Thursday, May 8, 2008

Demam Denggi :Pembunuh Bersiri

DENGGI : PEMBUNUH BERSIRI ..

Anda selalu mendengar di media massa bagaimana kes-kes denggi yang sentiasa dilaporkan di negara kita. Malaysia adalah salah sebuah Negara yang endemic kepda penyakit denggi.Maksudnya wabak ini sentiasa ada dinegara ini selagi adanya nyamuk di Malaysia ini.Setiap tahun pasti ada pesakit yang maut akibat dari penyakit Demam Denggi ini , kerana itu saya menggelarnya pembunuh bersiri...

Sejauh mana anda sebenarnya tahu tentang penyakit denggi ini. Kadang-kadang kita merasakan orang lain sahaja yang dijangkiti penyakit ini tetapi hakikatnya sesiapa sahaja boleh dijangkiti penyakit ini.Selagi ada nyamuk yang mengigit kita selagi itulah kita terdedah kepada Demam Denggi. Yang amat menakutkan kita lagi ialah pesakit yang mendapat Demam Denggi Berdarah boleh membawa maut.

Cara terbaik untuk mencegah mendapat denggi adalah dengan memastikan vektornya iaitu nyamuk Aedes tidak dapat membiak dengan banyaknya.Vektor ialah serangga pembawa virus denggi ini tetapi ia sendiri tidak sakit kerananya. Nyamuk Aedes ini amat mudah kita kenali dengan belang hitam dan putih dibadannya (abdomen) kerana itu sesetengah tempat menggelarnya ‘nyamuk harimau’.

Demam denggi ini adalah penyakit berjangkit yang di sebabkan oleh virus denggi yang di bawa oleh vektornya iaitu nyamuk Aedes.Sehingga kini tiada ubat khusus untuk merawat penyakit ini .Rawatan yang diberikan di hospital hanyalah rawatan sokongan sahaja. Ahli sains masih belum berjaya menghasilkan vaksin untuk mencegah penyakit hingga ke hari ini.



Tanda-tanda Demam Denggi :

Demam kuat dengan suhu yang tinggi secara mengejut dan berterusan.Ruam merah pada kulit dan sakit-sakit pada semua sendi-sendi .Sakit pada sendi dan tulang ini sangat kuat hinggakan ianya di gelar ‘break bone fever’ (demam tulang nak patah).Pesakit juga akan hilang selera makan, muntah-muntah dan sakit perut. Jika Demam Denggi ini melarat kepada Denggi Berdarah maka akan berlaku pendarahan dibawah kulit,hidung dan mulut. Ia biasanya akan membawa maut.

Apa yang patut anda buat

Jika anda demam dan mempunyai tanda-tanda seperti yang telah saya sebutkan tadi , segeralah berjumpa doktor .

Apa yang doktor akan buat :

Doktor akan menguji darah anda .Doktor biasanya akan membuat ujian darah untuk melihat sel-sel darah dan juga ujian antibodi kepada virus denggi (dengue serology). Jika anda didapati positif anda akan dimasukkan ke wad untuk rawatan , pemerhatian dan kuarantin (anda mesti tidur dengan kelambu di hospital).
Doktor pula akan memaklumkan kepada bahagian kawalan penyakit bawaan vektor dan kawasan rumah anda akan disembur kabus (fogging ) untuk membunuh nyamuk dewasa dan mengelakkan wabak Denggi merebak. (kaedah yang sama juga digunakan dalam mencegah merebaknya selsema burung dan virus nipah , beza pada haiwan yang dibunuh sahaja) Mekanisme inilah telah berjaya selama ini membendung Demam Denggi menjadi bencana penyakit yang merebak tanpa kawalan.Malaysia mendapat banyak pujian dari saintis antarabangsa kerananya. Syabas , Kementerian Kesihatan , Malaysia Boleh !!


Kawalan dan pencegahan Demam Denggi

Sebagai rakyat malaysia yang bertanggung jawab, kita patut sama-sama membantu kerajaan dalam proses kawalan penyakit ini .Dengan itu kita dapat mencegah wabak ini dari merebak.

1. Hapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes
• Tutup semua bekas menyimpan air kerana nyamuk aedes suka bertelur didalam air yang bersih
• Salin air dan basuh dengan dengan berus hingga bersih semua bekas pasu bunga , kolah mandi,alas pasu bunga dan sebagainya.Ini adalah kerana kepompong nyamuk aedes masih boleh hidup walaupun tanpa air.
• Bersihkan saluran yang tersumbat dan boleh menakungkan air seperti longkang ,alur air hujan dan sebagainya
• Sampah dan bahan terbuang yang boleh menakung air hendaklah di buang dengan cara yang betul , di tanam ataupun dikitar semula (di jual) dan tidak membiarkannya bersepah diluar rumah yang akhirnya boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.
• Menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik seperti Abate mengikut sukatan yang betul (10gram untuk 100liter air) didalam kolah mandi di bilik air yang kita gunakan.
• Membunuh jentik-jentik dengan membela ikan (ikan puyu atau ikan guppy) didalam kolam dirumah anda
2. Hapuskan atau mengurangkan diri terdedah kepada nyamuk dewasa
• Gunakan aerosol pembunuh nyamuk yang banyak terdapat di pasaran
• Gunakan kelambu semasa tidur atau ‘ubat nyamuk’ (mosquito coil) untuk mengelak gigitan nyamuk
• Gunakan krim pencegah gigitan nyamuk pada bahagian badan yang terdedah semasa keluar rumah
• Gunakan jejaring di tingkap-tingkap rumah untuk mengurangkan nyamuk masuk kerumah
• Jangan membunuh haiwan yang memakan nyamuk dewasa seperti katak,kelawar dan sebagainya
• Pihak berkuasa kesihatan akan mengadakan semburan kabus untuk membunuh nyamuk dewasa di kawasan-kawasan yang terdapat kes-kes denggi.Jika anda melihat semburan kabus dilakukan dikawasan anda maka sudah pastinya terdapat kes pesakit Demam Denggi berdekatan dengan kawasan rumah anda.

3. Segera mendapat rawatan jika anda mempunyai tanda-tanda demam denggi .Ini adalah untuk mengelakkan anda menjadi pembawa kepada virus denggi ini dan boleh menyebabkan keluarga dan jiran-jiran anda di jangkiti melalui vektor nyamuk aedes .
Persekitaran yang kurang bersih akan mengundang pembiakan nyamuk yang tidak terkawal dan akhirnya menyebabkan merebaknya penyakit Demam Denggi ini. Oleh itu jagalah kebersihan persekitaran anda dan kitar semula bahan buangan anda.

Dr Norman M. Norawi (MBBS)


Copyright 2007 by Norman M.Norawi

2 comments:

Anonymous said...

I must digg your article so other people can see it, very useful, I had a tough time finding the results searching on the web, thanks.

- Murk

Saliza said...

Thank you for the info, just to share with others, Juice Pink Guava Sunrise is the best medicine for Denggi, I have seen many testimonies. For further info please visit guavarich.weebly.com