ANTI OKSIDAN MENCEGAH KESAN PENUAAN KULIT
Masalah penuaan kulit (photoaging)
adalah satu masalah yang selalu dihadapi apabila seseorang meningkat umurnya.
Ia menyebabkan seseorang kelihatan lebih tua daripada umurnya. Ini adalah
sangat lumrah di Malaysia kerana negara kita ini sentiasa mendapat pancaran
cahaya matahari yang terik dan panas. Kawasan yang biasanya kelihatan semua
tanda-tanda ini adalah dikawasan yang terdedah dengan cahaya matahari seperti
muka, tengkuk, leher, tangan, lengan dan bahagian atas dada. Kita tidak boleh
lari dari cahaya matahari ini, tetapi kita boleh mengambil anti oksidan untuk
mencegah kesan buruk akibat pendedahan melampau kepada cahaya matahari.
Terdapat dua jenis radiasi ultra-ungu (UV) didalam cahaya matahari iaitu
UVA (320 to 400nm) dan UVB (290 to 320nm). UVA pula menyerap kelapisan yang
lebih dalam kulit dan menyebabkan masalah penuaan kulit. Oleh kerana nisbah UVA
adalah 95% berbanding UVB 5% maka kesan pendedahan kepada matahari akan
menyebabkan kerosakkan yang kronik iaitu kesan penuaan kulit untuk jangkamasa
panjang. Masalah selar matahari (sunburn) disebabkan UVB, tetapi ianya
tidak boleh menembusi lapisan kaca, oleh kerana itu kita tidak mendapat selar
matahari jika berada didalam kereta.
Pendedahan kepada cahaya matahari pagi amat penting untuk menjana Vitamin D
dan juga meransang pembentukan hormon serotonin dalam tubuh manusia. Untuk
mendapat kesihatan yang baik dan mendapat vitamin D yang secukupnya maka kita
masih perlu berjemur sedikit (lebih kurang 10 hinga 15 minit) dibawah matahari
terutamanya pada waktu pagi. Kita juga akan lebih mudah tidur pada waktu malam
jika mendapat pendedahan cahaya matahari pagi yang secukupnya kerana ia hormon
serotonin yang secukupnya pada waktu pagi akan
menjadi hormon melatonin yang diperlu untuk tidur pada waktu malam.
Tidur yang cukup amat penting untuk kesihatan dan keremajaan kulit.
Cahaya matahari yang terik dan panas pada waktu tengah hari diantara pukul
11.00am hingga 3.00pm adalah waktu yang paling tidak sihat jika kita terdedah
terlalu lama dan ianya boleh menyebabkan masalah selar matahari(sunburn) dan strok panas. Disamping itu,
kulit akan mengalami masalah penuaan awal jika ianya terdedah setiap hari dalam
tempoh yang lama. Selalulah menggunakan
krim pelindung matahari yang mempunyai faktor pelindung matahari (SPF) yang
lebih dari 30 apabila keluar melakukan aktiviti ditengah panas. Penggunaan alat
perlindung matahari fizikal seperti topi, payung, tudung kepala dan sebagainya
juga boleh membantu memberikan perlindungan dari cahaya matahari. Sinaran
ultraungu (UV) dari cahaya matahari akan merosakkan kulit yang menyebabkan
masalah jeragat dan kulit cepat berkedut.
Masalah penuaan kulit ini boleh dilihat sebagai kedutan, garis halus, kulit
mengendur (sagging and laxity), tona kulit
tidak sekata, masalah jeragat (pigmentasi),
kulit kelihatan kasar dan berkuping, kulit menipis dan mengendur, kekeringan
kulit, kedutan kasar (deep furrows)
dan kutil kecil. Masalah yang lebih serius seperti telangiectasias,
seborrhoiec keratosis, solar elastosis, actinic purpura, kanser kulit dan melanoma. Ia adalah istilah perubatan
yang digunakan oleh doktor yang berlaku pada kulit seseorang akibat pendedahan
kepada radiasi UV yang berlebihan ini. Kanser kulit dan melanoma adalah kesan
yang lebih teruk apabila terdedah kepada radiasi UV ini.
Apabila umur meningkat maka kolagen dan elastin dibawah kulit akan
mengendur dan mengakibatkan masalah kedutan dan garis halus. Kesannya, kulit
menjadi longgar, kendur, hilang lemak, nipis dan kasar. Tarikan graviti dan
pergerakan otot muka kerana ekpresi muka selama bertahun-tahun menjadikan kulit
muka menurun dan mengendur ke bawah dan menyebabkan kedutan yang lebih
kasar.Terdedah kepada cahaya matahari yang lama , merokok secara aktif atau
pasif disamping faktor genetik menambahkan lagi masalah kulit kedut ini.
Menurut satu laporan yang bertajuk “Overview
of skin aging and photoaging” yang diterbitkan dalam Journal Dermatology Nursing pada tahun 2008, menyatakan bahawa
kesan penuaan akibat pancaran cahaya matahari ini disebabkan radiasi cahaya
ultra-ungu (UV) dan jumlah sel-sel melanin pada kulit seseorang. Kesan cahaya
matahari juga boleh merosakkan DNA dalam sel-sel kulit secara lansung atau
tidak lansung.
Radiasi ultra ungu ini menyebabkan reseptor pada sel-sel pada kulit (keratinosit dan fibroblast) menghasilkan
tidakbalas yang menyebabkan kerosakan kepada kolagen dalam lapisan kulit dan
menyebabkan penghasilan kolagen berkurangan. Secara ringkasnya pendedahan yang
melampau kepada radiasi UV ini merosakkan kolagen dan penghasilannya dalam
lapisan kulit.
Satu kajian yang dilaporkan oleh oleh Department
of Dermatology, Cambridge University Hospital pada tahun 2013, menyatakan pengambilan anti oksidan boleh
mencegah kesan penuaan kulit dan membantu mengekalkan kesihatan dan keremajaan
kulit seseorang. Anti oksidan ini perlu dimakan dan disapu pada kulit. Kajian
juga menunjukkan, sistem pertahanan antioksidan semula jadi kulit manusia juga
dipengaruhi oleh suplemen dan nutrisi yang dimakan dan kombinasi pelbagai anti
oksidan yang diambil bertindak secara sinergi bersama-sama untuk mengekalkan
kesihatan kulit.
Pengambilan Vitamin C juga didapati amat membantu mencegah masalah penuaan
kulit akibat sinar matahari ini kerana Vitamin C adalah sejenis anti oksidan
yang kuat. Vitamin C adalah anti oksidan yang amat baik dan ianya juga boleh mencegah
beberapa jenis kanser termasuklah kanser kulit. Sebagai bahan
antioksidan,vitamin C melindungi sel-sel kulit dan tubuh dari kerosakan oleh
radikal bebas yang datang dari radiasi UV cahaya matahari. Vitamin C juga
membantu untuk mengaktifkan antioksidan
yang lain didalam tubuh seperti Vitamin E , Glutathion dan L karnitin
Diantara fungsi utama vitamin C adalah menghasilkan kolagen dalam tubuh
manusia. Kolagen ini penting untuk kesihatan dan keanjalan kulit seseorang.
Apabila keanjalan kulit berkurangan, maka kulit akan menjadi berkedut, kusam,
berjeragat, kendur dan kelihatan tua. Kolagen adalah protein utama dalam struktur organ manusia seperti saluran darah
, tendon, ligaments , tulang , gigi ,rambut dan kulit. Kekurangan kolagen akan
menyebabkan kulit menjadi kendur dan berkedut, tulang rapuh, gigi mudah
tercabut, rambut gugur dan mudah putus
serta mudah berlaku pendarahan dibawah kulit.
Dengan mengekalkan integriti tisu badan seperti kulit dan lapisan mukosa,
vitamin C membantu menjadikan kulit
menjadi lebih licin, tegang , cerah, berseri, mengurangkan kesan –kesan jeragat
dan bintik hitam pada kulit akibat terdedah pada cahaya matahari. Vitamin C
juga amat penting dalam pemulihan luka, melecur dan ulser yang kronik.
