Tuesday, November 18, 2014

KAITAN DIANTARA GULA DAN GOUT






Gout adalah sejenis penyakit yang sangat biasa berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Ia melibatkan masalah bengkak sendi biasanya dibahagian ibujari kaki, hujung kaki dan sendi kaki. Kebengkakkan sendi ini disebabkan kristal ‘asid urik’ berkumpul didalam sendi, tendon dan tisu sekeliling sendi.  Jika keadaan menjadi kronik,  akan terjadi bengkak dibawah kulit berdekatan dengan sendi yang dipanggil ‘gouty tophi’. Jika tidak dirawat dengan betul ia akan melarat sehingga mendapat masalah batu karang di buah pinggang dan akhirnya boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang kekal. Oleh kerana itu, amat penting untuk kita memahami dan mengawal penyakit ini dengan baik. Selalunya doktor akan memberikan ubat tahan sakit dan beberapa ubat lain untuk mengurangkan rasa sakit, bengkak sendi dan menurunkan paras asid urik.



Gout lebih biasa berlaku dikalangan lelaki. Kebanyakan dari kita menyangka gout disebabkan oleh makan makanan laut seperti udang, sotong, kerang dan daging, kekacang. Makanan-makanan  ini akan menyebabkan simptom gout bertambah teruk, tetapi menurut kajian terkini ia bukan punca kepada masalah gout ini pada asalnya.

Terdapat satu kajian yang bertajuk “Purine-rich foods, dairy and protein intake, and the risk of gout in men” dilaporkan dalam jurnal perubatan ‘New England Medical Journal’ pada tahun 2000 menunjukkan pengambilan kekacang dan sayuran kaya purina tidak menyebabkan masalah gout.




Terdapat satu kajian yang dilaporkan dalam American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 2008 yang menunjukkan senaman, pengambilan kopi, vitamin C dan produk tenusu boleh menurunkan risiko penyakit gout ini.

Mengenali faktor risiko yang sebenar dalam masalah sakit sendi gout ini adalah amat penting untuk mencegah dan mengawal penyakit ini. Pemakanan adalah diantara punca kepada masalah gout ini dan kajian menunjukkan pengambilan minuman beralkohol, minuman bergula tinggi dan makanan proses yang menggunakan pemanis sirap jagung berfruktosa tinggi (HFCS). Kajian mendapati terdapat peningkatan ketara insiden penyakit gout ini sejak beberapa dekad lalu terutama di negara-negara maju seperti USA, dan seiring dengan nya didapati berlaku peningkatan penggunaan minuman berkarbonat, minuman jus dan minuman bergula terutamanya HFCS. Statistik menunjukkan di USA  peningkatan pengambilan minuman ringan sehingga 61% di kalangan orang dewasa dari tahun 1977 hingga 1997. Minuman manis bergula ini mewakili sumber utama kalori dalam pemakanan di USA. Kajian menunjukkan gout adalah sangat berkaitan sehingga 75% dengan masalah sindrom metabolik, perut buncit, darah tinggi, sindrom rintangan insulin dan masalah kolesterol tinggi.



Pada tahun1893, seorang ahli sains bernama Dr Osler telah memberi pandangan bahawa untuk merawat masalah  gout pesakit perlu mengurangkan makan gula dan buah-buahan manis sebagai ‘pantang’ bagi penyakit gout. Tetapi nasihatnya ini telah hampir dilupakan. Tetapi kini kajian sains telah menunjukkan bahawa pendapat Osler adalah benar dan terbukti.

Pengambilan fruktosa juga meningkat dengan ketara sejak pengenalan HFCS dalam pasaran di USA pada tahun 1967 . Ia di promosi sebagai gula yang lebih sihat dan lebih manis berbanding gula biasa. Tetapi kajian terbaru mendapati HFCS juga menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit. Fruktosa yang berlebihan juga menyebabkan peningkatan paras asid urik yang menjadi punca kepada masalah sakit sendi ‘gout’ tetapi glukosa dan galaktosa tidak menunjukkan keadaan yang sama. Kajian  menunjukkan, fruktosa akan mengganggu enzim xanthine oxidase dalam hati yang menyebabkan berlaku peningkatan paras  asid urik dalam darah yang akan menyebabkan masalah sakit sendi ‘gout’. Nasihat perubatan yang konvensional untuk penyakit gout biasanya memfokuskan kepada ‘pantang’ makanan berprotin seperti daging, udang, sotong, kekacang dan sebagainya. Ianya tanpa nasihat untuk mengawal minuman bergula, buah-buahan manis, jus yang mempunyai kandungan fruktosa yang tinggi  boleh menyebabkan masalah gout bertambah teruk. Fruktosa  telah diketahui satu-satunya jenis karbohidrat yang boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah. Fruktosa juga menyebabkan masalah rintangan insulin dan meningkatkan paras insulin dalam darah dan ini boleh menyebabkan terjadinya sindrom metabolik. Oleh kerana gula mengandungi fruktosa, maka pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan masalah ini.

Berdasarkan analisa dari data-data yang terdapat dalam kajian menunjukkan pengambilan gula berlebihan terutamanya minuman manis bergula dan tinggi dengan fruktosa sangat berkait dengan meningkatnya risiko penyakit gout kepada lelaki. Begitu juga dengan pengambilan jus buah-buahan dan makan buah-buahan yang sangat manis seperti rambutan, nangka, mangga, manggis, durian dan sebagainya boleh meningkatkan paras asid urik dan menyebabkan masalah sakit sendi gout.

MAKAN LAH BANYAK SAYUR-SAYURAN


Oleh kerana itu, untuk mengawal masalah dan simptom gout ini kita perlu mengurangkan pengambilan gula, mengurangkan pengambilan jus minuman proses, mengelakkan makan buah-buahan manis yang tinggi fruktosa dan  tidak mengambil alkohol. Mengawal berat badan, bersenam dan aktif secara fizikal juga akan membantu menurunkan risiko penyakit ini. Insyaallah.
 
 
Oleh:
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE
 
 

No comments: