Monday, March 23, 2015

Kempen Anti Rokok Tanggungjawab Bersama



Isu tentang rokok memang banyak di perkatakan sekarang terutamanya isu berkaitan kesan merokok kepada kesihatan. Sememangnya ramai yang tahu bahawa merokok boleh menyebabkan pelbagai kanser, sakit jantung, darah tinggi , angin ahmar, penyakit sekatan paru-paru, gangrene, sakit urat darah, keguguran dan pelbagai penyakit lagi. Rokok adalah satu tabiat kurang sihat  yang amat biasa kita lihat sekarang. Mengikut statistik terkini , 50 peratus lelaki dan 13% wanita di Malaysia adalah perokok.

 


Pelbagai kempen telah dilancarkan oleh kerajaan untuk membendung budaya yang tidak sihat ini. Usaha-usaha mengadakan kawasan Bebas Asap Rokok seperti seperti di Melaka, Pulau Pinang dan Johor amat dipuji dan patut dicontohi oleh semua negeri-negeri di Malaysia. Sokongan kuat oleh kerajaan amat penting dalam menjayakan kempen anti rokok ini. Ianya adalah satu cara yang lebih berkesan dan efektif untuk mencegah dan mengurangkan bahaya merokok dengan kuasa pihak kerajaan yang membuat dan melaksanakan polisi-polisi yang menyokong usaha anti merokok. Malaysia telah menandatangani perjanjian Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) di World Health Organisation (WHO) pada Jun 2003 sebagai satu usaha bersepadu secara global untuk mengawal penggunaan tembakau oleh individu dan juga menjaga salah laku oleh industri tembakau.

 


Undang-undang melarang pengiklanan rokok di radio, televisyen dan penajaan dalam bidang sukan serta melarang merokok di tempat awam.Dengan itu , di Malaysia telah melarang segala bentuk pengiklanan secara terus produk tembakau dan juga jenama rokok di dalam media massa dan juga papan-papan tanda mega (billboard). Mengikut perjanjian FCTC tersebut perkara-perkara lain yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan adalah , kotak rokok mestilah mempunyai 30% ruang untuk mencatatkan amaran merokok membahayakan kesihatan. Kawasan bebas rokok mestilah dikuatkuasakan di tempat-tempat awam,pengangkutan awam dan restoran-restoran terutamanya kawasan berhawa dingin.

 

Kerjasama antara pihak kerajaan dan NGO dalam menjayakan kempen bebas rokok ini adalah sangat baik dan berkesan untuk menjamin mesej yang ingin disampaikan turun ke semua lapisan masyarakat. Peranan NGO amat penting dalam menggerakkan usaha bebas asap rokok dan memberi kesedaran secara terus dalam masyarakat dengan melaksanakan program-program di dalam masyarakat. Pendekatan baru dengan pengistiharan kawasan bebas rokok yang tertentu dan penglibatan NGO adalah satu usaha yang lebih baik dan effektif jika dijalankan dengan bersungguh-sungguh kerana NGO adalah mewakili segenap lapisan masyarakat.

 

Perokok yang ditangkap merokok dikawasan bebas rokok ini mestilah didenda dengan denda yang berat kerana melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.Penjualan rokok kepada oirang yang berumur 18 tahun keatas sahaja dan penjual yang menjual rokok kepada yang berumur kurang dari 18 tahun mestilah didenda dengan denda yang berat atau dipenjarakan. Kerajaan juga telah melancarkan beberapa  kempen anti merokok diseluruh negara beberapa tahun yang lepas, tetapi  impak dari kempen ini amat kurang dirasai malahan mengikut statistik terbaru , jumlah perokok telah bertambah. Diantara isu yang timbul adalah kurangnya maklumat tentang kaedah rawatan berhenti merokok dan dimana rawatan ini boleh didapati, tidak dihebahkan kepada perokok.

 

Penglibatan ahli perubatan seperti doktor-doktor swasta dan kerajaan, jururawat dan pembantu perubatan secara keseluruhan dalam usaha ini adalah sangat penting. Masalah juga akan timbul jika ahli-ahli perubatan sendiri adalah perokok, oleh itu amat wajar jika sekiranya satu polisi penapisan awal bagi calon-calon doktor, jururawat, pembantu perubatan , pembantu perawatan kesihatan diambil dikalangan mereka yang bukan perokok. Penglibatan semua lapisan masyarakat amat penting untuk menjayakan kempen anti rokok ini termasuklah para perokok juga. Sudah pasti sebagai ibubapa kita tidak mahu anak-anak kita mengikut tabiat merokok walaupun bapanya adalah perokok.

 

Disamping kempen berhenti merokok , dasar kerajaan yang mengenakan cukai yang tinggi keatas rokok dapat membantu dalam usaha ke arah hidup tanpa rokok.Menaikkan harga rokok haruslah seiring dengan usaha untuk membantu perokok berhenti merokok.

Ubat untuk berhenti merokok wajar diberikan subsidi ‘khas’agar kosnya menjadi rendah dan lebih ramai perokok boleh mendapat faedah darinya.Sewajarnya cukai yang dikenakan keatas rokok dipulangkan dalam bentuk subsidi kepada industri kesihatan untuk membantu perokok berhenti merokok dan juga menampung kos rawatan penyakit kesan dari merokok.

 


Klinik-klinik berhenti merokok yang dijalankan telah diperluaskan lagi di semua klinik-klinik kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membantu usaha perokok berhenti merokok dengan nasihat dan rawatan professional.Kerajaan juga patut memberi bantuan kepada doktor-doktor di klinik swasta yang lebih dekat dengan pesakit supaya mudah perokok mendapat rawatan dengan doktor yang mereka suka.

Dalam satu laporan yang disiarkan disebuah akhbar baru-baru ini, Penyiasat Penilaian Dasar Kawalan Tembakau Antarabangsa (ITC) bagi Malaysia telah melaporkan bahawa hasil kajian yang telah dijalankan mendapati kira-kira 8% daripada wanita muda berusia diantara 13 hingga 25 tahun telah menjadi perokok manakala 40% menjadi ‘perokok pasif’. Laporan ini amat membimbangkan kerana kadar perokok dikalangan wanita telah meningkat dengan begitu ketara sejak kebelakangan ini.


Di jangkakan , jika aliran semasa perokok ini tidak berubah , maka bilangan perokok wanita akan menyamai perokok lelaki dalam masa 20 tahun .Ini amat membimbangkan kerana generasi baru akan datang akan lahir dari wanita-wanita ini , cuba bayangkan apa akan terjadi kepada generasi yang lahir dari ibu-ibu yang merokok ini. Ia adalah sesuatu prospek yang amat menakutkan.Ini menunjukkan bahawa kempen yang telah dijalankan masih belum cukup dan gagal membendung budaya merokok.


Kerjasama semua lapisan masyarakat adalah amat penting  dengan sokongan kuat dari pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia , Insyaallah kempen bebas rokok ini akan lebih berjaya dan mencapai matlamat mengurangkan jumlah perokok. Kesan jangka panjangnya akan mengurangkan impak ekonomi dengan pengurangan kos perubatan merawat penyakit akibat merokok yang ditanggung oleh kerajaan. Sewajarnya semua negeri-negeri di Malaysia mula mengistiharkan negeri ‘Bebas Asap Rokok’ dan seterusnya Malaysia juga mengistiharkan 1Malaysia Bebas Asap Rokok.


 


Dr Norman Mohd Norawi


(MBBS, MSc(UCSI), FAGE


 


No comments: