MASALAH
LEMAH SYAHWAT LELAKI
Semakin
seseorang lelaki meningkat usia masalah lemah syahwat menjadi satu isu yang
nyata dan amat lumrah. Ianya boleh berlaku kepada kedua-dua lelaki dan wanita
tetapi lebih ketara dikalangan kaum lelaki. Puncanya bukanlah semata-mata
kerana faktor umur seseorang. Ia nya berkait rapat dengan masalah kesihatan
dalaman secara umum serta gaya hidup yang tidak sihat.
Bagi
lelaki ianya akan menjejaskan keegoan dan sifat kelelakian dan selalunya lelaki
tidak akan mengakui masalah ini secara terbuka. Kebanyakan orang akan mengambil
kaedah rawatan secara herba atau tradisional kerana tidak mahu atau malu untuk
berbincang dengan doktor mereka.
Terdapat
pelbagai punca kepada masalah ini, diantaranya adalah penyakit diabetis, darah
tinggi, sakit jantung, paras hormon testosteron rendah, kegemukan, merokok dan
stress. Masalah saluran darah menjadi
keras atau atherosklerosis akan menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan
akan menganggu kelancaran perjalanan darah ke alat kelamin. Penurunan paras
hormon testosteron akan mengganggu dari aspek psikoloji dan mood. Manakala
kerosakan saraf akan menganggu ransangan kepada alat kelamin.
Diabetis
adalah penyakit yang menjadi punca kepada masalah lemah syahwat yang utama.
Kajian sains menunjukkan, 60-65% pesakit diabetis lelaki mempunyai masalah mati
pucuk iaitu masalah mencapai ketegangan zakar atau masalah tidak mampu
mengekalkan ketegangan zakar. Pengidap diabetis akan mendapat masalah saluran
darah ‘keras’atau atherosclerosis dengan lebih awal yang menyebabkan pengaliran
darah kepada alat kelamin akan terganggu. Pesakit diabetis juga mendapat kerosakan
saraf (nephropathy) zakar akibat glukosa
dalam darah tinggi. Masalah ini juga diburukkan lagi akibat masalah stress atau
tekanan akibat rasa rendah diri atau rasa takut zakar tidak cukup keras.
Kerosakan
saraf akibat kencing manis berlaku kerana paras glukosa yang tidak dikawal dan
juga kerana saluran darah halus yang rosak (microangiopathy)
menyebabkan saraf tidak mendapat bekalan oksigen dan nutrien yang secukupnya.
Akibat kerosakan saraf ini maka isyarat dari otak gagal sampai ke zakar yang
menyebabkan ianya tidak menegang apabila berlaku stimulasi seksual.
Saluran
darah yang sempit kerana atherosclerosis
menyebabkan aliran darah yang lemah dan kurang untuk menegangkan zakar dan
mengekalkan ketegangan zakar dengan lebih lama. Kajian mendapati, pesakit diabetis
lebih mudah mendapat masalah atherosclerosis berbanding orang biasa. Kebiasaannya
, pengidap diabetis juga mempunyai masalah tekanan darah tinggi yang
menambahkan lagi penyempitan saluran darah pada zakar.
Terdapat
juga beberapa jenis ubat darah tinggi, ubat anti kolesterol dan ubat diabetis
yang mempunyai kesan sampingan yang menyebabkan
masalah lemah syahwat ini. Merokok akan memburukkan lagi masalah ini kerana
rokok juga adalah punca kepada masalah saluran darah menjadi sempit dan
menganggu kelancaran perjalanan darah ke alat kelamin. Masalah kegemukan juga
berkait rapat dengan pengidap diabetis dan kegemukan yang melampau juga
menyebabkan zakar tidak berfungsi dengan baik.
Kajian
juga menunjukkan nafsu syahwat menurun kerana paras hormon testosteron dan
hormon tumbesaran (Growth Hormones)
dikalangan pesakit lelaki yang mengidap diabetis adalah rendah kerana paras
insulin yang tinggi. Oleh kerana itu, kebanyakan pengidap diabetis mempunyai
masalah kegemukan, perut buncit, kurang bertenaga, kurang bersemangat, otot
mengecut dan lemah yang merupakan tanda luaran kekurangan hormon testosteron
ini. Menurunkan berat badan , pemakanan yang baik, pengawalan gula yang lebih
baik dan bersenam dengan lebih kerap akan membantu meningkatkan paras hormon ini.
Terdapat juga rawatan gantian hormon testosteron untuk membantu masalah ini dan
anda perlu berjumpa doktor untuk membantu anda mendapatkan rawatan ini.
Pengidap
diabetis yang tidak mengambil rawatan dengan betul dan mempunyai masalah glukosa
darah yang tidak terkawal juga mengalami kekurangan bahan ‘nitrik oksida’ yang
membantu dalam proses ereksi zakar. Pengambilan madu juga didapati boleh
meningkat paras ‘nitrik oksida’ yang membantu mengatasi masalah mati pucuk ini.
Berhenti mengambil ‘gula putih’ amat penting untuk mengawal diabetis. Paras glukosa
darah yang tinggi juga mengurangkan nafsu syahwat atau libido. Mengawal paras
gula dengan lebih baik dengan mengikut nasihat doktor maka masalah ini boleh di
kurangkan kerana paras gula yang terkawal akan memulihkan nafsu syahwat dengan
lebih baik.
Rawatan
dengan ubat-ubatan boleh diberi oleh doktor dengan ubat seperti sildenafil, taladafil dan vardenafil juga boleh membantu mengatasi masalah mati
pucuk dikalangan pesakit diabetis. Oleh kerana itu dapatkanlah rawatan dengan
doktor yang bertauliah jika anda pesakit diabetis yang menghadapi masalah ini.
Masalah
mati pucuk ini sangat kerap berlaku dikalangan pengidap diabetis 10 ke 15 tahun
lebih dahulu berbanding lelaki yang tiada penyakit diabetis tetapi kebanyakan
pesakit menyembunyikannya atau mendapatkan rawatan tradisional seperti mengurut
atau mengambil pelbagai ubat herba. Terdapat juga kajian yang menunjukkan herba
seperti tongkat ali, ginseng, ginko biloba didapati boleh melancarkan
perjalanan darah dan membantu masalah ini. Walaubagaimanapun, faktor yang
paling penting adalah mengubah gaya hidup kepada gaya hidup yang lebih sihat
dengan makan secara sihat, mengawal paras glukosa, mengawal paras kolesterol, bersenam
dan berhenti merokok dan minum arak akan membantu mengekalkan ‘tenaga batin’ ke
usia tua. Kepentingan hubungan seksual diantara lelaki dan wanita amat penting
bagi suami dan isteri untuk menjamin kebahagiaan rumah tangga ke akhir hayat.
Masalah
lemah syahwat juga berlaku kepada lelaki berumur walaupun tidak mengidap
penyakit kronik seperti diabetis. Ia adalah kerana penurunan paras hormon testosteron disebabkan
faktor usia. Ianya boleh diatasi dengan senaman, pemakanan yang lebih tinggi
protin, aktiviti seksual yang lebih kerap dan jika perlu terapi gantian hormon.
Mengawal
pemakanan untuk mengawal paras glukosa darah yang baik adalah amat penting.
Disamping itu senaman mengangkat beban juga boleh meningkatkan paras hormon
testosteron dengan lebih cepat. Berhenti merokok juga amat penting menjaga
kesihatan seksual kita sehingga ke usia tua. Jika anda mengalami masalah ini,
dapatkanlah bantuan dari doktor untuk memulihkan kembali kelelakian anda dan
menjaga kebahagian rumah tangga anda.
Dr Norman Mohd Norawi
(MBBS, MScAARMMA,
FAGE)
No comments:
Post a Comment