Tuesday, April 7, 2015

KEPENTINGAN VITAMIN E KEPADA KESIHATAN





Kebaikan Vitamin E kepada kesihatan
Vitamin E adalah vitamin yang sangat penting untuk kesihatan manusia. Ia adalah vitamin larut lemak yang terdiri dari dua jenis iaitu tokoferol dan tokotrienol. Dari setiap jenis ini ia terbahagi kepada empat pecahan iaitu alfa, beta, gamma dan delta.


Sumber semulajadi vitamin E adalah dari sayur-sayuran hijau, tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, beras, oat, barli dan ‘wheat germ’. Minyak kelapa sawit adalah sumber yang sangat kaya dengan vitamin E terutama jenis tokotrienol. Minyak kelapa sawit juga kaya dengan vitamin A dalam bentuk beta karotin dan juga sterol tumbuhan yang sangat baik untuk kesihatan. Vitamin E yang terdapat dalam minyak kelapa sawit lebih tinggi dari jenis tokotrienol berbanding dengan tokoferol. Vitamin E dari jenis tokotrienol adalah lebih utama berbanding jenis tokoferol dari aspek kesihatan.


Terdapat pelbagai kajian yang menunjukkan kebaikan vitamin E kepada kesihatan yang dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan sejak lebih dari 20 tahun yang lepas. Terdapat lebih dari 128 kajian yang dibuat ke atas manusia, haiwan dan in-vitro yang menunjukkan kebaikan khusus vitamin E jenis tokotrienol.
Dalam satu kajian secara ‘double-blind’ yang dibuat oleh Kenneth Jordan Heart Foundation di USA merumuskan vitamin E tokotrienol dari minyak kelapa sawit boleh membantu masalah atherosklerosis iaitu pemendapan kolesterol pada dinding saluran darah arteri jantung yang menyebabkan saluran darah menjadi keras dan tersumbat. Oleh itu ia boleh mengurangkan risiko sakit jantung dan (strok) angin ahmar.


Dalam kajian ke atas manusia dan haiwan, vitamin E jenis tokotrienol juga didapati boleh menurunkan paras kolesterol dalam darah kerana ia menghalang aktiviti berlebihan enzim ‘HMG-CoA Reductase’ dalam organ hati yang menghasilkan kolesterol yang berlebihan. Kajian ini dijalankan di USM, menunjukkan dengan pengambilan 100mg tokotrinol setiap hari selama 8 ke 10 minggu mampu menurunkan paras kolesterol keseluruhan sebanyak 10-12% .
Kajian juga menunjukkan vitamin E tokotrienol adalah juga sejenis anti oksidan yang amat kuat. Kajian menunjukkan vitamin E alfa-tokotrienol adalah anti oksidan 40-60 kali lebih berkuasa daripada alfa-tokoferol dan ianya boleh mencegah peroksidaan lemak yang boleh memudaratkan kesihatan. Kajian juga menunjukkan vitamin E jenis delta tokotrienol adalah yang tinggi tahap anti oksidan nya.
Dalam satu laporan yang di tulis dalam jurnal perubatan Clin.Exp.Hypertension tahun 1999 menunjukkan tokotrienol ini boleh membantu menurunkan paras tekanan darah disamping meningkatkan paras anti oksidan dalam darah dan saluran darah.


Terdapat empat pusat kajian sains di seluruh dunia yang melaporkan secara berasingan kebaikan vitamin E jenis delta tokotrienol yang boleh mencegah beberapa jenis kanser terutamanya kanser payudara. Kajian ini menunjukkan delta tokotrienol ini mampu mencegah kedua-dua jenis kanser payu dara samada jenis yang ‘estrogen positif’ atau ‘estrogen negatif’. Kajian-kajian ini menggunakan delta tokotrienol yang bersumber dari minyak kelapa sawit.


Terdapat kajian yang menunjukkan tokotrienol dari minyak kelapa sawit didapati boleh mencegah penggumpalan sel platelet darah tetapi alfa tokoferol tidak mempunyai sifat yang sama. Oleh itu tokotrienol ini boleh mencegah masalah embolisma atau darah beku yang menyumbat saluran darah.
Kajian mendapati tokotrienol boleh menembusi dwi-lapisan dinding sel-sel tubuh manusia dengan lebih mudah kerana rantaian molekul lemak tidak tepunya. Oleh itu ia boleh diserap ke dalam sel-sel tubuh dengan lebih baik berbanding tokoferol, oleh itu ia boleh melindungi bahagian nukleus dan DNA sel-sel dari kerosakan akibat radikal bebas.


Kajian yang dilakukan oleh University of California, Berkeley menunjukkan tokotrienol dari sumber kelapa sawit adalah efektif mencegah pengoksidaan protin dan peroksidaan lemak selepas senaman yang berat kerana sifatnya sebagai anti oksidan. Ia amat penting untuk membantu ahli-ahli sukan seperti ahli bina badan, pelari pecut dan lain-lain sukan yang melakukan aktiviti fizikal yang berat dan lasak.


Satu lagi kajian yang menarik yang dijalankan oleh UKM yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Middle-East Jurnal of Scientific Research, 2014 menunjukkan bahawa pengambilan vitamin E tokotrinol ini amat baik bagi perokok jika diambil bersama vitamin C untuk membantu perokok mengurangkan kesan buruk radikal bebas dari asap rokok. Walaubagaimanapun, berhenti merokok adalah kaedah terbaik dan ideal bagi seorang perokok. Hakikatnya , amat susah bagi perokok untuk berhenti merokok kerana berdasarkan statistik kurang dari 6% perokok berjaya berhenti merokok. Oleh itu sekurang-kurangnya bagi seorang perokok, mereka perlu mengambil suplemen vitamin E tokotrienol 100mg sehari dan vitamin C 2000mg sehari boleh mengurangkan impak kesihatan kepada mereka dengan kaedah mengurangkan kemudaratan.


Terdapat pelbagai lagi kajian yang dilakukan oleh banyak university-university terkemuka di dunia seperti University of Reading United Kingdom, University of Louisiana USA, University of Western Ontario, University of Wisconsin,USA dan di Malaysia seperti USM, UKM dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sejak dari awal 90an yang menunjukkan kelebihan vitamin E jenis tokotrienol bersumber dari minyak kelapa sawit mampu mencegah sakit jantung, membantu menurunkan paras kolesterol darah, mencegah kanser payudara, kanser hati dengan melindungi sel-sel tubuh sebagai anti oksidan dan sebagai suplemen yang baik untuk perokok.


Amalkan pengambilan vitamin E jenis tokotrienol setiap hari 100mg sehari untuk mendapat faedah kesihatan yang baik mencegah pelbagai jenis penyakit berdasarkan kajian-kajian sains terkini. Insyaallah.


Oleh:
Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MSc (UCSI), FAGE

No comments: