Monday, March 23, 2015

MASALAH HYPERPIGMENTASI WAJAH

Menjadi trend sekarang dikalangan masyarakat Malaysia yang obses atau tergila-gilakan untuk mendapat kulit yang cerah. Tidak hairanlah elbagai jenis krim dan krim kosmetik yang di promosi untuk menjadikan kulit seseorang bertambah cerah.

Masalah jeragat atau hyperpigmentasi pada kulit muka menjadi suatu masalah yang amat lumrah sekarang ini. Keadaan cuaca di Malaysia yang panas terik dan kulit muka yang sentiasa terdedah kepada matahari menjadi antara faktor utama gejala ini. Disamping itu faktor genetik atau keturunan adalah diantara punca menyebabkan masalah ini. Faktor-faktor lain yang menyebabkan berlakunya wajah yang berjeragat adalah kerana perubahan hormon, merokok, ubat-ubatan tertentu, pekerjaan, umur dan jantina juga mempengaruhi seseorang mendapat masalah jeragat ini. 

Secara umumnya kaum wanita lebih mudah mendapat masalah ini berbanding lelaki. Seseorang yang berkulit cerah tetapi selalu terdedah kepada cahaya matahari juga lebih mudah mendapat masalah jeragat. Merokok boleh menyebabkan wajah menjadi lebih cepat berjeragat dan berkedut kerana asap rokok mengandungi pelbagai toksin dan radikal bebas yang merosakkan kulit seseorang walaupun menyedut asap rokok orang lain. Seseorang yang selalu berkerja terdedah dibawah cahaya matahari tengahhari dan petang akan mendapat masalah jeragat ini. Seseorang yang berkerja terdedah kepada suhu yang tinggi seperti tukang masak juga lebih mudah mendapat masalah kulit  berjeragat ini.

Ramai wanita yang mencuba pelbagai jenis krim atau rawatan muka untuk menghilangkan masalah jeragat atau hyperpigmentasi di muka. Ramai juga yang mengambil langkah sementara dengan memakai mekap yang tebal untuk menyembunyikan masalah ini.

Menurut statistik, jeragat pada kulit wajah adalah masalah yang paling biasa dihadapi di Asia. Hampir 50% konsultasi kepada doktor kulit dan doktor estetik adalah  berkenaan masalah kulit berjeragat seperti masalah melasma, freckle, lentigenes dan lain-lain. Masalah jeragat ini adalah kerana sel kulit dari jenis melanosit menghasilkan lebihan pigmen melanin yang melekat pada sel-sel kulit yang menyebabkan warnanya menjadi lebih gelap. Penghasilan melanin ini menggunakan enzim tirosinase, oleh itu dengan menghalang aktiviti enzim ini boleh mengurangkan masalah jeragat ini.

Terdapat beberapa tips untuk mengurangkan masalah ini dan merawat masalah jeragat ini.

  1. Elakkan dari berjemur atau terdedah kepada cahaya matahari yang terik di waktu tengahari dan petang.
  2. Jika perlu keluar maka adalah perlu untuk menggunakan krim pelindung matahari. Krim pelindung matahari perlulah jenis yang tanpa minyak dan tidak menyebabkan masalah jerawat dengan kekuatan sekurang-kurangnya faktor pelindung matahari 30 (SPF30)
  3. Bagi yang ingin menggunakan produk-produk untuk menghilangkan jeragat, biasanya produk-produk ini mengandungi bahan-bahan yang menghalang aktiviti enzim tirosinase seperti asid kojik, asid azelaik ,alfa arbutin, asid mandelik dan hidroquinone. Bahan-bahan ini hanya boleh diberikan oleh doktor yang bertauliah terutamanya hydroquinone yang hanya boleh diberikan oleh doktor.

  1. Terdapat juga beberapa suplemen dan vitamin yang boleh membantu mengurangkan masalah jeragat seperti vitamin C dan vitamin A dalam bentuk asid retinoik . Suplemen anti oksidan dari buah-buahan seperti buah beri, beri biru, beri hitam, acai beri, strawberi dan sebagainya juga boleh membantu mengurangkan masalah jeragat ini.  Suplemen seperti glutathion dan asid alfa lipoik juga boleh membantu mengurangkan jeragat. Terdapat juga sesetengah orang yang menggunakan asid tranexamic untuk mengatasi masalah jeragat, walaupun terdapat juga kajian yang menunjukkan ia boleh mengurangkan jeragat tetapi ubat ini tidak disyorkan oleh FDA sebagai rawatan khusus untuk jeragat.

  1. Terdapat juga beberapa jenis rawatan yang dilakukan oleh doktor di klinik untuk merawat masalah jeragat ini menggunakan mesin mikrodermabrasion dan juga mesin laser yang tertentu. Dapatkanlah konsultasi dan rawatan dengan doktor yang bertauliah yang terlatih untuk menjalankan rawatan ini.

Elakkan dari menggunakan ubat-ubatan atau krim yang tidak kita ketahui kandungannya untuk merawat masalah jerawat kerana ditakuti akan menyebabkan masalah ini menjadi lebih buruk atau boleh memudaratkan kulit hingga boleh menyebabkan kanser dalam jangkamasa panjang. Amalkan pemakanan yang sihat yang kaya dengan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk memberi pelindungan kepada kulit dan mengelakkan masalah jeragat ini. 

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MSc(UCSI), FAGE

MASALAH HORMON TESTOSTERON RENDAH DI KALANGAN LELAKI

Testosteron adalah sejenis hormon kelelakian yang dihasilkan oleh tubuh manusia terutamanya dari kelenjar testis lelaki. Ia juga terhasil  dalam jumlah yang sedikit  didalam wanita daripada kelenjar adrenal pada buah pinggang. Ia  adalah hormon utama untuk orang lelaki. Paras hormon lelaki ini paling tinggi semasa remaja sehingga awal 20an dan mula turun dengan kadar satu peratus setahun bermula daripada umur 30 tahun. Fungsi utama hormon ini adalah membentuk ciri-ciri fizikal kelelakian seperti misai, janggut, suara garau, bahu lebar, perut kempis, otot besar, minda fokus dan penumpuan serta untuk meransang nafsu syahwat.
 
Apabila paras hormon testosteron ini menurun sehingga ke satu paras yang agak rendah maka terdapat beberapa tanda atau simptom seperti perut buncit, otot menjadi kecut dan lembik, mudah letih dan lesu, gangguan mood dan emosi, mudah marah, kurang fokus dan penumpuan, kemurungan dan yang paling ditakuti leh orang lelaki adalah masalah ‘mati pucuk’ atau ganguan fungsi erektil zakar lelaki. Sindrom ini dikenali sebagai ‘Sindrom Kekurangan Testosteron’ atau Hipogonadisma. Lelaki yang mengalami masalah paras hormon testosteron yang rendah juga biasanya tidak mempunyai semangat  untuk bersenam dan membuat aktiviti fizikal.

Tiada paras khusus yang tepat untuk tahap kekurangan hormon testosteron ini, tetapi gejala-gejala tersebut diatas akan berlaku apabila paras hormon testosteron menurun ke paras kurang daripada 12nmol/L. Diantara punca-punca berlaku masalah kekurangan hormon testosteron ini adalah kerana penyakit seperti diabetis, darah tinggi, kurang aktif secara fizikal, obesiti, kolesterol tinggi, atherosklerosis, stress yang melampau, sindrom metabolik, merokok dan kesan sampingan ubat-ubatan tertentu.

Lelaki yang mempunyai masalah sindrom kekurangan testosteron ini akan mempunyai masalah zakar yang lemah, tidak keras atau  tidak boleh kekal keras. Masalah ini  tidak akan selesai dengan mengambil ubat tenaga batin seperti sildenafil, taladafil atau vardenafil. Rawatan khusus untuk mengggantikan hormon testosteron ini  secara pil, krim atau gel sapuan perlu dilakukan untuk membantu merawat masalah ini.

Terdapat sedikit kesan sampingan pengambilan gantian testosteron ini seperti jerawat, kulit berminyak, gangguan prostat, bengkak sembab air, bengkak puting dada, dengkur kuat. Kajian menunjukkan gantian testosteron tidak akan menyebabkan kanser prostat. Oleh itu amat penting mendapatkan rawatan dari doktor pakar yang faham tentang rawatan ini. Lelaki yang mempunyai gejala-gejala testosteron rendah perlu mendapatkan perundingan dan rawatan secara khusus daripada doktor dan professional dan tidak mengambil rawatan secara sembarangan dari pelbagai orang yang menjual pelbagai jenis jamu, ubat kuat tradisi dan sebagainya. Kandungan ubat-ubatan yang tidak diketahui bahannya secara khusus mungkin boleh membahayakan kesihatan anda untuk jangkamasa panjang.

Kajian menunjukkan dengan mengambil rawatan gantian hormon testosteron ini maka seseorang lelaki itu boleh mengawal paras kolesterol, menurunkan berat badan, mengawal tekanan darah tinggi, mengawal paras glukosa darah dengan lebih baik yang meningkatkan tenaga serta nafsu syahwat ke tahap yang sepatutnya.

Terdapat juga kajian yang menunjukkan dengan mengekalkan testosteron te tahap yang sepatutnya akan menguatkan jantung dan memperbaiki perjalanan darah jantung. Kajian juga mendapati , paras testosteron yang rendah akan meningkatkan risiko kematian akibat lemah jantung dan dengan mengambil gantian testosteron boleh mengurangkan risiko kematian akibat lemah jantung sehingga 50% berbanding dengan seseorang yang mempunyai paras testosteron yang rendah.

Terdapat kajian yang kontroversi yang menyatakan bahawa rawatan gantian testosteron boleh menyebabkan masalah  sakit jantung dan strok. Tetapi kajian ni telah dipertikaikan oleh ahli sains setelah didapati kajian ini adalah palsu. Oleh kerana itu Persatuan Antarabangsa Kesihatan Seksual telah mengeluarkan kenyataan yang menyanggah kajian ini dan menggalakkan rawatan gantian testosteron. Sebanyak duapuluh lima persatuan perubatan diseluruh dunia telah menyertai Kumpulan Kajian Androgen yang mendesak kajian palsu tersebut ditarik balik. Kesimpulannya, rawatan gantian testosteron adalah selamat dan perlu diambil jika mempunyai gejala-gejala yang menunjukkan kekurangan hormon testosteron.

Beberapa kaedah gaya hidup sihat yang boleh dilakukan oleh seseorang untuk mengekalkan paras hormon testosteron ini adalah dengan bersenam secara tetap terutamanya senaman dengan mengangkat beban besi ,mengangkat beban badan sendiri, menjaga berat badan dan mengelakkan perut buncit. Kurangkan makan karbohidrat berglisemik indeks tinggi seperti gula, makanan proses, roti putih, nasi putih, mee, biskut, jajan dan sebagainya. Makanlah lebih makanan alami seperti daging, telur, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan sebagainya. Mengawal stress dan melakukan hubungan seksual secara kerap juga boleh meningkatkan paras hormon testosteron ini.

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MSc(UCSI), FAGE

DASAR PENGASINGAN DISPENSI PERLU DINILAI DENGAN MENDALAM

Dasar Pengasingan Dispensi atau DS (Dispensing Seperation) adalah keadaan dimana pesakit yang berjumpa dengan doktor akan menerima slip ubat atau preskripsi dan membayar doktor bayaran konsultasi selepas itu pesakit perlu membeli ubat-ubatan yang telah ditulis dalam preskripsi tersebut di farmasi. Ia telah diamalkan dinegara-negara maju di USA , United Kingdom (UK) dan juga banyak negara lain seperti Taiwan, Indonesia, India dan sebagainya.

Kaedah yang selama ini diamalkan di Malaysia adalah lebih baik dan memudahkan pesakit kerana selepas pesakit berjumpa doktor pesakit akan terus mengambil ubat di klinik yang sama iaitu seperti ‘one-stop centre’. Sistem yang diamalkan sekarang telah memadai kerana memudahkan doktor memberi penjelasan tentang rawatan yang diberi dan pesakit boleh bertanya terus dengan doktor jika terdapat sebarang kemusykilan. Doktor tidak akan mengenakan caj yang begitu tinggi untuk konsultasi kerana telah dimasukkan dalam kos ubat. Ini menyebabkan kos rawatan menjadi murah dan menjimatkan masa pesakit. Sebelum ini ramai yang memuji Malaysia kerana kos rawatan perubatan yang murah dan memudahkan sehingga mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana mempunyai rangkaian kesihatan terbaik dengan sistem yang ada sekarang.   

Kaedah Pengasingan Dispensi ini diamalkan di hospital-hospital kerajaan dan swasta di Malaysia kerana ia masih dalam bangunan yang sama dan tidak menyusahkan pesakit. Tetapi jika kaedah ini diperluaskan di klinik-klinik swasta sekarang, maka ia akan menyebabkan pesakit perlu pergi dua tempat yang berlainan untuk masalah kesihatan mereka. Jumlah farmasi yang tidak mencukupi disamping kurangnya farmasi dikawasan kampung dan pendalaman sudah pasti akan membuatkan pesakit menjadi lebih susah kerana perlu ke tempat yang jauh hanya untuk mengambil ubat-ubatan mereka.  Kebanyakan farmasi hanya dibuka mengikut waktu pejabat dan waktu farmasi beroperasi juga tidak seperti klinik yang ada dibuka 24 jam atau sehingga lewat malam.

Isu ahli Farmasi yang selalu menjadi seperti ‘doktor’ di premis mereka yang menjual ubat-ubatan terkawal  seperti antibiotik, ubat darah tinggi, ubat diabetis, ubat batuk dan sebagainya yang memerlukan preskripsi doktor yang berlaku secara berleluasa perlu dibendung kerana ia boleh memudaratkan masyarakat tanpa mereka sedari. Ahli Farmasi tidak terlatih untuk melakukan pemeriksaan klinikal dan mereka sepatutnya menasihatkan pesakit berjumpa doktor untuk pemeriksaan sebelum menjual ubat secara terus kepada pesakit.  Masyarakat Malaysia  perlu dididik untuk berjumpa dengan doktor dahulu dan tidak membeli ubat di farmasi tanpa preskripsi doktor dan tanpa kawalan. Dikhuatiri jika dasar Pengasingan Dispensi ini dilaksanakan maka masalah ini akan bertambah buruk dan lebih sukar dibendung kerana pesakit akan memilih untuk mengurangkan kos mereka dengan membeli ubat terus kepada farmasi dan ini akhirnya menyebabkan pelbagai komplikasi kepada pesakit.

Masyarakat kita yang selama ini selesa mendapatkan rawatan di klinik akan menjadi lebih susah dan tidak selesa disamping faktor-faktor pembaziran masa, kelewatan mendapat ubat, masalah ubat tiada stok di farmasi, keselamatan, pengangkutan, parkir dan yang lebih utama adalah ia akan menyebabkan pesakit terpaksa membayar kos yang lebih tinggi untuk mendapatkan rawatan. Jika dasar transformasi kerajaan yang menggalakkan penubuhan ‘one-stop centre’ atau kawasan setempat seperti UTC dan RTC untuk memudahkan rakyat untuk berurusan, maka dasar Pengasingan Dispensari ini kelihatan seperti bertentangan dengan dasar ini.

Cadangan kerajaan untuk melaksanakan Dasar Pengasingan Dispensi perlu di nilai dan dikaji semula secara mendalam untuk mengelakkan rakyat Malaysia menghadapi masalah kerana ianya akan menyebabkan kos rawatan perubatan meningkat dengan mendadak. Fakta ini telah dibuktikan apabila Dasar Pengasingan Dispensi ini dijalankan di Taiwan pada tahun 1995 yang menyebabkan berlaku peningkatan kos yang sangat tinggi dan mendadak disana. Ini akan menyebabkan rakyat semakin tidak selesa dan marah yang boleh menurunkan sokongan mereka kepada kerajaan sedia ada.

Rang undang-undang Farmasi (RUUF) atau Pharmacy Bill yang dirangka dan siap sedia untuk dibentangkan di Parlimen pada Mac 2015 ini untuk dijadikan Akta Farmasi 2015 perlu dibahaskan bukan hanya oleh ahli-ahli Parlimen tetapi perlu di bawa kepada semua pihak yang terlibat iaitu doktor-doktor perubatan melalui persatuan yang ada (terutamanya doktor pengamal perubatan swasta dan pemilik klinik), ahli farmasi, persatuan-persatuan pengguna, wakil Kementerian Kesihatan Malaysia dan wakil-wakil masyarakat. Ia adalah untuk mengelakkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak dikemudian hari dan akhirnya terpaksa diubah semula seperti yang berlaku dalam beberapa dasar dalam bidang pendidikan sebelum ini.

Satu Dasar Kesihatan yang lebih sesuai untuk rakyat Malaysia perlu digubal dengan mengambil kira keadaan sosial, ekonomi dan budaya masyarakat di Malaysia tanpa mengikut secara terus dari negara lain yang mungkin jauh berbeza dengan keadaan di Malaysia sekarang. Jika Dasar Pengasingan Dispensi ini hendak dilaksanakan juga, maka perlu kita mengadakan mekanisme terbaik dengan kajian yang lebih mendalam mengenai kaedah terbaik agar tidak ada mana-mana pihak yang akan menjadi mangsa dan membebankan rakyat Malaysia secara umumnya.

Kita sepatutnya duduk bersama diantara semua pihak yang terlibat secara lansung dalam Dasar Pengasingan Dispensi ini dan merangkakan satu Dasar yang terbaik dan yang paling sesuai untuk rakyat Malaysia agar kepentingan, keharmonian dan kebajikan semua terjaga. Yang lebih utama adalah bukan kehendak ahli farmasi atau doktor perubatan yang menentukan samada dasar ini sesuai dilaksanakan, tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya perlu faham dan memberikan pandangan mereka kerana masyarakat semua yang akan menerima segala kebaikan atau keburukannya.

Wallahualam

Dr Norman Mohd Norawi MBBS, MSc(UCSI), FAGE

Pengamal Perubatan Swasta

Kempen Anti Rokok Tanggungjawab Bersama

Isu tentang rokok memang banyak di perkatakan sekarang terutamanya isu berkaitan kesan merokok kepada kesihatan. Sememangnya ramai yang tahu bahawa merokok boleh menyebabkan pelbagai kanser, sakit jantung, darah tinggi , angin ahmar, penyakit sekatan paru-paru, gangrene, sakit urat darah, keguguran dan pelbagai penyakit lagi. Rokok adalah satu tabiat kurang sihat  yang amat biasa kita lihat sekarang. Mengikut statistik terkini , 50 peratus lelaki dan 13% wanita di Malaysia adalah perokok.

Pelbagai kempen telah dilancarkan oleh kerajaan untuk membendung budaya yang tidak sihat ini. Usaha-usaha mengadakan kawasan Bebas Asap Rokok seperti seperti di Melaka, Pulau Pinang dan Johor amat dipuji dan patut dicontohi oleh semua negeri-negeri di Malaysia. Sokongan kuat oleh kerajaan amat penting dalam menjayakan kempen anti rokok ini. Ianya adalah satu cara yang lebih berkesan dan efektif untuk mencegah dan mengurangkan bahaya merokok dengan kuasa pihak kerajaan yang membuat dan melaksanakan polisi-polisi yang menyokong usaha anti merokok. Malaysia telah menandatangani perjanjian Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) di World Health Organisation (WHO) pada Jun 2003 sebagai satu usaha bersepadu secara global untuk mengawal penggunaan tembakau oleh individu dan juga menjaga salah laku oleh industri tembakau.

Undang-undang melarang pengiklanan rokok di radio, televisyen dan penajaan dalam bidang sukan serta melarang merokok di tempat awam.Dengan itu , di Malaysia telah melarang segala bentuk pengiklanan secara terus produk tembakau dan juga jenama rokok di dalam media massa dan juga papan-papan tanda mega (billboard). Mengikut perjanjian FCTC tersebut perkara-perkara lain yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan adalah , kotak rokok mestilah mempunyai 30% ruang untuk mencatatkan amaran merokok membahayakan kesihatan. Kawasan bebas rokok mestilah dikuatkuasakan di tempat-tempat awam,pengangkutan awam dan restoran-restoran terutamanya kawasan berhawa dingin.

Kerjasama antara pihak kerajaan dan NGO dalam menjayakan kempen bebas rokok ini adalah sangat baik dan berkesan untuk menjamin mesej yang ingin disampaikan turun ke semua lapisan masyarakat. Peranan NGO amat penting dalam menggerakkan usaha bebas asap rokok dan memberi kesedaran secara terus dalam masyarakat dengan melaksanakan program-program di dalam masyarakat. Pendekatan baru dengan pengistiharan kawasan bebas rokok yang tertentu dan penglibatan NGO adalah satu usaha yang lebih baik dan effektif jika dijalankan dengan bersungguh-sungguh kerana NGO adalah mewakili segenap lapisan masyarakat.

Perokok yang ditangkap merokok dikawasan bebas rokok ini mestilah didenda dengan denda yang berat kerana melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.Penjualan rokok kepada oirang yang berumur 18 tahun keatas sahaja dan penjual yang menjual rokok kepada yang berumur kurang dari 18 tahun mestilah didenda dengan denda yang berat atau dipenjarakan. Kerajaan juga telah melancarkan beberapa  kempen anti merokok diseluruh negara beberapa tahun yang lepas, tetapi  impak dari kempen ini amat kurang dirasai malahan mengikut statistik terbaru , jumlah perokok telah bertambah. Diantara isu yang timbul adalah kurangnya maklumat tentang kaedah rawatan berhenti merokok dan dimana rawatan ini boleh didapati, tidak dihebahkan kepada perokok.

Penglibatan ahli perubatan seperti doktor-doktor swasta dan kerajaan, jururawat dan pembantu perubatan secara keseluruhan dalam usaha ini adalah sangat penting. Masalah juga akan timbul jika ahli-ahli perubatan sendiri adalah perokok, oleh itu amat wajar jika sekiranya satu polisi penapisan awal bagi calon-calon doktor, jururawat, pembantu perubatan , pembantu perawatan kesihatan diambil dikalangan mereka yang bukan perokok. Penglibatan semua lapisan masyarakat amat penting untuk menjayakan kempen anti rokok ini termasuklah para perokok juga. Sudah pasti sebagai ibubapa kita tidak mahu anak-anak kita mengikut tabiat merokok walaupun bapanya adalah perokok.

Disamping kempen berhenti merokok , dasar kerajaan yang mengenakan cukai yang tinggi keatas rokok dapat membantu dalam usaha ke arah hidup tanpa rokok.Menaikkan harga rokok haruslah seiring dengan usaha untuk membantu perokok berhenti merokok.

Ubat untuk berhenti merokok wajar diberikan subsidi ‘khas’agar kosnya menjadi rendah dan lebih ramai perokok boleh mendapat faedah darinya.Sewajarnya cukai yang dikenakan keatas rokok dipulangkan dalam bentuk subsidi kepada industri kesihatan untuk membantu perokok berhenti merokok dan juga menampung kos rawatan penyakit kesan dari merokok.

Klinik-klinik berhenti merokok yang dijalankan telah diperluaskan lagi di semua klinik-klinik kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membantu usaha perokok berhenti merokok dengan nasihat dan rawatan professional.Kerajaan juga patut memberi bantuan kepada doktor-doktor di klinik swasta yang lebih dekat dengan pesakit supaya mudah perokok mendapat rawatan dengan doktor yang mereka suka.

Dalam satu laporan yang disiarkan disebuah akhbar baru-baru ini, Penyiasat Penilaian Dasar Kawalan Tembakau Antarabangsa (ITC) bagi Malaysia telah melaporkan bahawa hasil kajian yang telah dijalankan mendapati kira-kira 8% daripada wanita muda berusia diantara 13 hingga 25 tahun telah menjadi perokok manakala 40% menjadi ‘perokok pasif’. Laporan ini amat membimbangkan kerana kadar perokok dikalangan wanita telah meningkat dengan begitu ketara sejak kebelakangan ini.

Di jangkakan , jika aliran semasa perokok ini tidak berubah , maka bilangan perokok wanita akan menyamai perokok lelaki dalam masa 20 tahun .Ini amat membimbangkan kerana generasi baru akan datang akan lahir dari wanita-wanita ini , cuba bayangkan apa akan terjadi kepada generasi yang lahir dari ibu-ibu yang merokok ini. Ia adalah sesuatu prospek yang amat menakutkan.Ini menunjukkan bahawa kempen yang telah dijalankan masih belum cukup dan gagal membendung budaya merokok.

Kerjasama semua lapisan masyarakat adalah amat penting  dengan sokongan kuat dari pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia , Insyaallah kempen bebas rokok ini akan lebih berjaya dan mencapai matlamat mengurangkan jumlah perokok. Kesan jangka panjangnya akan mengurangkan impak ekonomi dengan pengurangan kos perubatan merawat penyakit akibat merokok yang ditanggung oleh kerajaan. Sewajarnya semua negeri-negeri di Malaysia mula mengistiharkan negeri ‘Bebas Asap Rokok’ dan seterusnya Malaysia juga mengistiharkan 1Malaysia Bebas Asap Rokok.

Dr Norman Mohd Norawi

(MBBS, MSc(UCSI), FAGE