Wednesday, May 7, 2014

LEMAK IKAN BAIK UNTUK JANTUNG



MAKAN IKAN- JANTUNG SIHAT

 

Makanan laut adalah makanan yang baik dalam Islam dan ianya sangat istimewa kerana semua makanan laut adalah halal, sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud :

Rasulullah SAW bersabda tentang laut,"Airnya mensucikan dan halal bangkainya."

(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasa-ie,Ibnu Majah, dan Abu Dawud)

Jelas disini terbukti bagaimana benarnya sabda Nabi Muhammad SAW yang mempunyai rahsia dan hikmah yang akhirnya terbukti secara saintifik.

 

Hasil pemerhatian awal saintis  mendapati masyarakat Inuit atau Eskimo mempunyai kadar penyakit jantung yang amat rendah dan paras kolesterol yang lebih rendah berbanding masyarakat biasa di Bandar di USA dan Eropah. Sedangkan, diet pemakanan masyarakat Eskimo ini amat tinggi dengan lemak dan minyak, walaupun  mereka amat kurang memakan sayur-sayuran. Makanan orang Eskimo adalah makanan laut terutamanya ikan.

 

Kajian juga menunjukkan penduduk Jepun yang merupakan ‘pemakan’ ikan yang terbesar didunia mempunyai kadar penyakit jantung yang amat rendah berbanding masyarakat di USA. Pemerhatian yang serupa bagi masyarakat di Mediterranean yang banyak makan ikan dan makanan laut. Kesimpulan dari kajian tersebut  menunjukkan bahawa ikan dan kebanyakan makanan laut adalah kaya dengan asid lemak omega 3.

 

Fenomena ini menjadi suatu ‘ironi’ yang amat menarik dan ia seolah-olah ‘menentang arus’ dan berbeza dengan pandangan umum bahawa pemakanan yang tinggi dengan lemak menjadi punca kepada penyakit jantung. Hakikatnya terdapat lemak yang baik untuk kesihatan jantung iaitu Omega 3. Oleh kerana itu sekarang amat biasa kita melihat pelbagai iklan dan jenama produk yang mempunyai kandungan omega 3 yag dikaitkan dengan kesihatan jantung. Tentu anda selalu melihat singkatan EPA dan DHA pada label tin-tin susu dan minyak masak yang anda beli di pasaran.

    

Asid lemak omega 3 ini adalah contoh lemak sihat yang boleh membantu mencegah penyakit jantung. Selalunya kita terlalu takut dengan istilah ‘lemak’ hingga kita menyangka semua lemak adalah tidak sihat dan boleh meningkat paras kolesterol kita. Sebenarnya, lemak ikan adalah lemak yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol LDL dan trigliserida serta manaikkan paras kolesterol baik HDL. Banyak kajian telah membuktikan lemak ikan amat kaya dengan asid lemak ‘Omega 3’ yang telah terbukti boleh mengurangkan risiko sakit jantung koronari.

Kajian sains menunjukkan ikan yang berlemak seperti ikan salmon, tuna, sardin, makerel dan trout mempunyai kandungan omega 3 yang amat tinggi.  Asid lemak omega 3 akan memperlahankan pemendapan kolesterol pada dinding saluran darah dan mengurangkan keradangan pada dinding saluran darah dalam tubuh manusia. Oleh kerana itu pemakanan ikan setiap hari amat digalakkan sebagai sebahagian dari cara pemakanan yang sihat yang boleh menurunkan paras kolesterol, mengawal tekanan darah dan mencegah sakit jantung.

 

Bukti kajian sains tentang ikan dan kesihatan jantung

Pada 8 September 2004, FDA iaitu badan yang bertanggungjawab menjaga hal-ehwal perubatan di USA telah mengeluarkan kenyataan yang menyokong Omega 3 (EPA & DHA) sebagai satu supplement yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari. Pihak FDA juga menyarankan pemakanan ikan dengan lebih kerap kerana kandungan  omega 3 dalam ikan mampu menurunkan risiko sakit jantung koronari. FDA juga telah membenarkan pengilang dan pengedar  yang menghasilkan makanan dan suplemen mengiklankan bahawa produk yang mengandungi omega 3 boleh mengurangkan risiko sakit jantung koronari dan menurunkan paras kolesterol darah.Saranan FDA ini adalah kerana bukti kukuh hasil dari pelbagai kajian telah dijalankan menunjukkan kesan baik pemakanan ikan dengan kesihatan jantung.

 

Diantara laporan tentang kelebihan omega 3 ini diterbitkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 1997, pengkaji mendapati dengan pengambilan omega 3 dengan makan ikan setiap hari menurunkan paras trigliserida darah sehingga 25%-30%.

Satu kajian di Amerika Syarikat yang  mengkaji hubung kait antara pemakanan ikan dengan pencegahan serangan jantung untuk kali kedua. Hasil kajian ini mendapati terdapat penurunan sebanyak 29 peratus di dalam kadar kematian di kalangan pesakit yang makan ikan setiap hari.

