Kita selalu mendengar tentang sel stem tetapi ramai yang keliru tentang fakta yang sebenarnya. Pelbagai produk membuat dakwaan bahawa produk mereka mempunyai sel stem sedangkan hakikatnya ia tidak mengandungi walaupun satu sel didalamnya.
Sel stem adalah sel induk atau sel asas yang mempunyai kelebihan menjadi sel-sel lain dalam tubuh manusia. Oleh itu ia berpotensi untuk membantu pemulihan sel-sel yang telah mati, rosak atau berpenyakit. Terdapat dua jenis sel stem iaitu sel stem embrionik (embryonic stem cells) dan sel stem dewasa (adult stem cells). Sel stem dewasa juga dipanggil sebagai sel stem mesenchymal (MSC). Sel stem embrionik adalah lebih berpotensi untuk menjadi semua jenis sel dalam tubuh manusia kerana ia bersifat pluripoten.Sel stem embrionik mencetuskan kontroversi dan isu etika kemanusiaan kerana ianya diambil dari sel janin awal (zygote) yang akan mati selepas diambil sel-sel ini. Oleh kerana itu sel stem embrionik tidak lagi diamalkan dan digunakan secara meluas dalam kajian.
Perlu kita fahami bahawa sel stem ini adalah amat mudah rosak dan mati jika terdedah kepada suhu yang tinggi dan juga ia perlu diletakkan dalam cecair yang lengkap dengan segala nutrisi yang diperlukan. Oleh itu adalah mustahil jika mana-mana produk boleh mengatakan produk mereka mempunyai sel stem kerana sel stem tidak boleh diletakkan didalam krim atau serum.
Sebelum ini terdapat beberapa prosedur rawatan di hospital menggunakan asas konsep sel stem seperti pemindahan sum-sum tulang dalam rawatan kanser darah ( leukimia), lain-lain penyakit darah dan sebagainya tanpa disedari oleh doktor. Baru sekarang, saintis mula memahami bahawa sum-sum tulang mempunyai kandungan sel stem yang amat tinggi yang membantu dalam rawatan tersebut. Hakikatnya pemindahan sum-sum tulang adalah satu bentuk rawatan dengan sel stem yang telah bertahun-tahun dilakukan dihospital-hospital seluruh dunia.
Perlu diingatkan bahawa semua kajian tentang sel stem masih lagi baru dan dalam proses untuk diterima sepenuhnya dalam bidang perubatan. Sel stem mempunyai potensi untuk merevolusi bidang perubatan daripada merawat hanya simptom dan gejala penyakit kepada memulihkan dan restorasi kesihatan yang lebih menyeluruh, kepulihan kecederaan , penyakit degeneratif dan penuaan. Malangnya akibat halangan perkembangannya pada tahun 2001 menyebabkan kajian tentang sel stem sebagai satu bentuk rawatan atau terapi menjadi terlambat dan tertangguh hingga kini.
Sementara semua kajian sel stem ini telah benar-benar mantap dan kajian mengenainya telah lengkap maka kita perlu berhati-hati dengan pelbagai pihak yang mengaku mereka menggunakan rawatan dengan ‘stem sel’ yang sebenarnya tidak tepat atau sekadar memperdaya pengguna produk mereka. Ini mungkin kerana sehingga kini tiada undang-undang khusus yang menghalang mana-mana pengeluar produk dari menggunakan istilah ‘stem sel’ dalam produk mereka.
Semoga suatu hari istilah rawatan sel stem yang sebenar akan menjadi suatu yang sinonim dengan dunia perubatan moden, Insyaallah.
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, FAGE, MScAAARM
1 comment:
aslmkm dr norman, & thnks untuk info manfaat ini.oleh kerana stem sel ini mudah rosak
dan akan mati kalau terdedah pada suhu tinggi, perlu di letak dalam cecair yg lengkap dengan nutrisi, jadi sel stem ini tak blh letak dlm serum atau krim. Bagaimana pulak satu produk yang saya jumpa tu dia berbentuk serbuk, dalam paket yang tertutup. ia adalah stem sel tumbuhan, iaitu dari epal Malus Domestica, hasil kajian saintis dari Mibelle Biochemist yang boleh manfaat pada kulit. Doktor pernah denga tak info ni?
apakah pendapat doktor mengenai ketulenan produk ni? cara guna ia pulak di jadikan jus minuman(dicampurkan dlm air kosong) atau di letakkan dibawah lidah. saya nak tahu & untuk berhati2 supaya tidak membeli produk yang merugikan. mohon penjelasan doktor..
Post a Comment