Wednesday, October 8, 2008

MELAMINE...RACUN??

Melamine telah menjadi suatu nama yang begitu menakutkan baru-baru ini.Ini semua gara-gara skandal pencemaran susu dengan bahan ini yang berleluasa di China.Apa sebenarnya melamine ini.Ramai pesakit yang bertanya kepada saya tentang hal ini.

Melamine sebenarnya adalah bahan kimia organik yang berwarna putih yang mengandungi kandungan Nitrogen yang tinggi.Ia digunakan dalam industri baja , plastik ,pinggan mangkuk ,papan putih (white board) dan lain-lain bahan yang bukan makanan.

Ia bukan lah racun secara lansung,yang bermaksud apabila kita memegangnya ia tidak akan menyerap kedalam badan melalui kulit dan tidak meruap.Oleh kerana itu kita tidak pernah terdengar sebelum ini sesiapapun yang mati kerana menggunakan pinggan melamine.

Isu melamine di China adalah kerana masalah penjual susu di China yang cuba mencairkan susu (adultrated)dengan tujuan untuk menipu iaitu dengan menambahkan air kedalam susu untuk menambahkan jumlah susu yang dijual.Susu yang cair ini akan mempunyai paras kandungan protin yang lebih rendah apabila diuji.Paras protin diuji dengan mengukur paras kandungan Nitrogen dalam susu.

Untuk mengelakkan 'susu cair' ini di kesan maka mereka mencampurkan serbuk melamine kedalam susu untuk menambahkan kandungan Nitrogen dalam susu. Ini adalah kerana syarikat pembeli susu di China akan menguji paras kandungan nitrogen dalam susu mereka sahaja untuk menentukan paras kandungan protin dalam susu, tanpa mengukur paras protin yang sebenarnya. Dengan mencampurkan melamine perbuatan mereka ini sukar dikesan. Akhirnya menyebabkan semua susu dalam industri susu di China tercemar dengan bahan ini.

Penambahan melamine kedalam makanan atau minuman manusia tidak diluluskan dan diharamkan oleh semua negara didunia.Masalah penguatkuasaan dan juga kerana faktor 'rasuah' menjadi punca kenapa hal ini terus berlaku di China sebelum ini dan akhirnya menjadi 'bom jangka' yang akhir meletup sekarang.

Ini lah bahananya orang-orang yang tamak dan berfikiran cetek dan mengejar keuntungan jangka pendek yang akhirnya merugikan seluruh industri susu di China dan yang lebih buruk lagi membunuh bayi-bayi dan kanak kanak yang tidak berdosa.

Melamine dalam susu menyebabkan kerosakan pada buah pinggang kerana ia di kumuhkan atau di keluarkan dari badan manusia melalui kencing. Kepekatan melamine yang tinggi dalam darah menyebabkan saluran kencing dalam buah pinggang tersumbat dengan bahan ini dan bergumpal menjadi batu karang.Ini adalah kerana melamine bergabung dengan asid sianurik yang juga terdapat dalam serbuk melamine itu dan menjadi seperti kristal.Kristal inilah yang menjadi batu karang dalam buah pinggang dan akhirnya menyebabkan kerosakan kekal buah pinggang.

Penyumbatan yang menyebabkan kerosakan kekal buah pinggang dan akhirnya membawa maut.Melamine dalam jumlah yang sangat kecil tidak merbahaya dan boleh dikeluarkan oleh buah pinggang manusia melalui air kencing.Oleh itu jika kita makan dengan pinggan melamine hal yang demikian tidak berlaku.

Untuk menjaga keselamatan kita semua , buat masa ini jangan lah kita mengambil sebarang bahan berasaskan susu yang diimport dari China.
Masalah rasuah dan kurang penguatkuasaan sememangnya menjadi punca sesuatu masalah yang menjadi 'barah' yang akhirnya meletup tanpa dapat dibendung.Ini juga menjadi masalah yang serupa dalam semua bidang dan industri yang lainnya.Hanya masa yang menentukan bila sesuatu isu akan akhir 'meletup' selepas masalah rasuah menjadi barah seperti ini. Wallahualam.

No comments: