Wednesday, July 22, 2015

PANDUAN PEMAKANAN SEMASA BERPUASA RAMADHAN



Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh barakah dan bulan ujian untuk semua umat Islam. Kesabaran kita diuji dengan menahan lapar, dahaga, menjaga mata,  hati dan lidah kita dari perkara-perkara yang merosakkan pahala berpuasa. Dalam kita berpuasa ini kita akan mendapat faedah kesihatan yang amat baik jika kita mengikut kaedah berpuasa yang sebenarnya dengan makan secara betul dan sihat. Pemakanan yang salah dan tidak sihat akan menyebabkan kita tidak mendapat faedah yang maksimum dalam proses kita berpuasa ini.
Bagaimanakah pemakanan yang sihat patut diamalkan dalam bulan Ramadhan ini. Terdapat beberapa panduan umum yang boleh kita ikuti dan jadikan panduan semasa berbuka dan bersahur dan juga makan diantara waktu keduanya.


Semasa berbuka perkara yang utama adalah mengawal jumlah pemakanan yang kita ambil. Kita perlu mengikut sunnah Rasulullah SAW iaitu dengan berbuka dahulu dengan beberapa biji buah kurma dan minum air kosong. Kajian-kajian saintifik terkini menunjukkan buah kurma sememangnya mempunyai banyak kelebihan dari aspek kesihatan. Buah kurma amat kaya dengan serat, vitamin, mineral, anti oksidan, anti keradangan dan anti bakteria. Kandungan khasiat pemakanan yang tinggi dalam buah kurma ini amat baik untuk mencegah pelbagai jenis penyakit dan mengekalkan kesihatan yang optimum.


Kurma kaya dengan bahan sebatian fenolik anti oksidan seperti pro-cyaanidin, tannins,coumaric, ferulic, sinapic dan  flavonoids seperti beta karotin, lutein dan zeaxantine. Semua sebatian anti oksidan ini mampu melawan kesan radikal bebas dan boleh mencegah kanser. Bahan flavonoids ini juga boleh meningkatkan imuniti, melawan kesan keradangan dan mencegah mutasi sel. Kurma juga mempunyai zat besi yang tinggi dan boleh mencegah masalah anemia. Kurma mempunyai kandungan mineral kalium yang tinggi dan ia amat baik mengawal tekanan darah tinggi. Disamping itu ia juga mengandungi mineral lain seperti magnesium, kalsium, manganese dan kuprum yang amat penting untuk fungsi metabolisma tubuh manusia.
Buah kurma juga mempunyai indeks glisemik yang sangat tinggi oleh itu ia amat cepat meningkatkan paras glukosa dalam darah. Ini amat baik kerana setelah seharian berpuasa paras glukosa dalam darah kita telah turun ke tahap yang sangat rendah menjelang waktu berbuka. Dengan makan makanan berglisemik indeks tinggi, kita dapat memulihkan tenaga kita dengan sangat cepat dan mengurangkan rasa lapar dengan segera. Kelebihan ini boleh kita manfaatkan untuk mengurangkan jumlah makanan yang kita makan semasa berbuka. Selepas berbuka dengan kurma dan air tadi, kita perlu menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu dan hanya selepas itu kita menjamah makanan yang lebih berat secara sederhana. Selera kita akan mula berkurangan selepas solat maghrib tadi kerana paras glukosa darah telah mula naik kerana pengambilan kurma sebelumnya. Disinilah hikmahnya kita mengikut sunnah Rasulullah SAW kerana kaedah ini akan mencegah kita daripada makan berlebihan semasa berbuka.



Jika kita tidak dapat makan kurma kita boleh memilih buah-buahan yang lain atau makanan manis yang  lain seperti kuih muih untuk menggantikan kurma tadi dan ini bersesuaian dengan saranan Rasulullah SAW. Kita tidak digalakkan makan terus makanan yang berat semasa berbuka kerana ini akan menyebabkan kita makan secara berlebihan kerana isyarat ‘kenyang’ mengambil masa lebihkurang 20 minit untuk sampai ke otak. Oleh itu kita cenderung untuk makan secara berlebihan semasa berbuka. Apabila telah kekenyangan kita akan ‘tersandar’ dan merasa cukup malas untuk bergerak dan ini akan menggganggu ibadah solat kita seterusnya. Sedangkan kita perlu memperbanyakkan ibadah semasa bulan Ramadhan ini. Inilah cabarannya semasa berbuka yang perlu kita hadapi untuk mendapat pahala yang penuh dan keberkatan dari Allah SWT.


Kita juga perlu minum secukupnya semasa Ramadhan ini untuk mengelakkan masalah dehidrasi semasa berpuasa. Minumlah air mineral atau air kosong secukupnya dan kurangkan minuman bergula tinggi. Minumlah lapan gelas air sepanjang malam dari waktu berbuka hingga ke waktu sahur setiap hari. Elakkan minuman manis seperti teh tarik atau minuman berkarbonat kerana ia mengandungi gula yang sangat tinggi dan juga ia boleh menyebabkan kita mengalami masalah dehidrasi semasa berpuasa keesokkannya. Semasa bersahur minumlah sekurang-kurangnya dua gelas air mineral.


Semasa bersahur keutamaan kita adalah untuk makan makanan yang boleh membekalkan tenaga dengan lebih lama untuk berpuasa disiang harinya. Oleh itu pilihan kita adalah makan lebih makanan berserat tinggi seperti beras perang, oat, roti serat penuh. Jika kita memilih untuk makan nasi putih, maka kita boleh mendapatkan serat tambahan dengan makan lebih sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan. Makan lauk yang dimasak dengan santan juga adalah baik kerana kajian menunjukkan lemak atau minyak kelapa atau santan kelapa adalah lemak yang sangat sihat. Makan makanan yang bergoreng dan bergaram tinggi tidak digalakkan. Elakkan meningggalkan bersahur kerana ia adalah makan yang amat penting semasa berpuasa dan ia mempunyai keberkatannya yang dijanjikan. Sahurlah diwaktu yang dekat dengan waktu subuh dan bukannya ditengah malam.


Jika kita ingin makan moreh atau makan diwaktu malam sebelum tidur, maka janganlah berlebih-lebihan atau makan makanan yang berat . Pilihlah buah-buahan dan kekacang yang lebih sihat. Jika kita memilih untuk makan kuih-muih maka kita perlu makan sedikit sahaja.

Utamakanlah beribadah secara maksimum semasa Ramadhan ini dengan bersolat, berzikir, membaca Al Quran dan bersedekah sebanyak-banyaknya mengikut kemampuan kita, Insyallah kita akan menjadi muslim yang cemerlang selepas Ramadhan ini dan Insyaallah lebih sihat dan cergas. Wallahualam.

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS, MSc(UCSI), FAGE

No comments: