Strok atau angina ahmar adalah
penyakit yang amat biasa berlaku sekarang. Ianya berkaitan dengan cara hidup
tidak sihat yang diamalkan oleh masyarakat kita dalam zaman moden sekarang.
Penyakit ini akan mengakibatkan masalah lumpuh sebelah badan atau lemah sebelah
badan dengan masalah pertuturan serta muka menjadi senget. Ianya adalah kerana
salran darah pada bahagian otak menjadi tersumbat atau juga kerana berlaku
pendarahan pada otak. Seseorang yang mengalami penyakit ini akan mengalami kesukaran untuk meneruskan aktiviti seharian dan akan terlantar
serta perlu dibantu untk aktiviti kehidupan yang asas seperti mandi, bergerak, makan, memakai pakaian dan
sebagainya.
Berdasarkan satu kajian yang
dibuat di Sweden yang dilaporkan dalam Journal Neurology pada tahun 2014, gaya
hidup yang lebih sihat mampu menurunkan risiko mendapat strok. Kajian tersebut
menunjukkan terdapat 5 faktor yang dikatakan sebagai gaya hidup sihat iaitu
pemakanan sihat, tidak merokok, aktif secara fizikal, meninggalkan minum
alkohol dan mengawal berat badan.
Kajian menunjukkan seseorang
yang mengamalkan gaya hidup sihat ini mempunyai kadar risiko yang lebih rendah mendapat penyakit
strok sehingga 54% berbanding seseorang
yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Kajian tersebut dibuat selama 10 tahun
yang melibatkan 31696 orang peserta berumur purata 60 tahun. Berdasarkan kajian
ini maka kita disarankan mengamalkan gaya hidup sihat kerana kajian ini
menunjukkan risiko mendapat strok menurun dengan setiap pertambahan kaedah gaya
hidup sihat. Bagi pesakit yang telah mengalami masalah strok, dengan mengubah
cara kepada mengamalkan gaya hidup sihat juga akan mendapat faedah mengurangkan
impak dan meningkat peratusan pemulihan kepada yang lebih baik.
Terdapat beberapa langkah yang boleh kita
amalkan untuk mencegah penyakit ini dan mengurangkan risiko mendapat penyakit
ini berdasarkan saranan daripada laporan yang dikeluarkan dalam Journal of American Medical Association
(JAMA) pada tahun 1999.
Penyakit darah tinggi adalah faktor risiko utama untuk mendapat penyakit
strok ini. Kita perlu selalu memeriksa tekanan darah dan memastikan ianya tidak
tinggi dan terkawal. Bagi pesakit darah tinggi pula, anda perlu mendapat
rawatan dan mematuhi arahan doktor dengan mengambil ubat yang dipreskripsi oleh
doktor secara tetap.
Berhenti merokok
Merokok adalah faktor risiko yang tinggi yang boleh menyebabkan penyakit
strok ini. Merokok merosakkan dinding saluran darah dan menyebabkan berlakunya
penyumbatan saluran darah oleh plak kolesterol yang mendap pada dinding saluran
darah di otak. Merokok juga menyebabkan tekanan darah tinggi dan saluran darah
lebih mudah menjadi sempit.
Mengawal paras kolesterol
Paras kolesterol yang terlalu tinggi akan menyebabkan saluran darah tersumbat
akibat mendapan kolesterol pada dinding saluran darah. Kolesterol yang tinggi
juga menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan lebih mudah tersumbat akibat
darah beku yang akan menyebabkan penyakit strok.
Mengawal paras glukosa darah
Meninggalkan tabiat suka mengambil gula secara berlebihan akan menurunkan
risiko mendapat strok. Pesakit diabetis didapati mempunyai risiko mendapat strok lebih tinggi berbanding orang lain.
Pesakit diabetis perlu mengawal paras gula dengan baik dengan mengikut arahan doktor
dan mengambil ubat dengan betul.
Bersenam atau aktif secara fizikal
Seseorang yang tidak aktif secara fizikal berisiko mendapat masalah
obesiti. Bagi seseorang yang mempunyai masalah obesiti ia mempunyai risiko
mendapat penyakit strok yang lebih tinggi. Bersenam akan melancarkan perjalanan
darah dan mengawal berat badan dengan lebih baik disamping itu bersenam juga
akan menurunkan risiko mendapat penyakit strok secara terus. Bagi pesakit
strok, senaman secara fisioterapi adalah amat penting untuk mengelakkan anggota
menjadi keras dan kaku. Kajian juga menunjukkan senaman membantu mempercepatkan
pemulihan pesakit strok secara umumnya.
Makan dengan lebih sihat
Kajian mendapati seseorang yang mengambil lebih banyak buah-buahan dan
sayur-sayuran dalam pemakanan seharian mereka akan menurunkan risiko mendapat
penyakit strok. Ia juga benar untuk pesakit yang telah diserang dengan penyakit
ini. Makan lebih banyak ikan juga membantu menurunkan risiko penyakit strok
kerana ikan mempunyai kandungan omega 3 yang tinggi. Pesakit strok juga
didapati boleh pulih dengan lebih baik jika makan ikan secara tetap atau
mengamalkan suplemen omega 3. Mengambil suplemen vitamin dan mineral juga boleh
membantu mempercepatkan pemulihan pesakit strok.
Tidak meminum alkohol
Minuman beralkohol sememangnya diharamkan dalam Islam. Banyak kajian menunjukkan
pengambilan alkohol akan menyebabkan penyakit strok dan pelbagai penyakit
kronik yang lain. Dengan meninggalkan tabiat minum arak akan mengurangkan
risiko mendapat penakit strok.
Degupan jantung yang betul
Degupan jantung yang tidak normal seperti masalah Atrial Fibrillation boleh menyebabkan masalah darah beku dalam
jantung yang boleh menyebabkan penyumbatan saluran darah dalam otak yang menjadi
punca kepada penyakit strok. Pesakit perlu mendapat rawatan yang tepat dengan
doktor.
Dengan menjaga kesihatan secara
keseluruhan maka kita akan menurunkan risiko mendapat serangan angin ahmar.
Disamping itu juga ia akan mencegah dan menurunkan risiko mendapat penyakit
–penyakit lain seperti diabetis, darah tinggi, kanser dan sakit jantung,
Insyaallah.
Oleh:
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE
No comments:
Post a Comment