Tuesday, May 19, 2015

Kaitan Garam dengan Darah Tinggi @ Hypertensi








BAHAYA PENGAMBILAN GARAM BERLEBIHAN

Garam adalah salah satu bahan yang sangat biasa digunakan dalam masakan seharian kita. Pengambilan garam amat penting kepada kesihatan jika diambil dalam jumlah yang berpatutan. Tanpa garam suatu hidangan akan menjadi tidak enak dimakan dan tawar serta tidak menyelerakan. Garam telah digunakan oleh manusia sejak zaman dahulu terutamanya untuk mengawet makanan. Garam biasa dalam bentuk hablur atau kristal halus.


Garam diletakkan dalam makanan dalam bentuk yang nyata dan juga dalam bentuk tersembunyi. Kebanyakan makanan proses mengandungi jumlah kandungan garam yang tinggi. Kebanyakan orang ramai tidak sedar yang mereka telah memakan garam secara berlebihan. Ini adalah kerana kira-kira 75% daripada garam dalam diet seharian datangnya dari makanan terproses. Di samping itu makanan seperti roti, bijirin serta makanan manis juga mengandungi garam walaupun tidak berasa masin dan ini juga menjadi salah satu faktor mempengaruhi kesukaran seseorang mengurangkan pengambilan garam yang sudah sedia ada pada sesuatu makanan .




Garam biasa juga dikenali sebagai sodium klorida yang berasal dari laut dan lombong garam. Selain daripada garam biasa, sumber sodium dalam makanan atau minuman proses juga akan dilabel dengan nama seperti sodium benzoate, sodium nitrat, sodium bikarbonat dan monosodium glutamat (MSG). Garam biasanya mengandungi tidak kurang dari 95% natrium klorida (NaCl) dengan kandungan  sodium (Natrium ) sebanyak 40%. 




Garam biasanya dikaitkan dengan masalah tekanan darah tinggi. Kajian sains menunjukkan dengan mengurangkan pengambilan garam, tekanan darah seseorang individu boleh dikurangkan dan dikawal dengan lebih baik. Sebagai contoh, pengurangan garam secara sederhana dalam tempoh empat minggu atau lebih boleh mengurangkan tekanan darah dengan nyata di kalangan individu dewasa yang mempunyai tekanan darah yang normal atau tinggi.


Berdasarkan kajian meta analisis yang dilaporkan dalam British Medical Journal (BMJ) pada tahun 2009 menunjukkan, pengurangan pengambilan garam dalam sehari boleh mengurangkan paras tekanan darah, dan secara tidak langsung dapat mengurang risiko penyakit jantung, serangan jantung dan strok.
Berdasarkan kajian oleh Scientific Advisory Committee on Nutrition pada tahun 2003 terdapat bukti saintifik terkini menunjukkan bahawa pengambilan garam yang tinggi di kalangan kanak-kanak juga mempengaruhi tekanan darah dan risiko beberapa penyakit seperti osteoporosis, penyakit asma, kanser dan obesiti. 


Kajian yang dilakukan di Malaysia menunjukkan pengambilan garam adalah tinggi iaitu 8.7gram sehari berbanding saranan WHO iaitu kurang dari 5 gram sehari. Garam biasanya diambil dalam jumlah yang tinggi apabila seseorang mengambil makanan proses seperti makanan tin, kicap, sos, ikan masin, ikan bilis, bebola ikan, bebola daging, bebola udang, makanan sejuk beku, daging proses seperti berger, nugget dan sosej, jajan, kerepek dan keropok.


Seseorang yang mempunyai paras sodium (natrium) yang tinggi di dalam darah adalah berisiko untuk menghidap penyakit hipertensi atau darah tinggi, dan seterusnya berisiko mendapat serangan sakit jantung dan strok. Berdasarkan Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011, dianggarkan 32.7% atau 5.8 juta orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas di Malaysia menghidap hipertensi. Manakala Kajian Beban Penyakit (Burden of Disease Study) di Malaysia  pada tahun 2014 menunjukkan bahawa penyakit yang menjadi penyumbang utama kepada kematian rakyat Malaysia adalah penyakit hipertensi atau tekanan darah tinggi.


Penyakit hipertensi ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi jangkamasa panjang seperti penyakit strok, sakit jantung koronari, kegagalan jantung, kerosakan buah pinggang dan kerosakan mata. Masalah utama dalam penyakit hipertensi ini adalah ia tidak mempunyai sebarang tanda-tanda yang nyata pada peringkat permulaannya. Oleh itu seseorang perlu kerap membuat pemeriksaan tekanan darah di klinik-klinik atau pusat-pusat kesihatan yang berdekatan. Jika seseorang tidak mengendahkan tekanan darahnya dan hanya mendapatkan rawatan setelah terkena komplikasi seperti serangan jantung atau strok maka ianya adalah sesuatu yang merugikan diri sendiri.


Terdapat juga ahli sains yang berpendapat bahawa bahaya garam kerana kandungan sodiumnya yang tinggi dan kerana itu makan buah-buahan secara kerap boleh membantu menurunkan tekanan darah kerana buah-buahan juga kaya dengan garam galian kalium atau potassium. Potassium ini akan men’seimbang’kan nisbah garam galian sodium dan potassium dalam tubuh dan mengelakkan masalah tekanan darah tinggi atau hypertensi ini.
Pengambilan gula yang berlebihan dan karbohidrat terproses yang mengandungi karbohidrat halus (refine carbohydrate) juga adalah punca kepada masalah hypertensi. Ini adalah kerana ia menyebabkan saluran darah arteri menjadi keras atau atherosklerosis.
Terdapat kajian yang dijalan kan oleh National Institute of Health, USA pada tahun 1997 yang menunjukkan pengawalan darah tinggi boleh dilakukan dengan pemakananan yang betul. Kajian ini dipanggil  kaedah pemakanan ‘DASH’ yang bermaksud “Dietary Approach to Stop Hypertension” yang bermaksud  pendekatan pemakanan untuk mengawal darah tinggi.


Dengan kaedah DASH ini pengambilan makanan yang rendah lemak tepu (dari sumber haiwan) disamping itu makan makanan yang tinggi dengan  buah-buahan , sayur-sayuran dan makanan hasil tenusu yang rendah lemak. Hasil kajian ini mendapati tekanan darah dapat diturunkan dengan baik seakan-akan makan ubat darah tinggi. Hasilnya akan mula dilihat selepas dua minggu mengamalkan pemakanan dengan cara ini dan kesannya sehingga lapan minggu tanpa mengira jantina, kaum atau tekanan darah asal. Pemakanan dengan kaedah DASH ini memberikan serat yang tinggi, zat kalsium, magnesium dan potassium yang terbukti dengan kajian lain membantu menurunkan tekanan darah. Ia juga rendah dengan lemak tepu dan lemak ‘trans’. 


Secara umumnya dengan makan makanan asli dan bukan makanan proses akan membantu mengurangkan garam yang berlebihan dalam pemakanan seharian, oleh itu ia mampu mengawal tekanan darah dengan lebih baik. Insyaallah

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE



No comments: