Hariraya Aidilfitri menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Semua umat Islam
di Malaysia sudah pasti amat sibuk dengan persediaan untuk berhariraya. Di
antara persediaan utama yang disediakan untuk Hari Raya adalah kuih raya atau
biskut raya. Kebanyakan dari kita hari ini lebih suka untuk membeli sahaja kuih
raya ini kerana faktor kesuntukan masa dan ianya memudahkan.
Tahukah kita kebanyakan kuih raya atau biskut raya ini disediakan
menggunakan marjerin sebagai salah satu ramuannya. Marjerin telah menjadi suatu
yang amat sinonim dengan kuih raya sehingga kita amat mudah mengingati
nama-nama jenama marjerin yang tertentu yang dikaitkan dengan kuih raya.
Marjerin sebenarnya adalah lemak tepu sintetik yang dihasilkan melalui
proses ‘hidrogenasi’ minyak masak. Dalam proses ini atom hidrogen ditambahkan
kepada minyak masak cecair dan ianya akan bertukar menjadi lebih keras. Proses
ini akan menyebabkan minyak ini menjadi beku dan lebih mudah disimpan serta
tahan lebih lama. Proses hidrogenasi ini akan menyebabkan molekul minyak tersebut berubah kepada bahan yang dipanggil
sebagai ‘ Asid Lemak Trans’ (Trans Fatty
Acids). Menurut kajian di USA,
40% sumber asid lemak trans dalam
pemakanan adalah dari makanan proses seperti biskut, kek, kerepek, pai dan roti
manakala 17% adalah daripada penggunaan marjerin.
Kajian terkini menunjukkan bahan
yang mengandungi asid lemak trans ini mempunyai risiko yang tinggi kepada
kesihatan kerana ianya mempunyai kaitan yang sangat kuat kepada masalah keradangan
atau inflammasi saluran darah, kolesterol tinggi, sakit jantung koronari,
stroke, diabetis, kanser, darah tinggi dan sebagainya.
Diantara kajian yang popular yang dipanggil Nurse’s Health Study
menunjukkan wanita yang mengambil lebih banyak asid lemak trans dalam pemakanan
seharian mereka mempunyai risiko 50% lebih tinggi mendapat serangan jantung.
Pengkaji di Harvard Universiti membuat rumusan bahawa seseorang yang
meninggalkan pengambilan asid lemak trans akan menurunkan risiko mendapat
diabetis sehingga 40% lebih rendah berbanding dengan seseorang yang terus
mengambil asid lemak trans dalam pemakanan mereka.
Kajian sains telah membuktikan bahawa pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans menyebabkan masalah ‘atherosklerosis’ iaitu saluran darah dijantung
tersumbat kerana berlaku pengumpulan kolesterol didinding saluran darah
koronari kerana saluran darah tersebut mengalami masalah keradangan atau
inflamasi.
Kajian juga menunjukkan pengambilan trans fat menyebabkan paras kolesterol LDL dan trigliserida meningkat dan merendahkan
paras kolesterol HDL. Oleh kerana itu
ianya juga meningkatkan risiko mendapat masalah penyakit jantung koronari,
darah tinggi, stroke dan diabetis. Kajian juga menunjukkan asid lemak trans ini
adalah jauh lebih merbahaya kepada kesihatan daripada lemak tepu dari sumber
haiwan dan sumber tumbuhan seperti minyak kelapa.
Dalam zaman sekarang, penggunaan asid lemak trans ini amat berleluasa
hingga hampir mustahil untuk seseorang mengelak daripada memakannya setiap
hari. Hampir semua makanan proses menggunakan asid lemak trans seperti mee
segera, biskut, pizza, kuih-muih, kek , pastri, kerepek, donut, kentang goreng,
jajan dan sebagainya. Kebanyakan makanan-makanan ini menggunakan marjerin atau
‘shortening’.
Makanan segera seperti ‘berger’ yang dijual ditepi jalan atau direstoran makanan segera juga
mengandungi asid lemak trans yang tinggi kerana ia digoreng menggunakan
marjerin. Minyak yang kaya dengan asid lemak tak tepu (PUFA) seperti masak sayuran (soya, bunga matahari, jagung)
yang dipanaskan dengan suhu yang tinggi juga akan berubah menjadi asid lemak
trans apabila digunakan dalam gorengan ‘dalam’ (deep frying) . Disamping itu juga, makanan segera banyak menggunakan bahan perasa
dan bahan pengawet. Kurangkanlah pengambilan makanan seperti ini kerana ia
boleh menyebabkan masalah sakit jantung dan penyakit kronik yang lain.
Alternatif yang lebih sihat adalah penggunaan minyak yang lebih sihat
seperti minyak zaitun, santan, minyak kelapa dan juga minyak kelapa sawit. Oleh
kerana itu boleh dikatakan makanan atau kuih raya yang menggunakan santan dalam
ramuannya seperti dodol, wajik, lemang dan rendang adalah lebih sihat kerana
ianya mengandungi minyak kelapa atau santan. Kajian terkini membuktikan bahawa
santan kelapa atau minyak kelapa bukanlah punca kepada masalah kolesterol atau
sakit jantung malahan ianya boleh mengurangkan risiko penyakit jantung
ini.
Asid lemak trans juga terdapat didalam krimer atau ‘susu krimer’ yang amat
popular di Malaysia dalam minuman seperti teh tarik. Pengambilan minuman
seperti ini tidak sihat kerana kandungan asid lemak trans nya dan juga kerana
gulanya yang sangat tinggi. Oleh kerana kesedaran daripada pengguna yang
semakin meningkat, industri makanan telah mengeluarkan pelbagai produk tanpa
asid lemak trans yang di label sebagai
‘tanpa asid lemak trans’. Sekarang terdapat juga produk marjerin yang bebas
asid lemak trans dipasaran. Jika anda
masih mahu menggunakannya, maka pilih lah produk seperti ini yang lebih
selamat.
Bacalah pembalut plastik makanan segera yang kita beli dan telitilah pada
labelnya dan perhatikan perkataan seperti “minyak sayuran terhidrogenasi” atau‘
hydrogenated vegetable oils’ atau ‘partially
hydrogenated vegetable oils’ dan sebagainya. Ini adalah asid lemak ‘trans’
yang terkandung dalam makanan tersebut. Terdapat sesetengah pengeluar makanan
telah mula menggunakan minyak yang tidak mengandungi asid lemak ‘trans’ dan melabelnya sebagai makanan sihat.
Jagalah pemakanan anak-anak anda dan keluarga anda dengan tidak mengambil
makanan yang mengandungi asid lemak trans dalam musim perayaan ini dan juga
seterusnya dalam seluruh kehidupan kita untuk kesihatan yang lebih baik.
Insyaallah.
Dr Norman Mohd Norawi
MBBS, MSc(UCSI), FAGE
No comments:
Post a Comment