Pengambilan vitamin C melalui sumber makanan yang kaya dengan vitamin C
seperti buah-buahan (oren, jambu batu, kiwi, mangga, epal) dan sayur-sayuran
(sawi, bayam, kangkung, cili) adalah amat penting dan patut diamalkan setiap
hari. Pengambilan suplemen tambahan juga boleh diamalkan dengan dos sehingga
1000mg sehari untuk mendapat kesan yang terbaik mencegah penuaan kulit dan pelbagai
jenis penyakit yang lain. Sehingga hari ini kajian mendapati tiada kesan
sampingan yang merbahaya dengan pengambilan vitamin C setiap hari kerana sifat
vitamin ini yang larut air menyebabkan ianya mudah disingkirkan dari tubuh jika
berlaku lebihan.
Pengambilan makanan yang kaya dengan anti oksidan juga membantu
mengurangkan masalah kedutan dan garis halus kulit. Anti oksidan membantu
melindungi kulit dari kerosakan akibat radikal bebas dari sinaran ultra ungu
(UV) matahari.Selain daripada cahaya matahari, pencemaran seperti asap kenderaan dan asap
rokok akan meningkatkan tekanan oksidatif kepada kulit yang menyebabkan masalah
kedutan kulit dan garis halus serta masalah jeragat.
Oleh kerana itu amat penting juga kita mengambil banyak buah-buahan yang
kaya dengan anti oksidan untuk menjaga kesihatan kulit. Kita juga boleh
mengambil pelbagai jenis produk anti oksidan yang berada di pasaran yang juga
boleh membantu kita mendapatkan bekalan anti oksidan harian kita. Kerana itu
terdapat banyak produk dan krim kecantikan menggunakan bahan-bahan anti oksidan
seperti vitamin C, vitamin A, vitamin E, piknogenol, teh hijau, resveratrol, anthosianidin
dan fitonutrien.
Minum air secukupnya adalah satu faktor yang amat penting. Apabila semakin
meningkat usia manusia akan semakin kekurangan air didalam badan. Disamping
itu, semakin umur meningkat sesetengah dari kita amat kurang minum air kerana
tidak suka untuk buang air kecil selalu. Bagi pekerja pejabat yang duduk
didalam pejabat yang berhawa dingin, kehilangan air juga adalah ketara kerana
dalam kawasan berhawa dingin kelembapan adalah rendah menyebabkan kulit menjadi
lebih mudah kering. Suasana yang sejuk dalam bilik berhawa dingin juga
menyebabkan seseorang semakin kurang minum air. Kesannya adalah kulit
kehilangan kelembapan dan lebih mudah menjadi berkedut serta bergaris halus
yang lebih nyata. Minumlah air mineral
yang akan membantu kesegaran kulit dan elakkan pengambilan air bersoda dan
bergas. Kurangkan pengambilan kopi dan teh berlebihan yang menyebabkan masalah
dehidrasi dan kulit kering.
Pengambilan makanan yang kaya dengan omega 3 juga boleh membantu
mengurangkan masalah kedutan kulit. Omega 3 akan menyeimbangkan asid lemak
dalam tubuh dengan omega 6 dan omega 9. Lemak yang tidak seimbang menyebabkan
kehilangan lemak dibawah kulit dan menyebabkan masalah kulit berkedut.
Pengambilan suplemen omega 3 juga boleh membantu jika kita kurang makan ikan
dan sumber asli omega 3 yang lain.
Jika anda mengalami masalah penuaan kulit pra matang ini maka berjumpalah
doktor yang mahir dan pakar dalam bahagian ini yang boleh memberikan rawatan
dengan memberikan krim-krim tertentu, suplemen dan juga rawatan untuk
menghilangkan kesan penuaan kulit dengan pelbagai kaedah seperti rawatan facial, peeling, microdermabrasion dan
laser.
Amalkan pemakanan sihat, suplemen dan anti oksidan yang secukupnya dan perlindungan dari cahaya
matahari disamping minum air yang cukup setiap hari boleh membantu mengurangkan
kesan penuaan kulit pra matang dan kedutan pada kulit terutama pada wajah
seseorang, Insyaallah.
DR NORMAN MOHD NORAWI
(MBBS, MScAARMMA, FAGE)
Konsultan,
KLINIK EUZELLE
No comments:
Post a Comment