Thursday, December 18, 2014

CEGAH KANSER USUS


**Artikel ini ditulis oleh saya...tetapi berlaku kekhilafan di pihak Metro Ahad dengan meletakkan nama Dr Hanapiah sebagai penulisnya....kemaafan oleh pihak Metro Ahad telah di minta dan berjanji tidak akan berulang lagi....



LANGKAH MENCEGAH KANSER USUS

Kanser usus atau kolorektal semakin bertambah jumlahnya di kalangan penduduk Malaysia. Menurut Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia pada tahun 2007, kanser usus adalah kanser yang kedua tertinggi insidennya di Malaysia selepas kanser payudara. Semakin ramai yang mendapat penyakit ini terutama golongan yang lebih muda kerana faktor gaya hidup yang tidak sihat termasuklah masalah kegemukan, kurang aktiviti fizikal, merokok, pemakanan yang tidak sihat.

Faktor pemakanan adalah faktor terpenting untuk mencegah kanser usus ini. Dalam satu kajian yang dijalankan di Eropah selama 12 tahun menunjukkan lima gaya hidup yang meningkat risiko kanser usus adalah kegemukan, perut buncit, kurang aktiviti fizikal, merokok, minum minuman beralkohol dan makan makanan proses.

Untuk mengurangkan risiko mendapat kanser usus ini, pakar mencadangkan beberapa langkah yang boleh kita amalkan.

Pemakanan seimbang dan sihat yang mengandungi buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, biji-bijian dan makanan berserat tinggi seperti oat, beras perang. Sayuran seperti brokoli, kobis, bunga kobis dan taugeh amat baik dimakan selalu untuk mencegah kanser usus.



Kurangkan makan daging merah seperti daging lembu dan daging kambing. Masak daging dengan suhu yang tinggi seperti menggoreng, memanggang hingga hitam atau barbeque boleh meningkatkan risiko kanser usus kerana penghasilan bahan yang dipanggil AGE (advance glycation endproduct) . Kaedah yang lebih sihat adalah dengan masak dengan suhu rendah dan berkuah.



Makan lebih banyak ikan yang kaya dengan omega 3 didapati boleh mengurangkan risiko kanser usus. Disamping itu, makanan yang kaya dengan probiotik seperti dadih (yogurt), minuman susu kultur, makanan yang diperam seperti budu, cencalok, belacan juga membantu mencegah kanser usus.

Makan  makanan yang mengandungi asid folik yang tinggi seperti sayur-sayuran hijau seperti kangkung, bayam, sawi dan lain-lain lagi amat baik untuk mencegah kanser usus. Buah-buahan limau citrus seperti limau nipis, lemon, oren, limau bali dan sebagainya juga kaya dengan asid folik. Kajian menunjukkan pemakanan yang kaya dengan asid  folik boleh mencegah kanser usus.



Ambil makanan yang tinggi kalsium dan vitamin D yang secukupnya. Makanan yang tinggi kalsium seperti susu, keju, dadih, ikan salmon, ikan sardin, ikan bilis dan sayur-sayuran berdaun hijau. Sumber vitamin D dari makanan adalah dari ikan salmon, ikan sardin, kuning telur dan yang paling utama adalah dari cahaya matahari pagi. Kita perlu mendedahkan kulit pada cahaya matahari pagi untuk mendapatkan vitamin D yang secukupnya yang dihasilkan oleh kulit kita apabila terdedah dengan cahaya matahari pagi. Pengambilan suplemen vitamin D juga boleh diamalkan.



Elakkan tabiat usus yang kurang sihat seperti sembelit. Didik diri kita untuk membuang air besar setiap hari. Minum air secukupnya setiap hari amat penting untuk mencegah sembelit. Minum air yang ditapis juga amat penting untuk mencegah kita mengambil bahan-bahan toksin terlarut dalam air seperti klorin, logam berat dan sebagainya. Makan makanan yang tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, oat, beras perang dan sebagainya. Pemakanan yang rendah serat akan menyebabkan masalah sembelit dan tabiat usus yang tidak sihat. Kajian menunjukkan tabiat usus yang tidak sihat ini menyumbang kepada risiko kanser usus yang tinggi. Ini adalah kerana seseorang yang menghadapi masalah sembelit ini akan menyebabkan bahan-bahan karsinogen dalam makanan akan menyentuh dan irritasi dinding usus berlaku dengan lebih lama dan akhirnya mengakibatkan sel-sel didinding usus berubah menjadi sel kanser. Biasanya ia akan bermula dalam bentuk ketumbuhan kecil yang dipanggil polip.

Elakkan makan makanan proses yang tinggi dengan gula, tepung gandum, pengawet, pewarna, perasa yang tinggi bahan kimia proses. Makanan proses mengganggu keasidan dalam usus yang menyebabkan bakteria baik dalam usus tidak berkembang biak dengan baik. Gangguan ketidakseimbangan bakteria dalam usus akan meningkatan risiko mendapat kanser usus.




Merokok juga meningkat risiko mendapat kanser termasuklah kanser usus. Rokok mengandungi beribu-ribu jenis toksin dan radikal bebas yang akan menyebabkan kanser. Terdapat pelbagai kajian yang menunjukkan kaitan rapat diantara tabiat merokok dan risiko kanser yang lebih tinggi. Ini adalah satu lagi motivasi bagi perokok untuk meninggalkan tabiat buruk ini untuk mengurangkan risiko mendapat kanser usus. Meninggalkan minum arak juga mempunyai kesan yang sama menurunkan risiko mendapat kanser usus.



Bersenam dan aktif secara fizikal dapat mengurangkan risiko mendapat kanser usus. Kajian menunjukkan kaitan rapat diantara masalah kegemukan dan perut buncit dengan risiko kanser usus yang lebih tinggi. Dengan aktif secara fizikal dan bersenam akan membantu menurunkan berat badan dan secara lansung menurunkan risiko mendapat kanser usus.

Mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Kanser usus bukanlah suatu penyakit yang mudah dirawat dan ia melibatkan banyak perbelanjaan. Mengamalkan langkah pencegahan adalah cara terbaik walaupun ia bukanlah satu jaminan yang seratus peratus , tetapi berusaha untuk menjaga kesihatan adalah sesuat yang dituntut oleh Islam.

 

Wassalam

 

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MSc(UCSI), FAGE

 

No comments: