Jerebu melanda semula negara kita dengan teruk pada tahun ini sehinggakan Muar dan Ledang diistiharkan sebagai kawasan darurat kerana nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 750. Sehingga hari ini asap jerebu ini telah merebak ke Lembah Kelang dan Port Dickson, Negeri Sembilan. Pantai Timur Semenanjung dan Utara Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak juga menghadapi masalah jerebu ini.
Ini adalah suatu keadaan yang amat membimbangkan kerana ia menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia walaupun puncanya dari negara seberang. Kita semua tahu bahawa jerebu ini adalah hasil dari perbuatan segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang membakar kawasan hutan dan ladang yang menyebabkan kebakaran yang tidak dapat dikawal. Apabila jerebu melanda semua lapisan masyarakat akan mendapat kesannya.
Didalam Al Quran, bala asap atau jerebu ini dipanggil sebagai Ad-Dukhan. Bencana ini adalah kerana perbuatan manusia sendiri, sebagaimana yang dinyatakan dalam Al Quran dalam Surah Ar Rum ayat 41:
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Kita sebagai umat Islam patut mengambil iktibar dan pengajaran dari kejadian ini samada ianya sebagai satu bala atau cubaan dari Allah. Sama-sama lah kita berdoa supaya Allah menurunkan hujan untuk mengurangkan masalah jerebu ini kerana sesungguhnya hujan itu adalah rahmat dari Allah. Seruan kerajaan agar semua masjid dan surau mengadakan solat istisqa’ patut kita jayakan bersama-sama demi kesejahteraan negara kita yang dicintai ini.
Dari perspektif perubatan pelbagai jenis penyakit akan timbul akibat bencana jerebu ini terutama penyakit berkaitan saluran pernafasan, kulit dan alahan. Ini adalah kerana asap jerebu mengandungi pelbagai jenis bahan toksin yang menyebabkan irritasi kepada saluran pernafasan dan mata. Bukan itu sahaja, bagi pesakit yang sememang telah mengalami masalah paru-paru seperti pesakit asthma dan bronkitis akan menjadi lebih teruk. Kerana itulah laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia telah menunjukkan peningkatan sehingga 120 peratus insiden pesakit mendapat masalah penyakit saluran pernafasan yang datang ke klinik-klinik diseluruh Malaysia.
Bagi pesakit asthma, bronkitis, paru-paru berair, emfisima anda juga tidak digalakkan keluar rumah dan hadkan aktiviti diluar. Jika anda mendapat serangan asthma maka anda perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Bagi bayi dan anak-anak kecil, janganlah dibawa keluar rumah jika tiada keperluan yang mendesak. Tutup semua pintu dan tingkap dan jika boleh gunakan penyaman udara. Jika anda memandu kenderaan, pastikan anda menggunakan penghawa dingin dan jangan membuka tingkap semasa memandu. Jika anda perlu keluar dari rumah, maka gunakan topeng muka dan jika boleh gunakan topeng muka dari jenis N95 kerana ia lebih baik untuk menapis asap jerebu berbanding topeng muka biasa.
Kajian juga mendapati, perokok lebih mudah mendapat kesan buruk jerebu kepada kesihatan kerana paru-paru mereka lebih lemah. Bagi perokok, keadaan bencana jerebu ini boleh dijadikan satu iktibar dan pengajaran. Jika anda merasa lemas dengan asap jerebu ini, cuba bayangkan orang-orang disekeliling anda yang selama ini juga lemas dengan asap rokok anda setiap hari. Agak ironi bagi perokok yang menggunakan topeng muka kerana takutkan jerebu, tetapi dalam masa yang sama menghisap rokok dengan selamba tanpa rasa takut dengan asap rokok yang mereka hisap setiap hari. Saranan saya, perokok agar mula berfikir dan buatlah keputusan untuk berhenti merokok sekarang. Menjelang Ramadhan ini, maka teruskanlah usaha untuk berhenti merokok ini demi kesihatan dan iman.
Terdapat juga kajian mendapati jerebu ini mempunyai kesan jangkamasa panjang kepada kesihatan masyarakat jika jerebu ini selalu berulang setiap tahun seperti peningkatan serangan jantung, jangkitan paru-paru, kencing manis, kronik stres, sinusitis kronik (resdung), kelahiran pra matang, keguguran, kelahiran bayi kurang berat, kecacatan bayi baru lahir, kronik asthma dan sebagainya. Kesan jangka masa panjang jerebu ini adalah seperti kesan merokok kepada kesihatan. Oleh itu, kita benar-benar berharap semoga kejadian bencana jerebu yang serius seperti ini tidak akan berulang setiap tahun dan akan merosakkan kesihatan masyarakat kita semua. Usaha-usaha proaktif perlu di gembleng dan dibuat secara serius merentas sempadan negara dalam menangani masalah ini demi kesejahteraan dan kesihatan masyarakat kita semuanya. Insyaallah.
Wassalam
Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, FAGE, MScAAARM)
No comments:
Post a Comment