Wednesday, May 21, 2014

TEKANAN (STRESS) PUNCA MASALAH JANTUNG



STRESS DAN KESIHATAN JANTUNG

Stress atau tekanan adalah satu faktor yang kuat menyebabkan masalah kesihatan terutamanya penyakit jantung koronari dalam masyarakat zaman moden sekarang.
 
Stress boleh berpunca dari faktor luaran atau faktor dalaman seseorang. Stress boleh menjadi sesuatu faktor positif yang mendorong seseorang untuk lebih tekun berkerja , tetapi jika stress menjadi terlampau dan diluar kawalan maka ianya akan menjadi faktor yang boleh merosakkan kesihatan seseorang. Faktor luaran termasuklah kerjaya, hubungan sesama manusia, rumah tangga dan keluarga yang menyebabkan situasi yang mencabar, tekanan kerja, jangkaan dan harapan kehidupan seharian. Faktor dalaman termasuklah bagaimana tindakbalas  dan keupayaan mengawal stress atau tekanan dari faktor luaran tadi termasuklah status nutrisi, tahap kesihatan fizikal dan kecergasan, kekuatan emosi dan tidur serta rehat yang secukupnya bagi  seseorang. Mengharapkan sesuatu yang sempurna dan terlalu mengikut perancangan kita adalah faktor dalaman yang boleh menyebabkan seseorang mengalami stress yang tinggi.

Stress boleh menyebabkan penyakit jantung kerana berlaku perubahan hormon iaitu hormon adrenalin dan kortisol. Stress juga boleh mempengaruhi tingkahlaku seseorang. Seseorang yang mengalami stress biasanya mengambil tindakan yang boleh memburukkan kesihatan seperti merokok, minum arak, makan secara berlebihan. Kesan dari tabiat yang tidak sihat ini kesihatan jantung seseorang akan terjejas dan akibatnya boleh menyebabkan penyakit jantung yang kronik.
 

Kaitan diantara stress dan kesannya kepada kesihatan telah dikaji oleh seorang ahli sains bernama Hans Selye pada tahun 1946. Beliau berpendapat stress adalah punca kepada pelbagai masalah kesihatan dan penyakit. Beliau telah  membahagikan stress kepada tiga tahap iaitu Amaran (Alarm), Rintangan (Resistance) dan Keletihan (Exhaustion). 

Kajian terbaru menunjukkan stress boleh menyebabkan penyakit jantung. Walaubagaimanapun masih berlaku perdebatan bagaimanakah mekanisme yang sebenarnya stress boleh mengganggu kesihatan jantung. Manusia zaman moden tidak lagi mengalami stress sebagaimana manusia yang hidup pada zaman purba yang mengalami stress apabila terserempak dengan binatang buas didalam hutan. Stress yang dialami semasa bertemu dengan binatang buas akan menyebabkan tubuh bersedia untuk melawan atau lari (flight or fight), dan dalam keadaan ini hormon adrenalin dan kortisol yang keluar akan membantu seseorang untuk keluar dari masalah tersebut.

Dalam zaman moden sekarang, stress akibat kerjaya, keluarga, masyarakat dan duit akan menyebabkan tubuh memberikan tindakbalas yang serupa iaitu menghasilkan hormon ini secara berterusan dan dalam jumlah yang tinggi. Apabila hormon ini terlalu tinggi dalam tubuh seseorang ia akan mengganggu kesihatan jantung dan sistem pembuluh darah.


Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Circulation pada tahun 2000, yang bertajuk “ Mental Stress Induces Transient Endothelial Dysfunction in Human” yang bermaksud mental stress boleh merosakkan dinding dalaman saluran darah seseorang. Menurut kajian ini, setiap kali seseorang stress berlakunya kerosakan dinding dalaman saluran darah  (endothelial dysfunction) selama empat jam. Kerosakan ini akan menyebabkan saluran darah tersebut rosak dan kolesterol lebih mudah mendap didalamnya. Kesan jangkamasa panjang akan menyebabkan saluran darah tersumbat dan akhirnya berlakulah penyakit jantung, darah tinggi dan strok. 

Dalam satu lagi kajian yang dilaporkan dalam Jurnal Perubatan British (BMJ) pada tahun 2006 yang bertajuk “Chronic Stress at work and The Metabolic Syndrome: Prospective Study”. Kajian ini melibatkan 10,308 lelaki dan wanita berkerjaya yang berumur diantara 35-55 tahun. Kajian ini menunjukkan stress akibat pekerjaan menyumbang kepada faktor risiko yang tinggi untuk penyakit jantung iaitu sindrom metabolik. Seseorang yang mengalami stress yang tinggi dan tidak terkawal akan berisiko tinggi mendapat  darah tinggi, kolesterol tinggi, perut buncit, obesiti dan penyakit jantung.


Memilih cara-cara yang tidak sihat untuk menurunkan stress seperti merokok, minum kopi berlebihan, makan makanan atau minuman manis, minum arak, mangambil dadah dan ubat penenang dan sebagainya akan menambah burukkan kesihatan seseorang.

Oleh kerana itu, mengawal stress adalah dengan cara yang lebih sihat adalah amat penting untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung. Diantara cara-cara yang sihat dan baik serta boleh diamalkan untuk membantu seseorang mengawal stress adalah seperti berikut.

Makan secara sihat iaitu memilih buah-buahan, sayur-sayuran, makan ikan, kurangkan gula dan makan dalam jumlah yang berpatutan. Jangan berlebih-lebihan dalam pemakanan seharian kita. Mengambil suplemen yang secukupnya  dengan mengambil vitamin, mineral, omega 3 dan anti oksidan juga boleh membantu mengawal stress dengan lebih baik.

 

Bersenam dengan lebih kerap juga membantu mengurangkan stress. Bermain permainan yang menyeronokkan seperti badminton, futsal, golf dan sebagainya adalah satu kaedah yang baik untuk bersenam sambil mengurangkan stress.
 
Bersikap positif dan menghadapi cabaran hidup secara positif adalah satu terapi stress yang amat baik.Kajian menunjukkan seseorang yang bersikap positif mempunyai risiko penyakit jantung yang lebih rendah.
 
Sebagai seorang Islam, solat, berzikir dan membaca Al Quran adalah diantara kaedah terbaik menurunkan kadar stress seseorang. Bergaul dengan masyarakat dengan ke Masjid dan berjemaah juga boleh mengurangkan stress. Membuat kerja-kerja amal dengan membantu dan bersedekah kepada orang yang lebih susah dan memerlukan akan membantu mengurangkan stress. Bersyukur dengan kurniaan Allah dengan banyak bersedekah dan beramal soleh adalah kaedah terbaik untuk mengawal stress dan tekanan dalam kehidupan dalam zaman moden ini, Insyaallah.
 
Wallahualam
 

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MScAARMMA, FAGE

 

 

 

 


Wednesday, May 7, 2014

LEMAK IKAN BAIK UNTUK JANTUNG



MAKAN IKAN- JANTUNG SIHAT

 

Makanan laut adalah makanan yang baik dalam Islam dan ianya sangat istimewa kerana semua makanan laut adalah halal, sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud :

Rasulullah SAW bersabda tentang laut,"Airnya mensucikan dan halal bangkainya."

(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasa-ie,Ibnu Majah, dan Abu Dawud)

Jelas disini terbukti bagaimana benarnya sabda Nabi Muhammad SAW yang mempunyai rahsia dan hikmah yang akhirnya terbukti secara saintifik.

 

Hasil pemerhatian awal saintis  mendapati masyarakat Inuit atau Eskimo mempunyai kadar penyakit jantung yang amat rendah dan paras kolesterol yang lebih rendah berbanding masyarakat biasa di Bandar di USA dan Eropah. Sedangkan, diet pemakanan masyarakat Eskimo ini amat tinggi dengan lemak dan minyak, walaupun  mereka amat kurang memakan sayur-sayuran. Makanan orang Eskimo adalah makanan laut terutamanya ikan.

 

Kajian juga menunjukkan penduduk Jepun yang merupakan ‘pemakan’ ikan yang terbesar didunia mempunyai kadar penyakit jantung yang amat rendah berbanding masyarakat di USA. Pemerhatian yang serupa bagi masyarakat di Mediterranean yang banyak makan ikan dan makanan laut. Kesimpulan dari kajian tersebut  menunjukkan bahawa ikan dan kebanyakan makanan laut adalah kaya dengan asid lemak omega 3.

 

Fenomena ini menjadi suatu ‘ironi’ yang amat menarik dan ia seolah-olah ‘menentang arus’ dan berbeza dengan pandangan umum bahawa pemakanan yang tinggi dengan lemak menjadi punca kepada penyakit jantung. Hakikatnya terdapat lemak yang baik untuk kesihatan jantung iaitu Omega 3. Oleh kerana itu sekarang amat biasa kita melihat pelbagai iklan dan jenama produk yang mempunyai kandungan omega 3 yag dikaitkan dengan kesihatan jantung. Tentu anda selalu melihat singkatan EPA dan DHA pada label tin-tin susu dan minyak masak yang anda beli di pasaran.

    

Asid lemak omega 3 ini adalah contoh lemak sihat yang boleh membantu mencegah penyakit jantung. Selalunya kita terlalu takut dengan istilah ‘lemak’ hingga kita menyangka semua lemak adalah tidak sihat dan boleh meningkat paras kolesterol kita. Sebenarnya, lemak ikan adalah lemak yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol LDL dan trigliserida serta manaikkan paras kolesterol baik HDL. Banyak kajian telah membuktikan lemak ikan amat kaya dengan asid lemak ‘Omega 3’ yang telah terbukti boleh mengurangkan risiko sakit jantung koronari.

Kajian sains menunjukkan ikan yang berlemak seperti ikan salmon, tuna, sardin, makerel dan trout mempunyai kandungan omega 3 yang amat tinggi.  Asid lemak omega 3 akan memperlahankan pemendapan kolesterol pada dinding saluran darah dan mengurangkan keradangan pada dinding saluran darah dalam tubuh manusia. Oleh kerana itu pemakanan ikan setiap hari amat digalakkan sebagai sebahagian dari cara pemakanan yang sihat yang boleh menurunkan paras kolesterol, mengawal tekanan darah dan mencegah sakit jantung.

 

Bukti kajian sains tentang ikan dan kesihatan jantung

Pada 8 September 2004, FDA iaitu badan yang bertanggungjawab menjaga hal-ehwal perubatan di USA telah mengeluarkan kenyataan yang menyokong Omega 3 (EPA & DHA) sebagai satu supplement yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari. Pihak FDA juga menyarankan pemakanan ikan dengan lebih kerap kerana kandungan  omega 3 dalam ikan mampu menurunkan risiko sakit jantung koronari. FDA juga telah membenarkan pengilang dan pengedar  yang menghasilkan makanan dan suplemen mengiklankan bahawa produk yang mengandungi omega 3 boleh mengurangkan risiko sakit jantung koronari dan menurunkan paras kolesterol darah.Saranan FDA ini adalah kerana bukti kukuh hasil dari pelbagai kajian telah dijalankan menunjukkan kesan baik pemakanan ikan dengan kesihatan jantung.

 

Diantara laporan tentang kelebihan omega 3 ini diterbitkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 1997, pengkaji mendapati dengan pengambilan omega 3 dengan makan ikan setiap hari menurunkan paras trigliserida darah sehingga 25%-30%.

Satu kajian di Amerika Syarikat yang  mengkaji hubung kait antara pemakanan ikan dengan pencegahan serangan jantung untuk kali kedua. Hasil kajian ini mendapati terdapat penurunan sebanyak 29 peratus di dalam kadar kematian di kalangan pesakit yang makan ikan setiap hari.

Pada tahun 1999, pengkaji dari GISSI-Prevenzione melaporkan  dalam jurnal perubatan The Lancet, mengenai satu kajian yang dijalankan melibatkan 11,324 pesakit yang telah mendapat serangan jantung (myocardial infarction). Kesemua pesakit ini telah diberikan Omega 3 sebanyak 1,000mg setiap hari dan kesimpulan dari kajian ini menyatakan terdapat  pengurangan kadar kematian akibat serangan jantung kali kedua sebanyak 45 peratus. Kesan baik pengambilan Omega 3 diamalkan setiap hari  didapati  selepas tiga bulan dan seterusnya.

