Telah beberapa hari kita semua menyambut Ramadhan Al Mubarak dan bermulalah ibadah puasa untuk tahun ini. Semua umat Islam diwajibkan berpuasa dan sudah pastinya ibadah solat sunat Tarawikh akan kita semua laksanakan beramai-ramai. Kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadhan berdasarkan firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 183 :
“Hai orang-orang beriman, telah diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”.
Sebagai seorang Islam, kita semua pasti akan berpuasa kerana ianya adalah salah satu rukun Islam yang lima tetapi disebalik kewajipan berpuasa itu terdapat banyak hikmah-hikmah dari sudut kesihatan yang perlu juga kita fahami.
Kajian sains telah menunjukkan dengan berpuasa mempunyai banyak faedah kesihatan. Puasa memberikan kesan positif kepada kesihatan psikoloji dan fizikal. Puasa bertindak sebagai ubat kepada masalah berat badan berlebihan, penghadaman tidak sempurna, stres dan masalah kolesterol berlebihan. Pemerhatian oleh pakar jantung di UAE mendapati semasa bulan Ramadhan, paras kolesterol dalam darah menjadi lebih baik dengan peningkatan paras HDL dan penurunan paras LDL. Ini memberikan kesan positif kepada kesihatan jantung. Pengurangan pengambilan kalori semasa berpuasa juga membantu menurunkan berat badan. Bagi pesakit kencing manis, semasa berpuasa didapati kawalan gula adalah lebih baik dan mudah diturunkan.
Berpuasa akan meningkatkan fungsi hati dan proses detoksifikasi tubuh kita. Sel-sel tubuh dan organ dalaman kita dapat dibersihkan dari pelbagai toksin yang diserap sepanjang tahun. Berpuasa juga meningkatkan sensitiviti insulin kepada sel-sel tubuh dan ia membantu menyeimbangkan sistem metabolisme tubuh dengan mengawal paras gula dengan lebih baik terutama kepada pesakit kencing manis. Dengan mengawal pemakanan dalam bulan Ramadhan, sel-sel lemak yang terkumpul akan dibakar dan tubuh akan menjadi lebih kurus dan bertenaga. Oleh itu amat perlu kita tidak makan secara berlebih-lebihan pada waktu malam sepanjang Ramadhan ini.
Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah dan bukannya bulan pesta makanan. Bulan Ramadhan juga adalah bulan latihan dan kawalan diri dari sudut makan, minum, hubungan seksual dan kehendak-kehendak lain. Ia akan membantu membentuk disiplin diri yang baik jika dilakukan dengan sempurna. Makanan semasa berbuka perlu dikawal jumlahnya dan jenisnya. Jangan terlalu berat semasa berbuka puasa. Berbukalah sebagaimana yang di suruh oleh Rasulullah iaitu dengan makan buah kurma/tamar atau buah-buahan yang manis dahulu. Selepas solat maghrib dan barulah makan makanan yang agak berat dan utamakan makan sayur-sayuran serta minumlah air secukupnya. Minumlah air mineral atau air kosong dan janganlah amalkan minum air manis dan juga air berkarbonat semasa berbuka puasa. Air manis berkalori tinggi dan mempunyai gula yang banyak yang akan menyebabkan masalah kesihatan dikemudian hari.
“Sahurlah kalian kerana dalam sahur terdapat barakah”.
Di bulan Ramadhan juga adalah bulan yang sangat baik bagi perokok berhenti dari tabiat merokok yang merosakkan kesihatan. Jika seseorang boleh bertahan tidak merokok semasa berpuasa teruskanlah tidak merokok sepanjang malam. Tumpukan perhatian kita kepada ibadah serta dapatkanlah kelebihan bulan Ramadhan semaksimum yang mungkin dan lupakanlah rokok. Sia-sialah jika kita berpuasa sepanjang hari tetapi berbuka dengan rokok yang tidak putus-putus kita hisap hingga mengganggu orang lain untuk beribadah di masjid dan surau.
Dengan memfokuskan kepada ibadah dan juga memperbanyakkan membaca Al Quran maka kadar stres dan tekanan akan menurun. Stres yang tinggi dan tidak terkawal adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kemurungan dan sebagainya. Dengan datangnya Ramadhan ini, seharusnya kadar stres kita akan menurun dan memberikan impak positif kepada kesihatan kita secara umumnya.
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, FAGE, MScAAARM
No comments:
Post a Comment