KELEBIHAN KESIHATAN DENGAN
BERPUASA
Kita akan
menyambut Ramadhan Al Mubarak tidak berapa lama lagi, Insyaallah. Ibadah puasa yang merupakan rukun Islam ketiga adalah suatu
kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh semua umat Islam kecuali atas beberapa pengecualian
yang tertentu. Puasa kita laksanakan untuk mendapat taqwa kepada Allah.
Kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadhan berdasarkan firman Allah dalam surah Al
Baqarah, ayat 183 :
“Hai orang-orang beriman,
telah diwajibkan atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu menjadi
orang-orang yang bertaqwa.”.
Puasa mempunyai
banyak hikmah disudut kesihatan yang perlu kita fahami dan kita yakini kerana
syariat Allah adalah suatu yang membawa kebaikan kepada manusia seluruhnya.
Kajian sains telah
menunjukkan dengan berpuasa mempunyai banyak faedah kesihatan. Puasa memberikan
kesan positif kepada kesihatan psikologi dan fizikal. Puasa yang betul akan
membantu kita menurunkan berat badan. Puasa juga membantu sistem pencernaan
untuk penghadaman lebih sempurna dengan
memberi kerehatan kepada sistem pencernaan semasa kita berpuasa. Kajian juga
mendapati puasa boleh membantu mengawal tekanan atau stress yang tinggi dengan
memberi ketenangan psikologi dan bersabar. Dengan memfokuskan kepada ibadah dan
juga memperbanyakkan membaca Al Quran maka kadar stres dan tekanan akan
menurun. Stres yang tinggi dan tidak terkawal adalah punca kepada pelbagai
jenis penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kemurungan
dan sebagainya. Dengan datangnya Ramadhan ini, seharusnya kadar stres kita akan
menurun dan memberikan impak positif kepada kesihatan kita secara umumnya.
Berpuasa juga
didapati boleh membantu mengawal masalah kolesterol berlebihan. Kajian oleh pakar jantung di Timur
Tengah mendapati semasa bulan Ramadhan, paras kolesterol dalam darah menjadi
lebih baik dengan peningkatan paras kolesterol baik HDL dan penurunan paras
kolesterol LDL. Ini memberikan kesan positif kepada kesihatan jantung.
Pesakit diabetis
akan mendapat kelebihan dengan paras glukosa darah yang lebih terkawal dengan
berpuasa.Pesakit diabetis perlu berjumpa dengan doktor dan mendapatkan nasihat
yang tepat bagaimana untuk mengubah jadual penggunaan ubat mereka semasa bulan
Ramadhan untuk mengelakkan masalah kekurangan glukosa dalam darah yang drastik
iaitu ‘hypoglycemia’ . Berpuasa juga
meningkatkan sensitiviti insulin kepada sel-sel tubuh dan ia membantu
menyeimbangkan sistem metabolisme tubuh dengan mengawal paras gula dengan lebih
baik untuk pesakit diabetis jenis 2.
Pada tahun 1994,
Persidangan Antarabangsa kali pertama
untuk Kesihatan dan Ramadhan di Casablanca, Maghribi yang telah membentangkan
50 kertas kajian oleh pakar-pakar dari seluruh dunia tentang kelebihan berpuasa
kepada kesihatan.Pelbagai kajian telah membuktikan bahawa berpuasa amat baik
untuk kesihatan dan kesejahteraan umum tubuh manusia dan juga didapati tiada
satu pun kajian menunjukkan kesan buruk berpuasa kepada kesihatan. Walaubagaimanapun , pesakit yang mengidap
penyakit kronik yang teruk seperti sakit jantung, kegagalan buah pinggang,
strok dan sebagainya dinasihatkan tidak berpuasa.
Berpuasa akan
meningkatkan fungsi hati dan proses detoksifikasi tubuh kita. Sel-sel tubuh dan
organ dalaman kita dapat dibersihkan dari pelbagai toksin yang diserap
sepanjang tahun. Dengan mengawal pemakanan dalam bulan Ramadhan, sel-sel lemak
yang terkumpul akan dibakar dan tubuh akan menjadi lebih kurus dan bertenaga.
Oleh itu amat perlu kita tidak makan secara berlebih-lebihan pada waktu malam
sepanjang Ramadhan ini.
Dalam satu kajian
terbaru yang dibuat di University of Southern California menunjukkan berpuasa
selama beberapa jam sehari akan meningkatkan sistem imuniti tubuh manusia
dengan penghasilan sel-sel darah putih yang baharu daripada sel-sel ‘stem
hemopoietic’. Oleh itu ia akan membantu meningkatkan imuniti tubuh manusia
terutama pesakit yang mengalamii masalah sistem imuniti yang rendah.
Bulan Ramadhan
adalah bulan ibadah dan bukannya bulan pesta makanan. Bulan Ramadhan juga
adalah bulan latihan dan kawalan diri dari sudut makan, minum, hubungan seksual
dan kehendak-kehendak lain. Ia akan membantu membentuk disiplin diri yang baik
jika dilakukan dengan sempurna.
Makanan semasa
berbuka perlu dikawal jumlahnya dan jenisnya. Jangan terlalu berat semasa
berbuka puasa. Berbukalah sebagaimana yang di suruh oleh Rasulullah iaitu
dengan makan buah kurma/tamar atau buah-buahan yang manis dahulu. Selepas solat
maghrib dan barulah makan makanan yang agak berat dan utamakan makan sayur-sayuran serta minumlah air secukupnya. Minumlah air
mineral atau air kosong dan janganlah amalkan minum air manis dan juga air
berkarbonat semasa berbuka puasa. Air manis berkalori tinggi dan mempunyai gula
yang banyak yang akan menyebabkan masalah kesihatan dikemudian hari.
Ambillah peluang
di bulan Ramadhan ini untuk menjaga makanan yang kita makan dan bukannya kita
makan sebanyak-banyaknya semasa berbuka hingga tersandar kekenyangan dan malas
untuk bersolat. Budaya kita di Malaysia dengan pasar Ramadhan dimana-mana
menyumbang kepada masalah makan berlebih-lebihan semasa berbuka. Ini adalah
kerana kita akan membeli makanan di pasar Ramadhan semasa perut sedang lapar
dan kita cenderung untuk membeli makanan secara berlebih-lebihan. Apabila
berbuka kita selalunya tidak habis dan akan membazir makanan. Budaya ini perlu
kita kawal dengan masak sendiri dirumah. Berhemah dan berkira-kira semasa
membeli makanan dipasar Ramadhan dan janganlah membazir. Sepatutnya berat badan
kita akan menurun semasa bulan Ramadhan tetapi malangnya ramai yang mengalami
masalah berat badan bertambah.
Rahsia kesihatan
dalam puasa Ramadhan adalah bersahur. Bersahur juga membezakan puasa orang
Islam dengan puasa agama lain. Dengan bersahur sempurna ia akan membekalkan
tenaga yang secukupnya untuk kita berpuasa hingga matahari terbenam. Jangan
tinggalkan bersahur kerana jika kita tidak bersahur kita akan terlalu letih dan
cenderung untuk makan berlebih-lebihan semasa berbuka. Makanlah makanan yang
sihat dan berserat tinggi semasa
bersahur. Lebihkan buah-buahan, sayur-sayuran serta lauk-lauk berprotin tinggi
semasa bersahur. Sahur juga adalah suatu tuntutan yang amat-amat digalakkan
hingga ada ulama berpendapat ianya hampir wajib.
Di bulan Ramadhan
juga adalah bulan yang sangat baik bagi perokok berhenti dari tabiat merokok
yang merosakkan kesihatan. Jika seseorang boleh bertahan tidak merokok semasa
berpuasa teruskanlah tidak merokok sepanjang malam. Tumpukan perhatian kita
kepada ibadah serta dapatkanlah kelebihan bulan Ramadhan semaksimum yang
mungkin dan lupakanlah rokok. Sia-sialah jika kita berpuasa sepanjang hari
tetapi berbuka dengan rokok yang tidak putus-putus kita hisap hingga mengganggu
orang lain untuk beribadah di masjid dan surau.
Ambillah peluang
dengan kedatangan Ramadhan ini kita menumpukan kepada ibadah dan secara tidak
lansung kita mendapat kesihatan yang
baik dengan berpuasa. InsyaAllah.
Dr Norman Mohd
Norawi
MBBS, MScAARMMA
(UCSI), FAGE
3 comments:
Asslmkm doktor,bagaimana caranya utk memulihkan multi dibahagian dada Dan bahu yg ada keloid walaupun saya pernah mengambil suntikan steroid sebanyak 4 Kali?
Multi x =Kulit /
Grateful foor sharing this
Post a Comment