 
 
 
Dalam satu lagi kajian di USA yang dipanggil DART Study  (The Diet and Reinfarction Trial),  hubung kait antara pemakanan ikan yang kaya dengan Omega 3 dengan pencegahan serangan jantung untuk kali kedua adalah sangat berkait rapat. Dalam kajian ini seramai 1,015 pesakit dinasihatkan memakan ikan sekurang-kurangnya dua hidangan seminggu dan seramai 1,018 pesakit tidak dinasihatkan begitu. Semua pesakit yang mengambil bahagian dalam kajian ini telah mendapat serangan jantung buat kali pertama. Selepas dua tahun, kajian ini mendapati terdapat penurunan sebanyak 29 peratus di dalam kadar kematian di kalangan pesakit yang mendapat nasihat supaya memakan ikan tersebut. Cuma dua hidangan seminggu boleh mengurangkan kadar sakit jantung.

 

Pada tahun 2006, terdapat dua jurnal perubatan utama di USA iaitu American Journal of Clinical Nutrition dan Journal of American Medical Association (JAMA) telah memberikan ulasan yang positif tentang kelebihan Omega 3. Ia  menyatakan bahawa, berdasarkan  laporan kajian yang telah dijalankan di seluruh dunia, terdapat pengurangan yang ketara dalam jumlah kadar kematian keseluruhan dan insiden penyakit serangan jantung di kalangan mereka yang mengamalkan pemakanan banyak ikan atau minyak ikan, ataupun mengambil supplement Omega 3 setiap hari.

 

 

Omega 3 amat penting untuk mendapat kesihatan jantung yang baik. Ia hanya boleh memberikan kesan yang baik jika diambil dengan makanan atau supplement. Penggunaan minyak masak yang kaya dengan Omega 3 juga boleh membekalkan keperluan harian  seseorang sebagai contohnya minyak canola, minyak flaxseed, minyak kacang soya. Kacang walnut juga adalah sumber yang kaya dengan Omega 3. Disamping itu pengambilan makanan yang ditambah dengan omega 3 seperti telur dan susu juga boleh membantu anda mendapat keperluan Omega 3 harian.

 
Makan lah ikan setiap hari untuk kesihatan jantung dan menurunkan paras kolesterol darah. Semua jenis ikan mengandungi kandungan omega 3 yang tinggi berbanding makanan lain. Jika anda tidak mahu makan ikan setiap hari, maka pengambilan suplemen omega 3 juga membantu mendapatkan sumber omega 3 untuk menurunkan paras kolesterol.

Fakta mengenai kajian sains dan faedah kesihatan omega 3 ini telah saya tulis dengan lebih mendalam didalam buku saya bertajuk “ Omega 3: Fahami faedahnya kepada kesihatan anda” dan boleh juga membaca tulisan saya dengan layari  blog : doknorm.co.nr

 

Berapa banyak ikan yang perlu dimakan?

Pengambilan ikan sebagai sumber protein dalam makanan adalah satu cara yang terbaik untuk mendapat khasiat Omega 3 kerana ikan adalah sumber Omega 3 yang paling kaya.

Mengikut kajian yang dibuat, cadangan pemakanan ikan yang baik adalah makan ikan sekurang-kurangnya dua hidangan seminggu. Cara terbaik ialah makan ikan yang kita suka. Makan ikan yang lebih kecil saiznya juga adalah baik kerana mengurangkan risiko pencemaran logam raksa (mercury) dan racun PCB yang mencemarkan  daging ikan terutamanya ikan yang lebih besar seperti ikan tuna dan ikan jerung.

American Heart Association (AHA) mencadangkan pengambilan satu gram EPA dan DHA setiap hari sekurang-kurangnya dengan makan ikan untuk mengurangkan risiko sakit jantung koronari.


Jika anda tidak suka ikan maka anda boleh mengambil makanan lain yang kaya dengan omega 3 seperti  minyak flaxseed, minyak kanola, kacang walnut, telur diperkaya omega 3 dan suplemen omega 3 yang berada dipasaran sekarang. Untuk cara yang lebih mudah ambillah suplemen Omega 3 yang terdapat dalam pasaran sekarang. Makanlah  Omega 3 setiap hari untuk kesihatan jantung anda.

 

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MScAARMMA,FAGE

Konsultan Anti Aging, Aesthetik & Regenerative Medicine
 
KLINIK EUZELLE
100, JALAN MAAROF, BANGSAR,
KUALA LUMPUR