Kebaikan Vitamin E kepada kesihatan
Vitamin E adalah vitamin yang sangat penting untuk
kesihatan manusia. Ia adalah vitamin larut lemak yang terdiri dari dua jenis
iaitu tokoferol dan tokotrienol. Dari setiap jenis ini ia terbahagi kepada
empat pecahan iaitu alfa, beta, gamma dan delta.
Sumber semulajadi vitamin E adalah dari sayur-sayuran
hijau, tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, beras, oat, barli dan ‘wheat germ’. Minyak
kelapa sawit adalah sumber yang sangat kaya dengan vitamin E terutama jenis
tokotrienol. Minyak kelapa sawit juga kaya dengan vitamin A dalam bentuk beta
karotin dan juga sterol tumbuhan yang sangat baik untuk kesihatan. Vitamin E
yang terdapat dalam minyak kelapa sawit lebih tinggi dari jenis tokotrienol
berbanding dengan tokoferol. Vitamin E dari jenis tokotrienol adalah lebih
utama berbanding jenis tokoferol dari aspek kesihatan.
Terdapat pelbagai kajian yang menunjukkan kebaikan
vitamin E kepada kesihatan yang dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan sejak
lebih dari 20 tahun yang lepas. Terdapat lebih dari 128 kajian yang dibuat ke
atas manusia, haiwan dan in-vitro yang menunjukkan kebaikan khusus vitamin E
jenis tokotrienol.
Dalam satu kajian secara ‘double-blind’ yang dibuat oleh Kenneth Jordan Heart Foundation di USA
merumuskan vitamin E tokotrienol dari minyak kelapa sawit boleh membantu
masalah atherosklerosis iaitu
pemendapan kolesterol pada dinding saluran darah arteri jantung yang
menyebabkan saluran darah menjadi keras dan tersumbat. Oleh itu ia boleh
mengurangkan risiko sakit jantung dan (strok) angin ahmar.
Dalam kajian ke atas manusia dan haiwan, vitamin E jenis
tokotrienol juga didapati boleh menurunkan paras kolesterol dalam darah kerana
ia menghalang aktiviti berlebihan enzim ‘HMG-CoA
Reductase’ dalam organ hati yang menghasilkan kolesterol yang berlebihan.
Kajian ini dijalankan di USM, menunjukkan dengan pengambilan 100mg tokotrinol
setiap hari selama 8 ke 10 minggu mampu menurunkan paras kolesterol keseluruhan
sebanyak 10-12% .
Kajian juga menunjukkan vitamin E tokotrienol adalah juga
sejenis anti oksidan yang amat kuat. Kajian menunjukkan vitamin E alfa-tokotrienol
adalah anti oksidan 40-60 kali lebih berkuasa daripada alfa-tokoferol dan ianya
boleh mencegah peroksidaan lemak yang boleh memudaratkan kesihatan. Kajian juga
menunjukkan vitamin E jenis delta tokotrienol adalah yang tinggi tahap anti
oksidan nya.
Dalam satu laporan yang di tulis dalam jurnal perubatan Clin.Exp.Hypertension tahun 1999 menunjukkan
tokotrienol ini boleh membantu menurunkan paras tekanan darah disamping
meningkatkan paras anti oksidan dalam darah dan saluran darah.
Terdapat empat pusat kajian sains di seluruh dunia yang
melaporkan secara berasingan kebaikan vitamin E jenis delta tokotrienol yang
boleh mencegah beberapa jenis kanser terutamanya kanser payudara. Kajian ini
menunjukkan delta tokotrienol ini mampu mencegah kedua-dua jenis kanser payu
dara samada jenis yang ‘estrogen positif’ atau ‘estrogen negatif’. Kajian-kajian
ini menggunakan delta tokotrienol yang bersumber dari minyak kelapa sawit.
Terdapat kajian yang menunjukkan tokotrienol dari minyak
kelapa sawit didapati boleh mencegah penggumpalan sel platelet darah tetapi
alfa tokoferol tidak mempunyai sifat yang sama. Oleh itu tokotrienol ini boleh
mencegah masalah embolisma atau darah beku yang menyumbat saluran darah.
Kajian mendapati tokotrienol boleh menembusi dwi-lapisan
dinding sel-sel tubuh manusia dengan lebih mudah kerana rantaian molekul lemak tidak
tepunya. Oleh itu ia boleh diserap ke dalam sel-sel tubuh dengan lebih baik
berbanding tokoferol, oleh itu ia boleh melindungi bahagian nukleus dan DNA
sel-sel dari kerosakan akibat radikal bebas.
Kajian yang dilakukan oleh University of California, Berkeley menunjukkan tokotrienol dari
sumber kelapa sawit adalah efektif mencegah pengoksidaan protin dan peroksidaan
lemak selepas senaman yang berat kerana sifatnya sebagai anti oksidan. Ia amat
penting untuk membantu ahli-ahli sukan seperti ahli bina badan, pelari pecut
dan lain-lain sukan yang melakukan aktiviti fizikal yang berat dan lasak.
Satu lagi kajian yang menarik yang dijalankan oleh UKM
yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Middle-East
Jurnal of Scientific Research, 2014 menunjukkan bahawa pengambilan vitamin
E tokotrinol ini amat baik bagi perokok jika diambil bersama vitamin C untuk
membantu perokok mengurangkan kesan buruk radikal bebas dari asap rokok.
Walaubagaimanapun, berhenti merokok adalah kaedah terbaik dan ideal bagi
seorang perokok. Hakikatnya , amat susah bagi perokok untuk berhenti merokok
kerana berdasarkan statistik kurang dari 6% perokok berjaya berhenti merokok.
Oleh itu sekurang-kurangnya bagi seorang perokok, mereka perlu mengambil
suplemen vitamin E tokotrienol 100mg sehari dan vitamin C 2000mg sehari boleh
mengurangkan impak kesihatan kepada mereka dengan kaedah mengurangkan
kemudaratan.
Terdapat pelbagai lagi kajian yang dilakukan oleh banyak
university-university terkemuka di dunia seperti University of Reading United Kingdom, University of Louisiana USA, University
of Western Ontario, University of Wisconsin,USA dan di Malaysia seperti
USM, UKM dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sejak dari awal 90an yang
menunjukkan kelebihan vitamin E jenis tokotrienol bersumber dari minyak kelapa
sawit mampu mencegah sakit jantung, membantu menurunkan paras kolesterol darah,
mencegah kanser payudara, kanser hati dengan melindungi sel-sel tubuh sebagai
anti oksidan dan sebagai suplemen yang baik untuk perokok.
Amalkan pengambilan vitamin E jenis tokotrienol setiap
hari 100mg sehari untuk mendapat faedah kesihatan yang baik mencegah pelbagai
jenis penyakit berdasarkan kajian-kajian sains terkini. Insyaallah.
Oleh:
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc (UCSI), FAGE
1 comment:
Terima kasih Doktor atas pencerahan.
Kiranya pengambilan minyak sawit memang bukan calang-calang khasiatnya. Kalau minyak sayuran lain memang ada vitamin E juga tetapi kebanyakan dari jenis tocoferol. Suatu pengetahuan baru untuk saya, terima kasih sekali lagi :)
Post a Comment