Mengurangkan Impak Merokok kepada Kesihatan
Merokok adalah satu perbuatan yang sia-sia kerana ia
memudaratkan kesihatan. Pelbagai kajian telah membuktikan kesan buruk merokok
kepada perokok dan orang lain disekeliling perokok. Ia telah menjadi
pengetahuan umum dengan kempen-kempen anti rokok yang dijalankan oleh pihak
berkuasa kesihatan di seluruh dunia. Merokok sangat berkait rapat dengan
penyakit kanser, sakit jantung, darah tinggi, strok, diabetis dan sebagainya.
Dalam Islam, telah jelas pendapat yang menyatakan bahawa
perbuatan merokok adalah haram dan ditegah. Islam menegah kita untuk melakukan
perkara-perkara yang membahayakan diri dan membawa kebinasaan kepada nyawanya, atau dirinya, sebagaimana
firman Allah dalam Al Quran yang bermaksud :
“Dan janganlah kamu melemparkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke
dalam kebinasaan”.
Oleh kerana itu, Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung
pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.
Walaupun terdapat pendapat yang berpendapat merokok adaah makruh, tetapi
melakukan perbuatan makruh secara berterusan juga akan akhirnya menyebabkan
hukumnya menjadi haram.
Merokok memudaratkan orang lain kerana asap rokok yang dihembuskan juga akan disedut oleh orang lain disekeliling
perokok. Seorang yang menghidu asap rokok orang lain dipanggil “perokok pasif”.
Perokok pasif ini berisiko mendapat
penyakit yang sama dengan perokok.
Orang yang paling kita sayangi adalah keluarga kita sendiri. Seorang suami adalah
pelindung kepada keluarganya , tapi sayangnya bagi perokok , mereka pula yang
memudaratkan keluarga mereka dengan merokok tanpa mereka sedari. Menurut kajian
kesihatan, wanita yang merokok atau menyedut asap rokok suami mereka, mempunyai
risiko mendapat keguguran, kelahiran
pramatang,kelahiran kekurangan berat , kematian bayi secara tiba-tiba. Kajian
juga menunjukkan kanak-kanak yang tinggal bersama bapa yang merokok dirumah
lebih mudah mendapat masalah asthma, demam, batuk dan selsema akibat jangkitan
saluran pernafasan.
Merokok adalah satu bentuk pembaziran yang merugikan kerana merokok melibatkan
perbelanjaan yang besar tanpa sebarang manfaat yang baik kepada perokok. Pembaziran
adalah suatu perbuatan yang dicela didalam Islam, sebagaimana yang dinyatakan dalam
Al Quran , surah al Isra’ ayat 27 Allah berfirman :
Janganlah kamu membazir kerana
sesungguhnya orang yang membazir itu adalah sahabat kepada syaitan.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, rakyat Malaysia membelanjakan sebanyak 1.5
billion ringgit setahun untuk membeli rokok. Bayangkanlah duit sebanyak itu
hanya untuk dibakar sahaja. Pembaziran juga berlaku untuk menanggung kos rawatan
pada kemudian hari untuk merawat penyakit bawaan rokok ini. Kos ini akan
ditanggung samada oleh pesakit atau kerajaan ataupun syarikat insurans. Merokok
juga melibatkan pembaziran masa. Kajian menunjukkan, seseorang pekerja akan
menghabiskan lebih kurang 10 minit setiap kali ingin merokok dan secara
puratanya akan merokok 8 kali semasa waktu kerja biasa. Masa yang dihabiskan
untuk merokok akan mengurangkan produktiviti. Oleh kerana itu, kajian menunjukkan
produktiviti syarikat akan meningkat jika pekerjanya tidak merokok.
Dengan segala fakta negatif yang dikaitkan dengan merokok, sudah pastinya
ramai perokok ingin berhenti merokok, tetapi ianya bukan mudah. Seseorang yang
ingin berhenti merokok lebih baik mendapatkan bantuan dari ahli perubatan yang
pakar kerana merokok merupakan satu bentuk penyakit ketagihan. Perokok perlu
berusaha untuk berhenti merokok dengan keazaman yang kuat dan jitu. Disamping berusaha
untuk berhenti merokok, seseorang perokok perlu juga menjaga pemakanannya dan
mengamalkan gaya hidup sihat. Seseorang perokok yang berhenti merokok tetapi
tidak mengamalkan gaya hidup sihat juga akan berisiko mendapat penyakit kronik.
Adalah amat penting untuk perokok memahami perkara ini kerana terdapat
sesetengah perokok menyalahkan perbuatan berhenti merokok sebagai punca mereka
mendapat penyakit kronik ini.
Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh diamalkan untuk membantu
seseorang perokok yang sedang berusaha berhenti merokok atau yang telah
berhenti merokok membuang kesan buruk toksin dan nikotin yang terkumpul dalam
tubuh seseorang. Menurut kajian nikotin dan bahan toksik lain didalam asap
rokok yang terkumpul dalam badan boleh menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan
secara beransur-ansur untuk jangkamasa yang lama.
Makan sayuran brokoli dan buah oren, limau, kiwi dan jambu batu yang kaya dengan
serat, vitamin C, vitamin E dan vitamin B kompleks. Merokok menyebabkan
kekurangan vitamin-vitamin ini, oleh itu dengan mengamalkan makanan ini setiap
hari, ia boleh mengurangkan impak rokok kepada tubuh seseorang. Makan pelbagai
jenis buah-buahan berwarna terang yang kaya dengan anti oksidan juga amat baik
diamalkan kerana kajian menunjukkan anti oksidan boleh mencegah kanser. Minum
teh hijau juga amat baik kerana ia mengandungi anti oksidan yang tinggi.
Makan lobak merah atau karot secara terus atau dibuat jus juga adalah baik
kepada perokok mengurangkan kesan buruk nikotin. Karot mengandungi serat, beta
karotin, vitamin A, vitamin C, vitamin K dan vitamin B kompleks yang tinggi. Ia
adalah sangat baik untuk membantu tubuh mengurangkan kesan buruk nikotin.
Sayuran berdaun hijau seperti bayam, sawi, kangkung, salad dan sebagainya
juga amat baik kerana kandungan serat dan asid folik didalamnya. Ia baik
diamalkan setiap hari untuk mencegah kesan buruk merokok kepada kesihatan. Amalkan
makan ulam setiap hari, kerana sayur-sayur ulam ini yang dimakan secara mentah
mempunyai kandungan vitamin yang lebih tinggi berbanding sayuran yang dimasak.
Bagi seseorang perokok yang amat kurang makan sayur-sayuran dan
buah-buahan, mereka juga perlu mengambil pil-pil suplemen tambahan seperti
multivitamin, vitamin C, vitamin B kompleks, omega 3, anti oksidan dan
sebagainya. Tabiat ini juga membantu perokok atau bekas perokok mencegah kesan
buruk kesihatan akibat tabiat merokok sebelum ini.
Minum air kosong atau air mineral dengan banyak boleh membantu badan
membuang nikotin dan segala toksin yang terkumpul dalam tubuh perokok. Elakkan
minum minuman manis dan minuman berkarbonat untuk menghlangkan dahaga kerana
kandungan gula yang tinggi boleh memudaratkan kesihatan. Dengan minum air
mineral secukupnya juga akan menyebabkan seseorang perokok dapat mengurangkan
rasa ketagihan kepada rokok.
Mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam juga boleh membantu seseorang
membuang tabiat buruk merokok ini. Tetapi, janganlah merokok semasa bersenam
atau selepas bersenam, kerana ia akan menyebabkan seseorang menyedut asap rokok
dengan lebih banyak ke dalam paru-paru.
Mengawal stres atau tekanan amat penting kerana kajian menunjukkan perokok
akan lebih banyak merokok apabila tertekan atau stres. Tekanan juga mempunyai kesan buruk kepada
kesihatan secara lansung.
Berusahalah berhenti merokok dan dapatkan bantuan professional dari
klinik-klinik berhenti merokok yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia atau klinik swasta yang menawarkan rawatan ini. Dalam proses berhenti
merokok dan selepas berjaya berhenti merokok, amalkanlah pemakanan sihat,
bersenam, mengawal tekanan dan ambillah suplemen yang secukupnya untuk
kesihatan yang lebih baik. InsyaAllah.
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc
(UCSI), FAGE
No comments:
Post a Comment