BERKHATAN UNTUK
KESIHATAN
Musim cuti sekolah akan bermula,
maka bermulalah juga musim berkhatan bagi kanak-kanak lelaki Islam di Malaysia.
Telah menjadi satu budaya masyarakat di Malaysia untuk mengkhatankan anak
lelaki semasa musim cuti sekolah. Kesedaran tentang berkhatan juga telah
berkembang dikalangan bukan Islam yang melakukan khatan secara sukarela kerana
faedah-faedah kesihatan yang banyak.
Berkhatan adalah memotong kulit
dihujung kemaluan lelaki yang biasanya dipanggil kulup (foreskin). Kulup ini
akan meliputi kepala zakar (glan penis) dan ianya biasanya akan melekat antara
satu sama lain dan susah di pisahkan. Ia akan lebih mudah dipisahkan apabila
kanak-kanak itu meningkat ke umur remaja.
Dari sudut sejarah ada sesetengah ulama berpendapat berkhatan
bermula dengan Nabi Adam A.S dan juga sesetengah ulama berpendapat manusia
pertama yang berkhatan adalah Nabi Ibrahim A.S. Yang pastinya amalan berkhatan
telah diamalkan oleh manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu. Terdapat ukiran di
Pyramid di Mesir yang menunjukkan budaya berkhatan ini diamalkan oleh
masyarakat Mesir kuno pada zaman Firaun lagi.
Berkhatan adalah sesuatu yang
amat menakutkan kepada kanak-kanak lelaki sejak dari dahulu lagi. Didalam Islam berkhatan adalah suatu amalan
yang disyariatkan dan amat dituntut. Dalam mazhab Syafie, hukum berkhatan
adalah wajib sama ada ke atas lelaki atau perempuan. Menurut mazhab Hanafi, berkhatan hukumnya adalah
sunat sahaja bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Dalam mazhab Hanbali pula,
Imam Ahmad pula berpandangan; ia hanya wajib ke atas lelaki sahaja. Adapun ke
atas perempuan, hukumnya hanyalah sunat. Selain perintah agama, ia untuk
kesihatan individu itu juga.
Syariat Berkhatan
Waktu berkhatan tidak disyaratkan
ketika kecil. Dalam budaya masyarakat Arab dan Yahudi , berkhatan dilakukan
semasa bayi lagi. Bagi Masyarakat Melayu pula , biasanya berkhatan dilakukan
semasa kanak-kanak dalam umur 5 hingga 12 tahun.
Dalam satu riwayat daripada Saidatina
Aisyah menceritakan:
Sesungguhnya Nabi SAW telah
mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua.”
(Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim)
Kebanyakan ulama berpendapat,
khatan wajar dilakukan semasa budak lelaki meningkat umur baligh. Malah ada
ulama yang berpendapat lebih afdal bagi pihak ibu bapa atau penjaga
melaksanakan khatan ke atas anak lelaki mereka sejak mula hari kelahirannya.
Seorang ulama yang terkenal, Ibnu Juzaiy mempunyai pendapat yang berbeza
yang ditulis dalam kitabnya al-Qawanin al-Fiqhiyyah. Beliau menggalakkan waktu
khatan dilewatkan hingga anak tersebut boleh diajarkan solat; iaitu sekitar
umur tujuh hingga 10 tahun. Beliau menghukumkan makruh dilakukan khatan ke atas bayi pada hari
pertama kelahirannya dan juga pada hari ketujuh kelahirannya kerana ini
menyerupai amalan kaum Yahudi. Ibnu
Juzaiy juga berpendapat; adalah amat dituntut diadakan jamuan makan sempena
majlis berkhatan bagi lelaki tetapi tidak bagi majlis khitan kaum wanita.
Berkhatan dan Kesihatan
Hikmah berkhatan dari sudut agama
adalah ia merupakan salah satu tuntutan syariat
Islam dan menjadi satu amalan para Nabi terdahulu. Manakala sudut
kesihatan pula dengan berkhatan seseorang mengutamakan kebersihan dan kesucian,
mengawal dan menstabilkan nafsu syahwat terutama bagi kaum wanita serta memberi
keselesaan semasa bersetubuh.
Apabila tidak berkhatan ,
terdapat kotoran yang berkumpul diantara kulup dan kepala zakar yang dipanggil
‘smegma’ yang boleh menyebabkan jangkitan kuman dan juga punca kepada kanser
zakar.
Sains telah membuktikan bahawa
amalan berkhatan ini mempunyai banyak faedah kesihatan berdasarkan
kajian-kajian yang telah dijalankan. Diantara hasil kajian yang amat nyata
mendapati kadar kanser zakar adalah jauh lebih rendah dalam komuniti yang
mengamalkan berkhatan seperti Muslim dan Yahudi.
Terdapat kajian terbaru
menunjukkan kadar penyakit kelamin adalah rendah dikalangan lelaki yang
berkhatan.Kajian ini mendapati jangkitan
penyakit syphilis adalah lebih rendah dikalangan lelaki yang berkhatan.
Kajian Cochrane meta analysis
yang dijalankan di Afrika pada tahun 2007 juga menunjukkan berkhatan boleh menurunkan
risiko jangkitan HIV dikalangan lelaki yang aktif seksual diantara 38% hingga
66% dalam tempoh 24 bulan. Kesimpulan dari kajian ini mencadangkan lelaki
digalakkan untuk berkhatan untuk mengurangkan penularan wabak HIV di negeri Sub
Sahara Afrika. WHO mencadangkan salah satu dari program mencegah HIV ialah
dengan menggalakkan amalan berkhatan.
Berkhatan juga menurunkan insiden
jangkitan HSV-2 sehingga 28% dan berkait dengan penurunan prevalen HPV dan
risiko jangkitan kuman saluran kencing. Oleh itu ia secara tidak lansung
menurunkan risiko isteri mendapat kanser pangkal rahim.
Dari aspek perubatan , khatan
dibuat sebagai rawatan keatas pesakit yang mengalami masalah jangkitan kuman
kulup zakar (balanitis), kulup yang
mempunyai lubang pin (pinhole phimosis)
atau tertutup yang menyebabkan kulup
mem’belon’ semasa kencing dan juga kanak-kanak lelaki yang selalu mendapat
jangkitan saluran kencing.
Komplikasi dari prosedur
berkhatan yang biasa adalah pendarahan dan jangkitan kuman. Risiko terpotong
kepala zakar juga boleh berlaku jika pengkhatan tidak berhati-hati dan
menggunakan kaedah memotong terus atau ‘guilletine’ dengan pisau bedah atau
kaedah yang diamalkan oleh ‘tok mudim’ seperti zaman dahulu.
Sekarang terdapat inovasi yang telah direka
untuk mengurangkan risiko-risiko pembedahan berkhatan ini dengan penggunaan
‘klamp’ plastik. Kaedah ini tidak memerlukan jahitan dan prosesnya amat cepat
dilakukan. Pelbagai jenis ‘klamp’ ini yang terdapat dalam pasaran seperti
SunatTech, SmartKlamp, AlisKlamp, Tara klamp, Ismail Klamp dan Plastibel.
Saya telah hamper 10 tahun berpengalaman menggunakan kaedah 'klamp' ini dan saya dapati kaedah Sunatech (Sunathrone) ini adalah yang terbaik kerana bentuk klampnya yang lebih kecil, berbentuk cincin , lebih mudah untuk dibersihkan dan amat kurang komplikasi. Kaedah ini telah saya gunakan untuk mengkhatankan kanak-kanak miskin di Kemboja seramai 130 orang dalam bulan Mac 2014 yang lalu. Alat ini telah dicipta oleh sahabat saya Dr Tasron Surat.
Kaedah berkhatan dengan
menggunakan klamp ini terlah terbukti lebih mudah, kurang pendarahan, kurang
risiko jangkitan, lebih selesa kepada kanak-kanak kerana boleh terus memakai
seluar dan boleh mandi dan bergerak dengan lebih selesa tanpa rasa sakit.Kanak
–kanak juga mudah untuk membuang air kecil dan mudah untuk beristinjak tanpa
mencemarkan luka berkhatan.
Penggunaan kaedah klamp ini
memerlukan latihan untuk doktor yang menjalankannya. Anda perlu mendapatkan
khidmat doktor yang terlatih yang berpengalaman melakukan kaedah ini.
Pengalaman penulis menggunakan kaedah ‘klamp’ ini semenjak lapan tahun yang
lalu telah membuktikan kelebihannya terutama kepada doktor yang membuat
prosedur ini kerana mengurangkan ‘sakit pinggang’ kepada doktor yang membuat
pembedahan berkhatan berbanding dengan kaedah menjahit luka tersebut.
Terpulanglah kepada ibubapa untuk
memilih kaedah terbaik untuk mengkhatankan anak. Pastikan kaedah yang kita
pilih memberikan keselesaan kepada anak yang dikhatan dan juga mengurangkan
risiko komplikasi.
Oleh:
DR NORMAN MOHD NORAWI
MBBS, MSc(UCSI), FAGE
No comments:
Post a Comment