Wednesday, December 31, 2014

SALAH FAHAM UNTUK KURUS

 
 

Masalah berat badan berlebihan adalah suatu masalah yang semakin serius dalam masyarakat kita di Malaysia hari ini. Malaysia adalah ‘juara’ di Asia Tenggara untuk masalah obesiti.




Ramai yang mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Tanpa kita sedari, ada yang membuat kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan kita. Diantara kesilapan-kesilapan yang selalu dilakukan oleh orang ramai adalah:

Ber’diet’ dengan kaedah yang salah



Terdapat sesetengah dari kita yang ingin menurunkan berat badan akan mula ber’diet’ yang bermaksud tidak makan secara tiba-tiba atau berpuasa secara melampau. Kaedah ini adalah tidak sihat dan merbahaya kepada kesihatan. Walaupun terlebih makan adalah diantara punca berat badan berlebihan, tetapi janganlah anda makan terlalu sedikit dan berpantang keterlaluan sehingga anda menjadi terlalu kurus dan mendapat masalah kekurangan zat makanan.  Jika anda berlapar terlalu kerap , maka sistem metabolisma badan anda akan berubah iaitu metabolisma badan akan turun, dan segala yang anda makan walaupun sedikit akan disimpan sebagai ‘lemak’ dan ‘otot’ and menjadi kecut. Apabila anda tidak mampu meneruskan ‘berdiet’ yang melampau seperti ini, maka anda akan mula makan tanpa kawalan kerana selera bertambah-tambah dan semuanya akan menjadi lemak. Berat badan anda akan bertambah dengan sangat cepat dan menjadi lebih gemuk dari sebelumnya.  Akhirnya , anda berdiet semula, dan kitaran ini akan berterusan dan anda akan gagal menurunkan berat badan anda.





Terdapat juga sesetengah orang yang menggunakan kaedah berdiet Atkins yang di popularkan oleh Dr Robert Atkns pada tahun 1958. Atkins mencadangkan pengambilan karbohidrat dengan jumlah yang sangat rendah iaitu kurang dari 20gram sehari dan mengambil makanan protin dan lemak yang lebih banyak. Menurut beliau kaedah akan menyebabkan badan membakar lebih banyak lemak kerana tubuh akan berubah kepada keadaan ‘ketosis’ dan paras insulin yang rendah akan menyebabkan hati membakar simpanan glikojen. Kaedah ini boleh menurunkan berat badan dengan cepat tetapi membiarkan tubuh dalam keadaan berasid dengan ‘ketosis’ adalah tidak baik untuk kesihatan jangkamasa panjang. Terdapat juga kajian yang menunjukkan kaedah Atkins ini boleh menyebabkan masalah batu karang buah pinggang dan reput tulang (osteoporosis). Kaedah ini tidak lagi popular sekarang kerana terdapat pelbagai kontroversi kerana pemakanan yang tidak seimbang dengan mengurangkan karbohidrat secara melampau didapati akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan dikemudian hari.



Menurut kajian yang dilakukan oleh Harvard Medical School, kaedah pemakanan yang sihat dan boleh menurunkan berat badan secara sihat dan beransur-ansur serta kekal lebih lama adalah dengan makan secara seimbang. Pemakanan seimbang yang disarankan adalah dengan cara  mengambil karbohidrat sihat yang kaya dengan serat, indeks glisemik (GI) rendah, makan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan.Seseorang juga perlu  meninggalkan ‘makanan proses’ yang tinggi gula, tinggi asid lemak trans dan tinggi karbohidrat halus yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi. Pengambilan lemak yang sihat seperti minyak zaitun, minyak kanola, minyak kelapa atau santan juga amat baik untuk kesihatan. Minum air mineral, kopi O dan teh O tanpa gula adalah kaedah minum secara sihat. Secara umumnya Harvard Medical School telah membuat satu gambarajah panduan pemakanan sihat berbentuk ‘pinggan makan’ yang dipanggil “Healthy Eating Plate”. Kaedah ini telah di ikuti di Amerika Syarikat yang dipanggil “ ChooseMyPlate.gov” dan di Malaysia dipanggil sebagai ‘Model Pinggan Sihat’. Buku saya “8 Rahsia menguruskan badan tanpa berdiet” adalah diantara buku yang boleh anda baca untuk mendapat maklumat yang tepat untuk menurunkan berat badan dengan cepat dan sihat, dapatkan dari saya dengan email: drnormanmlk@yahoo.com.my.
 
 

Menurunkan berat badan hanya dengan bersenam

Senaman amat penting untuk menurunkan berat badan, tetapi dengan hanya bergantung kepada senaman semata-mata tanpa mengawal pemakanan adalah satu usaha yang sia-sia. Kajian mendapati seseorang yang hanya bersenam tanpa mengawal jumlah makanan dan kalori makanan yang dimakan akan menyebabkan berat badan amat susah diturunkan malahan berat badan akan bertambah. Ini adalah kerana ramai orang yang mengira kalori yang dibakar apabila bersenam dan menyangka bahawa dengan kalori yang telah dibakar maka tidak perlu lagi mengawal jumlah makanan yang diambil. Jika anda ingin menurunkan berat badan secara maksimum, maka jumlah pemakanan seharian masih perlu di kawal jumlahnya walaupun anda bersenam.

 


Memilih  produk yang ‘rendah lemak’

Kita selalu memilih makanan atau produk yang dilabel sebagai ‘rendah lemak’ dan merasakan produk-produk ini baik untuk kesihatan dan boleh membantu menurunkan berat badan. Hakikatnya  produk-produk ini sebenarnya mempunyai nilai kalori yang tinggi kerana kandungan gula yang sangat tinggi. Pengeluar produk-produk ini mengurangkan lemak dalam produk mereka dan tetapi mereka akan menambah kandungan gula untuk membuatkan produk-produk ini lebih sedap.Kajian sains mendapati  lemak mono tak tepu (kekacang, avocado, minyak zaitun) dan lemak omega 3 dari ikan amat baik untuk menurunkan berat badan. 

 


Memilih  minuman ‘diet’ .

Kajian mendapati pengambilan minuman ‘diet’ akan menyebabkan masalah berat badan dan kencing manis walaupun kalorinya lebih rendah. Satu kajian di Texas Health Science Center di San Antonio, USA mendapati seseorang yang mengambil minuman ‘diet’ akan menghadapi  sehingga 70% peningkatan saiz pinggang daripada seseorang yang mengambil minuman biasa. Dalam kajian yang sebelumnya juga mendapati, risiko obesiti bertambah sehingga 41% untuk penggemar minuman ‘diet’ ini. Menurut pakar pemakanan , fenomena ini berlaku kerana pemanis tiruan aspartame yang rendah kalori dalam minuman ‘diet’ ini akan meningkatkan selera makan dan menghalang otak mendapat ‘isyarat kenyang’ apabila perut telah penuh.  Minuman terbaik untuk menurunkan berat badan ialah air mineral.

 

 

 

 

Jika anda gagal untuk  kali pertama dalam percubaan menurunkan berat badan janganlah terlalu cepat mengalah. Kajian mendapati seseorang yang hanya mencuba untuk menurunkan berat badan akan mendapat faedah kesihatan walaupun gagal menurunkan sedikitpun berat badannya. Jadikanlah matlamat untuk mendapat kesihatan yang baik sebagai sebab utama menurunkan berat badan kerana kesihatan yang baik akan terpancar sebagai kecantikan yang sebenarnya.



 
Oleh:
Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, MScAARMMA, FAGE)


Friday, December 19, 2014

BERKHATAN BAIK UNTUK KESIHATAN

 
BERKHATAN UNTUK KESIHATAN
 
 


 
Musim cuti sekolah akan bermula, maka bermulalah juga musim berkhatan bagi kanak-kanak lelaki Islam di Malaysia. Telah menjadi satu budaya masyarakat di Malaysia untuk mengkhatankan anak lelaki semasa musim cuti sekolah. Kesedaran tentang berkhatan juga telah berkembang dikalangan bukan Islam yang melakukan khatan secara sukarela kerana faedah-faedah kesihatan yang banyak.
Berkhatan adalah memotong kulit dihujung kemaluan lelaki yang biasanya dipanggil kulup (foreskin). Kulup ini akan meliputi kepala zakar (glan penis) dan ianya biasanya akan melekat antara satu sama lain dan susah di pisahkan. Ia akan lebih mudah dipisahkan apabila kanak-kanak itu meningkat ke umur remaja.
Dari sudut sejarah  ada sesetengah ulama berpendapat berkhatan bermula dengan Nabi Adam A.S dan juga sesetengah ulama berpendapat manusia pertama yang berkhatan adalah Nabi Ibrahim A.S. Yang pastinya amalan berkhatan telah diamalkan oleh manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu. Terdapat ukiran di Pyramid di Mesir yang menunjukkan budaya berkhatan ini diamalkan oleh masyarakat Mesir kuno pada zaman Firaun lagi.


Berkhatan adalah sesuatu yang amat menakutkan kepada kanak-kanak lelaki sejak dari dahulu lagi.  Didalam Islam berkhatan adalah suatu amalan yang disyariatkan dan amat dituntut. Dalam mazhab Syafie, hukum berkhatan adalah wajib sama ada ke atas lelaki atau perempuan. Menurut  mazhab Hanafi, berkhatan hukumnya adalah sunat sahaja bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Dalam mazhab Hanbali pula, Imam Ahmad pula berpandangan; ia hanya wajib ke atas lelaki sahaja. Adapun ke atas perempuan, hukumnya hanyalah sunat. Selain perintah agama, ia untuk kesihatan individu itu juga.
Syariat Berkhatan
Waktu berkhatan tidak disyaratkan ketika kecil. Dalam budaya masyarakat Arab dan Yahudi , berkhatan dilakukan semasa bayi lagi. Bagi Masyarakat Melayu pula , biasanya berkhatan dilakukan semasa kanak-kanak dalam umur 5 hingga 12 tahun.
 

Dalam satu riwayat daripada Saidatina Aisyah menceritakan:
Sesungguhnya Nabi SAW telah mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua.” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim)
Kebanyakan ulama berpendapat, khatan wajar dilakukan semasa budak lelaki meningkat umur baligh. Malah ada ulama yang berpendapat lebih afdal bagi pihak ibu bapa atau penjaga melaksanakan khatan ke atas anak lelaki mereka sejak mula hari kelahirannya.
Seorang ulama yang terkenal,  Ibnu Juzaiy mempunyai pendapat yang berbeza yang ditulis dalam kitabnya al-Qawanin al-Fiqhiyyah. Beliau menggalakkan waktu khatan dilewatkan hingga anak tersebut boleh diajarkan solat; iaitu sekitar umur tujuh hingga 10 tahun. Beliau menghukumkan makruh  dilakukan khatan ke atas bayi pada hari pertama kelahirannya dan juga pada hari ketujuh kelahirannya kerana ini menyerupai  amalan kaum Yahudi. Ibnu Juzaiy juga berpendapat; adalah amat dituntut diadakan jamuan makan sempena majlis berkhatan bagi lelaki tetapi tidak bagi majlis khitan kaum wanita.
Berkhatan dan Kesihatan
Hikmah berkhatan dari sudut agama adalah ia merupakan salah satu tuntutan syariat  Islam dan menjadi satu amalan para Nabi terdahulu. Manakala sudut kesihatan pula dengan berkhatan seseorang mengutamakan kebersihan dan kesucian, mengawal dan menstabilkan nafsu syahwat terutama bagi kaum wanita serta memberi keselesaan semasa bersetubuh.
 
 
Apabila tidak berkhatan , terdapat kotoran yang berkumpul diantara kulup dan kepala zakar yang dipanggil ‘smegma’ yang boleh menyebabkan jangkitan kuman dan juga punca kepada kanser zakar.
Sains telah membuktikan bahawa amalan berkhatan ini mempunyai banyak faedah kesihatan berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan. Diantara hasil kajian yang amat nyata mendapati  kadar kanser zakar adalah   jauh lebih rendah dalam komuniti yang mengamalkan berkhatan seperti Muslim dan Yahudi.
 
Terdapat kajian terbaru menunjukkan kadar penyakit kelamin adalah rendah dikalangan lelaki yang berkhatan.Kajian ini mendapati jangkitan  penyakit syphilis adalah lebih rendah dikalangan lelaki yang berkhatan.
Kajian Cochrane meta analysis yang  dijalankan di Afrika  pada tahun 2007  juga menunjukkan berkhatan boleh menurunkan risiko jangkitan HIV dikalangan lelaki yang aktif seksual diantara 38% hingga 66% dalam tempoh 24 bulan. Kesimpulan dari kajian ini mencadangkan lelaki digalakkan untuk berkhatan untuk mengurangkan penularan wabak HIV di negeri Sub Sahara Afrika. WHO mencadangkan salah satu dari program mencegah HIV ialah dengan menggalakkan amalan berkhatan.

 
Berkhatan juga menurunkan insiden jangkitan HSV-2 sehingga 28% dan berkait dengan penurunan prevalen HPV dan risiko jangkitan kuman saluran kencing. Oleh itu ia secara tidak lansung menurunkan risiko isteri mendapat kanser pangkal rahim.
Dari aspek perubatan , khatan dibuat sebagai rawatan keatas pesakit yang mengalami masalah jangkitan kuman kulup zakar (balanitis), kulup yang mempunyai lubang pin (pinhole phimosis) atau tertutup  yang menyebabkan kulup mem’belon’ semasa kencing dan juga kanak-kanak lelaki yang selalu mendapat jangkitan saluran kencing.


Komplikasi dari prosedur berkhatan yang biasa adalah pendarahan dan jangkitan kuman. Risiko terpotong kepala zakar juga boleh berlaku jika pengkhatan tidak berhati-hati dan menggunakan kaedah memotong terus atau ‘guilletine’ dengan pisau bedah atau kaedah yang diamalkan oleh ‘tok mudim’ seperti zaman dahulu.
 
 
 Sekarang terdapat inovasi yang telah direka untuk mengurangkan risiko-risiko pembedahan berkhatan ini dengan penggunaan ‘klamp’ plastik. Kaedah ini tidak memerlukan jahitan dan prosesnya amat cepat dilakukan. Pelbagai jenis ‘klamp’ ini yang terdapat dalam pasaran seperti SunatTech, SmartKlamp, AlisKlamp, Tara klamp, Ismail Klamp dan  Plastibel.
 
Saya telah hamper 10 tahun berpengalaman menggunakan kaedah 'klamp' ini dan saya dapati kaedah Sunatech (Sunathrone) ini adalah yang terbaik kerana bentuk klampnya yang lebih kecil, berbentuk cincin , lebih mudah untuk dibersihkan dan amat kurang komplikasi. Kaedah ini telah saya gunakan untuk mengkhatankan kanak-kanak miskin di Kemboja seramai 130 orang dalam bulan Mac 2014 yang lalu. Alat ini telah dicipta oleh sahabat saya Dr Tasron Surat.
 
 
Kaedah berkhatan dengan menggunakan klamp ini terlah terbukti lebih mudah, kurang pendarahan, kurang risiko jangkitan, lebih selesa kepada kanak-kanak kerana boleh terus memakai seluar dan boleh mandi dan bergerak dengan lebih selesa tanpa rasa sakit.Kanak –kanak juga mudah untuk membuang air kecil dan mudah untuk beristinjak tanpa mencemarkan luka berkhatan.
Penggunaan kaedah klamp ini memerlukan latihan untuk doktor yang menjalankannya. Anda perlu mendapatkan khidmat doktor yang terlatih yang berpengalaman melakukan kaedah ini. Pengalaman penulis menggunakan kaedah ‘klamp’ ini semenjak lapan tahun yang lalu telah membuktikan kelebihannya terutama kepada doktor yang membuat prosedur ini kerana mengurangkan ‘sakit pinggang’ kepada doktor yang membuat pembedahan berkhatan berbanding dengan kaedah menjahit luka tersebut.
Terpulanglah kepada ibubapa untuk memilih kaedah terbaik untuk mengkhatankan anak. Pastikan kaedah yang kita pilih memberikan keselesaan kepada anak yang dikhatan dan juga mengurangkan risiko komplikasi.


 
Oleh:

DR NORMAN MOHD NORAWI

MBBS, MSc(UCSI), FAGE


 
 

Thursday, December 18, 2014

CEGAH KANSER USUS


**Artikel ini ditulis oleh saya...tetapi berlaku kekhilafan di pihak Metro Ahad dengan meletakkan nama Dr Hanapiah sebagai penulisnya....kemaafan oleh pihak Metro Ahad telah di minta dan berjanji tidak akan berulang lagi....



LANGKAH MENCEGAH KANSER USUS

Kanser usus atau kolorektal semakin bertambah jumlahnya di kalangan penduduk Malaysia. Menurut Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia pada tahun 2007, kanser usus adalah kanser yang kedua tertinggi insidennya di Malaysia selepas kanser payudara. Semakin ramai yang mendapat penyakit ini terutama golongan yang lebih muda kerana faktor gaya hidup yang tidak sihat termasuklah masalah kegemukan, kurang aktiviti fizikal, merokok, pemakanan yang tidak sihat.

Faktor pemakanan adalah faktor terpenting untuk mencegah kanser usus ini. Dalam satu kajian yang dijalankan di Eropah selama 12 tahun menunjukkan lima gaya hidup yang meningkat risiko kanser usus adalah kegemukan, perut buncit, kurang aktiviti fizikal, merokok, minum minuman beralkohol dan makan makanan proses.

Untuk mengurangkan risiko mendapat kanser usus ini, pakar mencadangkan beberapa langkah yang boleh kita amalkan.

Pemakanan seimbang dan sihat yang mengandungi buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, biji-bijian dan makanan berserat tinggi seperti oat, beras perang. Sayuran seperti brokoli, kobis, bunga kobis dan taugeh amat baik dimakan selalu untuk mencegah kanser usus.



Kurangkan makan daging merah seperti daging lembu dan daging kambing. Masak daging dengan suhu yang tinggi seperti menggoreng, memanggang hingga hitam atau barbeque boleh meningkatkan risiko kanser usus kerana penghasilan bahan yang dipanggil AGE (advance glycation endproduct) . Kaedah yang lebih sihat adalah dengan masak dengan suhu rendah dan berkuah.



Makan lebih banyak ikan yang kaya dengan omega 3 didapati boleh mengurangkan risiko kanser usus. Disamping itu, makanan yang kaya dengan probiotik seperti dadih (yogurt), minuman susu kultur, makanan yang diperam seperti budu, cencalok, belacan juga membantu mencegah kanser usus.

Makan  makanan yang mengandungi asid folik yang tinggi seperti sayur-sayuran hijau seperti kangkung, bayam, sawi dan lain-lain lagi amat baik untuk mencegah kanser usus. Buah-buahan limau citrus seperti limau nipis, lemon, oren, limau bali dan sebagainya juga kaya dengan asid folik. Kajian menunjukkan pemakanan yang kaya dengan asid  folik boleh mencegah kanser usus.



Ambil makanan yang tinggi kalsium dan vitamin D yang secukupnya. Makanan yang tinggi kalsium seperti susu, keju, dadih, ikan salmon, ikan sardin, ikan bilis dan sayur-sayuran berdaun hijau. Sumber vitamin D dari makanan adalah dari ikan salmon, ikan sardin, kuning telur dan yang paling utama adalah dari cahaya matahari pagi. Kita perlu mendedahkan kulit pada cahaya matahari pagi untuk mendapatkan vitamin D yang secukupnya yang dihasilkan oleh kulit kita apabila terdedah dengan cahaya matahari pagi. Pengambilan suplemen vitamin D juga boleh diamalkan.



Elakkan tabiat usus yang kurang sihat seperti sembelit. Didik diri kita untuk membuang air besar setiap hari. Minum air secukupnya setiap hari amat penting untuk mencegah sembelit. Minum air yang ditapis juga amat penting untuk mencegah kita mengambil bahan-bahan toksin terlarut dalam air seperti klorin, logam berat dan sebagainya. Makan makanan yang tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, oat, beras perang dan sebagainya. Pemakanan yang rendah serat akan menyebabkan masalah sembelit dan tabiat usus yang tidak sihat. Kajian menunjukkan tabiat usus yang tidak sihat ini menyumbang kepada risiko kanser usus yang tinggi. Ini adalah kerana seseorang yang menghadapi masalah sembelit ini akan menyebabkan bahan-bahan karsinogen dalam makanan akan menyentuh dan irritasi dinding usus berlaku dengan lebih lama dan akhirnya mengakibatkan sel-sel didinding usus berubah menjadi sel kanser. Biasanya ia akan bermula dalam bentuk ketumbuhan kecil yang dipanggil polip.

Elakkan makan makanan proses yang tinggi dengan gula, tepung gandum, pengawet, pewarna, perasa yang tinggi bahan kimia proses. Makanan proses mengganggu keasidan dalam usus yang menyebabkan bakteria baik dalam usus tidak berkembang biak dengan baik. Gangguan ketidakseimbangan bakteria dalam usus akan meningkatan risiko mendapat kanser usus.




Merokok juga meningkat risiko mendapat kanser termasuklah kanser usus. Rokok mengandungi beribu-ribu jenis toksin dan radikal bebas yang akan menyebabkan kanser. Terdapat pelbagai kajian yang menunjukkan kaitan rapat diantara tabiat merokok dan risiko kanser yang lebih tinggi. Ini adalah satu lagi motivasi bagi perokok untuk meninggalkan tabiat buruk ini untuk mengurangkan risiko mendapat kanser usus. Meninggalkan minum arak juga mempunyai kesan yang sama menurunkan risiko mendapat kanser usus.



Bersenam dan aktif secara fizikal dapat mengurangkan risiko mendapat kanser usus. Kajian menunjukkan kaitan rapat diantara masalah kegemukan dan perut buncit dengan risiko kanser usus yang lebih tinggi. Dengan aktif secara fizikal dan bersenam akan membantu menurunkan berat badan dan secara lansung menurunkan risiko mendapat kanser usus.

Mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Kanser usus bukanlah suatu penyakit yang mudah dirawat dan ia melibatkan banyak perbelanjaan. Mengamalkan langkah pencegahan adalah cara terbaik walaupun ia bukanlah satu jaminan yang seratus peratus , tetapi berusaha untuk menjaga kesihatan adalah sesuat yang dituntut oleh Islam.

 

Wassalam

 

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MSc(UCSI), FAGE

 

Thursday, November 27, 2014

DR NORMAN PROFESSIONAL SKINCARE - ACNE SET




Saya telah mengeluarkan produk kulit yang diformulasikan oleh saya sendiri. Set yang pertama ini dalah untuk kegunaan pengguna yang mempunyai masalah jerawat. Sesuai untuk semua wanita dan lelaki yang mempunyai masalah jerawat.



Set ini mengandungi 4 produk:

1. Dr Norman Acne Clear Foaming Cleanser

 


2. Dr Norman Acne Clear Purifying Solutions




3. Dr Norman Anti Oxidants Day Cream SPF30

 
 

 

4. Dr Norman Vital Anti Oxidants Hydrator

 
 
Set ini dijual secara set penuh dengan harga yang amat berpatutan : RM350.00 / set

Jika berminat mendapatkannya:

Email : drnormanmlk@gmail.com
             drnormanmlk@yahoo.com.my

Sila hubungai:

KLINIK DR NORMAN
Tel : 06 3178300

Terima Kasih

Dr Norman

Tuesday, November 18, 2014

MEROKOK BANYAK KESAN BURUK


Mengurangkan Impak Merokok kepada Kesihatan

 


Merokok adalah satu perbuatan yang sia-sia kerana ia memudaratkan kesihatan. Pelbagai kajian telah membuktikan kesan buruk merokok kepada perokok dan orang lain disekeliling perokok. Ia telah menjadi pengetahuan umum dengan kempen-kempen anti rokok yang dijalankan oleh pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia. Merokok sangat berkait rapat dengan penyakit kanser, sakit jantung, darah tinggi, strok, diabetis dan sebagainya.

 

Dalam Islam, telah jelas pendapat yang menyatakan bahawa perbuatan merokok adalah haram dan ditegah. Islam menegah kita untuk melakukan perkara-perkara yang membahayakan diri dan membawa  kebinasaan kepada nyawanya, atau dirinya, sebagaimana firman Allah dalam Al Quran yang bermaksud :

 

“Dan janganlah kamu melemparkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam kebinasaan”.

 

 Oleh kerana itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.

 


Walaupun terdapat pendapat yang berpendapat merokok adaah makruh, tetapi melakukan perbuatan makruh secara berterusan juga akan akhirnya menyebabkan hukumnya menjadi haram.

 

Merokok memudaratkan orang lain kerana asap rokok yang dihembuskan  juga akan disedut oleh orang lain disekeliling perokok. Seorang yang menghidu asap rokok orang lain dipanggil “perokok pasif”. Perokok pasif  ini berisiko mendapat penyakit yang sama dengan perokok.

 

 
Orang yang paling kita sayangi adalah keluarga kita sendiri. Seorang suami adalah pelindung kepada keluarganya , tapi sayangnya bagi perokok , mereka pula yang memudaratkan keluarga mereka dengan merokok tanpa mereka sedari. Menurut kajian kesihatan, wanita yang merokok atau menyedut asap rokok suami mereka, mempunyai risiko  mendapat keguguran, kelahiran pramatang,kelahiran kekurangan berat , kematian bayi secara tiba-tiba. Kajian juga menunjukkan kanak-kanak yang tinggal bersama bapa yang merokok dirumah lebih mudah mendapat masalah asthma, demam, batuk dan selsema akibat jangkitan saluran pernafasan.

 

Merokok adalah satu bentuk pembaziran yang merugikan kerana merokok melibatkan perbelanjaan yang besar tanpa sebarang manfaat yang baik kepada perokok. Pembaziran adalah suatu perbuatan yang dicela didalam Islam, sebagaimana yang dinyatakan dalam Al Quran , surah al Isra’ ayat 27 Allah berfirman :

 

Janganlah kamu membazir kerana sesungguhnya orang yang membazir itu adalah sahabat kepada syaitan.

 

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia,  rakyat Malaysia membelanjakan sebanyak 1.5 billion ringgit setahun untuk membeli rokok. Bayangkanlah duit sebanyak itu hanya untuk dibakar sahaja. Pembaziran juga berlaku untuk menanggung kos rawatan pada kemudian hari untuk merawat penyakit bawaan rokok ini. Kos ini akan ditanggung samada oleh pesakit atau kerajaan ataupun syarikat insurans. Merokok juga melibatkan pembaziran masa. Kajian menunjukkan, seseorang pekerja akan menghabiskan lebih kurang 10 minit setiap kali ingin merokok dan secara puratanya akan merokok 8 kali semasa waktu kerja biasa. Masa yang dihabiskan untuk merokok akan mengurangkan produktiviti. Oleh kerana itu, kajian menunjukkan produktiviti syarikat akan meningkat jika pekerjanya tidak merokok.  

 

 

Dengan segala fakta negatif yang dikaitkan dengan merokok, sudah pastinya ramai perokok ingin berhenti merokok, tetapi ianya bukan mudah. Seseorang yang ingin berhenti merokok lebih baik mendapatkan bantuan dari ahli perubatan yang pakar kerana merokok merupakan satu bentuk penyakit ketagihan. Perokok perlu berusaha untuk berhenti merokok dengan keazaman yang kuat dan jitu. Disamping berusaha untuk berhenti merokok, seseorang perokok perlu juga menjaga pemakanannya dan mengamalkan gaya hidup sihat. Seseorang perokok yang berhenti merokok tetapi tidak mengamalkan gaya hidup sihat juga akan berisiko mendapat penyakit kronik. Adalah amat penting untuk perokok memahami perkara ini kerana terdapat sesetengah perokok menyalahkan perbuatan berhenti merokok sebagai punca mereka mendapat penyakit kronik ini.

 

Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh diamalkan untuk membantu seseorang perokok yang sedang berusaha berhenti merokok atau yang telah berhenti merokok membuang kesan buruk toksin dan nikotin yang terkumpul dalam tubuh seseorang. Menurut kajian nikotin dan bahan toksik lain didalam asap rokok yang terkumpul dalam badan boleh menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan secara beransur-ansur untuk jangkamasa yang lama.

 


Makan sayuran brokoli dan buah oren, limau, kiwi dan jambu batu yang kaya dengan serat, vitamin C, vitamin E dan vitamin B kompleks. Merokok menyebabkan kekurangan vitamin-vitamin ini, oleh itu dengan mengamalkan makanan ini setiap hari, ia boleh mengurangkan impak rokok kepada tubuh seseorang. Makan pelbagai jenis buah-buahan berwarna terang yang kaya dengan anti oksidan juga amat baik diamalkan kerana kajian menunjukkan anti oksidan boleh mencegah kanser. Minum teh hijau juga amat baik kerana ia mengandungi anti oksidan yang tinggi.

 

Makan lobak merah atau karot secara terus atau dibuat jus juga adalah baik kepada perokok mengurangkan kesan buruk nikotin. Karot mengandungi serat, beta karotin, vitamin A, vitamin C, vitamin K dan vitamin B kompleks yang tinggi. Ia adalah sangat baik untuk membantu tubuh mengurangkan kesan buruk nikotin.

 

Sayuran berdaun hijau seperti bayam, sawi, kangkung, salad dan sebagainya juga amat baik kerana kandungan serat dan asid folik didalamnya. Ia baik diamalkan setiap hari untuk mencegah kesan buruk merokok kepada kesihatan. Amalkan makan ulam setiap hari, kerana sayur-sayur ulam ini yang dimakan secara mentah mempunyai kandungan vitamin yang lebih tinggi berbanding sayuran yang dimasak.

 


Bagi seseorang perokok yang amat kurang makan sayur-sayuran dan buah-buahan, mereka juga perlu mengambil pil-pil suplemen tambahan seperti multivitamin, vitamin C, vitamin B kompleks, omega 3, anti oksidan dan sebagainya. Tabiat ini juga membantu perokok atau bekas perokok mencegah kesan buruk kesihatan akibat tabiat merokok sebelum ini.

 

Minum air kosong atau air mineral dengan banyak boleh membantu badan membuang nikotin dan segala toksin yang terkumpul dalam tubuh perokok. Elakkan minum minuman manis dan minuman berkarbonat untuk menghlangkan dahaga kerana kandungan gula yang tinggi boleh memudaratkan kesihatan. Dengan minum air mineral secukupnya juga akan menyebabkan seseorang perokok dapat mengurangkan rasa ketagihan kepada rokok. 

 

Mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam juga boleh membantu seseorang membuang tabiat buruk merokok ini. Tetapi, janganlah merokok semasa bersenam atau selepas bersenam, kerana ia akan menyebabkan seseorang menyedut asap rokok dengan lebih banyak ke dalam paru-paru.

 

Mengawal stres atau tekanan amat penting kerana kajian menunjukkan perokok akan lebih banyak merokok apabila tertekan atau stres.  Tekanan juga mempunyai kesan buruk kepada kesihatan secara lansung.

 
 
Bacalah buku ini untuk memahami kaedah terbaik untuk berhenti merokok. Boleh hubungi saya melalui email: drnormanmlk@gmail.com  atau drnormanmlk@yahoo.com.my untuk mendapatkan buku ini hanya RM30.00 demi kesihatan anda.  

Berusahalah berhenti merokok dan dapatkan bantuan professional dari klinik-klinik berhenti merokok yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia atau klinik swasta yang menawarkan rawatan ini. Dalam proses berhenti merokok dan selepas berjaya berhenti merokok, amalkanlah pemakanan sihat, bersenam, mengawal tekanan dan ambillah suplemen yang secukupnya untuk kesihatan yang lebih baik. InsyaAllah.

 

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MSc (UCSI), FAGE