Pada tahun 1999, pengkaji dari GISSI-Prevenzione melaporkan  dalam jurnal perubatan The Lancet, mengenai satu kajian yang dijalankan melibatkan 11,324 pesakit yang telah mendapat serangan jantung (myocardial infarction). Kesemua pesakit ini telah diberikan Omega 3 sebanyak 1,000mg setiap hari dan kesimpulan dari kajian ini menyatakan terdapat  pengurangan kadar kematian akibat serangan jantung kali kedua sebanyak 45 peratus. Kesan baik pengambilan Omega 3 diamalkan setiap hari  didapati  selepas tiga bulan dan seterusnya.

 
 
 
Dalam satu lagi kajian di USA yang dipanggil DART Study  (The Diet and Reinfarction Trial),  hubung kait antara pemakanan ikan yang kaya dengan Omega 3 dengan pencegahan serangan jantung untuk kali kedua adalah sangat berkait rapat. Dalam kajian ini seramai 1,015 pesakit dinasihatkan memakan ikan sekurang-kurangnya dua hidangan seminggu dan seramai 1,018 pesakit tidak dinasihatkan begitu. Semua pesakit yang mengambil bahagian dalam kajian ini telah mendapat serangan jantung buat kali pertama. Selepas dua tahun, kajian ini mendapati terdapat penurunan sebanyak 29 peratus di dalam kadar kematian di kalangan pesakit yang mendapat nasihat supaya memakan ikan tersebut. Cuma dua hidangan seminggu boleh mengurangkan kadar sakit jantung.

 

Pada tahun 2006, terdapat dua jurnal perubatan utama di USA iaitu American Journal of Clinical Nutrition dan Journal of American Medical Association (JAMA) telah memberikan ulasan yang positif tentang kelebihan Omega 3. Ia  menyatakan bahawa, berdasarkan  laporan kajian yang telah dijalankan di seluruh dunia, terdapat pengurangan yang ketara dalam jumlah kadar kematian keseluruhan dan insiden penyakit serangan jantung di kalangan mereka yang mengamalkan pemakanan banyak ikan atau minyak ikan, ataupun mengambil supplement Omega 3 setiap hari.

 

 

Omega 3 amat penting untuk mendapat kesihatan jantung yang baik. Ia hanya boleh memberikan kesan yang baik jika diambil dengan makanan atau supplement. Penggunaan minyak masak yang kaya dengan Omega 3 juga boleh membekalkan keperluan harian  seseorang sebagai contohnya minyak canola, minyak flaxseed, minyak kacang soya. Kacang walnut juga adalah sumber yang kaya dengan Omega 3. Disamping itu pengambilan makanan yang ditambah dengan omega 3 seperti telur dan susu juga boleh membantu anda mendapat keperluan Omega 3 harian.

 
Makan lah ikan setiap hari untuk kesihatan jantung dan menurunkan paras kolesterol darah. Semua jenis ikan mengandungi kandungan omega 3 yang tinggi berbanding makanan lain. Jika anda tidak mahu makan ikan setiap hari, maka pengambilan suplemen omega 3 juga membantu mendapatkan sumber omega 3 untuk menurunkan paras kolesterol.

Fakta mengenai kajian sains dan faedah kesihatan omega 3 ini telah saya tulis dengan lebih mendalam didalam buku saya bertajuk “ Omega 3: Fahami faedahnya kepada kesihatan anda” dan boleh juga membaca tulisan saya dengan layari  blog : doknorm.co.nr

 

Berapa banyak ikan yang perlu dimakan?

Pengambilan ikan sebagai sumber protein dalam makanan adalah satu cara yang terbaik untuk mendapat khasiat Omega 3 kerana ikan adalah sumber Omega 3 yang paling kaya.

Mengikut kajian yang dibuat, cadangan pemakanan ikan yang baik adalah makan ikan sekurang-kurangnya dua hidangan seminggu. Cara terbaik ialah makan ikan yang kita suka. Makan ikan yang lebih kecil saiznya juga adalah baik kerana mengurangkan risiko pencemaran logam raksa (mercury) dan racun PCB yang mencemarkan  daging ikan terutamanya ikan yang lebih besar seperti ikan tuna dan ikan jerung.

American Heart Association (AHA) mencadangkan pengambilan satu gram EPA dan DHA setiap hari sekurang-kurangnya dengan makan ikan untuk mengurangkan risiko sakit jantung koronari.


Jika anda tidak suka ikan maka anda boleh mengambil makanan lain yang kaya dengan omega 3 seperti  minyak flaxseed, minyak kanola, kacang walnut, telur diperkaya omega 3 dan suplemen omega 3 yang berada dipasaran sekarang. Untuk cara yang lebih mudah ambillah suplemen Omega 3 yang terdapat dalam pasaran sekarang. Makanlah  Omega 3 setiap hari untuk kesihatan jantung anda.

 

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MScAARMMA,FAGE

Konsultan Anti Aging, Aesthetik & Regenerative Medicine
 
KLINIK EUZELLE
100, JALAN MAAROF, BANGSAR,
KUALA LUMPUR 

1 comment:

Anon said...

Saya mohon share di blog saya Dr.Norman. Terima Kasih.