Thursday, May 7, 2015

SENAMAN DAN PEMAKANAN PERLU SEIMBANG





SENAMAN TIDAK DAPAT MENGURANGKAN KESAN BURUK PEMAKANAN YANG TIDAK SIHAT

Senaman adalah suatu cara yang penting untuk menjaga kesihatan dengan baik. Senaman telah dibuktikan oleh kajian sains boleh menurunkan risiko mendapat penyakit kronik seperti penyakit jantung, strok, diabetis, darah tinggi, kanser dan sebagainya. Menurut kajian yang di laporkan oleh United Kingdom Academy of Medical Royal Colleges menunjukkan senaman selama 30 minit secara sederhana sebanyak lima kali seminggu boleh mengurangkan risiko penyakit kronik sebanyak 30%. Walaubagaimanapun, menurut laporan tersebut senaman 30 minit secara sederhana ini tidak banyak membantu dalam menurunkan berat badan. Ada sesetengah orang beranggapan apabila telah bersenam secukupnya, maka dia boleh makan sesuka hati dan sebanyak yang diinginkan. Hakikatnya, kajian sains menunjukkan bahawa senaman semata-mata tidak memadai untuk kesihatan yang baik.


Sejak 30 tahun kebelakangan ini masalah kegemukan atau obesiti semakin bertambah dan semakin membelengu masyarakat kita. Kajian menunjukkan aktiviti fizikal masyarakat kita sekarang tidak terlalu banyak berubah berbanding dengan masyarakat dahulu, tetapi faktor makanan yang tinggi kalori dan makanan proses merupakan penyumbang utama kepada masalah berat badan berlebihan. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh International Journal of Epidemiology pada tahun 2013, aktiviti fizikal tidak mempengaruhi risiko obesiti berbanding dengan pemakanan yang tidak sihat.


Epidemik obesiti sebenarnya adalah penanda kecil kepada masalah kesihatan yang lebih besar dikalangan masyarakat moden harini akibat pemakanan yang berlebihan dan salah faham tentang konsep pemakanan sihat. Ini adalah berdasarkan kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan The Lancet menunjukkan masalah kesihatan yang melanda masyarakat kita harini adalah berpunca dari pemakanan yang salah dan tidak sihat yang menyebabkan penyakit kronik lebih banyak daripada faktor kurang aktiviti fizikal, merokok dan minum alkohol.


Kajian yang dibuat oleh University of California melaporkan bahawa 40% daripada seseorang yang mempunyai berat badan yang normal mempunyai masalah sindrom metabolik yang mempunyai masalah seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit hati berlemak (non alcoholic fatty liver disease) dan penyakit kardiovaskular. Malangnya, fakta ini kurang mendapat perhatian daripada saintis, ahli kesihatan dan juga pembuat polisi walaupun terdapat kajian yang banyak yang membuktikannya. Ini menyebabkan kita hanya selalu  mendengar atau melihat promosi kesihatan yang menjuruskan untuk menjaga ‘berat badan’ sahaja melalui kiraan kalori dan banyak menyalahkan masalah obesiti kepada kurang senaman semata-mata. Senaman pula terlalu menekankan kepada kaedah ‘membakar kalori’. Makanan pula hanya dilihat dari aspek kalori semata-mata tanpa mempertimbangkan faktor dari aspek indeks glisemik, lemak trans, vitamin, mineral, anti oksidan dan sebagainya.




Menurut Dr Malhotra dari Academy of Medical Royal Colleges di United Kingdom industri makanan proses banyak memberikan persepsi yang salah dengan menyatakan bahawa punca masalah obesiti adalah kerana semata-mata kurangnya aktiviti fizikal dan jika seseorang makan kalori yang berlebihan ianya boleh di’bakar’ dengan bersenam sahaja. Industri minuman bergas dari jenama syarikat gergasi dunia yang terkenal membelanjakan sehingga 3 bilion USD setahun untuk pengiklanan yang mengaitkan minuman mereka dengan sukan dan mereka memberikan mesej bahawa minuman mereka walaupun tinggi kalori, ianya akan di’bakar’ dengan bersenam.
Hakikatnya minuman produk mereka sangat tinggi dengan gula dan memberikan kesan buruk kepada kesihatan pengguna.   Kajian yang dijalankan oleh saintis menunjukkan gula yang berlebihan akan menyebabkan lemak disimpan dengan lebih banyak dan meransangkan selera yang tinggi yang menyebabkan pengguna cenderung untuk makan secara berlebihan.


Kajian menunjukkan dengan setiap lebihan 150 kalori gula yang diambil iaitu bersamaan dengan satu tin minuman bergas akan menyebabkan peningkatan sehingga sebelas kali ganda berlakunya penyakit diabetis kepada penggunanya. Ia dibandingkan dengan jumlah kalori yang sama yang diambil dari sumber lema atau protin. Oleh itu dengan menyatakan bahawa semua kalori adalah sama adalah salah berdasarkan kajian ini. Kajian ini juga menunjukkan ianya tidak dipengaruhi oleh berat badan dan aktiviti fizikal seseorang.
Baru-baru ini terdapat kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Nutrition pada tahun 2014 yang merumuskan bahawa makanan berkarbohidrat perlu dihadkan sebagai satu langkah terbaik untuk mencegah sindrom metabolik, obesiti dan diabetis. Kajian ini juga memberi saranan supaya mengawal pengambilan karbohidrat adalah langkah mula terbaik untuk pesakit diabetis mengawal paras glukosa mereka dan ianya memberikan faedah kesihatan yang besar walaupun tanpa penurunan berat badan.


Pendapat yang menyatakan bahawa seseorang yang bersenam boleh makan karbohidrat sebanyak-banyaknya juga didapati tidak benar.Ini berdasarkan kajian yang dilaporkan dalam British Journal of Sports Medicine dalam tahun 2014 yang merumuskan makanan ahli sukan yang rendah karbohidrat dan tinggi lemak mampu membekalkan tenaga secukupnya semasa senaman yang berat. Jika di lihat dari aspek ini, jelaslah bahawa masyarakat biasa yang amat kurang bersenam lebih perlu untuk mengawal pengambilan karbohidrat yang berlebihan terutamanya gula dan karbohidrat bergisemik indeks tinggi dalam pemakanan seharian mereka.


Masyarakat perlu diberi kesedaran konsep yang betul tentang pemakanan dan senaman agar tidak terpedaya dengan konsep yang salah yang akan menyebabkan seseorang mengidap penyakit kronik walaupun mereka bersenam secara konsisten tetapi tidak makan secara yang tidak sihat. Pemakanan yang sihat dan betul amat penting untuk mengawal kadar penyakit diabetis dan masalah obesiti yang membelengu masyarakat Malaysia sekarang.

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MSc(UCSI), FAGE

No comments: