Wednesday, December 31, 2014

SALAH FAHAM UNTUK KURUS

 
 

Masalah berat badan berlebihan adalah suatu masalah yang semakin serius dalam masyarakat kita di Malaysia hari ini. Malaysia adalah ‘juara’ di Asia Tenggara untuk masalah obesiti.




Ramai yang mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Tanpa kita sedari, ada yang membuat kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan kita. Diantara kesilapan-kesilapan yang selalu dilakukan oleh orang ramai adalah:

Ber’diet’ dengan kaedah yang salah



Terdapat sesetengah dari kita yang ingin menurunkan berat badan akan mula ber’diet’ yang bermaksud tidak makan secara tiba-tiba atau berpuasa secara melampau. Kaedah ini adalah tidak sihat dan merbahaya kepada kesihatan. Walaupun terlebih makan adalah diantara punca berat badan berlebihan, tetapi janganlah anda makan terlalu sedikit dan berpantang keterlaluan sehingga anda menjadi terlalu kurus dan mendapat masalah kekurangan zat makanan.  Jika anda berlapar terlalu kerap , maka sistem metabolisma badan anda akan berubah iaitu metabolisma badan akan turun, dan segala yang anda makan walaupun sedikit akan disimpan sebagai ‘lemak’ dan ‘otot’ and menjadi kecut. Apabila anda tidak mampu meneruskan ‘berdiet’ yang melampau seperti ini, maka anda akan mula makan tanpa kawalan kerana selera bertambah-tambah dan semuanya akan menjadi lemak. Berat badan anda akan bertambah dengan sangat cepat dan menjadi lebih gemuk dari sebelumnya.  Akhirnya , anda berdiet semula, dan kitaran ini akan berterusan dan anda akan gagal menurunkan berat badan anda.





Terdapat juga sesetengah orang yang menggunakan kaedah berdiet Atkins yang di popularkan oleh Dr Robert Atkns pada tahun 1958. Atkins mencadangkan pengambilan karbohidrat dengan jumlah yang sangat rendah iaitu kurang dari 20gram sehari dan mengambil makanan protin dan lemak yang lebih banyak. Menurut beliau kaedah akan menyebabkan badan membakar lebih banyak lemak kerana tubuh akan berubah kepada keadaan ‘ketosis’ dan paras insulin yang rendah akan menyebabkan hati membakar simpanan glikojen. Kaedah ini boleh menurunkan berat badan dengan cepat tetapi membiarkan tubuh dalam keadaan berasid dengan ‘ketosis’ adalah tidak baik untuk kesihatan jangkamasa panjang. Terdapat juga kajian yang menunjukkan kaedah Atkins ini boleh menyebabkan masalah batu karang buah pinggang dan reput tulang (osteoporosis). Kaedah ini tidak lagi popular sekarang kerana terdapat pelbagai kontroversi kerana pemakanan yang tidak seimbang dengan mengurangkan karbohidrat secara melampau didapati akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan dikemudian hari.



Menurut kajian yang dilakukan oleh Harvard Medical School, kaedah pemakanan yang sihat dan boleh menurunkan berat badan secara sihat dan beransur-ansur serta kekal lebih lama adalah dengan makan secara seimbang. Pemakanan seimbang yang disarankan adalah dengan cara  mengambil karbohidrat sihat yang kaya dengan serat, indeks glisemik (GI) rendah, makan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan.Seseorang juga perlu  meninggalkan ‘makanan proses’ yang tinggi gula, tinggi asid lemak trans dan tinggi karbohidrat halus yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi. Pengambilan lemak yang sihat seperti minyak zaitun, minyak kanola, minyak kelapa atau santan juga amat baik untuk kesihatan. Minum air mineral, kopi O dan teh O tanpa gula adalah kaedah minum secara sihat. Secara umumnya Harvard Medical School telah membuat satu gambarajah panduan pemakanan sihat berbentuk ‘pinggan makan’ yang dipanggil “Healthy Eating Plate”. Kaedah ini telah di ikuti di Amerika Syarikat yang dipanggil “ ChooseMyPlate.gov” dan di Malaysia dipanggil sebagai ‘Model Pinggan Sihat’. Buku saya “8 Rahsia menguruskan badan tanpa berdiet” adalah diantara buku yang boleh anda baca untuk mendapat maklumat yang tepat untuk menurunkan berat badan dengan cepat dan sihat, dapatkan dari saya dengan email: drnormanmlk@yahoo.com.my.
 
 

Menurunkan berat badan hanya dengan bersenam

Senaman amat penting untuk menurunkan berat badan, tetapi dengan hanya bergantung kepada senaman semata-mata tanpa mengawal pemakanan adalah satu usaha yang sia-sia. Kajian mendapati seseorang yang hanya bersenam tanpa mengawal jumlah makanan dan kalori makanan yang dimakan akan menyebabkan berat badan amat susah diturunkan malahan berat badan akan bertambah. Ini adalah kerana ramai orang yang mengira kalori yang dibakar apabila bersenam dan menyangka bahawa dengan kalori yang telah dibakar maka tidak perlu lagi mengawal jumlah makanan yang diambil. Jika anda ingin menurunkan berat badan secara maksimum, maka jumlah pemakanan seharian masih perlu di kawal jumlahnya walaupun anda bersenam.

 


Memilih  produk yang ‘rendah lemak’

Kita selalu memilih makanan atau produk yang dilabel sebagai ‘rendah lemak’ dan merasakan produk-produk ini baik untuk kesihatan dan boleh membantu menurunkan berat badan. Hakikatnya  produk-produk ini sebenarnya mempunyai nilai kalori yang tinggi kerana kandungan gula yang sangat tinggi. Pengeluar produk-produk ini mengurangkan lemak dalam produk mereka dan tetapi mereka akan menambah kandungan gula untuk membuatkan produk-produk ini lebih sedap.Kajian sains mendapati  lemak mono tak tepu (kekacang, avocado, minyak zaitun) dan lemak omega 3 dari ikan amat baik untuk menurunkan berat badan. 

 


Memilih  minuman ‘diet’ .

Kajian mendapati pengambilan minuman ‘diet’ akan menyebabkan masalah berat badan dan kencing manis walaupun kalorinya lebih rendah. Satu kajian di Texas Health Science Center di San Antonio, USA mendapati seseorang yang mengambil minuman ‘diet’ akan menghadapi  sehingga 70% peningkatan saiz pinggang daripada seseorang yang mengambil minuman biasa. Dalam kajian yang sebelumnya juga mendapati, risiko obesiti bertambah sehingga 41% untuk penggemar minuman ‘diet’ ini. Menurut pakar pemakanan , fenomena ini berlaku kerana pemanis tiruan aspartame yang rendah kalori dalam minuman ‘diet’ ini akan meningkatkan selera makan dan menghalang otak mendapat ‘isyarat kenyang’ apabila perut telah penuh.  Minuman terbaik untuk menurunkan berat badan ialah air mineral.

 

 

 

 

Jika anda gagal untuk  kali pertama dalam percubaan menurunkan berat badan janganlah terlalu cepat mengalah. Kajian mendapati seseorang yang hanya mencuba untuk menurunkan berat badan akan mendapat faedah kesihatan walaupun gagal menurunkan sedikitpun berat badannya. Jadikanlah matlamat untuk mendapat kesihatan yang baik sebagai sebab utama menurunkan berat badan kerana kesihatan yang baik akan terpancar sebagai kecantikan yang sebenarnya.



 
Oleh:
Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, MScAARMMA, FAGE)


No comments: