang mengalir dibawah 'billboard' ini....begitulah lesunya kempen TAK NAK ini akhirnya.

Harapan saya agar kerajaan akan mengkaji semula dan melancarkan semula kempen Anti Merokok yang lebih berkesan dan memberikan 'impak maksima' dalam mencegah penyakit -penyakit bawaan rokok yang boleh dikurangkan dengan berhenti merokok.

Bakal terbit dalam beberapa bulan lagi buku terbaru karangan Dr Norman yang menerangkan kaedah terbaru untuk berhenti merokok. Wassalam

MELAMINE...RACUN??

Melamine telah menjadi suatu nama yang begitu menakutkan baru-baru ini.Ini semua gara-gara skandal pencemaran susu dengan bahan ini yang berleluasa di China.Apa sebenarnya melamine ini.Ramai pesakit yang bertanya kepada saya tentang hal ini.

Melamine sebenarnya adalah bahan kimia organik yang berwarna putih yang mengandungi kandungan Nitrogen yang tinggi.Ia digunakan dalam industri baja , plastik ,pinggan mangkuk ,papan putih (white board) dan lain-lain bahan yang bukan makanan.

Ia bukan lah racun secara lansung,yang bermaksud apabila kita memegangnya ia tidak akan menyerap kedalam badan melalui kulit dan tidak meruap.Oleh kerana itu kita tidak pernah terdengar sebelum ini sesiapapun yang mati kerana menggunakan pinggan melamine.

Isu melamine di China adalah kerana masalah penjual susu di China yang cuba mencairkan susu (adultrated)dengan tujuan untuk menipu iaitu dengan menambahkan air kedalam susu untuk menambahkan jumlah susu yang dijual.Susu yang cair ini akan mempunyai paras kandungan protin yang lebih rendah apabila diuji.Paras protin diuji dengan mengukur paras kandungan Nitrogen dalam susu.

Untuk mengelakkan 'susu cair' ini di kesan maka mereka mencampurkan serbuk melamine kedalam susu untuk menambahkan kandungan Nitrogen dalam susu. Ini adalah kerana syarikat pembeli susu di China akan menguji paras kandungan nitrogen dalam susu mereka sahaja untuk menentukan paras kandungan protin dalam susu, tanpa mengukur paras protin yang sebenarnya. Dengan mencampurkan melamine perbuatan mereka ini sukar dikesan. Akhirnya menyebabkan semua susu dalam industri susu di China tercemar dengan bahan ini.

Penambahan melamine kedalam makanan atau minuman manusia tidak diluluskan dan diharamkan oleh semua negara didunia.Masalah penguatkuasaan dan juga kerana faktor 'rasuah' menjadi punca kenapa hal ini terus berlaku di China sebelum ini dan akhirnya menjadi 'bom jangka' yang akhir meletup sekarang.

Ini lah bahananya orang-orang yang tamak dan berfikiran cetek dan mengejar keuntungan jangka pendek yang akhirnya merugikan seluruh industri susu di China dan yang lebih buruk lagi membunuh bayi-bayi dan kanak kanak yang tidak berdosa.

Melamine dalam susu menyebabkan kerosakan pada buah pinggang kerana ia di kumuhkan atau di keluarkan dari badan manusia melalui kencing. Kepekatan melamine yang tinggi dalam darah menyebabkan saluran kencing dalam buah pinggang tersumbat dengan bahan ini dan bergumpal menjadi batu karang.Ini adalah kerana melamine bergabung dengan asid sianurik yang juga terdapat dalam serbuk melamine itu dan menjadi seperti kristal.Kristal inilah yang menjadi batu karang dalam buah pinggang dan akhirnya menyebabkan kerosakan kekal buah pinggang.

Penyumbatan yang menyebabkan kerosakan kekal buah pinggang dan akhirnya membawa maut.Melamine dalam jumlah yang sangat kecil tidak merbahaya dan boleh dikeluarkan oleh buah pinggang manusia melalui air kencing.Oleh itu jika kita makan dengan pinggan melamine hal yang demikian tidak berlaku.

Untuk menjaga keselamatan kita semua , buat masa ini jangan lah kita mengambil sebarang bahan berasaskan susu yang diimport dari China.
Masalah rasuah dan kurang penguatkuasaan sememangnya menjadi punca sesuatu masalah yang menjadi 'barah' yang akhirnya meletup tanpa dapat dibendung.Ini juga menjadi masalah yang serupa dalam semua bidang dan industri yang lainnya.Hanya masa yang menentukan bila sesuatu isu akan akhir 'meletup' selepas masalah rasuah menjadi barah seperti ini. Wallahualam.

Tuesday, September 30, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI ..MAAF ZAHIR & BATIN kepada semua.

Semoga Ramadhan yg berlalu mendapat barakah dari ALLAH kerana ibadat kita yg ikhlas sepanjang sebulan itu. Semoga " Universiti Ramadhan" telah berjaya mendidik jiwa kita utk terus beristiqamah dengan amalan -amalan yang baik yang kita lakukan sepanjang Ramadhan.

Dalam menyambut Hari Raya ini jangan kita lupa kesihatan diri kita. Janganlah makan tanpa beringat.Ingat la punca kepada penyakit adalah kerana makanan yang kita makan. Sia-sia lah berat badan yang dapat kita kurangkan semasa berpuasa kita tambahkan semula dalam beberapa hari sahaja semasa berhari raya.

Berpada-pada dalam makan dan minum. Jangan melampaui batas , kerana yang utama di Hari Raya adalah kunjung mengunjung dan bermaafan sesama kita untuk mengeratkan silaturrahim.

Wallahualam

Sunday, July 13, 2008

Telah Terbit Buku Pertama Dr Norman

Buku pertama saya ini , telah diterbitkan oleh Truewealth Sdn Bhd pada 11 Julai 2008. Buku yang menerangkan tentang konsep Anti Oksidan dalam membantu mencegah Kanser ini bertujuan memberi pengetahuan kepada masyarakat pembaca Bahasa Melayu tentang kepentingan kesihatan dan pencegahan penyakit kanser.

Kerana menyedari kurangnya buku-buku berbahasa Melayu tentang subjek kesihatan maka usaha ini telah saya buat untuk menulis buku ini.Terdapat banyak lagi topik-topik lain yang sedang saya tulis dan Insyaallah akan diterbitkan dimasa akan datang.

Semoga buku ini dapat memberi manafaat kepada semua.Buku ini boleh dibeli melalui internet di laman web : www.millionairesplanet.com dan juga melalui pesanan terus kepada penulis di laman blog : doknorm.co.nr.
Wassalam

Pelancaran Buku 'Hindari Kanser dengan Anti Oksidan"

Thursday, May 8, 2008

Demam Denggi :Pembunuh Bersiri

DENGGI : PEMBUNUH BERSIRI ..

Anda selalu mendengar di media massa bagaimana kes-kes denggi yang sentiasa dilaporkan di negara kita. Malaysia adalah salah sebuah Negara yang endemic kepda penyakit denggi.Maksudnya wabak ini sentiasa ada dinegara ini selagi adanya nyamuk di Malaysia ini.Setiap tahun pasti ada pesakit yang maut akibat dari penyakit Demam Denggi ini , kerana itu saya menggelarnya pembunuh bersiri...

Sejauh mana anda sebenarnya tahu tentang penyakit denggi ini. Kadang-kadang kita merasakan orang lain sahaja yang dijangkiti penyakit ini tetapi hakikatnya sesiapa sahaja boleh dijangkiti penyakit ini.Selagi ada nyamuk yang mengigit kita selagi itulah kita terdedah kepada Demam Denggi. Yang amat menakutkan kita lagi ialah pesakit yang mendapat Demam Denggi Berdarah boleh membawa maut.

Cara terbaik untuk mencegah mendapat denggi adalah dengan memastikan vektornya iaitu nyamuk Aedes tidak dapat membiak dengan banyaknya.Vektor ialah serangga pembawa virus denggi ini tetapi ia sendiri tidak sakit kerananya. Nyamuk Aedes ini amat mudah kita kenali dengan belang hitam dan putih dibadannya (abdomen) kerana itu sesetengah tempat menggelarnya ‘nyamuk harimau’.

Demam denggi ini adalah penyakit berjangkit yang di sebabkan oleh virus denggi yang di bawa oleh vektornya iaitu nyamuk Aedes.Sehingga kini tiada ubat khusus untuk merawat penyakit ini .Rawatan yang diberikan di hospital hanyalah rawatan sokongan sahaja. Ahli sains masih belum berjaya menghasilkan vaksin untuk mencegah penyakit hingga ke hari ini.



Tanda-tanda Demam Denggi :

Demam kuat dengan suhu yang tinggi secara mengejut dan berterusan.Ruam merah pada kulit dan sakit-sakit pada semua sendi-sendi .Sakit pada sendi dan tulang ini sangat kuat hinggakan ianya di gelar ‘break bone fever’ (demam tulang nak patah).Pesakit juga akan hilang selera makan, muntah-muntah dan sakit perut. Jika Demam Denggi ini melarat kepada Denggi Berdarah maka akan berlaku pendarahan dibawah kulit,hidung dan mulut. Ia biasanya akan membawa maut.

Apa yang patut anda buat

Jika anda demam dan mempunyai tanda-tanda seperti yang telah saya sebutkan tadi , segeralah berjumpa doktor .

Apa yang doktor akan buat :

Doktor akan menguji darah anda .Doktor biasanya akan membuat ujian darah untuk melihat sel-sel darah dan juga ujian antibodi kepada virus denggi (dengue serology). Jika anda didapati positif anda akan dimasukkan ke wad untuk rawatan , pemerhatian dan kuarantin (anda mesti tidur dengan kelambu di hospital).
Doktor pula akan memaklumkan kepada bahagian kawalan penyakit bawaan vektor dan kawasan rumah anda akan disembur kabus (fogging ) untuk membunuh nyamuk dewasa dan mengelakkan wabak Denggi merebak. (kaedah yang sama juga digunakan dalam mencegah merebaknya selsema burung dan virus nipah , beza pada haiwan yang dibunuh sahaja) Mekanisme inilah telah berjaya selama ini membendung Demam Denggi menjadi bencana penyakit yang merebak tanpa kawalan.Malaysia mendapat banyak pujian dari saintis antarabangsa kerananya. Syabas , Kementerian Kesihatan , Malaysia Boleh !!


Kawalan dan pencegahan Demam Denggi

Sebagai rakyat malaysia yang bertanggung jawab, kita patut sama-sama membantu kerajaan dalam proses kawalan penyakit ini .Dengan itu kita dapat mencegah wabak ini dari merebak.

1. Hapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes
• Tutup semua bekas menyimpan air kerana nyamuk aedes suka bertelur didalam air yang bersih
• Salin air dan basuh dengan dengan berus hingga bersih semua bekas pasu bunga , kolah mandi,alas pasu bunga dan sebagainya.Ini adalah kerana kepompong nyamuk aedes masih boleh hidup walaupun tanpa air.
• Bersihkan saluran yang tersumbat dan boleh menakungkan air seperti longkang ,alur air hujan dan sebagainya
• Sampah dan bahan terbuang yang boleh menakung air hendaklah di buang dengan cara yang betul , di tanam ataupun dikitar semula (di jual) dan tidak membiarkannya bersepah diluar rumah yang akhirnya boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.
• Menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik seperti Abate mengikut sukatan yang betul (10gram untuk 100liter air) didalam kolah mandi di bilik air yang kita gunakan.
• Membunuh jentik-jentik dengan membela ikan (ikan puyu atau ikan guppy) didalam kolam dirumah anda
2. Hapuskan atau mengurangkan diri terdedah kepada nyamuk dewasa
• Gunakan aerosol pembunuh nyamuk yang banyak terdapat di pasaran
• Gunakan kelambu semasa tidur atau ‘ubat nyamuk’ (mosquito coil) untuk mengelak gigitan nyamuk
• Gunakan krim pencegah gigitan nyamuk pada bahagian badan yang terdedah semasa keluar rumah
• Gunakan jejaring di tingkap-tingkap rumah untuk mengurangkan nyamuk masuk kerumah
• Jangan membunuh haiwan yang memakan nyamuk dewasa seperti katak,kelawar dan sebagainya
• Pihak berkuasa kesihatan akan mengadakan semburan kabus untuk membunuh nyamuk dewasa di kawasan-kawasan yang terdapat kes-kes denggi.Jika anda melihat semburan kabus dilakukan dikawasan anda maka sudah pastinya terdapat kes pesakit Demam Denggi berdekatan dengan kawasan rumah anda.

3. Segera mendapat rawatan jika anda mempunyai tanda-tanda demam denggi .Ini adalah untuk mengelakkan anda menjadi pembawa kepada virus denggi ini dan boleh menyebabkan keluarga dan jiran-jiran anda di jangkiti melalui vektor nyamuk aedes .
Persekitaran yang kurang bersih akan mengundang pembiakan nyamuk yang tidak terkawal dan akhirnya menyebabkan merebaknya penyakit Demam Denggi ini. Oleh itu jagalah kebersihan persekitaran anda dan kitar semula bahan buangan anda.

Dr Norman M. Norawi (MBBS)


Copyright 2007 by Norman M.Norawi

Sunday, May 4, 2008

Sunday, February 10, 2008

Anti Oksidan & kepentingannya

Ahli perubatan Cina di zaman dahulu telah mengkaji ekstrak dari pokok Ginkgo Biloba dan Ginseng. Para ahli perubatan cina pada zaman itu kagum dengan pokok ini mempunyai akar yang sangat panjang dan ia boleh hidup sehingga seribu tahun lamanya

.Kerana itu mereka merasakan terdapat khasiat tertentu pada pokok ini yang boleh melanjutkan usia kehidupan. Saintis masa kini telah banyak membuat kajian bahawa sebenarnya pokok Ginkgo dan Ginseng ini mengandungi sebatian yang mempunyai bahan anti oksidan dan banyak lagi sebatian lain yang boleh melancarkan pengaliran darah dalam tubuh manusia. Hingga hari ini pelbagai jenis anti oksidan lagi telah di temui oleh para saintis

Hasil kajian saintifik juga telah menunjukkan bahawa bahan bahan anti oksidan mampu mengekalkan kesihatan dan mencegah pelbagai jenis penyakit manusia hari ini. Hakikatnya ahli perubatan Cina gagal menemui formula kehidupan abadai tetapi telah menemui formula kesihatan abadi hasil pemerhatian mereka.

Formula kesihatan abadi yang saya maksudkan ialah pengambilan antioksidan sebagai nutirisi tambahan untuk mengekalkan kesihatan hingga akhir hayat. Buku ini akan menerangkan konsep anti oksidan mencegah pelbagai penyakit kronik yang melanda manusia hari ini. Ia adalah hasil dari pembacaan berpuluh-puluh buku dan jurnal sains yang menjelaskan dan menyiarkan kajian-kajian saintifik tentang konsep anti oksidan .

Sayang sekali hampir semua buku- buku ini adalah dalam Bahasa Inggeris dan sudah pastinya ilmu tentang anti oksida tidak akan dapat di fahami sepenuhnya oleh pembaca buku Melayu. Oleh itu saya merasa terpanggil untuk menulis buku yang menerang konsep anti oksida ini di dalam Bahasa Melayu. Semoga pembaca –pembaca buku melayu mendapat manafaat dari konsep anti oksida dalam menjaga kesihatan.

Saya pada mulanya amat janggal dengan konsep anti oksida dan radikal bebas Anda tentu tertanya-tanya kenapa seorang doktor tidak memahami konsep ini Ini adalah kerana subjek ini tidak saya pelajari semasa di kolej perubatan. Amat aneh kerana konsep dan teori sehebat ini tidak termasuk di dalam sukatan pelajaran biokimia atau pathologi yang di ajar kepada bakal-bakal doktor.

Mungkin anda merasakan ianya mungkin perubatan alternatif ,naturopathy, holistik dan sebagainya Hakikatnya, konsep anti oksida ini bukanlah di cipta oleh pengamal perubatan alternatif . Ianya adalah teori yang di cadangkan oleh para saintis hasil pemerhatian dan kajian yang di lakukan secara saintifik . Ianya banyak disiarkan di dalam jurnal –jurnal sains dalam bahagian pemakanan (nutrition) , biokimia dan perubatan .

Sejarah keluarga saya yang mengidap penyakit kanser dan akhir nya cmeninggal dunia kerana kanser paru-paru ,bapa mertua saya meninggal dunia kerana mengidap kanser prostat dan kakak ipar saya meninggal dunia kerana kanser payu dara menyebabkan saya merasa kecewa dengan kaedah rawatan masa kini yang tidak menyembuhkan penyakit seperti ini.Adakah saya juga akan mendapat penyakit yang serupa kerana faktor genetik.

Kadangkala kita merasakan seperti kita ditakdirkan untuk mengidap penyakit seperti ini tanpa kita boleh berusaha untuk mengelakkannya. Takkan lah tiada kaedah untuk mencegah penyakit seperti kanser ini sebelum ia bermula .Kaedah perubatan moden memang memahami tentang konsep karsinogen yang menjadi faktor penyebab kanser . Hakikatnya kita hampir mustahil untuk mengelakkan diri dari terdedah kepada karsinogen ini .

Jika kita tak dapat mengelakkannya jalan terbaik adalah dengan mempunyai sistem pertahanan diri yang kuat. Bukanlah maksud saya kita mengamalkan seni mempertahankan diri seperti Karate Do dan sebagainya tetapi kita mengambil penawar yang mampu menguatkan tubuh badan kita di peringkat sel lagi untuk melindungi diri kita dari kesan karsinogen ini. Hasilnya kita tidak akan mendapat penyakit-penyakit yang merbahaya ini dan menderita kerananya.

Kerana itulah saya membuat lebih banyak pembacaan tentang apa sahaja topik yang berkenaan mencegah kanser sebelum ia bermula. Kaedah pencegahan penyakit yang lebih baik iaitu mencegah penyakit sebelum ianya bermula sebagaimana yang selalu kita dengar “mencegah lebih baik dari mengubati” . Kaedah screening yang ada dalam dunia perubatan sekarang melalui scan, ujian darah, biopsy, pap smear, mammogram dan sebagainya hanya bertujuan untuk mengesan penyakit kanser di peringkat awal dengan harapan dapat merawat kanser itu dan menyembuhkannya dengan kaedah rawatan secara pembedahan , kemoterapi atau radioterapi kerana secara statistiknya rawatan awal memberi peluang yang lebih baik untuk menyembuhkan penyakit –penyakit ini.

Saya mula terbaca mengenai anti oksida dan kesannya ke atas radikal bebas di dalam British Medical Journal (BMJ) selepas mendapat izajah perubatan, ianya amat menarik pada diri saya dan saya terfikir kenapakah subjek ini tidak di tekankan dengan mendalam semasa menjadi pelajar perubatan dahulu. Selepas itu saya mula membaca lebih banyak buku berkenaan topik ini. Majoriti buku-buku berkenaan topik ini di tulis oleh para saintis barat dan juga doktor.Di Barat revolusi kesihatan atau wellness ini telah berkembang dengan pesatnya sehinggakan industri nutrisi tambahan ini di ramal akan menjadi industri trillion yang seterusnya.Rata-rata masyarakat di barat telah mempunyai lebih kesedaran tentang penting menjaga kesihatan dengan mengambil anti oksida ,vitamin dan mineral. Sehingga kini wujudnya revolusi pemikiran baru di kalangan ahli perubatan iaitu kaedah mencegah penyakit sebelum ianya terjadi dan mengekalkan kesihatan hingga ke hari tua.
Dalam buku The new Anti Aging Revolution , Dr Robert Goldman menulis banyak faktor-faktor lain yang penting untuk mengekalkan kesihatan dan anti penuaan dan konsep anti oksida adalah salah satu darinya.
Dari perspekstif buku ini saya akan menumpukan konsep asas tentang anti oksida sahaja.


Dengan adanya internet sekarang amat mudah untuk kita mencari dan mendapat maklumat terkini tentang topik ini. Bila melayar internet kita dapat melihat terlalu banyak kajian yang telah diterbitkan di dalam jurnal-jurnal saintifik berkenaan topik ini. Ini tambah meyakinkan saya tentang kepentingan anti oksida dalam mencegah penyakit dan mengekalkan kesihatan.

Memandangkan semua jurnal –jurnal saintifik di tulis dalam Bahasa Inggeris dan banyak menggunakan istilah perubatan sudah pasti golongan yang bermanafaat adalah golongan doktor. Tetapi kerana topik ini tidak pernah di ajar di kolej perubatan, doktor pula menjadi golongan yang tidak menggalakkan nutrisi tambahan (nutritional supplement) seperti ini. Anda tentu akan bertanya dengan doktor anda tentang vitamin dan sebagainya .

Sudah tentu jawapan yang anda terima seperti berikut :

“makanan yang kita makan sudah cukup mengandungi vitamin yang kita perlukan..”

“ vitamin yang di perlukan oleh badan amat kecil kuantitinya , kalau mengambil vitambahan hanya akan menyebabkan ‘kencing mahal’....”

“anda boleh mendapat penyakit terlebih vitamin jika mengambil vitamin tambahan....”

”anda boleh mendapat penyakit batu karang jika mengambil vitamin C dalam dos yang tinggi.....”

Begitulah kebanyakan jawapan yang kita terima jika kita bertanya kebanyakan doktor . Walaupun begitu angin perubahan sudah mula melanda golongan para doktor terutamanya doktor yang muda dan lebih berfikiran terbuka. Mungkin satu hari nanti semua doktor akan lebih menyokong dan memberikan nutrisi tambahan sebagai sebahagian dari rawatan kepada pesakit mereka.

Ada juga pesakit saya temui menganggap bahawa vitamin dan nutrisi tambahan ini hanya untuk kanak-kanak membesar . Konsep pencegahan penyakit melalui cara mudah dengan pengambilan vitamin,mineral dan anti oksidan yang lain terlalu janggal bunyinya.

Saya cuba untuk menulis buku ini dengan bahasa yang mudah di fahami oleh orang biasa , walaubagaimanapun penggunaan istilah sains dan perubatan tidak dapat saya elakkan. Saya berharap dengan adanya buku dalam bahasa melayu seperti ini semoga lebih ramai lagi yang mendapat manafaat hasil dari kajian anti oksida dan kesihatan terutamanya kalangan pembaca buku melayu.

Perlu juga kita fahami bahawa aspek pengambilan nutrisi tambahan dan anti oksida ini hanya sebahagian dari ‘cara hidup sihat’. Pemakanan seimbang , bersenam dan meninggalkan tabiat buruk seperti merokok dan sebagainya juga merupakan aspek penting dalam menjaga kesihatan.

Buku ini sebagai percubaan untuk menjelaskan konsep ini kepada masyarakat berbahasa melayu dan menambah kesedaran tentang kesihatan serta memahami bahawa kita tidak semestinya perlu untuk sakit dan merana sebelum sampai ajal yang di tentukan oleh tuhan. Kerana kita di beri kuasa untuk berusaha dan insyallah ALLAH jualah yang menentukan. Insyaallah jika di beri peluang lagi saya akan meneruskan siri ini dengan buku-buku akan datang yang menjelaskan lebih lanjut mengenai konsep anti penuaan dan mengekalkan kesihatan hingga akhir hayat.
Selamat membaca , semoga anda akan terus kekal sihat sepanjang hayat.