Monday, June 1, 2015

FAKTA SAINTIFIK UNTUK KULIT MENAWAN







KELEBIHAN VITAMIN E KEPADA KECANTIKAN DAN KEREMAJAAN KULIT

Oleh:
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE

Masyarakat kita sekarang terutamanya kaum wanita telah menjadi satu obsesi untuk mendapatkan kulit yang tegang, cerah dan berseri. Dengan gaya hidup moden yang terdedah kepada makanan proses, pencemaran dan cahaya terik mentari menyebabkan kulit wajah dan kawasan yang terdedah menjadi berkedut, berjeragat dan kusam. Oleh kerana itu terdapat permintaan yang tinggi untuk pelbagai produk penjagaan kulit untuk mengatasi masalah ini.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini berlakunya kemajuan yang pesat dalam bidang nutraseutikal dengan pelbagai produk yang mendakwa memberikan pelbagai faedah dan kelebihan kepada kecantikan dan kesihatan kulit. Kadangkala ianya menjadi dakwaan yang berlebihan tanpa fakta sains serta kajian yang kukuh dan berwibawa.
Vitamin E yang terdiri daripada dua jenis yang utama iaitu tokoferol dan tokotrinol mempunyai kelebihan yang amat baik untuk menjaga kecantikan kulit berdasarkan fakta saintifik. Sumber utama vitamin E adalah daripada minyak kelapa sawit yang juga mengandungi bahan-bahan anti oksidan seperti beta karotin, squalin, karotenoid, fitosterol dan koenzim Q10.






Vitamin E terutamanya dari jenis tokotrinol adalah sangat popular kerana sifat anti oksidan yang sangat kuat melindungi kulit daripada kesan radikal bebas yang boleh menyebabkan masalah kulit berjeragat, berkedut dan kusam serta tidak bermaya.
Kajian terbaru menunjukkan tokotrinol  mempunyai kekuatan anti oksidan sehingga 40 kali ganda lebih kuasanya  berbanding vitamin E dari jenis tokoferol. Tokotrinol adalah sangat kaya dalam minyak kelapa sawit dan ianya banyak digunakan dalam pelbagai jenis produk penjagaan kulit dan kosmetik diseluruh dunia.Tokotrinol telah dikategorikan sebagai GRAS status oleh US FDA dan boleh digunakan dalam produk-produk penjagaan kulit dan kosmetik. Tokotrinol mempunyai beberapa kelebihan sebagai bahan asas kepada produk kesihatan dan kecantikan kulit iaitu sebagai :

1.      Agen Anti Penuaan
Tokotrienol ini sangat halus zarahnya dan membolehkan ianya terus meresap dengan cepat ke dalam kulit dan berkumpul sehingga pada kedalaman lima mikron dan menjaga sel-sel kulit dari kerosakan akibat radikal bebas dari matahari dan persekitaran. Kulit yang disapu dengan tokotrienol didapati mempunyai kepekatan vitamin E tujuh hingga 30 kali ganda lebih tinggi berbanding kulit yang tidak dirawat. Dengan menggunakan produk yang mengandungi kandungan vitamin E tokotrienol yang tinggi dapat membantu kulit mendapat bekalan vitamin E secukupnya untuk menjaga kesihatan kulit dan mencegah penuaan kulit secara umumya.
Berdasarkan kajian saintifik, tokotrienol melindungi membran sel-sel kulit, enzim dalam sel-sel kulit dan DNA dalam sel-sel kulit. Kelebihannya kerana ia mampu menembusi dinding atau membran sel-sel kulit sehingga ke bahagian nukleus dan DNA.










Kulit berkedut adalah akibat sel-sel kulit terdedah kepada kesan sinar ultra ungu UVA & UVB secara berlebihan. Ia menyebabkan tekanan oksidatif yang menyebabkan penghasilan bahan berprotin yang panggil ‘collagenase’ yang menyebabkan pemecahan colagen dibawah kulit yang menyebabkan keanjalan kulit menjadi kendur dan berkedut. Dengan kuasa anti oksidan tokotrienol 60 kali ganda lebih tinggi daripada tokoferol maka kesan kerosakan akibat cahaya matahari ini akan terkawal. Oleh itu mencegah penuaan kulit lebih awal dan mengekalkan awet muda.Tokotrienol juga menggerakkan sel-sel yang menghasilkan kolagen yang dipanggil sebagai ‘fibroblast’. Oleh itu ia mempunyai peranan sebagai bahan yang penting untuk memperbaiki sel-sel kulit yang rosak dan juga merawat luka pada kulit dengan lebih baik.

2.      Agen Anti Kedutan
Kolagen jenis 1 adalah amat penting untuk menjaga keanjalan lapisan dermis kulit yang mengekalkan keremajaan kulit seseorang. Dalam proses penuaan kulit biasa, kolagen jenis 1 ini akan berkurangan dan bahan MMP (matrix metallo-proteinanses) yang menguraikan kolagen akan bertambah. Akhirnya ia menyebabkan terjadinya kedutan kulit. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh USM mendapati tokotrienol ini meningkatkan penghasilan bahan PICP (pro-collagen type 1-C peptide). Oleh itu ia akan meningkatkan penghasilan semula kolagen jenis 1 dan mampu mengurangkan masalah kedutan kulit akibat proses penuaan.



3.      Pelindungan Matahari
Tokotrinol adalah 40 hingga 60 kali lebih tinggi kuasa anti oksidannya berbanding vitamin E jenis tokoferol mencegah kerosakan akibat peroksidasi lipid (lemak). Tokotrinol akan berkumpul dibahagian paling atas kulit iaitu ‘stratum korneum’ dan ia bertindak sebagai pelindung pertama dari kerosakan radikal bebas daripada cahaya ultra ungu (UV) matahari yang menyebabkan  kulit menjadi berkedut dan mendapat masalah pigmentasi. Tokotrinol mempunyai nilai ‘Radical Skin Factor’ (RSF) sebanyak 4.15 , oleh itu ia mengurangkan dengan banyak jumlah radikal bebas dalam kulit akibat pendedahan kepada sinar UVA dan UVB cahaya matahari

4.      Pemutihan Kulit
Kajian sains yang dijalankan di Singapura yang telah dilaporkan dalam jurnal perubatan Pigment Cell & Melanoma Research telah menunjukkan bahawa tokotrinol ini mempunyai kesan memutihkan kulit dengan kuasanya yang lebih tinggi sehingga 150 kali ganda berbanding bahan seperti asid kojik, arbutin dan sodium lactate. Kajian tersebut mendapati tokotrinol mempunyai sifat menghalang aktiviti ‘enzim tirosinase’ yang menjadi punca kepada penghasilan bahan ‘melanin’ yang menjadi punca kepada kulit mendapat masalah pigmentasi. Secara khususnya tokotrinol dari isomer gamma dan delta yang mempunyai sifat ini. Kajian juga membuat kesimpulan bahawa tokotrinol boleh mencegah kanser kulit jenis melanoma.




5.      Mengurangkan parut
Dalam satu kajian terbaru yang dijalankan di Ohio State University mengkaji kesan tokotrinol mengurangkan parut akibat pembedahan. Hasil rumusan kajian ini mendapati tokotrinol mempunyai potensi besar untuk mengurangkan masalah parut hypertrofi dan keloid dengan cara mengawal kadar keradangan luka pembedahan tersebut. 
Kajian di universiti yang sama juga dibuat keatas luka akibat melecur. Apabila tokotrinol disapu pada luka melecur ini maka didapati parut yang terhasil akibat melecur ini lebih baik dan tidak mendapat masalah parut besar atau keloid.




6.      Kelembapan Kulit
Tokotrinol mengurangkan kehilangan air daripada kulit dan meningkatkan fungsi perlindungan kulit. Menurut kajian, tokotrinol jika dicampurkan dengan bahan lain seperti lendir aloe vera boleh meningkatkan kelembapan kulit dan mengekalkan keanjalannya. Dengan mengekalkan hidrasi atau kelembapan kulit, maka tekstur kulit secara amnya juga akan bertambah baik.



Mengamalkan penggunaan produk-produk asli dengan kajian sains yang kukuh akan membantu kita mendapatkan hasil yang lebih baik untuk kesihatan dan kecantikan kulit untuk jangkamasa panjang. Insyaallah







Copyright© Dr Norman 2015







1 comment:

aQiL QilLaH said...

doc..klu sy gunakan minyak drpd biji kelapa sawit secara terus blh ke?? adakah merbahaya