KELEBIHAN VITAMIN E
KEPADA KECANTIKAN DAN KEREMAJAAN KULIT
Oleh:
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE
Masyarakat kita sekarang terutamanya kaum wanita
telah menjadi satu obsesi untuk mendapatkan kulit yang tegang, cerah dan
berseri. Dengan gaya hidup moden yang terdedah kepada makanan proses,
pencemaran dan cahaya terik mentari menyebabkan kulit wajah dan kawasan yang
terdedah menjadi berkedut, berjeragat dan kusam. Oleh kerana itu terdapat
permintaan yang tinggi untuk pelbagai produk penjagaan kulit untuk mengatasi
masalah ini.
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini berlakunya
kemajuan yang pesat dalam bidang nutraseutikal dengan pelbagai produk yang
mendakwa memberikan pelbagai faedah dan kelebihan kepada kecantikan dan
kesihatan kulit. Kadangkala ianya menjadi dakwaan yang berlebihan tanpa fakta
sains serta kajian yang kukuh dan berwibawa.
Vitamin E yang terdiri daripada dua jenis yang
utama iaitu tokoferol dan tokotrinol mempunyai kelebihan yang amat baik untuk
menjaga kecantikan kulit berdasarkan fakta saintifik. Sumber utama vitamin E
adalah daripada minyak kelapa sawit yang juga mengandungi bahan-bahan anti
oksidan seperti beta karotin, squalin, karotenoid, fitosterol dan koenzim Q10.
Vitamin E terutamanya dari jenis tokotrinol
adalah sangat popular kerana sifat anti oksidan yang sangat kuat melindungi
kulit daripada kesan radikal bebas yang boleh menyebabkan masalah kulit berjeragat,
berkedut dan kusam serta tidak bermaya.
Kajian terbaru menunjukkan tokotrinol mempunyai kekuatan anti oksidan sehingga 40
kali ganda lebih kuasanya berbanding vitamin
E dari jenis tokoferol. Tokotrinol adalah sangat kaya dalam minyak kelapa sawit
dan ianya banyak digunakan dalam pelbagai jenis produk penjagaan kulit dan
kosmetik diseluruh dunia.Tokotrinol telah dikategorikan sebagai GRAS status oleh
US FDA dan boleh digunakan dalam produk-produk penjagaan kulit dan kosmetik.
Tokotrinol mempunyai beberapa kelebihan sebagai bahan asas kepada produk
kesihatan dan kecantikan kulit iaitu sebagai :
1.
Agen Anti Penuaan
Tokotrienol ini sangat halus zarahnya dan membolehkan ianya terus meresap
dengan cepat ke dalam kulit dan berkumpul sehingga pada kedalaman lima mikron
dan menjaga sel-sel kulit dari kerosakan akibat radikal bebas dari matahari dan
persekitaran. Kulit yang disapu dengan tokotrienol didapati mempunyai kepekatan
vitamin E tujuh hingga 30 kali ganda lebih tinggi berbanding kulit yang tidak
dirawat. Dengan menggunakan produk yang mengandungi kandungan vitamin E
tokotrienol yang tinggi dapat membantu kulit mendapat bekalan vitamin E
secukupnya untuk menjaga kesihatan kulit dan mencegah penuaan kulit secara
umumya.
Berdasarkan kajian saintifik, tokotrienol melindungi membran sel-sel kulit,
enzim dalam sel-sel kulit dan DNA dalam sel-sel kulit. Kelebihannya kerana ia
mampu menembusi dinding atau membran sel-sel kulit sehingga ke bahagian nukleus
dan DNA.
Kulit berkedut adalah akibat sel-sel kulit terdedah kepada kesan sinar
ultra ungu UVA & UVB secara berlebihan. Ia menyebabkan tekanan oksidatif
yang menyebabkan penghasilan bahan berprotin yang panggil ‘collagenase’ yang
menyebabkan pemecahan colagen dibawah kulit yang menyebabkan keanjalan kulit
menjadi kendur dan berkedut. Dengan kuasa anti oksidan tokotrienol 60 kali
ganda lebih tinggi daripada tokoferol maka kesan kerosakan akibat cahaya
matahari ini akan terkawal. Oleh itu mencegah penuaan kulit lebih awal dan
mengekalkan awet muda.Tokotrienol juga menggerakkan sel-sel yang menghasilkan
kolagen yang dipanggil sebagai ‘fibroblast’. Oleh itu ia mempunyai peranan
sebagai bahan yang penting untuk memperbaiki sel-sel kulit yang rosak dan juga
merawat luka pada kulit dengan lebih baik.
2.
Agen Anti Kedutan
Kolagen jenis 1 adalah amat penting untuk menjaga keanjalan lapisan dermis
kulit yang mengekalkan keremajaan kulit seseorang. Dalam proses penuaan kulit biasa,
kolagen jenis 1 ini akan berkurangan dan bahan MMP (matrix
metallo-proteinanses) yang menguraikan kolagen akan bertambah. Akhirnya ia
menyebabkan terjadinya kedutan kulit. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh USM
mendapati tokotrienol ini meningkatkan penghasilan bahan PICP (pro-collagen type 1-C peptide). Oleh
itu ia akan meningkatkan penghasilan semula kolagen jenis 1 dan mampu
mengurangkan masalah kedutan kulit akibat proses penuaan.
3.
Pelindungan Matahari
Tokotrinol adalah 40 hingga 60 kali lebih tinggi kuasa anti oksidannya
berbanding vitamin E jenis tokoferol mencegah kerosakan akibat peroksidasi
lipid (lemak). Tokotrinol akan berkumpul dibahagian paling atas kulit iaitu
‘stratum korneum’ dan ia bertindak sebagai pelindung pertama dari kerosakan
radikal bebas daripada cahaya ultra ungu (UV) matahari yang menyebabkan kulit menjadi berkedut dan mendapat masalah
pigmentasi. Tokotrinol mempunyai nilai ‘Radical
Skin Factor’ (RSF) sebanyak 4.15
, oleh itu ia mengurangkan dengan banyak jumlah radikal bebas dalam kulit
akibat pendedahan kepada sinar UVA dan UVB cahaya matahari
4.
Pemutihan Kulit
Kajian sains yang dijalankan di Singapura yang telah dilaporkan dalam
jurnal perubatan Pigment Cell &
Melanoma Research telah menunjukkan bahawa tokotrinol ini mempunyai kesan
memutihkan kulit dengan kuasanya yang lebih tinggi sehingga 150 kali ganda
berbanding bahan seperti asid kojik, arbutin dan sodium lactate. Kajian tersebut mendapati tokotrinol mempunyai
sifat menghalang aktiviti ‘enzim tirosinase’ yang menjadi punca kepada
penghasilan bahan ‘melanin’ yang menjadi punca kepada kulit mendapat masalah
pigmentasi. Secara khususnya tokotrinol dari isomer gamma dan delta yang
mempunyai sifat ini. Kajian juga membuat kesimpulan bahawa tokotrinol boleh
mencegah kanser kulit jenis melanoma.
5.
Mengurangkan parut
Dalam satu kajian terbaru yang dijalankan di Ohio State University mengkaji
kesan tokotrinol mengurangkan parut akibat pembedahan. Hasil rumusan kajian ini
mendapati tokotrinol mempunyai potensi besar untuk mengurangkan masalah parut
hypertrofi dan keloid dengan cara mengawal kadar keradangan luka pembedahan
tersebut.
Kajian di universiti yang sama juga dibuat keatas luka akibat melecur.
Apabila tokotrinol disapu pada luka melecur ini maka didapati parut yang
terhasil akibat melecur ini lebih baik dan tidak mendapat masalah parut besar
atau keloid.
6.
Kelembapan Kulit
Tokotrinol mengurangkan kehilangan air daripada kulit dan meningkatkan fungsi
perlindungan kulit. Menurut kajian, tokotrinol jika dicampurkan dengan bahan
lain seperti lendir aloe vera boleh meningkatkan kelembapan kulit dan
mengekalkan keanjalannya. Dengan mengekalkan hidrasi atau kelembapan kulit,
maka tekstur kulit secara amnya juga akan bertambah baik.
Mengamalkan penggunaan produk-produk asli dengan kajian sains yang kukuh
akan membantu kita mendapatkan hasil yang lebih baik untuk kesihatan dan
kecantikan kulit untuk jangkamasa panjang. Insyaallah
Copyright© Dr Norman 2015
1 comment:
doc..klu sy gunakan minyak drpd biji kelapa sawit secara terus blh ke?? adakah merbahaya
Post a Comment