MAKAN
IKAN- JANTUNG SIHAT
Makanan laut adalah makanan yang baik dalam
Islam dan ianya sangat istimewa kerana semua makanan laut adalah halal,
sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud :
Rasulullah SAW bersabda tentang laut,"Airnya
mensucikan dan halal bangkainya."
(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasa-ie,Ibnu Majah,
dan Abu Dawud)
Jelas
disini terbukti bagaimana benarnya sabda Nabi Muhammad SAW yang mempunyai
rahsia dan hikmah yang akhirnya terbukti secara saintifik.
Hasil
pemerhatian awal saintis mendapati
masyarakat Inuit atau Eskimo mempunyai kadar penyakit jantung yang amat rendah
dan paras kolesterol yang lebih rendah berbanding masyarakat biasa di Bandar di
USA dan Eropah. Sedangkan, diet pemakanan masyarakat Eskimo ini amat tinggi
dengan lemak dan minyak, walaupun mereka
amat kurang memakan sayur-sayuran. Makanan orang Eskimo adalah makanan laut
terutamanya ikan.
Kajian
juga menunjukkan penduduk Jepun yang merupakan ‘pemakan’ ikan yang terbesar
didunia mempunyai kadar penyakit jantung yang amat rendah berbanding masyarakat
di USA. Pemerhatian yang serupa bagi masyarakat di Mediterranean yang banyak makan ikan dan makanan
laut. Kesimpulan dari kajian tersebut menunjukkan bahawa ikan dan kebanyakan makanan
laut adalah kaya dengan asid lemak omega 3.
Fenomena ini menjadi suatu ‘ironi’ yang amat menarik dan ia seolah-olah
‘menentang arus’ dan berbeza dengan pandangan umum bahawa pemakanan yang tinggi
dengan lemak menjadi punca kepada penyakit jantung. Hakikatnya terdapat lemak
yang baik untuk kesihatan jantung iaitu Omega 3. Oleh kerana itu sekarang amat
biasa kita melihat pelbagai iklan dan jenama produk yang mempunyai kandungan
omega 3 yag dikaitkan dengan kesihatan jantung. Tentu anda selalu melihat singkatan EPA dan DHA pada label tin-tin susu dan
minyak masak yang anda beli di pasaran.
Asid lemak omega 3 ini adalah contoh lemak
sihat yang boleh membantu mencegah penyakit jantung. Selalunya kita terlalu
takut dengan istilah ‘lemak’ hingga kita menyangka semua lemak adalah tidak
sihat dan boleh meningkat paras kolesterol kita. Sebenarnya, lemak ikan adalah
lemak yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol LDL dan trigliserida
serta manaikkan paras kolesterol baik HDL. Banyak kajian telah membuktikan
lemak ikan amat kaya dengan asid lemak ‘Omega 3’ yang telah terbukti boleh
mengurangkan risiko sakit jantung koronari.
Kajian sains menunjukkan ikan yang berlemak
seperti ikan salmon, tuna, sardin, makerel dan trout mempunyai kandungan omega
3 yang amat tinggi. Asid lemak omega 3
akan memperlahankan pemendapan kolesterol pada dinding saluran darah dan
mengurangkan keradangan pada dinding saluran darah dalam tubuh manusia. Oleh
kerana itu pemakanan ikan setiap hari amat digalakkan sebagai sebahagian dari
cara pemakanan yang sihat yang boleh menurunkan paras kolesterol, mengawal
tekanan darah dan mencegah sakit jantung.
Bukti
kajian sains tentang ikan dan kesihatan jantung
Pada 8 September 2004, FDA iaitu badan yang bertanggungjawab menjaga
hal-ehwal perubatan di USA telah mengeluarkan kenyataan yang menyokong Omega 3
(EPA & DHA) sebagai satu supplement yang boleh mengurangkan risiko penyakit
jantung koronari. Pihak
FDA juga menyarankan pemakanan ikan dengan lebih kerap kerana kandungan omega 3 dalam ikan mampu menurunkan risiko
sakit jantung koronari. FDA juga telah membenarkan pengilang dan pengedar yang menghasilkan makanan dan suplemen
mengiklankan bahawa produk yang mengandungi omega 3 boleh mengurangkan risiko
sakit jantung koronari dan menurunkan paras kolesterol darah.Saranan FDA ini
adalah kerana bukti kukuh hasil dari pelbagai kajian telah dijalankan
menunjukkan kesan baik pemakanan ikan dengan kesihatan jantung.
Diantara laporan tentang
kelebihan omega 3 ini diterbitkan dalam The
American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 1997, pengkaji mendapati
dengan pengambilan omega 3 dengan makan ikan setiap hari menurunkan paras
trigliserida darah sehingga 25%-30%.
Satu kajian di
Amerika Syarikat yang mengkaji hubung
kait antara pemakanan ikan dengan pencegahan serangan jantung untuk kali kedua.
Hasil kajian ini mendapati terdapat penurunan sebanyak 29 peratus di dalam
kadar kematian di kalangan pesakit yang makan ikan setiap hari.
Pada tahun 1999, pengkaji dari
GISSI-Prevenzione melaporkan dalam
jurnal perubatan The Lancet, mengenai satu kajian yang dijalankan
melibatkan 11,324 pesakit yang telah mendapat serangan jantung (myocardial
infarction). Kesemua pesakit ini telah diberikan Omega 3 sebanyak 1,000mg
setiap hari dan kesimpulan dari kajian ini menyatakan terdapat pengurangan kadar kematian akibat serangan
jantung kali kedua sebanyak 45 peratus. Kesan baik pengambilan Omega 3
diamalkan setiap hari didapati selepas tiga bulan dan seterusnya.
Dalam satu lagi kajian di USA yang dipanggil DART Study (The Diet and Reinfarction Trial), hubung kait antara pemakanan
ikan yang kaya dengan Omega 3 dengan pencegahan serangan jantung untuk kali
kedua adalah sangat berkait rapat. Dalam kajian ini seramai 1,015 pesakit
dinasihatkan memakan ikan sekurang-kurangnya dua hidangan seminggu dan seramai
1,018 pesakit tidak dinasihatkan begitu. Semua pesakit yang mengambil bahagian
dalam kajian ini telah mendapat serangan jantung buat kali pertama. Selepas dua
tahun, kajian ini mendapati terdapat penurunan sebanyak 29 peratus di dalam
kadar kematian di kalangan pesakit yang mendapat nasihat supaya memakan ikan
tersebut. Cuma dua hidangan seminggu boleh mengurangkan kadar sakit jantung.
Pada tahun 2006, terdapat dua jurnal perubatan utama di USA iaitu American Journal of Clinical
Nutrition dan Journal of American Medical Association (JAMA) telah memberikan ulasan yang positif tentang kelebihan Omega 3.
Ia menyatakan bahawa, berdasarkan laporan kajian yang telah dijalankan di
seluruh dunia, terdapat pengurangan yang ketara dalam jumlah kadar kematian
keseluruhan dan insiden penyakit serangan jantung di kalangan mereka yang
mengamalkan pemakanan banyak ikan atau minyak ikan, ataupun mengambil
supplement Omega 3 setiap hari.
Omega 3 amat penting untuk mendapat kesihatan jantung yang baik. Ia
hanya boleh memberikan kesan yang baik jika diambil dengan makanan atau
supplement. Penggunaan
minyak masak yang kaya dengan Omega 3 juga boleh membekalkan keperluan
harian seseorang sebagai contohnya
minyak canola, minyak flaxseed, minyak kacang soya. Kacang walnut juga adalah
sumber yang kaya dengan Omega 3. Disamping itu pengambilan makanan yang
ditambah dengan omega 3 seperti telur dan susu juga boleh membantu anda
mendapat keperluan Omega 3 harian.
Makan lah ikan
setiap hari untuk kesihatan jantung dan menurunkan paras kolesterol darah. Semua
jenis ikan mengandungi kandungan omega 3 yang tinggi berbanding makanan lain.
Jika anda tidak mahu makan ikan setiap hari, maka pengambilan suplemen omega 3
juga membantu mendapatkan sumber omega 3 untuk menurunkan paras kolesterol.
Fakta mengenai kajian sains dan
faedah kesihatan omega 3 ini telah saya tulis dengan lebih mendalam didalam
buku saya bertajuk “ Omega 3: Fahami faedahnya kepada kesihatan
anda” dan boleh juga membaca tulisan saya dengan layari blog : doknorm.co.nr
Berapa banyak ikan yang perlu dimakan?
Pengambilan ikan sebagai sumber protein
dalam makanan adalah satu cara yang terbaik untuk mendapat khasiat Omega 3
kerana ikan adalah sumber Omega 3 yang paling kaya.
Mengikut kajian yang dibuat, cadangan pemakanan ikan yang
baik adalah makan ikan sekurang-kurangnya dua hidangan seminggu. Cara terbaik
ialah makan ikan yang kita suka. Makan ikan yang lebih kecil saiznya juga
adalah baik kerana mengurangkan risiko pencemaran logam raksa (mercury) dan
racun PCB yang mencemarkan daging ikan terutamanya
ikan yang lebih besar seperti ikan tuna dan ikan jerung.
American Heart
Association (AHA)
mencadangkan pengambilan satu gram EPA dan DHA setiap hari sekurang-kurangnya
dengan makan ikan untuk mengurangkan risiko sakit jantung koronari.
Jika anda tidak suka ikan maka anda boleh mengambil
makanan lain yang kaya dengan omega 3 seperti
minyak flaxseed, minyak kanola, kacang walnut, telur diperkaya omega 3
dan suplemen omega 3 yang berada dipasaran sekarang. Untuk cara yang
lebih mudah ambillah suplemen Omega 3 yang terdapat dalam pasaran sekarang.
Makanlah Omega 3 setiap hari untuk
kesihatan jantung anda.
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MScAARMMA,FAGE
1 comment:
Saya mohon share di blog saya Dr.Norman. Terima Kasih.
Post a Comment