Dalam zaman moden ini penyakit jantung adalah satu penyakit yang sering dikaitkan dengan masalah kolesterol yang tinggi. Selalunya doktor akan menasihatkan kita untuk mengambil makanan berkolesterol rendah untuk menurunkan paras kolesterol. Oleh kerana itu masyarakat kita menjadi takut dengan makanan berkolesterol dan tanpa rasa takut kita banyak makan makanan berkarbohidrat seperti gula, nasi, roti putih , mee, meehoon, pasta, kek, kuih-muih dan sebagainya. Masyarakat kita juga menjadi diantara pengguna gula yang paling ramai didunia sekarang. Tidak hairanlah ramai akan merungut apabila harga gula dinaikkan.
Kajian sains terbaru menunjukkan bahawa punca utama berlaku masalah kolesterol tinggi dan meningkatnya masalah penyakit jantung sekarang adalah berpunca dari pengambilan gula (karbohidrat) yang berlebihan. Ia agak berlainan dari jangkaan kita sebelum ini kerana kita susah untuk mengaitkan gula dengan kolesterol.
Di Malaysia , secara puratanya penggunaan gula adalah sehingga 30 sudu sehari yang melebihi cadangan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu kurang dari 10 sudu gula sehari. Disamping itu pengambilan karbohidrat lain yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi seperti nasi, roti putih, makanan berasaskan tepung gandum adalah amat tinggi. Gula industri iaitu Maltodextrin atau High Fructose Corn Syrup (HFCS) yang banyak digunakan dalam industri makanan dan minuman seperti minuman berkarbonat, kordial, makanan segera, gula-gula, coklat dan sebagainya juga adalah jenis gula yang merbahaya untuk kesihatan. Secara khususnya, pengambilan gula berlebihan adalah lebih membimbangkan kerana kurang kesedaran masyarakat tentang bahaya gula dan kaitannya dengan masalah kolesterol berlebihan.
Bagaimana gula menyebabkan masalah kolesterol?
Di USA, National Health and Nutrition Examination Survey (NHANES) membuat satu kajian dari tahun 1999 hingga 2006 yang di laporkan dalam Jurnal Perubatan Persatuan Perubatan Amerika (JAMA) pada tahun 2010 mendapati pengambilan gula yang tinggi adalah punca kepada masalah kolesterol dan sakit jatung koronari. Dalam kajian ini mendapati pengambilan gula yang tinggi menyebabkan peningkatan paras trigliseride dan kolesterol ‘jahat’ LDL serta menurunkan paras kolesterol baik HDL. Kajian menunjukkan paras trigliseride dan LDL yang tinggi dengan paras HDL yang rendah adalah faktor risiko kepada masalah penyakit jantung.
Menurut ahli sains , pengambilan gula yang tinggi akan menyebabkan peningkatan paras hormon insulin dalam darah. Hormon insulin yang tinggi akan meningkatkan aktiviti enzim HMG Coa Reductase yang menghasilkan kolesterol yang berlebihan.
Persatuan Jantung Amerika (AHA) dalam satu laporannya menyatakan , kolesterol yang kita makan hanya menyumbang kepada 25% dari jumlah kolesterol dalam tubuh kita manakala organ hati menghasilkan 75% dari jumlah kolesterol untuk keperluan tubuh manusia. Didalam hati kita , enzim yang menghasilkan kolesterol adalah HMG CoA Reductase. Apabila enzim ini aktif kerana ransangan oleh hormon insulin, maka penghasilan kolesterol adalah tinggi. Ubat anti kolesterol jenis ‘statin’ pula adalah ubat yang menghalang aktiviti enzim HMg CoA reductase ini. Jika kita hanya bergantung kepada ubat ini untuk menurunkan kolesterol maka kita akan terdedah kepada kesan sampingannya dan pengambilan gula yang berlebihan akan ‘melawan’ kesan ubat ini. Oleh itu cara terbaik adalah dengan mengurangkan pengambilan gula setiap hari untuk menurunkan paras kolesterol.
Masyarakat di Malaysia seharusnya diberikan kesedaran yang lebih menyeluruh dengan cara yang lebih agresif di media-media massa tentang bahaya gula dan pengambilan karbohidrat yang berlebihan. Cadangan WHO yang menyarankan pengambilan gula kurang dari 10 sudu sehari patut diamalkan jika kita ingin mengurangkan masalah kolesterol dan mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung. Pengambilan lebih banyak makanan berserat tinggi, buah-buahan dan sayur-sayuran adalah cara pemakanan yang lebih sihat dan mampu mengurangkan masalah kolesterol berlebihan. Amat malang sekali pengambilan gula yang berlebihan ini telah menjadi satu budaya dalam masyarakat Malaysia hari ini yang amat susah untuk ditinggalkan. Kesedaran boleh ditingkatkan dengan kempen berterusan dan pendidikan yang lebih agresif tentang bahaya gula dalam semua peringkat lapisan mayarakat kita, InsyaAllah.
Wallahua’lam
Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, FAGE, MScAAARM)
No comments:
Post a Comment